Menyifatkan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) suatu penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, pakar perundangan Dr Abdul Aziz Bari berkata ia masih boleh dihalang daripada menjadi undang-undang walaupun diluluskan Dewan Rakyat Khamis lepas.
Pensyarah Universiti Selangor (Unisel) itu berkata ada 3 ruang pertahanan yang boleh diharapkan bagi mereka yang membantah rang undang-undang itu, bagi mencegah Malaysia menjadi sebuah negara polis dan diktator.
“Ruang pertahanan yang pertama ialah Dewan Negara.
“Ia boleh melewatkan rang undang-undang itu selama 12 bulan, membolehkan debat dan aktiviti mengetengahkan peruntukan kontroversi di dalamnya diadakan bagi memaklumkan kepada orang awam,” Aziz memberitahu The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, beliau berkata mengikut Perkara 68 Perlembagaan Persekutuan, Dewan Negara tidak ada kuasa menolak rang undang-undang itu yang menurutnya memberikan kuasa meluas kepada perdana menteri dan MKN dan boleh memberi kesan terhadap Perlembagaan.
Katanya, sekiranya rang undang-undang itu diluluskan Dewan Negara, ruang pertahanan seterusnya adalah Agong, di mana baginda perlu memberi perkenan mengikut Perkara 66(5) Perlembagaan.
Aziz berkata, walaupun Perkara 66(4A) Perlembagaan mengatakan sesuatu rang akan menjadi undang-undang sekiranya tidak mendapat perkenan Agong selepas 30 hari, ini sesuatu yang boleh diperdebatkan.
“Agong boleh memutuskan enggan menandatangani rang undang-undang itu dan ini akan mencetuskan krisis. Ini kerana pada 1994, Tun Dr Mahathir Mohamad meminda Perlembagaan membenarkan Parlimen tidak mengendahkan keputusan Agong.
“Tetapi apa yang menjadi masalah dengan pindaan 1994 itu ialah, ia tidak menerima perkenan Majlis Raja-raja seperti dikehendaki Perlembagaan.
“Justeru, timbul tanda tanya mengenai kesahihan pindaan yang dilakukan Dr Mahathir. Namun, dengan adanya krisis, ia membolehkan debat dibuka semula mengenai tindak-tanduk Dr Mahathir ketika pemerintahannya.”
Aziz berkata, sekiranya Agong enggan campur tangan, rakyat Malaysia terpaksa bergantung kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan rang undang-undang itu tidak sah.
Beliau memberi amaran, sekiranya semua kaedah itu gagal menghalang rang itu daripada menjadi undang-undang, Datuk Seri Najib Razak mungkin akan membentuk “kepompongnya” sendiri dalam MKN sekiranya bimbang kehilangan kuasa.
Menurut rang undang-undang itu, MKN akan terdiri daripada perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri pertahanan, menteri dalam negeri, menteri komunikasi dan multimedia, ketua angkatan tentera, ketua setiausaha kerajaan dan ketua polis negara.
“Perdana menteri yang dipulau malah boleh menyisihkan kabinetnya, yang sekarang ini menjadi rangka sebuah kerajaan bertanggungjawab, iaitu kebertanggungjawapan kabinet yang menjadi nukleus kerajaan kepada Parlimen,” kata Aziz.
Rang undang-undang MKN dibentangkan di Dewan Rakyat Selasa lepas, dan diluluskan 2 hari kemudian melalui undian suara.
Ia memberi kuasa kepada MKN yang diketuai Najib dalam menangkap sesiapa sahaja tanpa keperluan waran sebaik sahaja sesuatu kawasan diisytihar kawasan keselamatan.
Rang undang-undang itu juga memberi kuasa kepada perdana menteri mewujudkan suasana ala-darurat tanpa perlindungan biasa yang diperuntukkan Perlembagaan.
Di bawah Perkara 150 Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong mesti berpuas hati tentang keperluan mengisytiharkan darurat.
Rang undang-undang MKN tidak memerlukan persetujuan Agong sebelum mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.
Parti pembangkang, aktivis, Majlis Peguam Malaysia dan juga kumpulan antarabangsa Human Rights Watch (HRW) mengkritik rang undang-undang itu, melihatnya sebagai alat penindasan yang boleh mengancam hak asasi manusia dan pemerintahan demokrasi.