-
Ahad, 07 September 2014 04:40
-
- OLEH: AMIRULMUKMININ
Sebagai parti yang memperjuangkan Islam, ucapan Hadi di Marang
meminta pengkritik beliau dalam parti agar menubuhkan parti serpihan
amat mengejutkan.
Islam tidak menggalakkan perpecahan jemaah. Apatah lagi mengeluarkan kenyataan yang tidak toleran sama sekali dengan kritikan.
Penyokong
bawahan PAS tidak dapat menerima seorang presiden yang tidak boleh
ditegur sedangkan sahabat nabi khalifah Umar r.a ketika bertanya adakah
sahabat akan menegurnya jika beliau berpaling dari perjuangan Islam,
lalu seorang sahabat menghunus pedang dan berkata pedang itu akan
menegur Umar. Umar bersyukur kerana beliau akan sentiasa dipantau
sahabat. Hadi sebaliknya meminta pengkritiknya keluar parti dan
menubuhkan jemaah lain.
"Jadi mereka yang berlainan pendapat
dalam PAS ni, dia nak tubuh parti sila, baik dia keluar dia tubuh parti
sendiri, senang tak payah duduk dalam.
"Kalau duduk dalam, kalau ada nyamuk seekor tak jenera (lena) tidur kita pun, itu dia, senang nak tubuh parti, sila,” katanya.
Penganalisis
politik berpendapat Hadi telah dinasihati oleh segolongan oportunis
dalam PAS. Golongan ustaz muda itu menurut mereka telah menguasai
sebarisan ulama-ulama yang melihat Melayu lebih utama berbanding
perjuangan PAS sebelum ini yang mengutamakan Islam berbanding kaum.
Keangkuhan
Hadi mendakwa PAS akan terus hebat jika ditinggalkan pemimpin, amat
mengelirukan. Bukti sejarah mencatat setiap kali PAS berkrisis maka
prestasinya dalam PRU amat buruk.
PAS kalah di Kelantan pada
pilihan raya negeri 1978 selepas parti itu berpecah tiga akibat mainan
politik Umno. PAS juga kalah teruk dalam PRU 1986 kerana tiada
kepimpinan yang berkesan.
PAS hanya naik apabila berlaku krisis
dalaman Umno dan tertubuhnya Semangat 46 pada pilihan raya 1990. Apabila
S46 tidak berkesan pada 1995, PAS hampir tumbang di Kelantan. Parti itu
kembali kuat pada PRU 1999 selepas Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998.
Oleh
itu, di manakah kekuatan PAS sebagai parti yang telah lama bertahan
itu? Hadi juga salah dinasihatkan oleh para politikus muda yang
mengelilinginya. Kononnya ahli PAS yang mencecah sejuta orang itu
menyebabkan PAS mampu bergerak sendiri.
Beliau tidak menyemak
rekod kemasukan ahli yang banyak hanya berlaku selepas 1998. Sebahagian
ahli itu adalah penyokong reformasi tetapi inginkan politik Islam.
Sebaik sahaja Hadi membawa PAS keluar daripada lingkungan politik baharu
dan mencaci Anwar maka mereka tidak lagi akan menyokong PAS.
Realitinya,
PAS akan kalah teruk di Selangor, Perak, Johor, Pahang dan Pulau Pinang
jika ingin meneruskan agenda Hadi menyerang pemimpin Pakatan.
Sebaliknya
Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang didakwa serpihan PAS
akan lebih berjaya dan mempunyai masa depan. Sehingga kini PasMa telah
melakukan usaha radikal menubuhkan jawatankuasa di setiap negeri. PasMa
mendapat sokongan para penyokong agenda politik baharu.
Dijangkakan
separuh ahli PAS akan beralih arah sekiranya Hadi membawa PAS ke arah
hala tuju baru. Memang PAS parti lama dan mampu bertahan, tetapi tanpa
terlibat sama dengan arus politik perdana maka parti itu hanya akan
menjadi parti kampung dan bergerak secara kecil-kecilan seperti pada
1980an.
Penyokong Cina dan India juga akan menarik diri kerana
perjuangan agama semata-mata tanpa melihat dinamisme politik semasa
tidak laku di kalangan rakyat yang matang berfikir.
Sebaliknya
PasMa akan mengorak langklah jauh ke hadapan sebagaimana Parti Keadilan
dan Kesejahteraan (AKP) pimpinan Tayyib Recep Erdorgan di Turki. Erdogan
dan rakan-rakannya menubuhkan AKP apabila kumpulan reformis dalam
Virtue Party di Turki meninggalkan parti itu.
Pemimpin asal
Virtue Party kini menubuhkan Saadet Party yang menjadi saingan AKP dalam
politik Turki namun tidak mendapat tempat di hati rakyat.
AKP
mula memerintah Turki selepas pertama kali menyertai pilihan raya
sehinggalah sekarang di mana presiden dan perdana menteri Turki kini
adalah daripada parti itu.