HUTANG NEGARA: PH GAGAL BUAT ORANG FAHAM
Hutang negara: PH gagal buat orang faham
Kedudukan hutang yang ditanggung negara sekarang perlu dijelaskan dengan bahasa yang mudah difahami, terutama dalam kalangan orang kampung, kata Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed.
Katanya antara aspek yang perlu ditekankan ialah jumlah sebenar serta definisi mengenainya.
Setakat ini kata bekas menteri kanan itu penjelasan dibuat kerajaan PH belum ada kepastian yang difahami oleh orang bawahan dan pada masa sama ia menjadi tumpuan perbahasan setiap kali Dewan Rakyat bersidang.
“Penjelasan perlu diberikan menggunakan bahasa yang mudah difahami orang kampung dan komunikasi difahami semua pihak serta jangan tinggi bahasanya.
“Semua rakyat negara ini perlu faham kenapa kerajaan tidak mampu menyediakan peruntukan secukupnya.
“Jangan biarkan rakyat membuat andaian dan tuduhan yang melulu,” katanya dipetik BH Online semasa membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini semalam.
Beliau yang kini menjadi anggota Bersatu menambah naratif baru untuk menjelaskan hala tuju perpaduan negara perlu dikemukakan.
Kata pada tahun ini suasana politik tidak menentu dengan ada ketikanya menjadi panas.
“Sudah sampai masa perkara ini diselesaikan dengan cara yang baik,” katanya
KES SCORPENE: MALAYSIA SEDIA BANTU SIASATAN PERANCIS
Kes Scorpene: Malaysia sedia bantu siasatan Perancis
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini sekali lagi menyuarakan tawaran untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Perancis yang sedang menyiasat skandal pembelian kapal selam Scorpene.
Ia termasuklah dakwaan kaitan warga Mongolia mendiang Altantuya Shaariibuu dengan urus niaga kontroversi oleh pentadbiran BN itu.
“Memberi kerjasama kepada mana-mana pihak (untuk) membongkar kes-kes jenayah, itu memang menjadi dasar kita.
Siasatan sedang berjalan maka saya tak akan membuat ulasan tambahan berkenaan siasatan itu,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kes itu kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mohamad menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Jelutong) berkenaan sama ada kerajaan akan bekerjasama dengan kerajaan Perancis berhubung skandal itu.
Katanya, ini kerana beliau dimaklumkan bahawa pihak berkuasa negara itu mendapati nama Altantuya terdapat dalam beberapa kontrak berkaitan pembelian kapal selam itu.
“Nama beliau didedahkan dalam kontrak penjualan Scorpene. Jadi ada kemungkinan Altantuya memang terlibat dalam pembeliannya yang kini dalam siasatan (atas dakwaan) rasuah,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)