STRATEGI BERKECUALI PAS MULA MAKAN DIRI – RAJA BAHRIN

Kenapa 1MDB setuju bayar tuntutan IPIC?



Walaupun mungkin agak lewat sikit, saya terpanggil untuk beri sedikit komen tentang kes timbang tara di London antara syarikat dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS Ltd ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.
Kenapa saya nak komen? Sebab kes ini bagi saya, adalah manifestasi penyelesaian yang paling tak cerdik dan tidak menguntungkan sama sekali.
Kenapa? Sebab menurut laporan NST bertarikh 1 Ogos, 2016 kawan baik saya, menteri kewangan kedua dilaporkan berkata 1MDB akan lawan kes itu dan tak akan bayar tuntutan IPIC itu.
Beliau juga dilaporkan berkata: “Kami mahu jumpa mereka (IPIC dan Aabar) di mahkamah. Biar penimbang tara lihat dokumen kami.”
Beliau juga dilaporkan berkata “semua pelaburan kami dijamin oleh IPIC…kami nak lawan (kes ini) dan kami mahu menang…saya amat yakin kepada kesudahan yang positif. Kami ambil pendirian yang kami tak akan bayar faedah (bunga/riba). Kami tak sepatutnya bayar. Kami mesti menang kes ini.”
Itu dulu lah. Tiba-tiba, kes itu diselesaikan di luar mahkamah. Dan 1MDB setuju pula bayar dan telah pun bayar bayaran pertama sebanyak AS$602.75 juta (RM2.58 bilion) pada sekitar Ogos tahun ini. Semalam, dilaporkan di Malaysiakini yang bayaran kedua juga dalam jumlah sama iaitu AS$602 juta mungkin akan dibayar oleh IMDB pada atau sebelum 31 Disember ini.
Untuk imbasan kembali, menurut menteri sama di atas, pertikaian kes ini berkaitan dengan IPIC yang tidak mengakui Aabar Investment PJS Ltd yang didaftarkan di Kepulauan Virgin British (BVI) adalah sebahagian daripada entiti dalam kumpulan syarikat mereka.
Dilaporkan juga oleh media yang sebelum ini, 1MDB dikatakan “membayar” atau “menghantar” wang AS$3.5bilion kepada Aabar BVI tapi IPIC menafikan ada menerima bayaran tersebut.
Menurut menteri, pada perkiraan dan rekod Kementerian Kewangan, Aabar Investment BVI adalah milik IPIC. Menteri juga dilaporkan berkata pengarah syarikat itu juga adalah kedua-duanya merupakan pegawai tertinggi IPIC tetapi dengan tiba-tiba, kata menteri, IPIC kata syarikat itu bukan milik mereka.
Pada hemat saya, berkemungkinan menteri itu jujur. Dan jika apa yang menteri kata itu benar, memang tidak sepatutnya dan tidak sewajar sama sekali kes ini diselesaikan apatah lagi diselesaikan dengan terma yang tidak menguntungkan iaitu 1MDB dan juga Kementerian Kewangan sendiri setuju membayar kepada IPIC.
Jika benar apa yang dikatakan menteri itu, memang sewajarnya jika Kementerian Kewangan sebelum ini mengambil pendirian tidak mahu bayar dan bersedia untuk melawan habis-habisan kes itu hingga menang. Sebab apa? Kerana, bagi saya amat jelas dan nyata, 1MDB mempunyai pembelaan yang bermerit jika dakwaan menteri itu benar dan sahih.
Sebab itu, bagi saya bila dengan tiba-tiba 1MDB dan Kementerian Kewangan bersetuju selesaikan kes ini di luar mahkamah dan setuju pula membayar kepada IPIC dan telah pun membayar bayaran pertama dan berkemungkinan akan membayar sekali lagi jumlah yang sama, ia menimbulkan pelbagai persoalan yang sah iaitu:
1. Kenapakah IMDB dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk selesaikan kes ini tanpa melawan habis-habisan di Mahkamah Timbangtara itu
2. Kenapa dengan tiba-tiba pendirian kerajaan MO1 berubah sekelip mata – daripada nak lawan dan yakin boleh menang kepada tidak mahu melawan dan menyerah kalah dengan begitu mudah?
3. Jika benar IMDB dikatakan membayar AS$3.5 bilion kepada Aabar Investment Ltd sebelum ini dan penuh yakin bayaran itu dibuat dengan betul dan suci hati kepada anak syarikat IPIC yang betul dan tulen, kenapakah IMDB tidak mahu mengheret sekali pihak bertanggungjawab membayar dan menerima bayaran itu sebagai pihak ketiga dalam tuntutan atau sebagai defendan bersama bagi menuntut indemniti?
4. Kegagalan 1MDB mengheret pihak ketiga yang bertanggungjawab dalam kes itu menimbulkan syak wasangka dan persoalan, adakah benar dan sahih bayaran AS$3.5 bilion itu memang sebenarnya dibayar dan jika benar dibayar, apa sudah jadi dengan wang itu? Hangus atau macam mana? Dan apakah usaha yang dilakukan bagi mendapatkan semula wang AS$3.5bilion itu?
Saya rasa pihak MO1, kerajaan dan 1MDB sendiri berhutang dengan rakyat di negara ini untuk menjelaskan persoalan di atas.

UMNO SUDAH HILANG STATUS PEMBELA MELAYU, MENYOKONG UMNO SAMA SEPERTI MAHU MELAYU KEKAL DIMISKINKAN



Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita tanah milik Felda di Jalan Semarak yang dibangunkan untuk pembinaan Kuala Lumpur Vertical City telah berpindah milik kepada syarikat yang membangunkan projek tersebut tanpa pengetahuan dan tanpa dibayar walau sesen wang kepada agensi tersebut.

Ia berikutan Felda telah memberikan "power of attorney"  atau surat kuasa penuh kepada syarikat tersebut atas alasan kononnya untuk memudahkan mereka  mencagarkan bagi mendapatkan pinjaman bank, tetapi syarikat itu telah memindahkannya kepada diri mereka sendiri. 

Dengan pindah-milik itu, tanah Felda tersebut telah berpindah milik secara percuma dan menjadi milik syarikat terbabit.

Sukar untuk kita membayangkan bagaimana perkara ini boleh terjadi dan surat kuasa penuh itu boleh diberikan jika tiada unsur rasuah dan habuan lumayan menanti di sebaliknya.

Meskipun polis kini sudah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dari segi penipuan dan pecah amanah, tetapi sewajarnya SPRM juga turut menyiasat dari segi kebarangkalian ada pihak-pihak tertentu mendapat habuan dan untung besar daripadanya.

RM270 juta dapat secara percuma, mustahil tiada apa-apa?

Walaupun Felda dilaporkan berusaha mendapatkan balik tanah tersebut, persoalan utamanya ialah Melayu yang menjaga amanah bangsa dan negara telah sewenang-wenangnya menggadai maruah itu demi kepentingan diri mereka sendiri.

Ia pula bukan pertama kali berlaku dalam Felda. Sebelum ini banyak hotel dan hartanah dibeli di luar negara dengan harga yang dinaikkan, lebih malang beberapa daripadanya dinamakan atas syarikat yang didaftarkan di BVI yang kita sampai hari ini tidak tahu siapa pemilik yang sebenarnya.

Akhirnya, kekayaan Felda yang dibina dengan titik peluh peneroka seolah-olah hanya menjadi habuan untuk "para jerung dan buaya" membahamnya tanpa ada sedikit perasaan belas dan kasihan dalam hati mereka.

Sebab itu, dalam isu tanah Felda dan beberapa kebobrokan lainnya, selain harapan rakyat ialah agar segala pendurjana dihukum dengan seberat-beratnya, hakikat yang harus disedari juga ialah selagi di bawah jenama UMNO, meski bagaimana kuat berkokok untuk membela bangsa dan agama sekali pun, penyudahnya mesti skandal dan keuntungan untuk diri sendiri juga yang diutama.

Di Kuala Lumpur, sejak Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, dilaporkan sebanyak 45 bidang tanah telah diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu tanpa melalui tender terbuka.

Menurut mereka yang tahu mengenai perkara itu, sebahagian besar daripadanya diserahkan kepada syarikat kain yang didakwa mempunyai hubungan akrab dengan orang atasan UMNO.

Yang menyedihkan lagi, didendangkan pula kononnya tanah itu tidak diberikan melalui tender terbuka, maknanya dijual dengan harga murah, adalah untuk memastikan rumah-rumah mampu milik dapat dibina di atas tanah tersebut untuk kemudahan rakyat memiliknya.

Lawak betul...adakah rumah-rumah di KL ini murah dan majoriti rakyat mampu memilikinya?

Di mana dan berapa banyak rumah mampu milik sudah dibina selama ini, berbanding rumah mewah dan kondo mahal?

Lebih dari itu, kita turut kerap dihidangkan dengan bagaimana tanah awam dan tapak permainan pun ditukar menjadi tanah pembangunan serta dimiliki oleh kroni-kroni di sekitar Kuala Lumpur ini.

Tidakkah semua mereka ini adalah "pendurjana dan buaya-buaya" belaka?

Di Johor di mana seorang Exco kerajaan negeri telah ditahan, didakwa dan kini menunggu tarikh perbicaraan, ia juga tidak kurang dahsyatnya di mana pertukatan status Bumiputera kepada bukan Bumiputera telah dijadikan bahan dagangan dengan nilai keuntungan yang berjuta-juta.

Akhirnya, pemimpin Melayu yang berjuang atas nama UMNO yang membela Melayu, lebih ghairah untuk menjual kepentingan bangsanya sendiri berbanding mempertahan atau menambah pemilikannya.

Mereka ini, biasanya apabila lagi kuat melaung untuk membela Melayu, lagi kuat jugalah menipu Melayu.

Tidak lupa juga, kem tentera Sungai Besi yang pada mulanya diserahkan kepada 1MDB, kemudian dijadikan Bandar Malaysia dan kini sudah pun menjadi kawasan pembangunan yang diserahkan kepada syarikat dari negara China untuk membina dan menguasainya.

Secara tidak langsung, Chinalah yang bakal menguasai Bandar Malaysia itu nanti.

Selain kem tentera itu, sejak Najib Razak terpalit dengan skandal 1MDB, sudah tak terhitung - daripada pelabuhan, laluan keretapi, pembinaan rumah, tenaga elektrik sehinggalah kepada bekalan ayam dan sayur-sayuran - semuanya sudah dibolot oleh China.

Di samping itu, di semua negeri yang dikuasai UMNO, tanah-tanah rizab Melayu hanya tinggal kenangan yang mengusik jiwa saja lagi statusnya. Ia hanya boleh dijadikan kenang-kenangan kerana sebahagian besarnya telah dijual oleh pemimpin Melayu sendiri kepada orang asing atas nama pembangunan yang sudah tentu ada habuan besar menanti di sebaliknya.

Maka, apa lagi yang kita boleh harapkan kepada UMNO?

UMNO, lebih-lebih lagi di bawah teraju Najib, sebenarnya sudah hilang hak dalam perjuangan membela orang Melayu. UMNO kini lebih terkenal sebagai penjual kepentingan dan maruah Melayu. 

Terus menyokong UMNO tidak saja memungkinkan skandal demi skandal berkaitan kepentingan Melayu akan berterusan berlaku, malah selama-lamanya Melayu akan kekal dimiskin serta diperalatkan. (ShahbudinHusin 23/12/2017)

MAHATHIR, ANWAR CALON PALING LAYAK JADI PM – HANIPA

CALON PM: HADI PERLU KONSISTEN BERPOLITIK- WAN JI

BAITULMAQDIS: PH CABAR NAJIB BATAL BELI 25 PESAWAT BOEING

TENTUKAN CALON PM TIDAK ISLAMIK: PAKAR HADIS TOLAK

Tanah FELDA tergadai, DAP harap siasatan SPRM tidak berkesudahan seperti 1MDB





DAP hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar terus menyiasat kes pindah milik tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur bernilai lebih RM200 juta.
Peguam DAP, Zulhazmi Shariff berkata agensi berkenaan tidak wajar menyerahkan kes berkenaan kepada polis kerana jelas terdapat unsur rasuah.
“Kami minta supaya SPRM menyiasat semula kes ini kerana jelas terdapat unsur rasuah. Kami tidak mahu kes ini jadi seperti skandal 1MDB.
“Kes ini penting kerana ia melibatkan tanah milik warga FELDA yang bernilai ratusan juta di tengah-tengah ibu kota,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Undang-undang DAP Kedah berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM Kuala Lumpur.
Beliau ditemani Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; Adun Kampung Tungku, Lau Weng San; Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Yusof dan Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin.
Siapa luluskan pindah milik?
Bagi Lip Eng, wujud keraguan bagaimana FELDA akan mendapatkan kembali hak tanah tersebut.
“Undang-undang tidak akan benarkan (pindah milik semula kepada FELDA), jika tanah itu sudah dipindahkan hak milik secara sah dan bona fide.
“Lainlah kalau Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad berkata bahawa dokumen berkaitan pindah milik itu palsu.
“Tetapi yang menjadi persoalan sekarang, siapa sebenarnya yang tandatangan surat kuasa pindah milik berkenaan?” katanya.
Semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa pihaknya mendapati tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kes berkenaan.
Namun, pihaknya mendapati terdapat unsur pecah amanah dan membuat keputusan untuk menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.
Pada hari sama, FELDA membuat laporan polis terhadap kes pindah milik tanah berkenaan.
Shahrir berkata laporan berkenaan adalah bagi mendapatkan semula pemilikan untuk tiga bidang tanah terbabit.
Menurutnya, tanah tersebut yang dikenali sebagai SPA1, SPA2 dan SPA4 dipindah hak kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah Felda.
Sebelum itu, akhbar UMNO, Berita Harian melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah berkenaan apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2014.
Untuk rekod, Tan Sri Isa Abdul Samad adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017.
Beliau juga adalah Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017

Kerajaan didesak dedah siapa ‘ikan bilis’ dan ‘jerung’ dalam kem maut Wang Kelian




Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto hari ini menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya mendedahkan tangan-tangan ghaib di sebalik ‘pembunuhan’ 139 mangsa di kem maut Wang Kelian yang menggemparkan negara pada bulan Mei 2015.
Pendedahan itu katanya harus dibuat untuk mengetahui sama ada wujud penglibatan ‘ikan bilis’ mahupun ‘jerung’ dalam kes itu tanpa rasa takut.
Sekiranya gagal berbuat demikian, menteri terbabit perlu meletak jawatan kerana dilihat seolah-olah melindungi rangkaian penyeludupan manusia.
“Jika tiada sebarang tindakan diambil, ia satu pengakuan bersalah seolah-olah menjadi alat dalam rangkaian sindiket tersebut dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sejak kontroversi itu terbongkar, kerajaan kelihatan berahsia dan berhati-hati mendedahkan maklumat penyiasatan terhadap sebarang kemungkinan ‘tangan ghaib’ yang terlibat dalam kekejaman itu.
“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi begitu juga dengan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya mendedahkan sama ada wujud penglibatan ‘ikan bilis’ mahupun ‘jerung’ dalam kes itu,” katanya.
Berdasarkan Laporan risikan Cawangan Khas selama 10 tahun yang didedahkan The News Strait Times sebelum ini, terdapat 80 peratus pegawai penguatkuasa sempadan menerima rasuah dari sindiket dadah, senjata dan penyeludupan manusia.
“Menteri Dalam Negeri juga mengakui bahawa pegawai penguatkuasa juga terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia terdiri dari pegawai berpangkat rendah.
“Ini merupakan pengakuan terdapat pegawai penguatkuasa terlibat dalam kem maut tersebut,” kata Kasthuri.
Lebih mengejutkan, pegawai yang didakwa menjadi alat dalam sindiket terbabit bebas kerana tidak cukup bahan bukti.
Katanya lagi, Kementerian Dalam Negeri dilihat cuba mengelak dari memberi jawapan sebenar sehinggalah kes tersebut dibongkar oleh laporan wartawan yang menjalankan penyiasatan dan didedahkan baru-baru ini.