Shaharul Shafie
Esok adalah merupakan permulaan kepada hari penentu kepada Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari yang sebelum ini telah digantung tugasnya di Utusan Melayu (M) Bhd di atas dakwaan ‘mencemarkan’ imej syarikat. Rata-rata melihat omong-omong perbicaraan dalaman yang dibuat oleh pengurusan Utusan ini hanyalah sebagai satu cara langkah biasa yang perlu dipatuhi sebelum memecat beliau secara selamat dan ‘profesional’ dari syarikat berkenaan.
Langkah mengadakan siasatan secara ‘rasmi’ ini hanyalah bagi menyelamatkan Utusan daripada tersilap prosedur sehingga memberikan Hata dengan sebab yang memudahkannya untuk membawanya ke mahkamah kemudian hari di bawah perlindungan akta berkaitan dengan ‘penyingkiran konstruktif’ atau constructive dismissal.
Kemungkinan Hata dipecat adalah tinggi
Amalan ‘perbicaraan’ kosmetik ini sememangnya dijalankan di kebanyakan syarikat bagi menutup peluang atau menyukarkan sesiapa sahaja yang dipercayai menjadi ‘masalah dalam selimut’ mana-mana majikan yang bukan sahaja diamalkan oleh korporat tetapi juga perkhidmatan awam. Jika ada peluang yang lain yang lebih selamat, majikan yang mempunyai banyak cawangan operasinya, cara membuatkan kakitangannya ‘berhenti dengan rela’ ialah dengan memindahkan mereka dari satu tempat ke tempat yang lain dalam satu sela masa yang singkat agar kakitangan berkenaan berputus asa dan berhenti atas kerelaan sendiri.
Namun begitu, taktik sebegini tidak mampu lagi digunapakai oleh Utusan kerana kedudukan Hata sendiri sebagai orang yang berpengaruh dalam dunia kewartawanan di negara ini. Ini adalah kerana apa sahaja yang didedahkan olehnya akan terus mendapat perhatian terus media yang berlawanan ataupun media alternatif untuk melaporkannya. Kedudukan istimewa Hata pastinya menggugat kelangsungan Utusan di dalam pelaporannya. Namun begitu, sejauh manakah Hata selama ini hanya memburukkan Utusan? Kita akan bincangkan nanti.
Tindakan memecat Hata dijangkakan memberikan kesan buruk kepada imej kebebasan akhbar di negara ini yang sesungguhnya kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kepentingan majoriti di dalam Utusan Malaysia. Di saat negara berkira-kira bilakah pilihanraya umum ke 13, tindakan kembali ke belakang sekali lagi dibuat oleh BN pastinya memberi padah lebih besar jika benar PRU diadakan pada tahun ini.
Demokrasi Malaysia terus-menerus tercalar
Selain itu juga, pihak negara luar ataupun pelabur asing yang masih berkira-kira untuk menambah atau masuk melabur ke dalam negara ini pastinya melihat situasi ini sebagai satu masalah dalaman ‘demokrasi’ di Malaysia yang masih belum subur. Semasa kebebasan media dinilai oleh sebuah organisasi luar yang dikenali sebagai Freedom House pada tahun lepas, Malaysia masih ketinggalan dengan berada di tangga ke 147 daripada 196 negara yang dinilai.
Negara-negara jiran kita yang dilihat sebagai masih membangun dan kurang membangun nampaknya berada pada kedudukan yang jauh lebih baik dari kita. Antaranya ialah Filipina (kedudukan 97), Indonesia (107), Thailand (124) dan Kemboja (134). Hanya kita berada pada paras lebih baik dari Singapura yang berada di tangga 152.
Singapura adalah satu situasi yang berbeza kerana sejarah lokaliti dan saiznya yang lebih kecil di mana urusan demokrasi adalah terkawal. Malah, Singapura secara sejarahnya juga sudah pun menjadi negara maju disebabkan usaha melobi negaranya menjadi negara entreport perdagangan dan pakej ekonomi yang lebih bebas seperti negara-negara di hemisfera barat. Malah, Singapura sendiri sudah menjadi satu keperluan lokasi sejak zaman-berzaman lagi disebabkan lokasinya yang strategik di tengah-tengah kerancakan ekonomi di Asia Tenggara.
Malaysia yang mempunyai banyak pesaing ekonominya di rantau ini tidak boleh mendabik dada menjadi seperti Singapura di dalam mengawal media dan boleh menjadi negara maju dalam acuannya sendiri sepertimana Singapura suatu hari nanti. Kita yang mempunyai lebih ramai penduduk dan memerlukan banyak industri bagi menjana hasil isi rumah dan ekonomi negara maka isu kebebasan media antara bentuk KPI yang diperhatikan oleh negara-negara barat yang kaya untuk melabur (FDI).
Kebebasan media adalah KPI kemasukan FDI
Meskipun kini Malaysia berbangga kerana menjadi destinasi pelaburan dari Timur Tengah tetapi negara-negara ini yang kebanyakannya negara pengeluar petroleum akan kepupusan hasil sumber bumi itu tidak lama lagi. Ini pastinya lebih buruk apabila pusat ekonomi di Timur Tengah di Dubai kini mengalami masalah ekonomi dan gelembung hartanah yang bakal memberi kesan semula pelaburan dari negara Emeriah Arab Bersatu itu yang kini berada di luar kembali semula ke rantau itu bila-bila masa.
Bukan itu sahaja,pelaburan dari Timur Tengah sebenarnya bukan sahaja tertumpu di Malaysia tetapi sudah semakin banyak wang mereka memasuki negara-negara seperti Indonesia dan Thailand yang menyediakan pakej perlindungan pelaburan dan pulangan yang lebih baik dari kita. Malah, mereka juga memasuki China sepertimana gelombang pelaburan yang turut dikejar oleh negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.
Pelaburan asing FDI yang masuk ke dalam negara ini telah menjunam sehingga 81 peratus pada tahun 2009. Kini di Asia Tenggara, Malaysia hanya mampu menguasai 3.75 peratus pelaburan FDI yang termasuk dari negara-negara Timur Tengah yang kaya dari sejumlah besar FDI bernilai USD40 bilion pada tahun lepas. Perkembangan ini adalah sesuatu yang mengejutka. Negara-negara jiran pula seperti Thailand menguasai 23 peratus dan Indonesia pula dengan 28 peratus menggungguli carta penarik FDI di rantau ini.
Oleh itu, negara masih memerlukan kaedah yang lebih terbuka dengan keadaan sosial termasuklah kebebasan akhbar yang dapat menarik perhatian pelaburan asing, Kita tidak boleh menafikan hakikat ini lagi apabila semakin ramai mahasiswa kita sudah menamatkan pengajian mereka hasil daripada dasar kerajaan Malaysia di dalam meluluskan terlalu banyak universiti dan kolej universiti swasta dan awam yang akhirnya graduan-graduan universiti hari ini berjumlah lebih daripada peluang pekerjaan yang ditawarkan.
Bukan itu sahaja, kegagalan kerajaan juga didalam mengawal pengambilan pekerja dari negara-negara Arab dan Asia Selatan seperti India dan Pakistan di dalam sektor ekonomi teknologi maklumat, perdagangan dan kejuruteraan lebih memburukkan kadar pengangguran di dalam negara ini. Jika ini terus berlaku, nescaya Wawasan 2020 terpaksa ditunda ke 10 tahun akan datang sepertimana yang kini diakui oleh beberapa pakar ekonomi tempatan dan asing kebelakangan ini sebagai satu impian yang masih ’menjauh’.
NUJ perlu dihormati sebagai badan media profesional
Tindakan Hata yang bercakap sebagai Presiden NUJ sewajarnya dihormati kerana NUJ adalah badan yang bebas sepertimana CUEPACS yang diiktiraf sebagai kesatuan sekerja bagi kakitangan awam dan MTUC bagi kakitangan-kakitangan swasta. CUEPACS tidak dilihat ’tertutup’ mulut mereka pun apabila bercakap tentang hak mereka seperti kenaikan gaji, bonus, kritikan kepada dasar kerajaan sendiri dan sebagainya.
Walaupun NUJ tidak berbentuk kesatuan sekerja, pertubuhan ini wajar diiktiraf sebagai satu think-thank atau penasihat yang dialu-alukan oleh kerajaan sekiranya kerajaan serius di dalam memperbaiki mempertingkatkan kebebasan bersuara dan imej demokrasi negara di persada antarabangsa.
Kemusnahan kebebasan akhbar atau media ini dilihat merosak apabila negara ditadbir oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, maka amat moleknya bagi kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak melihat kepada impak positif ke atas imej BN hari ini jika ruang kebebasan media ini terus diperbaiki setiap masa. Namun perkara ini seperti tidak mungkin kerana baru-baru ini pula Najib mengumumkan kepada keperluan undang-undang bagi mengawal blog dan maklumat di Internet.
Walaupun Hata dilihat mengeluarkan pandangan yang didakwa keras sebagai Presiden NUJ, namun tindakan kenyataan itu tidak boleh kita kaitkan dengan Utusan semata-mata. Ini kerana apa yang dinyatakan oleh Hata sebenarnya turut melibatkan media-media arus perdana yang lain yang condong BN. Sepertimana pepatah Melayu yang menyebut, ’Sesiapa yang makan cili, dia yang merasa pedasnya’ mungkin inilah yang membuatkan majikannya itu terasa apabila selama ini media itulah yang dilihat oleh orang ramai sebagai yang paling mendokong apa sahaja dasar kerajaan walaupun melibatkan sesuatu isu yang buruk bak pepatah Melayu ’menegakkan benang yang basah’.
Mesej keras Hata bukan untuk Utusan sahaja
Yang menghairankan kenapa pengurusan akhbar Utusan yang terlalu terasa ’panas’ dan kurang senang dengan serangan media-media alternatif menyebabkan mereka mengambil tindakan ke atas Hata semata-mata melepaskan kemarahan kepadanya adalah tidak masuk akal sama sekali. Sekali lagi, Utusan dengan degilnya dan lebih bongkak dengan merasakan tindakan mereka berada di landasan betul selama ini kini menghangatkan semula sentimen kebencian rakyat secara langsungnya kepada kerajaan pusat terutamanya di kalangan pengundi di atas pagar.
Apa yang Hata buat sebaik sahaja dipilih menjadi presiden NUJ pada bulan September lalu, beliau telah merayu kepada semua media perdana dan tidak termasuk Utusan Malaysia sahaja tetapi kepada akhbar-akhbar kerajaan seperti Berita Harian, The Star, stesen televisyen RTM, TV3, Bernama dan New Straits Times supaya menjadi lebih bertanggungjawab sebagai penyebar maklumat yang berkesan dan bukan menjadi alat propaganda kerajaan mahupun parti politik semata-mata.
Saranan Hata itu dilihat sebagai menegur media-media arus perdana itu supaya jangan mengulangi kesilapan berpuluh-puluh tahun lalu yang mana penyokong BN seharusnya menafsirkannya sebagai antara punca yang menyebabkan kerajaan BN semakin ditolak rakyat yang nampak jelas dengan tsunami politik 2008. Sewajarnya ingatan ini menjadi pedoman kepada BN supaya jangan membuat silap yang sama berulang kali lagi jika mahu terus berkuasa di dalam suasana politik dan keperluan sosial yang sudah berubah pada hari ini.
Walaubagaimanapun, tindakan Utusan amatlah dikesali. Penulis yakin kemampuan Utusan bertahan kini secara ekonominya pada hari ini adalah dengan bantuan kerajaan BN pada hari ini walaupun kedengaran suara-suara kakitangannya yang tidak berpuas hati dengan pakej gaji, kenaikan gaji, bonus dan manfaat yang diterima ekoran prestasi syarikat yang semakin buruk.
Jika dilihat pada tahap penjualan surat akhbarnya yang menjunam dengan teruknya saban tahun sejak dua tahun lalu dan keyakinan pelabur di Bursa Malaysia untuk mengumpul saham Utusan yang sangat kurang telah menyebabkan sahamnya kini menjadi saham media yang termurah dan kurang didagangkan di dalam Bursa Malaysia dengan harganya terkini 90 sen (harga mutakhir pada 14 Januari).
Mungkin sudah sampai masanya kerajaan-kerajaan PR di negeri-negeri yang kaya seperti Selangor dan Pulau Pinang ataupun ahli-ahli korporat yang pro-PR untuk mula mengumpul saham Utusan yang murah ini bagi membentuk blok minoriti dalam Utusan bagi meneutralkan sedikit-sebanyak pemberitaan Utusan yang terlalu sangat ’menyakitkan’ pemikiran rakyat yang sudah matang yang selalu dipermain-mainkan oleh bahan-bahan provokasi mereka.
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com