Tangguh Hudud: ‘Pendirian kami betul’ – Raja Kamarul Bahrin
Datuk Raja Kamarul Bahrin mempersoal keputusan PAS apabila bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan hudud sebaik sahaja bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam membuktikan bahawa penentangan yang dibuat bekas wakil rakyat PAS yang menyertai AMANAH bahawa pelaksanaan hudud perlu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan adalah tepat.
Katanya, begitu juga dengan pendirian DAP sebelum ini yang turut menentang pelaksaan hukum hudud oleh PAS.
“Tentang polisi dan persetujuan untuk melambatkan pelaksanaan hudud ini tidak ada beza apa kami dahulu lakukan, semasa dalam PAS kami (bekas pemimpin PAS) berpendapat kalau mahu laksanakan hudud Perlembagaan Persekutuan mesti diperhalusi,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.
Katanya, PAS dilihat lebih percaya dan bertolerasi dengan IKATAN berbanding kumpulan progresif dalam PAS yang telah menyertai AMANAH.
“Dulu kami dituduh menjadi penentang kami tidak nampak apa bezanya bertahun-tahun masa dulu. Perkara yang datang dari mulut kami tidak diterima tapi kini bersama IKATAN diterima pula,” katanya.
Semalam, Hadi semasa pengumuman gabungan blok pembangkang terbaru bersama IKATAN berkata agenda utama pembangkang itu buat masa ini adalah melakukan transformasi positif menerusi nasihat dan cadangan supaya kerajaan berubah serta bebas rasuah.
Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam temu bual eksluksif bersama FMT pula mengakui kedua-dua pihak sepakat bahawa hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.