Adakah anda berlaku adil ketika “riang ria” menyerang DAP?
1. Antara parti politik yang amat sering diserang, dikritik, dihentam, difitnah dengan begitu teruk dan secara tidak adil adalah parti DAP. Orang putih kata DAP ibarat “the punching bag” atau “the bogeyman”.
2. Tulisan saya ini bukan bermaksud membela DAP. Kami – dari parti Amanah – insyaAllah tetap akan memperjuangkan keadilan walaupun kami sering dilabel dengan katalog pertuduhan/penlabelan – Anjing DAP, PANDAP, Barua DAP dll. Tiada masalah. No worries, be happy !!!
Tulisan ini lebih kepada membangkitkan persoalan ini “adakah mereka yang men”yerang” DAP – dari semua sudut – benar-benar telah berlaku adil di saat mereka melancarkan “serangan” tersebut?
3. Dalam menulis artikel ini, insyaAllah, saya dipandu oleh, antara lain, panduan ini . Sebagai orang Islam. Islam bukan sahaja menganjur untuk orang Islam untuk melakukan keadilan, malahan saya berani berkata antara keistimewaan unggul prinsip keadilan dalam ajaran Islam adalah ia menganjur kepada keadilan mutlak (“an absolute justice”) di mana, antara lain, keadilan tidak boleh diketepikan begitu sahaja hanya kerana wujudnya faktor/elemen kebencian.
4. Ayat 8 dari surah Al-Maidah di dalam Al-Quran jelas menyatakan perkara tersebut. Jika kita lihat ayat tersebut Allah menggunakan lafaz ” شناءان قوم yang diterjemah dalam bahasa Inggeris sebagai “hatred of a people” dan dalam bahasa Melayu pula diterjemah “kebencian ke atas sesuatu kaum” .
5. Izinkan saya berkongsi tafsiran lafaz ” سناءان قوم” yang dinyatakan oleh seorang ulama’ sufi bernama Ibnu ‘Ajeebah dalam kitab tafsirnya berjudul ” البحر المديد في تفسير القران المجي” . Dalam tafsirnya tersebut, beliau menafsirkan lafaz ” شناءان قوم” itu seperti berikut “شدة بغضهم لكم “- “kebencian yang amat sangat/melampau kepada kamu”.
Maknanya, dalam keadaan seperti itu pun iaitu ketika keadaan di mana mereka yang amat benci kepada kamu atau sebaliknya, urusan penegakkan keadilan tidak boleh diketepikan!.
6. Dalam politik, saya boleh terima jika ada mana-mana pihak, khususnya seteru politik parti DAP untuk tidak menyukai DAP lalu mengkritik DAP. Itu lazim.
Bagaimanapun, setajam mana pun perasaan benci mereka kepada DAP, mereka -apatah lagi jika mereka itu adalah orang Islam- tidak boleh tidak berlaku tidak adil kepada DAP. Itu salah.
7. Ya, saya masih boleh menerima khususnya orang Melayu/Islam tidak menyukai DAP atas dasar kerana mereka mungkin masih tidak tahu dan tidak kenal perjuangan sebenar DAP. Perpatah Arab ada mengatakan “manusia itu menjadi musuh kepada perkara yang mereka tidak tahu” .
8. Bukankah parti ehem pernah bertahaluf dengan DAP beberapa kali sebelum ini? Adakah logik mereka masih tidak kenal lagi dengan parti DAP? Tidakkah mereka juga, satu waktu dulu, tahu dan arif sangat bagaimana lawan politik mereka dan DAP pada masa itu -Umno dan BN-selalu menuduh dan memfitnah DAP seperti mana mereka juga sendiri pernah dan biasa menjadi mangsa tuduhan tidak berasas Umno dan BN?
Dan bukankah parti ehem sedar bahawa fitnah ke atas DAP itu amat tidak berasas dan sengaja ditimbulkan bagi mewujudkan keresahan orang Melayu/Islam ke atas DAP demi agenda politik mereka?
9. Justeru, dalam keadaan begitu, bagaimanakah parti ehem boleh lari dari panduan ilahi di ayat 8 surah Al-Maidah tersebut?
Saya mungkin boleh terima jika majoriti para ahli parti tersebut begitu mudah dikelirukan oleh propaganda murah yang memburukkan DAP, tapi bagaimana dengan para pemimpin besar parti ehem khususnya presiden parti tersebut yang disebut sebagai ulama’ besar bertaraf dunia?
Memandangkan parti tersebut kini telah bersama-sama Umno dan BN dalam PN, adakah mereka kini bertindak menyatakan kebenaran tentang DAP kepada rakan mereka yang baru atau bagaimana?
Bagi saya, posisi parti ehem seperti seorang saksi. Wajarkah seorang saksi itu, yang berbangga dengan perjuangan atas nama Islam, hanya berdiam diri atau yang lebih parah bersama sama berbohong dengan mereka yang tidak kisah untuk berbohong?
10. Ya, DAP, seperti parti politik yang lain, tidak sempurna. Ada kelemahan di sini sana. Itu lazim. Tapi boleh ke musuh mereka menafikan begitu sahaja banyak kebaikan yang mereka telah lakukan?
Tidak malu kah, sebagai contoh kecil, kita lihat betapa pemimpin DAP seperti mantan Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga mantan Menteri Kewangan yang jelas tidak “gila” mengejar pangkat dan gelaran sedangkan ramai mungkin tahu ada pemimpin dari parti yang mendakwa ia parti Islam yang “gila” memburu gelaran dan pangkat seperti datuk . Ia telah manjadi rahsia terbuka (open secret).
10. Banyak lagi yang sebenarnya boleh ditulis, tapi saya rasa memadailah apa yang saya tulis di atas tersebut. Sekali lagi saya ingin tegaskan saya hanya sekadar ingin membangkitkan persoalan keadilan yang sepatutnya difikirkan bersama oleh para seteru DAP semasa mereka aktif “menyerang” DAP.
والله اعلم
Selamat Hari Raya.
YB Sepang
28 Mei 2020
28 Mei 2020