PEMUDA PKR DAKWA BAYARAN KEPADA PEGUAM KANAN KONSPIRASI POLITIK

PAS SILAP BUAT KEPUTUSAN PUTUS DENGAN PKR, DAP – MAHFUZ

Penduduk kampung air menderita, wakil rakyat UMNO tidak buat kerja?



SEPANGGAR, 2 JUN: Sepenggal telah berlalu, nampaknya, wakil-wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dalam Parlimen Sepanggar tidak boleh berbangga dengan prestasi perkhidmatan mereka di kawasan ini.
Apa yang berlaku, mereka ‘berjaya’ mengecewakan sekitar 4,000 penduduk di kawasan perkampungan atas air Kg Numbak apabila gagal mengambil perhatian dan bertindak membantu menyelesaikan masalah di sana.
Dalam lawatan DAP Sabah baru-baru ini, rata-rata penduduk yang ditemui menzahirkan rasa kecewa dan sedih dengan sikap wakil rakyat kawasan itu yang disifatkan telah menganak-tirikan mereka.
Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke Kg Numbak, anda akan terkejut dengan keadaan dhaif laluan kebanyakan pejalan kaki yang reput, sempit dan tidak selamat digunakan.
Menurut penduduk, walaupun telah banyak kali membuat aduan, tiada sebarang tindakan diambil. Mereka turut mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai, Datuk Hajah Zainab yang dilihat kurang turun padang menyelesaikan masalah penduduk di sana.
Salah seorang penduduk kampung, Abdul Jais Migih, memberitahu bahawa penduduk merasa sangat marah dan kesal dengan kelakuan wakil rakyat yang langsung tidak peduli masalah penduduk yang memberikan sokongan kepadanya selama ini.
“Tidak ada sebarang tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah kami disini, malah Datuk Jainab langsung tidak pernah tunjuk muka bertemu masyarakat di kampung ini,” katanya.
Lawatan DAP Sabah baru-baru ini disertai oleh Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin;  Setiausaha Publisiti DAP Sabah merangkap Penyelaras DAP DUN Luyang, Phoong Jin Zhe; Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Lasimbang dan Pengarah Perhubungan DAPSabah, Gracella Santianna Yong.
Menurut Penasihat DAP Sabah Jimmy Wong, DAP Sabah melahirkan rasa terkejut dengan keadaan jambatan dan laluan penduduk yang terlalu dhaif.
“DAP akan membantu masalah dan keluhan penduduk disini namun wakil rakyat dikawasan ini tidak harus lepas tangan begitu saja.
“Ini kerana mereka adalah wakil rakyat yang di pilih dan dipertanggungjawabkan oleh penduduk di sini untuk membela dan membantu ketika mesyarakat berada dalam kesusahan,” tegas Jimmy.
Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, walaupun kampung ini terletak berhampian dengan kawasan kondominium dan pusat membeli belah mewah, apa yang menyedihkan, kampung tersebut jauh ketinggalan.
“DAP sedang mengkaji untuk mengadakan projek Impian Sabah di sini sekaligus membantu rakyat yang selama ini ditindas oleh kerajaan supaya kehidupan mereka lebih baik,” katanya.
Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Lasimbang berkata, wakil rakyat kawasan itu tidak wajar lepas tangan terhadap kesulitan dan bahaya yang dihadapi penduduk.
Rombongan DAP Sabah bersama penduduk Kg Numbak.
Pengarah Perhubungan DAP Sabah, Gracella Santianna Yong melahirkan rasa pilu dan sedih melihat keadaan kampung yang dianak-tirikan oleh pemimpin yang sebelum ini disokong kuat penduduk setempat.
Bekalan air mahal, tiada pengurusan sampah sarap
Dalam satu lawatan Roketkini sebelum ini, selain masalah laluan pejalan kaki yang dhaif dan bahaya, antara isu yang diadu penduduk ialah masalah bekalan air bersih yang terpaksa dibeli dengan harga yang mahal iaitu RM0.50 bagi segelen air dan penggunaan minimum bagi setiap keluarga biasanya sekitar lima gelen.
Menurut Ida (bukan nama sebenar) berusia 32 tahun, kebanyakan keluarga di sini terpaksa membayar air secara mingguan.
“Saya bayar air minggu-minggu (secara mingguan), seminggu dalam RM70 kena bayar. Kalau banyak guna air basuh baju, lagi mahal kena bayar,” katanya.
Ada sebahagian penduduk pula terpaksa mendapatkan air dengan ‘orang tengah’ dengan harga yang lebih mahal dari tariff sebenar.
Keadaan laluan pejalan kaki yang usang dan berbahaya.
Selain masalah air, penduduk juga berhadapan dengan ancaman wabak penyakit ekoran ketiadaan sistem kumbahan dan sistem pengurusan sampah.
Dari pemerhatian Roketkini, semua najis, air basuhan dan sebagainya dibuang terus ke bahagian bawah rumah yang merupakan laut.
Persoalan yang berlegar pada saat ini ialah, apa yang telah dilakukan oleh wakil rakyat kawasan ini untuk menyelesaikan kerumitan penduduk?
Nantikan laporan seterusnya mengenai Kg Numbak. –Roketkini.com

Lesen judi bidang kuasa kerajaan pusat, Guan Eng tempelak MCA





GEORGE TOWN, 2 JUN: MCA nampaknya semakin tersepit apabila cuba mengaitkan isu pusat judi haram di Pulau Pinang dengan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Menyanggah dakwaan itu, Guan Eng menegaskan bahawa isu pusat judi haram adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong yang dilaporkan The Star Online bertajuk ‘Wee: Crackdowns need collaboration’ yang diterbitkan 30 Mei baru-baru ini.
“Isu judi haram di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, maka perlulah ditangani oleh kerajaan pusat, dan bukan babit kerajaan negeri.
“Lagipun, Ketua Polis Negeri (CPO) telahpun nafi bahawa Pulau Pinang paling banyak ada aktiviti pusat judi haram,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih lapor Buletin Mutiara.
Justeru, beliau mendesak supaya pemimpin MCA tersebut merujuk isu judi haram yang dibangkitkannya itu kepada Ketua Polis Negeri bersama bukti-bukti terperinci mengenai dakwaannya.

Pesta arak: DAPSY buat laporan polis, YDP PAS Gombak padam status fitnah




PETALING JAYA, 2 JUN: Satu laporan polis telah dibuat terhadap Yang Di-Pertua PAS Gombak, Salehhuddin Nasir ekoran kenyataan fitnah dan tuduhan palsu melibatkan pesta arak dan onani di Pulau Pinang dalam kemaskini status facebook.
Salehhuddin juga digesa supaya membuat permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin DAP yang berbuka puasa dengan masyarakat Islam yang telah menimbulkan polemik tidak sihat di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Laporan polis telah dibuat oleh DAPSY Subang diwakili Shukri Mokhtar bersama pemimpin DAPSY yang lain di  Balai Polis Damansara.
Menurut Shukri, perbezaan pandangan adalah perkara biasa namun ia bukan bererti seseorang itu boleh melakukan apa sahaja.
“Saya sedih melihat YDP PAS Gombak memulakan bulan mulia ini dengan fitnah dan juga penyebaran berita palsu. Saya cabar beliau untuk beri bukti dan hujah, bahawa DAP pernah menganjurkan Pesta Arak dan Pesta Onani.
Jika kopiah dan serban itu dianggap sebagai lesen untuk menfitnah dan memaki hamun, maka tidak terkejutlah kita hari ini, YDP PAS Gombak, Ust Salehhuddin Nasir melakukan seperti yang sedemikian,” katanya.
Menurutnya, budaya politik yang dibawa pemimpin PAS itu perlu dihentikan dan harus mengikut undang-undang.
“Kes ini bukan lagi sekadar perselisihan politik tapi pelanggaran undang-undang melibatkan fitnah dan penyebaran berita palsu,” kata Shukri.
Sementara itu, berdasarkan carian di facebook, status Salehhuddin berhubung fitnah pesta onani dan arak di Pulau Pinang itu telahpun  dipadamkan.
Dalam kemaskini facebook terbarunya, Salehhuddin berkata oleh kerana status tersebut telah menimbulkan polemik dan kekeliruan serta kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PAS, ianya telah dipadamkan.
“Maka saya dengan ini memohon maaf sekiranya status tersebut telah mengakibatkan suasana tidak harmoni kepada semua lapisan masyarakat,” tulis Salehhuddin.

Pembalakan kawasan air terjun Dakota, kerajaan PAS berbohong?




GUA MUSANG, 2 JUN: Apa yang cuba disembunyikan kerajaan PAS Kelantan apabila sebelum ini menafikan pemberian lesen pembalakan di kawasan air terjun Dakota sedangkan tinjauan terkini menunjukkan sebaliknya?
Tinjauan yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) BUMI, KUASA dan Impian Kelantan ke kawasan tersebut pada 24 Mei baru-baru ini mendapati wujudnya aktiviti pembalakan yang merosakkan alam sekitar dan keindahan kawasan itu.
Menurut aktivis Impian Kelantan, Mohd Fauzi Mohd Azmi, berdasarkan tinjauan darat dan udara menggunakan drone, kawasan Air Terjun Dakota telah berubah dari kunjungan terdahulu enam bulan lalu.
Mohd Fauzi Mohd Azmi
“Selepas kunjungan kami enam bulan lalu, kami membangkitkan isu aktiviti pembalakan yang berlaku di kawasan Air Terjun Dakota tetapi ianya dinafikan oleh kerajaan negeri Kelantan dengan mengatakan bahawa tiada lesen membalak diluluskan oleh kerajaan negeri.
“Pihak Pemuda PAS Kelantan pula menyebut bahawa memang ada permohonan untuk membalak dikemukakan oleh pihak syarikat untuk membalak dikawasan Air Terjun Dakota, tetapi atas inisiatif dan nasihat mereka, permohonan tersebut tidak diluluskan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, segala ‘temberang’ kerjaaan PAS Kelantan kononnya tidak akan memberikan lesen untuk membalak di kawasan tersebut akhirnya terbongkar.
Azmi berkata, perbualan mereka (rombongan NGO) dengan pekerja kongsi balak berhampiran Air Terjun Dakota yang terletak sekitar 100 meter dari kawasan itu mendedahkan sebaliknya.
“Pekerja kongsi balak tersebut menjelaskan bahawa Lesen membalak (selektif) telah dikeluarkan dan keluasannya ialah sebanyak 500 ekar.
“Lokasi kawasan diluluskan ialah sekitar Air Terjun Dakota dan ianya akan diselesaikan dalam masa tiga bulan dari sekarang,” jelas Fauzi.
Sewaktu kunjungan itu, beliau berkata terdapat dua jentera berat giat membuka dan membersihkan laluan lori balak yang bakal digunakan (rujuk Video Rakaman dari udara sekitar Air Terjun Dakota sehingga ke Kongsi Balak).
“Laluan lori balak lama yang merintangi aliran Air Terjun Dakota telah dibersihkan dan malang sekali laluan baru dengan jelas dapat dilihat dialih lebih dekat dengan kolam dihadapan Air Terjun Dakota.
“Ini bermakna Lori Balak bakal melalui terus diatas sungai tanpa jambatan dan pastinya akan memusnahkan aliran air dari air terjun dakota ke Sungai Puian sedikit demi sedikit.
“Apa pula penjelasan Kerajaan Negeri Kelantan selepas ini?” soalnya.
Isu pembalakan di kawasan Air Terjun Dakota pernah disiarkan Roketkini pada 16 Oktober 2016 lalu sewaktu berlakunya kekecohan melibatkan pembalakan di Gua Musang melibatkan sekumpulan samseng pembalak dengan penduduk Orang Asli Temiar di sini.

Ekonomi didakwa berkembang tapi gaji rakyat menguncup


Rafizi RamliRafizi Ramli
Pertumbuhan gaji sebenar rakyat negara ini (selepas ditolak inflasi) bagi 2017 dijangka jatuh pada kadar terendah di rantau Asia (bagi ekonomi yang setanding dengan Malaysia) iaitu sekitar 2.30% manakala kadar inflasi pada bulan April lalu berada pada tahap 5.1%  iaitu tertinggi dalam tempoh 8 tahun.
Fakta ini mendorong Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menuntut penjelasan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga menteri bertanggung jawab tentang kempen Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memberikan jawapan.
"Kalau beliau boleh memilih untuk tidak menjawab soalan dari Malaysiakini dengan kasar, beliau tidak boleh terus mendiamkan diri mengelak soalan-soalan saya mengenai isu pekerjaan dan kos sara hidup," ujar Naib Presiden PKR itu.
Menurut Rafizi, Kerajaan BN pada dua minggu lalu menguar-uarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% bagi suku pertama 2017 sebagai bukti kejayaan pentadbiran.
Malah tambah beliau, ada jurucakap kerajaan yang mendakwa segala skandal yang bersabit 1MDB hanyalah dakyah politik kerana tidak mempunyai kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Bagaimanapun ramai yang bertanya beliau mengapa keadaan ekonomi yang baik tidak dirasai rakyat meskipun Malaysia dilapor mencatat kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun.
"Jika ekonomi Malaysia dikatakan begitu baik seperti angka pertumbuhan KDNK yang diumumkan, mengapa ramai rakyat yang menghadapi kekangan kewangan dalam menjalani kehidupan seharian," ujarnya.
Menurut Rafizi, bukan semua pertumbuhan ekonomi mengalirkan kebaikan kepada rakyat kerana ada hasil ekonomi dipusatkan di kalangan beberapa pihak sahaja manakala ekonomi yang berkembang kadang kala disebabkan kewujudan banyak pekerjaan bergaji murah.
"Secara mudahnya, pertumbuhan KDNK negara merujuk kepada ukuran bagaimana ekonomi negara menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan. Ini boleh dicapai dengan dua cara – menambah pekerjaan atau menambah produktiviti," jelas beliau.
Ujar Rafizi, majikan boleh mengambil lebih ramai pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan tetapi pekerja dibayar gaji yang sama kerana melakukan kerja yang serupa.
Di masa yang sama, tambah beliau majikan boleh menggunakan teknologi atau menamba hbaik proses untuk menghasilkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan dengan bilangan pekerja yang sama atau kurang; tetapi pekerja kini melakukan kerja yang bernilai lebih tinggi dan wajar dibayar lebih tinggi.
"Di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, pertumbuhan KDNK lebih didorong oleh produktiviti. Walau bagaimana pun, semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak (2011-2015), pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti menurun (dari 59.07% kepada 34.80% daripada jumlah pertumbuhan KDNK) manakala pertumbuhan yang didorong pertambahan pekerjaan meningkat dengan ketara (daripada 40.93% kepada 65.2% daripada jumlah pertumbuhan KDNK).
"Ini bermakna jika pihak majikan mengambil lebih ramai pekerja, mereka bukannya meningkatkan produktiviti pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan (seterusnya meningkatkan pertumbuhan KDNK).
"Sebab itu pertumbuhan KDNK yang diumumkan kerajaan perlu diperhalusi untuk menentukan sama ada pertumbuhan itu hanya dipacu oleh lebih banyak pekerja yang dibayar gaji yang murah untuk menambah pekerjaan; atau pertumbuhan itu berpunca dari kerja-kerja yang lebih bernilai tinggi dan dibayar gaji yang lebih tinggi," jelasnya lagi.
Dalam tempoh yang sama bagi tahun 2011 hingga 2015, rekod pekerja asing berdaftar melonjak naik daripada 1.82 juta orang (2010) kepada 2.14 juta orang (2015).
Malah katanya, Persekutuan Majikan Malaysia menganggarkan jumlah pekerja asing berdaftar dan tidak berdaftar adalah sekitar 6 juta orang pada 2016 iaitu kira-kira 40% jumlah tenaga kerja negara ini.
"Oleh itu, walaupun saiz ekonomi dilihat semakin meningkat, tetapi ia turut dikongsi bersama lebih ramai orang yang kebanyakannya pekerja asing," katanya.
Rafizi menambah, jika pertumbuhan KDNK negara ini didorong oleh produktiviti, setiap pekerja akan mendapat imbuhan yang lebih besar kerana jumlah pekerja tidak perlu ditambah dengan mendadak (dengan membawa pekerja asing) dan hasil ekonomi dikongsi dengan lebih adil.
Pertumbuhan KDNK yang didorong oleh pekerjaan berkemahiran rendah akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan, namun jelas beliau tidak meningkatkan tahap gaji.
"Kebelakangan ini fenomena ini berleluasa dengan peningkatan pekerjaan berkemahiran rendah yang dibayar gaji yang rendah kerana diisi oleh pekerja asing.
"Keadaan ini menerangkan kenapa angka pertumbuhan KDNK nampak baik di atas kertas tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa yang terpaksa bekerja setiap hari dengan kadar pertumbuhan upah yang rendah dan tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup," ujar beliau lagi.
Sehubungan itu beliau menunggu jawapan daripada Khairy mengenai peluang untuk berdialog dengan 300 pemimpin pembangkang dalam sesi TN50 untuk menteri menjawab soalan: "Apa tindakan Datuk Seri Najib sekarang untuk mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak sampai manfaatnya kepada rakyat?"

MULA2 BERKONGSI PENTAS DAN BERKONGSI KERETA, LEPAS INI BERKONGSILAH PULA KAWASAN PILIHANRAYA!



Hubungan antara pemimpin Pas dengan UMNO nampaknya maju setapak lagi di mana daripada berkongsi pentas, duduk semeja dan berbaju sedondon sama warna, kini mereka sudah boleh berkongsi kereta pula.

Tambahan lagi berkongsi kereta bukan dilakukan pemimpin biasa-biasa, tetapi yang bertaraf ulama.

Kejadian pertama berkongsi kereta itu berlaku antara Menteri Besar Terengganu, Ahmad Raziif Abdul Rahman dengan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Dr. Khairuddin Aman Razali, baru-baru ini.

Kata Dr. Khairuddin, naik kereta bersama-sama itu merupakan contoh politik matang yang diamalkan Pas sekarang ini.
“Itu perbezaan PAS dalam berpolitik, kita tidak boleh ikut cara Pakatan Harapan.
“Politik demokrasi mengajar kita untuk boleh berurusan dengan kerajaan dalam perkara melibatkan maslahah rakyat,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Sebenarnya, memanglah baik dan molek Pas berbaik-baik daripada terus memaki-hamun, mengeji dan menggelar macam-macam seperti dulu kepada pemimpin UMNO dan kerajaan, tetapi janganlah berpura-pura di mana sementara mereka menjalin hubungan yang semakin baik itu, dalam ceramah di kampung-kampung tetap juga mengatakan mahu melawan UMNO.
Bagaimana mahu berlawan lagi dengan UMNO jika sudah boleh berkongsi menaiki kereta?
Bagaimana juga Pas mahu mengalahkan UMNO dan mengambil alih pentadbiran di Terengganu jika pemimpinnya sendiri sudah seronok dapat naik kereta dengan Menteri Besar daripada parti yang kononnya mahu dikalahkan?
Adakah itu politik matang dan sejahtera?
Maka, terlanjur sudah boleh berkongsi kereta ini, ada baiknya Pas terus saja berkongsi segala-galanya dengan UMNO.
Lepas ini, mulakanlah rundingan untuk berkongsi dan berbagi-bagi kawasan pilihanraya pula.
Itu barulah namanya benar-benar mengamalkan politik matang dan sejahtera. (ShahbudinHusin 01/06/2017).