Amanah dapat sambutan di Perak, yakin menang kerusi DUN – Nizar
EKSKLUSIF: Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Perak.
Selepas empat bulan parti itu ditubuhkan secara rasmi, Amanah Perak telah berjaya menubuhkan 22 cawangan di setiap kawasan parlimen di Perak.
Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, kempen yang lebih agreasif untuk menambah keahlian akan memastikan Amanah menjadi kuasa politik antara terkuat di negeri itu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak.
“Parti Amanah sehingga kini mendapat sambutan positif dan amat menggalakkan dari rakyat Perak.
“Sokongan kami terima dari semua bangsa dan agama serta semua lapisan masyarakat,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering.
Katanya, Amanah Perak kini masuk ke fasa seterusnya, iaitu memperkenalkan parti itu di segenap kawasan bagi memberi pencerahan perjuangan sebenar Amanah.
Katanya lagi, 22 cawangan Amanah yang sedia ada tidak mengambil kira sayap Pemuda, sayap Arif (badan amal naungan Amanah) dan sayap Wanita. Amanah, dalam jangka panjang akan sama kuat dengan lain-lain parti lain dalam Pakatan Harapan. Fokus gerak kerja penerangan Amanah, menurut Nizar, lebih kepada isu-isu semasa yang menekan kehidupan rakyat.
“Topik harian penerangan kita ialah kos sara hidup yang amat membebankan. Rakyat sedang mencari-cari satu parti yang mampu mengetengahkan isu tersebut.
“Parti Amanah yang mewakili semua kaum di Malaysia saya kira mampu menggalas peranan penting ini bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Nizar juga meramalkan Amanah akan mendapat 7 kerusi DUN dalam PRU ke 14 kelak. Lebih satu kerusi berbanding rekod PAS pada PRU 2008.
“Saya berpendapat Amanah akan memenangi 7 kerusi DUN di Perak dengan kerjasama yang kuat dari PKR dan DAP.
“Pakatan Harapan (dengan itu) mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU14 nanti,” katanya.
Nizar juga optimis menjelang PRU14 yang dijangka diadakan dalam dua setengah tahun lagi tidak mustahil parti Amanah mampu mendapat sokongan dan tenaga kerja yang mencukupi untuk berkempen dan masuk pilihan raya dengan mantap sebagaimana rakan-rakan lain dalam Pakatan.