- Sabtu, 06 September 2014 16:53
- OLEH: AMIRULMUKMININ
Maka kali ini tamatlah riwayat teka teki kenapa sebelum ini PAS berdolak-dalik menyembunyikan cerita sebenar mereka tidak sepakat dengan Pakatan Rakyat walaupun telah bersetuju dalam mesyuarat Majlis Presiden PR mencalonkan nama Wan Azizah dan Azmin Ali.
Dalam temubual di Marang, Hadi berkata: "Kalau daripada awal lagi dia (Azizah) tidak ada kebolehan jawab soalan di parlimen, untuk soal di parlimen, soalan dalam DUN, nak berdialog dengan lawan dalan Dewan Negara pun tak boleh, macam mana nak jadi pemimpin?”
Namun kebanyakan penyokong Pakatan mempersoalkan penolakan Hadi itu. Jika daya ingatan Hadi masih kuat, tentunya beliau ingat PAS memberi sokongan padu ketika Dr Wan Azizah dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen selepas PRU 2008 lalu. Tidak pernah timbul kritikan dari Hadi atau pemimpin PAS yang lain menyebut Wan Azizah tidak tahu menjawab soalan sewaktu Azizah menjadi Ketua Pembangkang ketika itu.
Penyokong PAS juga keliru dengan komen Hadi yang hanya mengikut sedap mulut tanpa dukungan fakta seperti ini.
Menurut seorang veteran PAS yang penah rapat dengan kepimpinan tertinggi parti itu, perlantikan Dr Wan Azizah tidak akan melemahkan Pakatan sebaliknya akan menyebabkan Umno kecut perut di Selangor. Katanya, Umno tidak boleh lagi bermain-main dengan ahli politik Pakatan kerana Anwar menjadi pembantu Azizah.
“Saya berbeza pendapat dengan Tuan Guru dalam hal perlantikan Wan Azizah.
“Saya yakin dalam hal ini, Umno amat takut jika Azizah jadi MB sebab Anwar di belakangnya. Umno sangat takut sekali jika Anwar terlibat di Selangor
“Apa yang dijelaskan Tuan Guru (kelemahan Azizah) kelak akan memakan diri PAS sendiri. Hanya masa yang akan menentukan,” katanya.
Veteran PAS itu juga menyelar penasihat Hadi, segolongan pemuda yang tidak faham politik dan hala tuju masa depan politik pelbagai kaum di Malaysia. Katanya, para penasihat itulah yang merosakkan Hadi dan membawa kerosakan besar kepada PAS sekarang ini.
“Sayang seribu kali sayang Tuan Guru telah silap dan salah dinasihati oleh juak-juak yang nampaknya sangat dekat dengan agenda Umno.
“Saya harap para pejuang PAS yang sayangkan parti mengadakan solat hajat agar Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua,” katanya.