Secara peribadi saya mengharapkan mandat rakyat seperti ditunjukkan dalam PRU-14, Mei 2018, dapat dikembalikan sesegera mungkin. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang rapuh ikatan ini, tanpa manifesto pula, wajar diganti dengan cepat, tanpa berlengah.
Kekecewaan, khususnya dalam kalangan pengundi muda harus segera dirawati, jika tidak sistem pilihan raya kita akan mengalami defisit keyakinan. Ya, untuk apa berpanas beratur di pusat mengundi sekiranya kerajaan boleh bertukar hanya dengan rundingan sulit wakil rakyat tertentu yang curang.
Langkah pengkhianatan dan pembelotan ahli-ahli Parlimen tertentu PKR dan Bersatu, diketuai Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali, akhir Februari lalu, sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah bercanggah dengan tatasusila demokrasi dan kerajaan pintu belakang yang ditubuhkan itu tidak mempunyai legitimasi, malahan belum teruji di Dewan Rakyat.
Meskipun pelbagai usaha atau “pakej rangsangan” dilakukan Muhyiddin untuk menarik lebih banyak sokongan, melalui pelantikan jawatan-jawatan strategik seperti duta-duta khas bertaraf menteri dan pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan (mungkin ada sogokan lain yang terpendam), namun masih gagal mengumpulkan sokongan yang mencukupi.
Muhyiddin masih takut untuk membenarkan usul tidak percaya kepada PM dibahaskan, walhal ia satu keperluan buat dirinya mendapat keabsahan agar dapat menerajui negara secara lebih baik, sekali gus menangkis tohmahan buruk terhadap kerajaan tebuk atap yang didirikannya.
Lebih ironis, sokongan wakil rakyat kepadanya dikatakan semakin menipis dan Muhyiddin khabarnya tidak memiliki majoriti lagi.
Sudahlah bacul untuk menghadapi sidang Parlimen, sehingga kuasa Speaker Dewan Rakyat pun dicabuli, kita masih belum mendengar apa-apa penggubalan polisi awam atau agenda pembaharuan dibentangkan. Manakala pemimpin yang terpalit dengan najis rasuah turut dilantik menerajui GLC penting dengan imbuhan lumayan.
Nurani saya berbisik, biarkan lebih lama lagi kerajaan Muhyiddin-Azmin ini berkuasa; biarkan rakyat dapat membuat penilaian lebih adil dan menyeluruh terhadap pentadbiran PH dan membandingkannya dengan pemerintahan PN, termasuk dalam isu-isu yang dikaitkan dengan sentimen agama dan kaum.
Semasa era PH dulu, begitu galak dan ghairah sentimen perkauman-keagamaan sempit dibakar bagi menyuburkan kebencian melulu terhadap kerajaan. Isu-isu seperti kematian Adib, bantuan sekolah Cina, tulisan jawi, hibah Tabung Haji, aset kerajaan dijual, kemalangan maut membabitkan pemabuk dan banyak lagi, dimanipulasi sepenuhnya bagi menggambarkan kepentingan Islam-Melayu terancam di bawah PH.
Justeru, hati kecil saya berbisik, tidak perlulah pertukaran kerajaan sekarang, meskipun pembangkang sudah “cukup bilang”, biar kepincangan regim tebuk atap ini lebih terserlah lagi dan rakyat dapat menjadi saksi mata.
Justeru, hati kecil saya berbisik, tidak perlulah pertukaran kerajaan sekarang, meskipun pembangkang sudah “cukup bilang”, biar kepincangan regim tebuk atap ini lebih terserlah lagi dan rakyat dapat menjadi saksi mata.
Namun, saya lebih memikirkan soal kepentingan negara dan rakyat seluruhnya, berbanding soal strategi politik untuk menang pilihan raya. Membiarkan lebih lama negara ditadbir oleh komplot Umno- BN-Pas-Bersatu Muhyiddin — yang menampakkan warisan kleptokrasi, menamatkan agenda pembaharuan serta mengembalikan ciri-ciri kediktatoran dan mengekang kebebasan bersuara — hanya akan menjerumuskan negara tercinta ke lembah yang lebih kelam.
Sudahlah kita diancam impak dahsyat wabak maut koronavirus. Negara perlu diselamatkan, atau diminimumkan kesan buruk Covid-19 secepat mungkin, dengan memastikan putera-puteri terbaiknya, tanpa mengira agama, kaum dan pegangan politik, bersama-sama menggembleng setiap potensi, berkhidmat untuk watan.
Sebenarnya, sejak dahulu, ketika pentadbiran PH menjadi sasaran kecaman dan rasa tidak puas hati masyarakat, juga sewaktu PH dikatakan kalah dalam perang persepsi, dituduh gagal melunasi janji manifesto, sanubari saya tetap percaya, dalam PRU-15 nanti, insya Allah majoriti rakyat tetap bijak memilih di antara “intan dan kaca”.
Meskipun kerajaan PH mempunyai banyak kelemahan, mungkin tersasar prioriti, bermasalah dari segi komunikasi dalaman sesama komponen parti, kelihatan “terlalu kedekut”, sehingga kalah dalam siri pilihan raya kecil, namun saya masih menaruh keyakinan, jika saingan PH datang daripada BN-Pas, pengundi tetap tertarik untuk menyokong gabungan parti yang kurang memudaratkan rakyat.
Saya teringat, semasa menikmati juadah makan tengahari Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan, di Bangsar, pengerusinya, Dr Hatta Ramli mengulas tentang kekalahan teruk calon Bersatu dalam PRK Tanjung Piai.
Beliau berkata, dia tidaklah gusar sangat dengan majoriti besar calon MCA itu. “Saya lebih risau jika majoritinya kecil. Bila besar sangat, bermakna pengundi di sana mahu sampaikan mesej tertentu, bukan disebabkan mereka tolak sama sekali PH,” ujar Dr Hatta lagi.
Hishamuddin Rais yang turut bersama di meja kami turut mencelah, menekankan kemungkinan faktor sabotaj parti sekutu Bersatu. Maksudnya, kekalahan teruk di daratan paling selatan benua Asia itu satu kes terpencil dan mempunyai mesej tersirat yang perlu diperhalusi.
Saya turut bersangka baik dengan perancangan Kabinet Mahathir-Wan Azizah. Sekadar di awal 20 bulan mentadbir, masih berbaki tiga tahun lagi waktu itu — tempoh yang relatif panjang — saya percaya banyak lagi agenda yang menyangkut kebajikan rakyat masih dalam perancangan dan draf terakhir untuk dilaksanakan.
Rakyat mula melihat pembaharuan yang bermanfaat, di samping pendedahan berterusan amalan korupsi dan pembaziran melampau regim terdahulu. Para menteri yang juga pemimpin kanan PH juga, yang rata-rata kurang pengalaman dalam pentadbiran, mulai turun padang bertemu rakyat selepas banyak masa sebelumnya tertumpu kepada rutin tugas di pejabat. Kekeliruan rakyat dapat diperjelaskan.
Atas hakikat inilah, pembangkang ketika itu, khususnya Umno, sentiasa menghidu dan mengintip peluang, untuk memastikan kerajaan PH dapat ditumbangkan sebelum PRU-15. Umno amat menyedari akan kelebihan berpihak kepada parti kerajaan sewaktu pilihan raya umum.
Justeru, harus direbut kekuasaan itu walau dengan apa cara sekalipun. Yang penting, semasa Parlimen dibubarkan nanti, bukan PH di tampuk kuasa. Dan Umno juga sudah terlepas daripada kekangan kewangan ekoran akaun parti dibekukan.
PN cuba mempamerkan kesatuan melalui MoU, sehari sebelum sidang Parlimen, 18 Mei lalu. Mungkin untuk menjawab banyak kritikan yang mendakwa PN terlalu rapuh dan tidak diasaskan kepada persefahaman yang mantap.
BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama empat parti politik termasuk Bersatu, Pas, PBS dan STAR, menandatangani kenyataan bersama, menyuarakan sokongan terhadap penubuhan PN. Bagaimanapun, ada pemimpin parti komponen GPS melahirkan rasa tidak senang dengan kenyataan bersama itu dan menyifatkan mereka hanya mesra Perikatan dan bukan ahli PN.
Selang beberapa hari GPS menolak pendirian Pas tentang isu arak. Manakala sikap Umno yang mahu menjarakkan diri dan bersikap dingin dengan PN telahpun diketahui umum sejak awal lagi.
Umno dan Pas, yang membentuk Muafakat Nasional, kononnya lebih memilih PRU-15, atas keyakinan gabungan dua parti Melayu itu, mampu meraih kemenangan dan seterusnya membolot kuasa yang lebih selesa.
Bagi saya, ia hanya keyakinan palsu berdasarkan realiti politik berbeda dalam PRU-14, ketika pertandingan tiga penjuru. Saya akan huraikan unjuran situasi berlainan PRU-15 dalam tulisan berikutnya.
BERSAMBUNG