Polis Guna Kekerasan Tanpa Provokasi- Tian Chua



KUALA LUMPUR 29 JULAI : Tindakan polis melepaskan 12 das tembakan gas pemedih mata di terowong berhampiran KL Sentral pada 9 Julai lalu adalah satu tindakan dengan niat, kata naib presiden PKR, Tian Chua.

Malah katanya, dakwaan bahawa anggota keselamatan menggunakan kekerasan minimum menyuraikan peserta himpunan aman bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih juga adalah tidak benar.

Rakaman video ketika di KL Sental jelas menunjukkan pasukan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata secara bertubi-tubi ke arah kumpulan berkenaan tanpa henti walaupun dalam keadaan peserta dikepung.

"Sesiapa saja dalam keadaan itu akan melihat bahaya jika berada di kawasan tertutup itu sekiranya polis melepaskan gas pemedih mata,"ujar beliau.

Namun katanya, rakaman yang dipaparkan polis pula setelah dua minggu himpunan Bersih berlangsung tidak memaparkan senario sebenar.

"Rakaman video itu hanya menunjukkan beberapa orang yang meluru keluar ke kawasan lapang, dan gas pemedih mata kemudiannya ditembak tepat ke arah orang ramai," katanya.

Beliau mendakwa tindakan polis ini berniat untuk menyebabkan bahaya teruk ke atas kumpulan yang berhimpun secara aman tanpa sebarang amaran.

"Ianya tindakan tanpa provokasi dan tidak wajar. Ianya adalah kekejaman polis," kata ahli parlimen Batu itu lagi.

Tambahnya, video polis yang disunting itu juga menunjukkan bahawa kumpulan berkenaan berarak keluar dari KL Sentral dan disekat oleh sekumpulan polis.

Menurut Tian, video yang disiarkan oleh stesyen televisyen juga tidak memberi gambaran sebenar terhadap apa yang berlaku di kawasan berkenaan dalam kejadian itu.

"Video berkenaan dikatakan menunjukkan saya mengetuai peserta demonstrasi ke hadapan. PRDM menekankan bahawa ia merupakan bukti provokasi," kata Tian lagi.

Tian yang pernah didakwa kerana tuduhan menggigit polis itu juga berkata, tindakannya itu digambarkan sebagai berniat untuk "menyerang" atau menyebabkan bahaya fizikal ke atas anggota polis.

"Kerajaan perlu menerima tanggungjawab bahawa kekerasan melampau telah digunakan ke atas demonstrasi Bersih. Pemburuan ke atas saya atau peserta lain tidak boleh melepaskan (kerajaan) daripada keganasan yang dilakukan pada 9 Julai," katanya lagi.

Keganasan polis di KL Sentral menyaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengawal peribadinya dan juga ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengalami kecederaan.

Cincin RM24 Juta : Akhirnya Rosmah Bersuara, Sifatkan Fitnah




KUALA LUMPUR 29 JULAI : Setelah sekian lama mendiamkan diri sejak angin bertiup kencang tentang pembelian cincin bernilai RM24 juta, isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor akhirnya bersuara dan menyifatkannya sebagai satu fitnah dan tidak ada masa mahu melayannya.

“Tak ada apa yang saya nak cakap (mengenai pembelian cincin lebih RM24 juta) sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (blogger) saja hendak cakap (tuduh),” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

“Ini bukan perkara seronok-seronok, ini adalah fitnah . . . apa yang saya tidak rasa? Semua saya sudah rasa (difitnah).

“Justeru, daripada saya layan perkara seumpama ini lebih baik saya beri perhatian kepada hal rakyat kerana itu lebih penting,” katanya kepada pemberita di Pokok Sena, Kedah, semalam.

Ekoran kemunculan isu itu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua minggu lalu.

Ketua PKR Rembau itu turut mendesak supaya Rosmah memberi penjelasan sumber wang yang dibelanjakannya untuk membeli cincin tersebut.

Badrul berkata beliau juga akan menyerahkan salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta itu bebas daripada dikenakan cukai import.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard memberitahu, berdasarkan maklumat yang diterima SAMM 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Rosmah yang berada di Kedah mengiringi Datuk Seri Najib Razak dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri itu semalam diminta mengulas dakwaan media alternatif baru-baru ini kononnya beliau membeli sebentuk cincin bertatahkan berlian bernilai lebih RM24 juta.

Sementara itu, Rosmah berkata, sebagai isteri Perdana Menteri yang mempunyai kelulusan dan kelayakan lebih wajar baginya untuk menyumbang kepada usaha membantu rakyat termasuk usaha memantapkan pendidikan awal kanak-kanak terutama di luar bandar.

“Saya lebih senang dengan apa yang saya lakukan sekarang bagi membantu rakyat terutama dalam hal memperkasa pendidikan awal kanak-kanak terutama di luar bandar kerana bagi saya ilmu adalah harta paling bernilai untuk masa depan mereka,” katanya.