KUALA LUMPUR, 22 Jun: Sebagai suatu usaha menyahut seruan himpunan aman Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai ini di ibu kota, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan (gambar) menyarankan seluruh warga pemuda PAS di semua peringkat termasuklah anak-anak muda yang prihatin agar menjadikan 2 Julai ini sebagai Hari Pra Bersih 2.0 dengan memakai baju Bersih 2.0 yang berwarna kuning. Katanya, ia sebagai warm up (persiapan) bagi membangkitkan semangat dan persediaan seluruh rakyat bagi menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. “Saya menegaskan bahawa pada 2 Julai ini tidak perlu diadakan sebarang himpunan, cukup sekadar setiap warga khususnya anak-anak muda memakai baju kuning Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan kita terhadap himpunan aman ini serta persiapan mental dan spiritual sebelum turun ke medan Himpunan Bersih 2.0 kelak. “Ayuh kita bersama-sama kuningkan seluruh negara pada 2 Julai 2011 ini. Kepada mereka yang masih belum memiliki baju Bersih 2.0, sila dapatkannya di pasaran dan pastikan semua warga muda negara memakainya dan seterusnya turun ke Kuala Lumpur untuk menyertai Himpunan Bersih 2.0,” ujarnya. Jelasnya, rasional seruan itu adalah sebagai warm up (raptai) permulaan bagi menghadapi Himpunan Bersih 2.0. Tambahnya, ia juga sebagai menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap himpunan aman nanti dengan mengharapkan Malaysia menjalankan sistem pilihan raya yang bersih dan adil di masa akan datang. Ini juga, ujarnya membuktikan bahawa semua lapisan rakyat yang akan hadir ke himpunan aman Bersih 2.0 adalah mereka yang cintakan keamanan dan keadilan sejagat tanpa menanam apa-apa sentimen sempit dan ingin menunjukkan bahawa himpunan nanti tidak memberikan kesan negatif terhadap negara. Selain itu, katanya 2 Julai sebagai hari memakai baju kuning sebagai tarikan atau promosi terhadap rakyat Malaysia yang lain agar turut sama mengambil bahagian menyertai himpunan itu. “Perlu diingatkan, bahawa himpunan aman pada 9 Julai nanti adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang matang dan menjadi hak rakyat Malaysia berhimpun bagi menunjukkan sikap dan perasaan mereka,” katanya. |
PAKAI BAJU BERSIH PADA 2 JULAI...MALUMAN BAGI SEMUA PENCINTA KEADILAN
SYABAS Gagal Selenggaran Loji, Punca Gangguan Bekalan Air
SHAH ALAM 22 JUN : Kerajaan negeri Selangor menegaskan gangguan bekalan air yang berlaku dibeberapa daerah adalah disebabkan kerja- kerja penyelenggaran loji rawatan air Sungai Selangor, dan bukannya disebabkan bekalan air yang tidak mencukupi.
EXCO Selangor, Elizebeth Wong berkata tindakan SYABAS menjadikan rundingan penstrukturan semula sebagai alasan gangguan bekalan air itu, amat dikesali.
Walhal, ia adalah kegagalan SYABAS yang tidak menyelenggara loji rawatan itu itu sejak tahun 1997, sehingga berlakunya gangguan bekalan air itu.
"Saya ingin menekan bahawa gangguan ini bukan disebabkan kekurangan bekalan air, tetapi kerja-kerja penyelenggaraan oleh Syabas.
"Kenyataan pihak Syabas hari ini menyalahkan rundingan penstrukturan semula aset air langsung tidak tepat, penswastaan aset air telah dilaksanakan pada tahun 1997 dan sejak itu, Syabas tidak menjalankan kerja- kerja menaiktaraf kepada loji-loji perawatan air yang sepatutnya," katanya.
Gangguan bekalan air yang diumumkan SYABAS dilaporkan akan berlanjutan selama tiga hari dan menjejaskan kira- kira sejuta penduduk di daerah Petaling, Hulu Selangor, Gombak dan juga Kuala Lumpur.
Elizebeth turut menyeru kepada rakyat Selangor agar jangan terpedaya dengan khabar angin yang mengatakan negeri ini akan mengalami krisis air dalam masa terdekat berikutan kadar simpanan air masih mencukupi.
Mengikut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), kedudukan tahap simpanan air empangan pada 21 Jun 2011 adalah seperti yang berikut :
- Empangan Sungai Selangor - 98.81%
- Empangan Sungai Tinggi - 99.17%.
- Empangan Sungai Batu - 100%.
- Empangan Klang Gate - 100%.
- Empangan Sungai Semenyih - 100%
- Empangan Sungai Langat - 100%.
- Empangan Tasik Subang - 96.88%
Sehubungan itu, kerajaan Negeri Selangor menyeru Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau (KeTTHA) untuk menilai semula kecekapan dan keupayaan Syabas ini dalam pengurusan sistem bekalan air kepada penduduk negeri yang termaju di Malaysia.
Elizebeth menambah, kerajaan negeri telah membuat persediaan untuk menangani masalah sekiranya jangkaan musim kering atau fenomena El-Nino melanda Malaysia.
"Kerajaan Negeri Selangor akan tetap berusaha memastikan bekalan air yang mencukupi kepada semua.
Pada tahun ini, kami telah memeriksa dan memastikan semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor," jelas Elizebeth.
Status Akuan Bersumpah Bala, Nazri Kelirukan Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR 22 JUN : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz didakwa mengelirukan wakil rakyat berhubung jawapan lisannya di parlimen mengenai status kes akuan bersumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam.
Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata penjelasan bertulis oleh menteri itu menafikan, pengakuan bersumpah Balasubramaniam yang dibuat pada Julai 2008 boleh digunapakai di dalam prosiding mahkamah.
Tambahnya, Nazri sengaja mengklasifikasikan keterangan bersumpah Balasubramaniam tidak memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 199 dan Seksyen 200 Kanun Keseksaan.
Namun Sivarasa yang juga seorang peguam menyatakan sebarang akuan bersumpah menurut undang- undang boleh diterima sebagai bukti di mahkamah walaupun ianya palsu.
"Kita tidak perlu masuk sekolah undang- undang untuk memahami perkara ini. Walaupun ianya dibuat di luar mahkamah tetapi masih boleh diterima," jelas beliau.
Beliau menjawab soalan lisan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengenai tindakan yang masih belum diambil oleh Timbalan Pendakwa Raya sehingga kini dalam kes tersebut.
Balasubramaniam pada tahun 2008 membuat akuan bersumpah mendakwa Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak mempunyai hubungan sulit dengan jurubahasa wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh.
Namun dalam minggu yang sama Balasubramaniam membuat akuan bersumpah kedua, menyatakan beliau tidak pernah diberitahu oleh Abdul Razak Baginda bahawa Najib pernah mengadakan hubungan seks dengan wanita itu termasuk perbuatan luar tabii.
Sivarasa ketika sidang medianya di lobi parlimen berpendapat, Nazri hanya mengemukakan jawapan tersebut bertujuan menghalang kes pembunuhan kejam Altantuya dibangkitkan semula.
"Kalau menteri sebut tidak ada kes, beliau (Bala) sepatutnya diambil tindakan kerana telah memburukkan pemimpin negara," katanya lagi.
Dalam sidang media yang sama, Tian Chua turut mempertikai gerak kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mengambil masa terlalu lama untuk mendakwa trio 'Datuk T' bersabit kesalahan mengedar rakaman video lucah yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada umum.
Tian dalam Dewan Rakyat sebelum itu bertanya samada polis memberi perlindungan kepada 'Datuk T' walaupun tindakan mereka jelas melanggar Akta Penapisan Filem 2002.
"Siasatan ini seolah-olah mencari siapa pelakon. Tapi isu bukan pelakon, yang jelas langgar undang- undang adalah orang yang edar dan pamer video lucah, harus diambil tindakan dahulu. Ini sudah masuk 3 bulan," kata beliau kepada media.
Dalam perkembangan lain, 'Datuk T' yang mengaku bertanggubgjawab menayangkan rakaman video seks kepada sekumpulan wartawan terpilih di Hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu, akan didakwa di Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta Jumaat ini.
Perkara itu disahkan salah seorang daripada trio berkenaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah memberitahu portal berita The Malaysian Insider melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Mereka akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta pada jam 8 pagi, 24 Jun 2011.
'Datuk T' merangkumi ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Ketiga- tiga individu tersebut kemungkinan akan didakwa dibawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.
Dana Awam Tambahan Tampung Kos PRU 13 ?
KUALA LUMPUR 22 JUN : Permohonan belanjawan tambahan berjumlah RM13 bilion oleh kerajaan UMNO Barisan Nasional di parlimen baru- baru ini menimbulkan kesangsian berikutan tempoh yang dianggap terlalu awal untuk kerajaan mendapatkan kewangan tambahan bagi tahun 2011.
Walaupun alasan yang diberikan kerajaan berkait aspek pengurusan negara namun ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berpendapat wujud elemen lain yang cuba disembunyikan pihak tertentu memandangkan peruntukan tambahan bagi 2010 baru sahaja diluluskan Mac lalu.
"Kalau dibuat perbandingan belanjawan tiga bulan lepas dengan jumlah RM13 bilion tidak mendatangkan apa-apa kesan (harga barang). Kenapa kerajaan mengulangi perbelanjaan yang sama jumlahnya untuk kali ke dua.
Justeru, Azan berkata permohonan belanjawan itu menguatkan lagi spekulasi bahawa dana awam itu akan digunakan bagi menampung kos Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.
Ini kerana jelasnya, alasan untuk menampung kos subsidi adalah tidak relevan memandangkan rakyat masih terbeban dengan kenaikan tarif elektrik dan harga barang.
"Maka timbul bukti bahawa ini sebenarnya belanjawan untuk mencipta momentum khas untuk Pilihan Raya Umum ke 13 dan akan ada siri kerana setiap tahun pilihan raya memang ada jenis perbelanjaan begini dan rakyat perlu tahu sebenarnya perbelanjaan tambahan yang diminta parlimen hanya untuk memastikan Barisan Nasional boleh bertahan," kata Azan kepada Tv Selangor.
Justeru Azan mengecam peranan kerajaan pemerintah yang gagal membuat andaian tepat pengurusan kewangan sekiranya benar peruntukan tambahan itu akan disalurkan untuk kepentingan rakyat.
Azan yakin sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak menggunakan mekanisma yang sama seperti tahun lalu untuk menangani isu beban rakyat, maka pembaziran sebanyak RM13 bilion dijangka akan berlaku pada tahun ini yang ternyata tidak membawa keuntungan kepada rakyat.
"Bermakna peruntukan belanjawan (tambahan) itu ditumpukan untuk subsidi yang sebenarnya tidak berjaya meringankan beban rakyat. Ini bermakna alasan subsidi itu tidak betul. Diwujudkan sahaja untuk menggunakan kewangan itu," ujar beliau lagi.
Anwar Desak Siasat Pelaburan 1MDB Petrol Saudi
KUALA LUMPUR 22 JUN : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat transaksi pembelian dan penjualan pelaburan dalam 1MDB PetroSaudi Limited oleh 1MDB dengan PetroSaudi Interrnational yang agak mencurigakan berdasarkan laporan juruaudit.
Transaksi itu melibatkan pengumuman keuntungan RM425 juta untuk operasi tahun pertama berakhir 31 Mac 2010 oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB pada 8 Oktober 2010 dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Sharol Halmi pada 12 Oktober 2010.
Tegasnya lagi, keuntungan tersebut diperolehi antara lain hasil penjualan pelaburan dalam 1MDB PetroSaudi Limited, syarikat usahasama di antara 1MDB dengan PetroSaudi International Limited.
Menurut beliau, dalam transaksi itu, 1MDB melabur dalam 1MDB PetroSaudi Limited sebanyak RM3.5 billion yang dibuat secara tunai.
Katanya, tidak sampai 5 bulan kemudian, 1MDB menjual semula pelaburan itu kepada rakan usahasama mereka, PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 billion dan memperolehi keuntungan RM615 juta.
"Walau bagaimanapun, bayaran untuk penjualan pelaburan ini dibuat sama ada secara ansuran atau bayaran tertangguh selama 11 tahun.
Fuziah Sambut Baik Pertemuan Dengan Wakil Lynas
KUALA LUMPUR 22 JUN : Ahli Parlimen Kuantan bersedia bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis bagi membincangkan isu berbangkit loji pemprosesan tanah jarang tersebut.
Bagaimanapun Fuziah menyatakan pertemuan itu seharusnya dilakukan secara terbuka dan turut membenarkan kehadiran media demi menunjukkan ketelusan pihak Lynas dalam isu ini.
Fuziah turut mencadangkan agar pertemuan itu diadakan pada 1 Julai depan, memandangkan sidang parlimen sesi keempat 2011, hanya akan berakhir pada 30 Jun ini.
"Saya menyambut usaha anda (Lynas) untuk mengadakan dialog yang bermakna dan respon anda untuk pertemuan yang lebih telus dan terbuka dengan rakyat awam," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam, Curtis menghantar surat jemputan untuk berdialog dengan Fuziah mengenai aduan dan protes yang dibuat awam terhadap pembinaan dan pengurusan sisa Thorium, loji berkenaan.
Curtis juga mendakwa pada 17 Jun lalu, Rumah Pengurus syarikat pembinaan loji berkenaan di Kuantan, Bill Morris telah dibaling bom api dan diconteng dengan cat, dengan perkataan 'Pulang ke Australia, Lynas'.
Fuziah menyampaikan rasa simpati beliau terhadap insiden berkenaan dan menyatakan ia adalah bentuk bantahan masyarakat bersabit pembinaan loji tersebut.
"Saya hendak menyampaikan rasa simpati dan kesal insiden berkenaan berlaku kepada pekerja Lynas. Ini tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa yang tinggal di Kuantan kerana kami selalu berbangga dengan keamaan yang menjadi lambang bandar ini. Bagaimanapun insiden ini menunjukkan bukti betapa kehadiran LAMP membawa ketidakstabilan komuniti," kata beliau.
Fuziah merujuk kepada insiden sebelum ini di mana semasa lawatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke Lynas bulan lalu, sekumpulan penyokong projek Lynas yang dinamakan BADAR melakukan kekasaran terhadap orang awam dengan kata kata kesat malah memecahkan cermin kereta mereka yang menentang projek itu.
Fuziah turut sekali lagi menyatakan betapa penilaian projek Lynas sepatutnya dilakukan oleh penilai bebas yang merangkumi keseluruhan aspek termasuk impak alam sekitar dan bukannya hanya IAEA.
"IAEA adalah pro industri nuklear dan tidak boleh dikatakan sebagai evaluasi tidak berat sebelah dan adil. Saya tidak mempertikaikan kredibiliti dan kepakaran mereka tetapi saya nyatakan sekali lagi evalusai ini tidak menyeluruh dan ia perlu melibatkan beberapa lagi aspek seperti Kesihatan Awam dan Impak Alam Sekitar," kata beliau
Kerajaan Rancang Kerugian Projek Terusan Penang
KUALA LUMPUR 22 JUN : Putrajaya 'mengakui' telah merancang kerugian bagi projek mendalamkan terusan utara di Pulau Pinang yang bernilai RM300 juta menurut Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi.
Berdasarkan jawapan lisan yang dikemukakan Timbalan Menteri Pengangkutan di parlimen hari ini, kementerian itu menjelaskan telahpun mengambil kira penjejasan prestasi kewangan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), akibat kelewatan mendalamkan Pelabuhan Pulau Pinang.
"Ini bermaksud kementerian mengakui kelewatan dan menyebabkan kerugian ialah sesuatu yang telah dirancang. Kerajaan telah merancang kerugian untuk melandasi Penang Port Sdn Bhd," kata beliau kepada media.
Projek PPSB di bawah kelolaan Kementerian Kewangan itu kini berdepan dengan kerugian sebanyak RM100 juta akibat terbengkalai seraya menimbulkan keresahan tentang kos lebihan yang terpaksa ditanggung.
Jeff menyifatkan kerajaan gagal memainkan peranan bagi memastikan projek yang melibatkan suku bilion ringgit itu siap pada jangkamasa yang ditetapkan bagi mengelak kos berlebihan ditanggung.
"Saya rasa ini sikap transformasi yang terumbang-ambing. Mana transformasi kalau kerugian itu telah dirancangkan seperti mana yang disebut," jelasnya lagi.
Terusan dengan kedalaman 15 meter itu dijangka siap pada 2013, terbengkalai sehingga kini berikutan kerja- kerja tersebut tidak dapat diteruskan.
Sehubungan dengan itu Pengarah Pengurusan PPSB, Datuk Ahmad Ibnihajar pada Mei lalu menyatakan PPSB akan mengalami kerugian berjumlah RM100 juta sekiranya projek tersebut masih tergendala.
PPSB sebelum ini telah menghubungi Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) beberapa kali, menuntut penjelasan mengenai perkara itu namun tidak mendapat respon.
BERSIH 2.0, PERKASA, Pemuda UMNO Disoal Siasat
KUALA LUMPUR 22 JUN : Penganjur himpunan BERSIH 2.0, Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) dan Pemuda UMNO dipanggil ke ibu pejabat polis di Bukit Aman hari ini ekoran merancang perhimpunan aman di ibu kota 9 Julai depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata wakil kumpulan tersebut dipanggil kerana berkeras mahu mengadakan aktiviti itu, walaupun tidak mendapat permit polis.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dedahkan butiran keterangan yang diambil dari ketiga- tiga badan tersebut.
Usaha Tv Selangor untuk menghubungi Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan menemui jalan buntu.
Walaubagaimanapun portal berita Malaysiakini melaporkan pihaknya berjaya menghubungi Ambiga dan beliau berkata tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.
Ahad lalu, pelancaran BERSIH 2.0 berjalan lancar dengan dihadiri hampir 2500 penyokong di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) hadir memberikan sokongan.
Antaranya, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Jaringan Rakyat Tertindas(JERIT), Lawyers for Libelity, Kelab Menteri Besar Selangor, IKRAM, GAMIS, CIJ, TENAGANITA, Mahasiswa UNISEL dan banyak lagi.
Himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan berikutan keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan pemerintah mengadakan pilihan raya secara telus dan adil.
Antara empat tuntutan yang masih belum dipertimbangkan adalah bersihkan senarai pengundi, merefomasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media yang bebas dan adil.
Sempena himpunan BERSIH kali kedua ini, dua lagi tuntutan ditambah iaitu, tempoh pilihan raya 21 hari dan memulihkan kreadibiliti agensi kerajaan.
Penggunaan Sistem Biometrik Tidak Praktikal
SHAH ALAM 22 JUN : Penggunaan sistem biometrik atau imbasan ibu jari pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang tidak praktikal dan ia perlu diperincikan lagi, kata jurucakap MAFREL.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam yang berkata kaedah itu mampu mengesan pengundian berganda, selain menjamin ketelusan.
Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MAFREL), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, SPR perlu memperjelaskan setiap cadangan pembaharuan yang ingin dilaksanakan sebagai jaminan bahawa ia benar-benar berfungsi dengan penuh efektif dan holistik.
Menurutnya, kaedah biometrik memerlukan masa untuk diselenggara memandangkan sistem tersebut masih baru diguna di Malaysia dan mempunyai banyak kelemahan.
Malah katanya, penggunaan dakwat kekal adalah lebih praktikal berbanding kaedah biometrik yang melibatkan kos tinggi.
" SPR ada cadangan itu dan ini, tetapi ia tidak dihebahkan (diperincikan) dan tidak melibatkan pihak-pihak berkepentingan. Sejauh mana sistem biometrik mampu dikongsi bagi diperlihatkan dari segi pelan tindakan kepada parti-parti politik yang ada, kepada pemantau pilihanraya, para akademik dan sebagainya," soalnya.
"Kita tidak tahu secara jelas adakah sistem biometrik ini berfungsi, adakah wujud tindakan-tindakan kawalan dan adakah sistem semakan boleh dilakukan untuk sistem ini, dan tentunya ia akan timbulkan tanda tanya," katanya kepada Tvselangor.
Isnin lalu, SPR mengumumkan Pilihan Raya Umum Ke 13 akan datang bakal menyaksikan penggunaan sistem biometrik bagi membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan sistem biometrik yang kini diguna pakai ke atas warga asing.
Beliau berkata demikian bagi mengulas antara lapan perkara yang dituntut BERSIH 2.0 dalam perhimpunan besar-besarnya pada 9 Julai depan bagi memastikan pilihan raya yang telus dan bersih dengan menggunakan dakwat kekal.
Syed Ibrahim berkata, tindakan SPR memperkenalkan pelbagai cadangan mahupun sistem dikhuatiri tidak akan kekal lama, terutama dari aspek keberkesanaan dan jaminan pilihanraya yang bersih dan adil benar-benar mampu dilaksanakan.
"Inilah hakikatnya yang berlaku kepada SPR, mereka bertindak, mungkin buat atau mungkin tidak. Tetapi ia tidak dihebahkan kepada pihak yang terlibat, mungkin juga tidak akan dibuat langsung dan hanya berdasarkan cadangan sahaja. Malah ia hanya akan menimbulkan pelbagai keraguan kepada masyarakat yang mungkin akan menyebabkan tanggapan negatif kepada SPR" katanya.
Dalam pada itu, Exco Selangor Rodziah Ismail menegaskan tiada alasan yang mampu menolak penggunaan dakwat kekal sebagai mekanisme terbaik dalam memastikan setiap pilihan raya dijalankan secara bersih dan adil.
Malah katanya, penggunan dakwat kekal amat popular di beberapa negara kerana terbukti efektif dan menjimatkan.
" Pengunaan dakwat kekal melibatkan kos yang rendah berbanding penggunaan sistem biometrik. Jadi pada saya, cukuplah...jangan bazirkan wang rakyat kerana dalam tempoh sehari pilihanraya itu ia melibatkan kos berbilion ringgit yang kononnya untuk pilihanraya yang bersih," ujarnya.
Tegasnya, tindakan SPR dengan memperkenalkan sistem Boiometrik dilihat hanya untuk melengahkan tuntutan rakyat yang dahagakan pilihanraya yang bersih.
Ujarnya, jika SPR benar-benar serius dalam perkara itu ia perlu berlaku adil dengan mengambil perhatian diatas keluhan semua pihak termasuk parti-parti politik yang sedia ada.
" SPR mahu pilihanraya bersih untuk PRU ke 13 akan datang, jadi dalam konteks macam mana sekalipun ia perlu bersihkan daftar pemilih, bersihkan pada rakyat datang mengundi, ambil perhatian keluhan-keluhan dari parti yang ada, perbetulkan SPR dan SPR tidak boleh berat sebelah," tegasnya.
Tambah Rodziah, sebelum SPR mahu menggunapakai sistem biometrik ini suruhanjaya itu juga perlu mengambil kira kemudahan elektrik dan kemampuan sistem berkenaan dilaksanakan terutama di kawasan luar bandar terutama pedalaman Sabah dan Sarawak.
Ia katanya mungkin menyebabkan berlaku kesesakan dan mengganggu proses pengundian.
Selain itu, katanya, kenyataan Aziz menunjukkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berjaya menekan SPR dalam memastikan pilihan raya telus.
Rayuan Keempat Anwar, Gugur Hakim Didengar 6 Julai
KUALA LUMPUR 22 JUN : Rayuan Ketua Pembangkang yang kesekian kalinya untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah daripada mendengar perbicaraan konspirasi kedua terhadapnya, akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 6 Julai depan.
Permohonan menggugurkan hakim itu kali keempat dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tiga daripadanya ditolak Zabidin atas alasan beliau berkreadibiliti untuk menghakimi perbicaraan itu.
Peguam Anwar, Sankara Nair mengesahkan sesi pendengaran itu setelah menerima pemberitahuan itu dari pendaftar Mahkamah Rayuan, semalam.
Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Hakim Zabidin sebelum ini mengarahkan ketua pembangkang itu membela diri dan mendapati Saiful adalah sakti yang boleh dipercayai meskipun Saiful direkodkan berkali- kali menukar kenyataannya.
Peguam utama Anwar, Karpal Singh berhujah bahawa keputusan Zabidin menunjukkan hakim itu membuat pra-penghakiman sebelum perbicaraan itu selesai.
Bagaimanapun, pada 6 Jun, Hakim Zabidin memutuskan bahawa permohonan kali ketiga Anwar untuk menggugurkannya tidak mempunyai merit.
Karpal, bagaimanapun, berjaya mendapatkan perintah penangguhan daripada Zabidin sementara menunggu rayuan tersebut.
Walau apa pun hasil rayuan tersebut, Hakim Zabidin telah menetapkan 13 Julai depan untuk Anwar membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sentimen SPR Pula Bagaimana Tan Sri?
KOMENTAR : "Parti dan calon yang disukai akan menang. Buatlah macam mana pun, sentimen memainkan peranan. Ini sentimen pada (pilihan raya umum) 2008. Pada 2004 berbeza.
"Dan saya yakin sentimen akan berubah (lagi) dan ini jangan salahkan SPR. Ada masanya kita menang ada masanya kita kalah," kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR). Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
Namun yang menjadi persoalannya, sentimen SPR sendiri bagaimana? Dengan perkataan lain, SPR condong ke arah parti dan calon yang bagaimana? Soalan-soalan ini harus ditanya berulang-ulang kali.
Ini kerana jika SPR mengatakan ia berkecuali mengapa banyak sangat sentimen Badan Bukan Kerajaan, Majlis Peguam dan sudah tentu parti-parti politik cenderung mengatakan SPR tidak telus dan tidak berlaku adil pada semua, khususnya rakyat dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini.
Ada rakyat yang tidak pernah mendaftar tiba-tiba mendapati nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih. Ada yang sudah mendaftar tetapi tersenarai dalam daftar di kawasan undi yang tidak munasabah jauhnya dari alamat tinggal mereka.
Ada juga yang sudah mendaftar, pernah mengundi tetapi tiba-tiba mendapati tempat mengundi mereka dipindahkan ke pusat lain tanpa notis.
Ada juga semakan yang dibuat mendapati pada sesuatu alamat ada berpuluh pengundi didaftarkan. Ada juga senarai pemilih dalam daftar berkenaan lebih ramai dari penduduk sesebuah rumah panjang!
Selain itu timbul pula kemusykilan bagaimana sebenarnya undi pos dijalankan. Bagaimana apabila ada kes Agen Mengundi dan Agen Pengiraan Undi atau PACA memantau proses pembuangan undi pos mendapati hanya tiga orang yang keluar mengundi di sebuah tempat pembuangan undi tetapi apabila keputusan dibacakan ada lebih 127 pengundi diumumkan telah membuang undi di pusat berkenaan.
Parti mana yang mendapat manfaat atau undi majoriti dalam proses pilihanraya itu memang agak mudah diterka. Undi pos adalah undi mereka yang tidak berpeluang membuang undi pada hari mengundi diadakan kerana bertugas di seberang laut, atau di kawasan pedalaman seperti anggota keselamatan negara. Bagaimanapun mengapa anak isteri mereka pun dikelompokkan dalam senarai undi pos?
Ini belum mengambil kira ada anak isteri anggota keselamatan yang tidak pernah mengisi Borang A untuk mendaftar sebagai pengundi tetapi secara automatik disenaraikan sebagai pemilih menurut sistem undi pos!
Ini semua adalah sentimen rakyat, Badan-Badan Bukan Kerajaan dan parti-parti politik Bukan-BN terhadap SPR. Pengerusi SPR tidak boleh alpa dan terlepas pandang terhadap hakikat ini. Ini bukan sekadar persepsi. Ia sudah menjadi sentimen yang ranum di hati rakyat.
Percubaan untuk mengelak menerima hakikat ini adalah buruk padahnya kepada kewibawaan SPR dan kakitangannya sendiri dalam jangka masa panjang.
Sebab itu rakyat ingin bersuara. Mereka mahu hapuskan sentimen terhadap SPR yang mencurigakan ini. Sebab itu juga digerakkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Singkatannya Bersih 2.0. Kemuncak gerakan ini ialah pada 9 Julai ini.
Usaha raksasa kali kedua ini dijangka akan disaingi oleh Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Perkasa, gerakan Melayu berhaluan kanan yang tidak mahu tatakelola SPR diubah atas nama “memelihara kepentingan Islam dan Melayu”.
Sekali lagi tidak sukar untujk memahami mengapa Pemuda Umno atau Perkasa mahu menyaingi usaha Bersih 2.0. Ini tentunya kerana apa yang dituntut Bersih 2.0 ialah supaya pengurusan pilihanraya di negara ini dilakukan benar-benar atas landasan keluhuran undang-undang dan keadilan. Rakyat tahu segala kepincangan sistem pilihanraya di negara ini selama ini menguntungkan siapa.
Pilihanraya bukan sahaja ditentukan oleh sentimen. Ia juga berkaitan dengan ruang dan peluang. Jika sebelah pihak sahaja diberi peluang untuk menghebahkan manifesto mereka melalui sistem media berbayar dan awam tetapi tidak bagi pihak yang lain, bagaimana rakyat boleh membuat keputusan yang tepat siapa yang patut dipilih menjadi wakil mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri?
SPR mesti tegas dalam soal agihan peluang dan ruang bagi semua pihak yang menawarkan diri bertanding dalam sistem pilihanraya yang dikendalikannya.
SPR juga mestilah memberi peluang kepada rakyat sepenuhnya. Yang pasti sebagai sebuah negara membangun Malaysia boleh dan mampu mewajibkan pendaftaran setiap kelahiran warganya dan dikeluarkan surat beranak setiap seorang. Kemudian prosedur ini disahkan pula dengan pendaftaran wajib kad pengenalan ketika berusia 12 tahun. Berbilion ringgit dibelanjakan untuk mewujud dan mengamalkan sistem ini.
Namun malangnya pangkalan data ini tiba-tiba tidak terpakai oleh SPR untuk mendaftarkan mereka secara automatik sebagai pengundi apabila mencapai usia 21 tahun. Isteri dan keluarga anggotan keselamatan boleh didaftarkan sebagai pengundi secara automatik; tapi rakyat biasa yang mempunyai surat beranak dan kad pengenalan tidak boleh. Bukankah ini ganjil?
Ini bermakna sama ada kita hendak mengatakan Jabatan Pendaftaran Negara tidak cekap atau SPR sebenarnya malas, culas atau mungkin mempunyai sentimen yang kurang cenderung kepada ketelusan dan keadilan untuk setiap rakyat memilih kerajaan mana yang mereka mahu mentadbir negara.
Sehubungan itu, jika jabatan Imigresen boleh menguruskan keluar masuk setiap insan ke negara ini hanya dengan menggunakan pengenalan cap jari atau biometrik, mengapa SPR tidak mampu menggunakan pendekatan yang sama? Atau, sekurang-kurangnya menggunakan sistem dakwat pada jari pengundi bagi memastikan tiada mengundi lebih sekali!
Alasan yang mengatakan bahawa pendaftaran sebagai pengundi tidak diwajibkan di bawah Perlembagaan dan lantas mengundi tidak boleh diwajibkan, adalah hujah yang lapuk dan terlalu kebudak-budakkan.
SPR adalah badan mutlak yang diberi kepercayaan untuk mengendalikan pilihanraya di negara ini oleh Perlembagaan Negara. Ia seharusnya bertindak tuntas dan dengan telus dalam menunaikan tanggungjawab ini.
Pandangan Tan Sri Aziz bahawa sentimen rakyat terhadap parti-parti yang bersaing dalam pilihanraya mungkin berubah-ubah menurut iklim dan isu politik. Namun sentimen rakyat terhadap SPR seharusnya terus bening dan bersih serta tekal.
Kewibawaan SPR harus luhur dan adil. Ini kerana Kerajaan yang dilahirkan daripada pilihanraya yang bersih dan adil sahajalah yang boleh dikira sebagai Kerajaan yang berdaulat dan wajib disokong oleh setiap rakyat. Oleh itu sentimen SPR terhadap setiap parti politik berdaftar pula haruslah sentiasa bersih dan tiada pilih kasih. Hidup Bersih 2.0!
MAIWP Guna Wang Zakat Bayar Peguam
KUALA LUMPUR 22 JUN: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini mengecam tindakan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah, Datuk Che Mat Che Ali kerana menggunakan wang zakat agensi itu untuk membiayai khidmat guaman bersabit kes tuntutan Qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wang berjumlah RM31,150 itu dibayar kepada syarikat Tetuan Zainul Riijal Talha & Amir ditandatangani sendiri oleh beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 21 April 2010.
Malah dakwaan tersebut diakui sendiri oleh Timbalan Menteri dengan alasan MAIWP tidak mempunyai akaun untuk membayar khidmat guaman tersebut.
"Di sini saya melihat tiga perkara iaitu pertama urustadbir. Beliau pengarah dan beliau juga setiausaha yang meluluskan sendiri. Kedua, penerima wang zakat adalah jelas iaitu orang miskin dan ketiga dari aspek politik yang mana pemegang amanah menguruskan wang zakat," ujar Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution di lobi parlimen sebentar tadi.
Bayaran kepada syarikat guaman itu merujuk kepada pengendalian kes Mahkamah Tinggi Syariah dan Wilayah Persekutuan antara Datuk Seri Anwar Ibraim melawan Datuk Che Mat Che Ali, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam kes tuntutan Qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Adzlan.
Sehubungan dengan itu, Saifuddin berkata akan menulis surat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengemukakan aduan mengenai perkara tersebut.
Anwar memfailkan saman itu berikutan ketiga- tiganya dilihat melengah- lengahkan tuntutan Qazaf yang difailkannya.
Beliau terkejut apabila diberitahu bahawa katua pendakwa syarie memutuskan bahawa pendakwaan qazaf terhadap Mohd Saiful hendaklah menunggu perbicaraan liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.
Justeru, beliau memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan Qazaf.
Tambahnya, mahkamah syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan responden- responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang- undang jenayah syariah di Wilayah Persekutuan.
Beng Hock : Suruhanjaya Serah Laporan Kepada Agong
KUALA LUMPUR 22 JUN : Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock hari ini menyerahkan laporan setebal 124 halaman kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.
Pengerusinya, Tan Sri James Foong berkata, salinan laporan oleh lima anggota panel itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.
Menurut Foong, kini terpulanglah kepada Seri Paduka untuk menentukan sama ada laporan suruhanjaya itu akan didedahkan kepada umum atau tidak.
Selain Foong, suruhanjaya turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Najib pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.
Sepanjang persidangan, pelbagai saksi dipanggil termasuk pakar patologi, psikiatri, anggota keluarga dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain terdapat beberapa fakta baru yang tidak didedahkan pada inkues mengenai kematiannya di Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini.
Teoh, 30, pembantu politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.
Subscribe to:
Posts (Atom)