Mahkamah Rayuan
sebelum ini mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210
juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC. - Gambar
fail/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu
dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan kes melibatkan dana SRC International
Sdn Bhd, yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac ini.
Timbalan
Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara berkenaan
berkata permohonan bekas perdana menteri itu supaya tarikh perbicaraan rayuan
dilapangkan, ditolak menerusi hantaran e-mel pagi ini.
"Sehubungan itu tarikh pendengaran dikekalkan
sebagaimana yang dijadualkan," katanya kepada Bernama menerusi teks
pesanan ringkas WhatsApp.
Dua hari lepas peguam Najib menulis surat
kepada mahkamah memohon supaya tarikh pendengaran itu dilapangkan kerana mereka
masih mengumpulkan semua nota, bukti, dan dokumen yang berkaitan dengan
perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, bagi menyediakan hujah bertulis sebagai
tambahan bukti untuk rayuan.
Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak
permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dengan
memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman
secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.
Pada hari berikutnya mahkamah sama mengekalkan
sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi
kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang
mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk
Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan ke
Mahkamah Persekutuan
-- BERNAMA