Berakhirnya saingan perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR di Semenanjung Malaysia memperlihatkan penyandang jawatan sedia ada, Azmin Ali bakal diangkat sekali lagi ke jawatan tersebut.
Peluang Azmin untuk mengekalkan jawatan adalah 99% cerah. Cabaran Rafizi telah berakhir sebaik sahaja Azmin mendahului secara keseluruhan dengan 1,500 undi pada minggu lalu. Melihat pola pengundian yang tidak memberi banyak kelebihan kepada pencabarnya, maka Azmin bolehlah berehat sepanjang sesi pengundian di Malaysia Timur pada hujung minggu ini.
Rafizi gagal
Rafizi hanya mampu membuat kejutan di Perak apabila mendapat kelebihan majoriti dua ribu undi pada Sabtu lalu. Namun sehari kemudian, Azmin dikurniakan majoriti yang jauh lebih banyak dalam pengundian fasa ketiga di Selangor.
Di Sabah dan Sarawak, penganalisis politik menjangkakan Rafizi akan disembelih atau digulai kerana kedua-dua negeri itu adalah kubu Azmin. Sarawak malah memiliki pertahanan paling kebal di mana 90% ketua Cabang adalah penyokong die hard Azmin.
Di sabah pula Azmin telah membuat banyak kerja politik sejak tahun 2000 lalu. Sangat mustahil ahli PKR akan berpaling mengundi Rafizi.
Anwar dikepung
Selepas pengundian di Malaysia Timur tidak lagi menarik perhatian, penganalisis politik tertumpu kepada masa hadapan Presiden PKR Anwar Ibrahim. Dalam kempen pasukan Rafizi, team kartel digambarkan tidak setia kepada Anwar. Mereka didakwa sanggup berpakat bersama team Mahathir untuk jawatan menteri kabinet dan sebagainya.
Persoalan yang menarik ialah apabila berlakunya penguasaan orang-orang Azmin ke atas jawatan naib presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), adakah Anwar akan terkepung selepas ini? Jika team kartel tidak mahu menggulai Anwar maka untuk apakah mereka membuat kepungan tiga lapis ke atas presiden PKR itu?
Tidak mengapa jawatan timbalan dan naib dikuasai kartel. Namun dengan 70% jawatan dalam MPP juga dikuasai team itu, maka amat membazir tenaga dan waktu jika mereka tidak bertindak ke atas Anwar.
Penganalisis politik menjangka Anwar akan sangat sukar membuat keputusan yang tidak popular dalam parti berikutan MPP yang majoritinya akan menganggotai Biro Politik tidak sebulu dengan beliau.
Penyokong Umno pula berteori terkepungnya Anwar adalah langkah awal kepada terkuburnya PKR. Perkara sama pernah berlaku kepada Umno apabila pasukan presiden terlalu kuat dan membakulsampahkan kritikan ahli akar umbi. Sehingga skandal 1Malaysia Development Berhad atau pun polisi Cukai Barangan dan Perkhidmatan dianggap sebagai kejayaan Najib dalam mengagih kek ekonomi kepada rakyat.
Nasib PKR mungkin lebih buruk apabila Anwar yang bercakap mengenai perang melawan rasuah tetapi beliau sendiri tidak berdaya bertindak ke atas pemimpin PKR yang mungkin mengamalkannya.
Sailang calon PM
Bahaya di luar PKR yang menunggu Anwar pula ialah ancaman orang-orang kanan Tun Mahathir yang tidak mahu perjanjian 8 Januari, menghadkan Tun sebagai PM selama 2 tahun dituruti. Mereka mendesak agar Tun berkuasa sehingga pilihan raya umum (PRU) ke 15
Sekiranya ingatan rakyat masih kuat, tindakan orang-orang kanan Tun inilah yang menjadi punca Anwar terfitnah pada 1998 dan dipecat daripada Umno.
Penyokong Anwar bimbang kerana pattern bertindak yang sama mula membayangi tokoh itu. Berbeza dengan 1998, Azmin merupakan penyokong kuat Anwar dan turun membela beliau pada setiap demontrasi, hari ini Azmin didakwa pasukan Rafizi pernah meminta agar Anwar tidak bertanding jawatan presiden. Tanpa jawatan presiden pencalonan Anwar sebagai PM jadi kelabu asap kerana dalam budaya politik Malaysia hanya presiden atau pengerusi parti sahaja yang akan dilantik menjadi PM.
Sekutu lama lari
Perkara seterusnya yang membimbangkan adalah kesetiaan sekutu lama Anwar dalam gerakan reformasi yang semakin menyusut. Suksesya Tun dalam kempen menumbangkan BN mempersonakan mereka. Sebahagian mempersoalkan kemampuan Anwar yang telah mencuba dalam PRU 1999 dan 2004 waktu dalam penjara serta PRU 2008 dan 2013 di luar penjara, tetapi gagal.
Sekutu lama ini enggan menerima kenyataan Tun hanya melakukan sentuhan penyudah kerana Pakatan Harapan (PH) telah pun mantap dan memiliki lebih 80 kerusi parlimen. Jika Tun menubuhkan parti Bersatu sebagaimana Anwar menubuhkan PKR sebelum PRU 1999, maka mustahil Tun akan dilantik semula sebagai PM.
Bagi sekutu lama Anwar ini – sama ada dalam PKR atau di luar – Tun adalah segala-galanya selepas 9 Mei 2018. Mengejutkan mereka tidak mahu Anwar menjadi PM sama sekali dan jawatan itu perlu disandang oleh pemimpin muda PKR.
Hujah mereka kononnya Anwar akan berlembut dengan musuh-musuh Tun dan PH. Mungkin Anwar tidak akan bertindak tegas ke atas Najib sebagaimana Tun. Begitu juga ke atas presiden Umno Dr Zahid Hamidi yang dikenali sebagai kawan lama Anwar.
Agaknya sekutu Anwar itu terlupa penyebab utama tokoh reformasi itu dibenci oleh orang-orang Tun. Tidak lain kerana beliau bertindak mengetatkan Akta Pencegahan Rasuah yang membenarkan badan pencegah rasuah membuka kembali kes-kes korupsi biar pun seseorang penjawat awam atau menteri telah bersara. Anwar meminda undang-undang tersebut ketika beliau memangku jawatan PM waktu Tun bercuti selama dua bulan di luar negara.
Bagaimanapun bagi sekutu Anwar ini, sekiranya tokoh itu berkeras mahu merebut jawatan PM maka musuh politiknya akan bertindak ganas. Riak-riak awal boleh dibaca selepas tersebarnya kisah kononnya Anwar terjebak semula melakukan seks songsang bersama seorang pelajar Indonesia di Singapura. Skandal itu jadi viral ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) di Port Dickson (PD) baru-baru ini.
Tuduhan tersebut hilang begitu sahaja apabila polis Singapura tidak melakukan siasatan dan akhirnya menampakkan tuduhan itu hanyalah rekayasa.
Gagal dengan taktik itu, musuh politik Anwar bertindak menviralkan gambar beliau bersama seorang pemuda ‘jambu’ yang muncul di beberapa lokasi sepanjang kempen PRK PD. Didakwa seorang taikun telah menghantar pemuda itu berdampingan dengan Anwar sebagai umpan sebagaimana Saiful Bukhari Azlan menyusup masuk sebagai budak pembancuh kopi di pejabat Anwar pada 2008 lalu. Modus operadinya hampir sama.
Semua percaturan ini boleh dijadikan duga-sangka awal bahawa satu konspirasi mungkin dirancang untuk menggagalkan usaha terakhir Anwar menjadi PM.
Lupakan Rafizi?
Kembali kepada perebutan Timbalan Presiden PKR, hari ini rakyat boleh melihat logik Rafizi menggunakan tema kempen ‘untuk memastikan Anwar menjadi PM’. Musuh politik Anwar terbukti merancang mengagalkan beliau. Hanya pasukan Rafizi yang akan berjuang bermati-matian memastikan ikon reformasi itu berada di puncak. Mungkin atas sebab itu, tidak seorang pun team Rafizi (kecuali Setiausaha Agung PKR atas kuota pemimpin tertinggi) dilantik Mahathir sebagai menteri kabinet biar pun mereka amat berkelayakan.
Malah salah seorang dalam pasukan itu, YB Wong Chen sering dilantik dalam jawatankuasa penyediaan Belanjawan Alternatif PH. Ahli politik berbakat dalam bidang ekonomi ini mempunyai banyak idea dan amat berpotensi untuk merealisasikan polisi pendidikan percuma, penghapusan hutang peneroka Felda atau penghapusan tol lebuh raya sebagaimana yang dikempen Rafizi sebelum PRU 14. Namun siapakah yang menghalang pasukan Rafizi dilantik, sedangkan nama mereka terdapat dalam senarai 10 calon menteri yang diberi oleh presiden PKR, Dr Wan Azizah kepada Tun selepas PRU 14 lalu?
Biar pun sudah agak terlambat namun bagi ahli PKR di Malaysia Timur yang akan mengundi, perlu memikirkan apakah mereka sanggup melihat sekali lagi konspirasi dicipta untuk menyingkirkan Anwar daripada menduduki kerusi PM?
Selepas 20 tahun Anwar menanggung derita beliau perlu menyusuri nasib Nelson Mandela yang akhirnya ditempatkan sebagai presiden Afrika Selatan walaupun untuk satu penggal.
Namun melihat arus dasar dalam PKR Sabah dan Sarawak, ahli akar umbi mungkin tidak peduli sama ada Anwar jadi PM atau tidak.
______________________________________________________________________________
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi WRLR