Pertumbuhan gaji sebenar rakyat negara ini (selepas ditolak inflasi) bagi 2017 dijangka jatuh pada kadar terendah di rantau Asia (bagi ekonomi yang setanding dengan Malaysia) iaitu sekitar 2.30% manakala kadar inflasi pada bulan April lalu berada pada tahap 5.1% iaitu tertinggi dalam tempoh 8 tahun.
Fakta ini mendorong Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menuntut penjelasan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga menteri bertanggung jawab tentang kempen Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memberikan jawapan.
"Kalau beliau boleh memilih untuk tidak menjawab soalan dari Malaysiakini dengan kasar, beliau tidak boleh terus mendiamkan diri mengelak soalan-soalan saya mengenai isu pekerjaan dan kos sara hidup," ujar Naib Presiden PKR itu.
Menurut Rafizi, Kerajaan BN pada dua minggu lalu menguar-uarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% bagi suku pertama 2017 sebagai bukti kejayaan pentadbiran.
Malah tambah beliau, ada jurucakap kerajaan yang mendakwa segala skandal yang bersabit 1MDB hanyalah dakyah politik kerana tidak mempunyai kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Bagaimanapun ramai yang bertanya beliau mengapa keadaan ekonomi yang baik tidak dirasai rakyat meskipun Malaysia dilapor mencatat kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun.
"Jika ekonomi Malaysia dikatakan begitu baik seperti angka pertumbuhan KDNK yang diumumkan, mengapa ramai rakyat yang menghadapi kekangan kewangan dalam menjalani kehidupan seharian," ujarnya.
Menurut Rafizi, bukan semua pertumbuhan ekonomi mengalirkan kebaikan kepada rakyat kerana ada hasil ekonomi dipusatkan di kalangan beberapa pihak sahaja manakala ekonomi yang berkembang kadang kala disebabkan kewujudan banyak pekerjaan bergaji murah.
"Secara mudahnya, pertumbuhan KDNK negara merujuk kepada ukuran bagaimana ekonomi negara menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan. Ini boleh dicapai dengan dua cara – menambah pekerjaan atau menambah produktiviti," jelas beliau.
Ujar Rafizi, majikan boleh mengambil lebih ramai pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan tetapi pekerja dibayar gaji yang sama kerana melakukan kerja yang serupa.
Di masa yang sama, tambah beliau majikan boleh menggunakan teknologi atau menamba hbaik proses untuk menghasilkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan dengan bilangan pekerja yang sama atau kurang; tetapi pekerja kini melakukan kerja yang bernilai lebih tinggi dan wajar dibayar lebih tinggi.
"Di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, pertumbuhan KDNK lebih didorong oleh produktiviti. Walau bagaimana pun, semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak (2011-2015), pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti menurun (dari 59.07% kepada 34.80% daripada jumlah pertumbuhan KDNK) manakala pertumbuhan yang didorong pertambahan pekerjaan meningkat dengan ketara (daripada 40.93% kepada 65.2% daripada jumlah pertumbuhan KDNK).
"Ini bermakna jika pihak majikan mengambil lebih ramai pekerja, mereka bukannya meningkatkan produktiviti pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan (seterusnya meningkatkan pertumbuhan KDNK).
"Sebab itu pertumbuhan KDNK yang diumumkan kerajaan perlu diperhalusi untuk menentukan sama ada pertumbuhan itu hanya dipacu oleh lebih banyak pekerja yang dibayar gaji yang murah untuk menambah pekerjaan; atau pertumbuhan itu berpunca dari kerja-kerja yang lebih bernilai tinggi dan dibayar gaji yang lebih tinggi," jelasnya lagi.
Dalam tempoh yang sama bagi tahun 2011 hingga 2015, rekod pekerja asing berdaftar melonjak naik daripada 1.82 juta orang (2010) kepada 2.14 juta orang (2015).
Malah katanya, Persekutuan Majikan Malaysia menganggarkan jumlah pekerja asing berdaftar dan tidak berdaftar adalah sekitar 6 juta orang pada 2016 iaitu kira-kira 40% jumlah tenaga kerja negara ini.
"Oleh itu, walaupun saiz ekonomi dilihat semakin meningkat, tetapi ia turut dikongsi bersama lebih ramai orang yang kebanyakannya pekerja asing," katanya.
Rafizi menambah, jika pertumbuhan KDNK negara ini didorong oleh produktiviti, setiap pekerja akan mendapat imbuhan yang lebih besar kerana jumlah pekerja tidak perlu ditambah dengan mendadak (dengan membawa pekerja asing) dan hasil ekonomi dikongsi dengan lebih adil.
Pertumbuhan KDNK yang didorong oleh pekerjaan berkemahiran rendah akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan, namun jelas beliau tidak meningkatkan tahap gaji.
"Kebelakangan ini fenomena ini berleluasa dengan peningkatan pekerjaan berkemahiran rendah yang dibayar gaji yang rendah kerana diisi oleh pekerja asing.
"Keadaan ini menerangkan kenapa angka pertumbuhan KDNK nampak baik di atas kertas tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa yang terpaksa bekerja setiap hari dengan kadar pertumbuhan upah yang rendah dan tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup," ujar beliau lagi.
Sehubungan itu beliau menunggu jawapan daripada Khairy mengenai peluang untuk berdialog dengan 300 pemimpin pembangkang dalam sesi TN50 untuk menteri menjawab soalan: "Apa tindakan Datuk Seri Najib sekarang untuk mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak sampai manfaatnya kepada rakyat?"