Walaupun mungkin agak lewat sikit, saya terpanggil untuk beri sedikit komen tentang kes timbang tara di London antara syarikat dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS Ltd ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.
Kenapa saya nak komen? Sebab kes ini bagi saya, adalah manifestasi penyelesaian yang paling tak cerdik dan tidak menguntungkan sama sekali.
Kenapa? Sebab menurut laporan NST bertarikh 1 Ogos, 2016 kawan baik saya, menteri kewangan kedua dilaporkan berkata 1MDB akan lawan kes itu dan tak akan bayar tuntutan IPIC itu.
Beliau juga dilaporkan berkata: “Kami mahu jumpa mereka (IPIC dan Aabar) di mahkamah. Biar penimbang tara lihat dokumen kami.”
Beliau juga dilaporkan berkata “semua pelaburan kami dijamin oleh IPIC…kami nak lawan (kes ini) dan kami mahu menang…saya amat yakin kepada kesudahan yang positif. Kami ambil pendirian yang kami tak akan bayar faedah (bunga/riba). Kami tak sepatutnya bayar. Kami mesti menang kes ini.”
Itu dulu lah. Tiba-tiba, kes itu diselesaikan di luar mahkamah. Dan 1MDB setuju pula bayar dan telah pun bayar bayaran pertama sebanyak AS$602.75 juta (RM2.58 bilion) pada sekitar Ogos tahun ini. Semalam, dilaporkan di Malaysiakini yang bayaran kedua juga dalam jumlah sama iaitu AS$602 juta mungkin akan dibayar oleh IMDB pada atau sebelum 31 Disember ini.
Untuk imbasan kembali, menurut menteri sama di atas, pertikaian kes ini berkaitan dengan IPIC yang tidak mengakui Aabar Investment PJS Ltd yang didaftarkan di Kepulauan Virgin British (BVI) adalah sebahagian daripada entiti dalam kumpulan syarikat mereka.
Dilaporkan juga oleh media yang sebelum ini, 1MDB dikatakan “membayar” atau “menghantar” wang AS$3.5bilion kepada Aabar BVI tapi IPIC menafikan ada menerima bayaran tersebut.
Menurut menteri, pada perkiraan dan rekod Kementerian Kewangan, Aabar Investment BVI adalah milik IPIC. Menteri juga dilaporkan berkata pengarah syarikat itu juga adalah kedua-duanya merupakan pegawai tertinggi IPIC tetapi dengan tiba-tiba, kata menteri, IPIC kata syarikat itu bukan milik mereka.
Pada hemat saya, berkemungkinan menteri itu jujur. Dan jika apa yang menteri kata itu benar, memang tidak sepatutnya dan tidak sewajar sama sekali kes ini diselesaikan apatah lagi diselesaikan dengan terma yang tidak menguntungkan iaitu 1MDB dan juga Kementerian Kewangan sendiri setuju membayar kepada IPIC.
Jika benar apa yang dikatakan menteri itu, memang sewajarnya jika Kementerian Kewangan sebelum ini mengambil pendirian tidak mahu bayar dan bersedia untuk melawan habis-habisan kes itu hingga menang. Sebab apa? Kerana, bagi saya amat jelas dan nyata, 1MDB mempunyai pembelaan yang bermerit jika dakwaan menteri itu benar dan sahih.
Sebab itu, bagi saya bila dengan tiba-tiba 1MDB dan Kementerian Kewangan bersetuju selesaikan kes ini di luar mahkamah dan setuju pula membayar kepada IPIC dan telah pun membayar bayaran pertama dan berkemungkinan akan membayar sekali lagi jumlah yang sama, ia menimbulkan pelbagai persoalan yang sah iaitu:
1. Kenapakah IMDB dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk selesaikan kes ini tanpa melawan habis-habisan di Mahkamah Timbangtara itu
2. Kenapa dengan tiba-tiba pendirian kerajaan MO1 berubah sekelip mata – daripada nak lawan dan yakin boleh menang kepada tidak mahu melawan dan menyerah kalah dengan begitu mudah?
3. Jika benar IMDB dikatakan membayar AS$3.5 bilion kepada Aabar Investment Ltd sebelum ini dan penuh yakin bayaran itu dibuat dengan betul dan suci hati kepada anak syarikat IPIC yang betul dan tulen, kenapakah IMDB tidak mahu mengheret sekali pihak bertanggungjawab membayar dan menerima bayaran itu sebagai pihak ketiga dalam tuntutan atau sebagai defendan bersama bagi menuntut indemniti?
4. Kegagalan 1MDB mengheret pihak ketiga yang bertanggungjawab dalam kes itu menimbulkan syak wasangka dan persoalan, adakah benar dan sahih bayaran AS$3.5 bilion itu memang sebenarnya dibayar dan jika benar dibayar, apa sudah jadi dengan wang itu? Hangus atau macam mana? Dan apakah usaha yang dilakukan bagi mendapatkan semula wang AS$3.5bilion itu?
Saya rasa pihak MO1, kerajaan dan 1MDB sendiri berhutang dengan rakyat di negara ini untuk menjelaskan persoalan di atas.