IC: Kanak-kanak tempatan tiada, pendatang tanpa izin ada


SABAH 4 DIS: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin kesal berikutan ramai kanak-kanak tempatan di negeri ini tidak memiliki kad pengenalan (IC) sebaliknya pendatang tanpa izin mudah memperolehnya.
Beliau berkata, kanak-kanak di pedalaman yang ibu bapa mereka penduduk Sabah, selain masalah sama juga dihadapi masyarakat orang Asli di Pensiangan, Pitas dan sebagainya.
“Mereka hidup di jalanan, miskin dan tiada kebajikan, seterusnya membesar dalam keadaan tidak sesuai, seolah-olah tiada masa depan lagi. Mereka sukar melanjutkan pelajaran mahupun mendapatkan pekerjaan baik.
“Akhirnya, mereka terpaksa mencari nafkah dengan minta derma, kerja di pasar, menjual rokok seludup dan ada terlibat dalam sindiket pengedaran dadah,” katanya pada kenyataan hari ini.
jimmy wong2 (2)Menyifatkan Sabah dilanda masalah Stateless Kids sejak sekian lama, Jimmy berkata, masalah berkenaan bukan kes terpencil kerana banyak laporan sama di media dan mahu kerajaan melakukan sesuatu.
“Saya cadangkan kerajaan sediakan pejabat pendaftaran perkhidmatan bergerak yang aktif pergi ke pedalaman. Sekarang yang sediakan hanya Mahkamah Tinggi Sabah atas inisiatif Ketua Hakim, Tan Sri Richard Mainjun,” katanya.
Bagi kanak-kanak dalam kalangan pendatang tanpa izin pula, beliau berkata, kerajaan juga harus berbuat sesuatu supaya mereka mendapat hak sebagai kanak-kanak dan manusia.
“Saya amat tidak setuju jika mereka terus diberi kerakyatan tetapi jika ada pengenalan khas, mungkin berguna supaya mereka dapat dipantau dan diberi perhatian seperti pendidikan,” katanya.
Mengikut Menteri Pembangunan Komuniti dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab, katanya, bilangan kanak-kanak di jalanan ialah 200,000 orang iaitu 50,000 dari Filipina dan 150,000 (Indonesia).
“Saya harap kementerian mengkaji semula isu ini. Jangan biarkan rakyat sendiri tiada kad pengenalan tapi pendatang asing tanpa izin boleh dapat kad pengenalan. Ini kita tidak mahu berlaku lagi,” katanya.