PETALING JAYA: Pemimpin Pemuda PKR memberi amaran sebarang langkah untuk menangguhkan garis masa 2 tahun untuk Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan tertinggi daripada Dr Mahathir Mohamad akan menyulitkan tugas perdana menteri baru itu.
Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman berkata walaupun kepimpinan sekarang berjaya menghapuskan “polisi ketinggalan zaman”, peralihan kuasa itu perlu dilakukan sebelum berakhirnya tempoh 5 tahun.
Beliau berkata garis masa peralihan kuasa tidak boleh melebihi 2 tahun setengah.
“Peralihan kuasa tidak sepatutnya berlaku lebih dari 3 tahun dan juga tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa. Pelan peralihan kuasa perlu dilakukan untuk memastikan kestabilan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas laporan memetik Mahathir sebagai berkata beliau sedang mempersiapkan negara sebaik mungkin dalam tempohnya sebagai perdana menteri “sementara” supaya penggantinya nanti dapat mengambil alih jawatan dan kerajaan dalam keadaan terbaik.
“Saya tidak tahu sama ada ia 3 tahun atau 2 tahun, tetapi saya seorang perdana menteri sementara,” katanya memetik laporan Straits Times Singapura semasa temubual dengan media asing.
Mahathir sebelum ini berkata beliau memerlukan antara 2 tahun setengah hingga 3 tahun untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan kewangan negara yang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Dalam perjanjian dengan pimpinan PH, Anwar, yang menang bergaya pada pilihan raya kecil Port Dickson sebagai petanda beliau kembali aktif dalam politik, akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri dalam tempoh 2 tahun.