Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tiba tiba 'meletup'
semula apabila didedahkan oleh bekas pegawai perbankan Goldman Sachs, Tim
Leissner berkaitan penjanaan kewangan melalui bon, komisyen dan mudahnya
pemindahan wang melepasi kawalan Bank Negara Malaysia (BNM) amat mengejutkan
rakyat.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim
dalam perbahasan titah Yang diPertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi
mempersoalkan cakap cakap politik yang tidak mahu isu 1MDB diteruskan atau
dibahaskan.
Katanya, isu 1MDB itu belum lagi menjadi teks sejarah, masih ada
perbicaraan dan juga pendedahan fakta baharu di mahkamah luar negara yang perlu
diketahui atau diambil tindakan oleh pemerintah Malaysia.
"Ada rakan di sebelah sana kata Pakatan Harapan (PH) tak ada
modal lain asyik 1MDB sahaja. Tetapi 1MDB ini bukan cerita sejarah ia
berterusan, sebab ini fakta baru dikemukakan di mahkamah New York (Amerika
Syarikat (AS)). Bila kita teliti pembongkaran itu maka harus mencuit perasaan
kita dan menggesa rakyat menolak.
"Mustahil isu 1MDB ini berlaku jika tidak ada kerusakan dalam
seluruh sistem.
"Kementerian Kewangan ikut pengalaman saya amat teliti dan
selalu memberi nasihat tidak bersetuju kalau dianggap pelanggaran hukum,"
katanya tetapi mendakwa kali ini pegawai tinggi di kementerian itu
'bersekongkol' pula dengan pemerintah untuk memudahkan berlakunya skandal 1MDB.
Menurut Anwar lagi, 3 bon yang didedahkan oleh Leissner
diterbitkan oleh pentadbiran Najib Razak, bon projek Magnolia, bon projek
Maximus, bon projek Catalaise yang jumlah anggaran aliran dana 1MDB disahkan
sekitar AS$4.5 atau RM18.88 bilion belum pernah didengar sebelum ini.
Begitu juga pertemuan Pengerusi Goldman Sachs, Lloyd Craig
Blankfein dan bekas PM Najib Razak untuk urusan penerbitan bon berkenaan tidak
diketahui dalam perbicaraan di Malaysia.
Anwar juga mempersoalkan, bagaimana urusan berkaitan kewangan 1MDB
dan membawa wang keluar negara tidak diawasi oleh BNM dan diambil tindakan pada
waktu ianya berlaku.
Begitu juga dakwaan ke atas suami bekas Gabenor BNM yang didakwa
melakukan urusan kewangan rentas Malaysia - Singapura dalam jumlah yang besar
tetapi gagal diambil tindakan.
"Orang bawa keluar wang RM50,000 kena isi pelbagai borang
untuk Bank Negara. Orang keluar berbilion ringgit terpadam pula dari pengetahun
Gabenor dan pegawai BNM. Dia kena jawab soal ini," ujarnya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu seterusnya mendedahkan wang negara
yang diselewengkan melalui 1MDB ada yang digunakan untuk membayar bil perjudian
di Los Angelas juga membeli lukisan karya Monet, membeli bangunan dan harta
lainnya.
"Jadi sekarang dikatakan perkara ini sudah berlalu. Bagaimana
berlalu tetapi kita kena bayar (hutang) puluhan bilion? Saya perlu penjelasan.
Bingung, kalau sikap begini berterusan.
"Sekarang (ada ahli politik kata) jangan bimbang kes rasuah.
Kalau kita menang pilihan raya dan berkuasa semula semua ini terpadam dengan
sendirinya.
"Bukankah ini bermakna institusi itu dikompromi? Sebab itu
saya minta SPRM, BNM, LHDN, PDRM benar benar bermaruah dan berintegriti (dalam
menjalankan siasatan)," katanya.
Selain itu, Anwar juga hairan dengan ketidakmampuan pasukan
penguatkuasaan Malaysia menyiasat secara keseluruhan kes 1MDB.
Katanya, sekiranya Leissner tidak mendedahkan beliau telah
menghadiahkan kekasihkannya, bekas CEO Astro sebuah rumah bernilai AS$10 juta
di London, maka hal itu akan terus terpendam.
"Isu yang dibongkar oleh Leissner, soalannya bagaimana agensi
penguatkuasaan keselamatan tidak mampu membongkar kes ini?
"Walaupun ada siri pendakwaan di mahkamah tetapi bahan bahan
ini kita harus tunggu sehingga ada, yang pertama DOJ (Jabatan Kehakiman) AS dan
keduanya di mahkamah AS.
"Saya tekankan walau SPRM ada menjawab, sebahagian kes
disiasat Jabatan Jenayah PDRM dan SPRM telah memanggil wanita berkenaan
mengenai rumah, tetapi saya cadangkan mesti ada pasukan khas sekurang kurangnya
4 agensi ini untuk menyeleraskan tindakan.
"Kes ini besar, berpuluh bilion dan ada orang cuba
memadamkan. Dia ingat ini wang siapa. Wang negara hilang dan tak ada apa apa
(yang dipertanggungjawabkan).
"Saya tak faham, apatah lagi orang itu (yang terlibat) orang
Islam," katanya lagi.