JANGAN JADI MACAM PPSMI TERHADAP BAHASA INGGERIS

Jika dakwaan bahawa 42,000 guru bahasa inggeris tidak layak, maka bagaimana pula dengan membawa fasilitator dari British dengan gaji dan bayaran yang tinggi mengajar guru-guru bahasa inggeris di kawasan pedalaman. Kini tahap guru tersebut bagaimana pula? Dan kenapa pula guru dari India yang dibawa masuk, sedang kan kita mampu untuk melakukannya dengan memberikan latihan terus dari tenaga pengajar

 

PAS persoal Putrajaya ambil guru dari India ajar Bahasa Inggeris

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
September 13, 2013
PAS hari ini mempersoalkan sama ada benar atau tidak Putrajaya mengambil guru Bahasa Inggeris dari India, berikutan dakwaan 70 peratus guru bahasa Inggeris di negara ini tidak layak mengajar.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar), berkata dengan melaksanakan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus menjelang 2016, Kementerian Pendidikan seharusnya bersedia merealisasikan perkara itu.

"Apakah kerajaan sudah ada penyelesaian kepada masalah ini, tetapi masih dirahsiakan kerana pemilihan Umno yang semakin dekat," katanya.

"Dengan keyakinan kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib, PAS ingin bertanya apakah langkah mengambil guru India ini solusi yang dirahsiakan?

"Apakah langkah membuat Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib sekadar untuk kepentingan komisen golongan tertentu yang dipertanggungjawabkan untuk mengimport guru India ini," katanya.
Beliau turut mempersoalkan bilangan guru dari India yang akan di bawa masuk Putrajaya sekiranya perjanjian itu dipersetujui.

"Bagaimana skim gaji mereka, berapa lama kontrak mereka, apakah mereka akan diberi kerakyatan selepas tempoh tertentu dan appakah kemasukan mereka akan menindas guru yang ada.

"Bagaimana pula dengan nasib 42,000 guru Bahasa Inggeris yang lemah kini," katanya.
Tuan Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya melabur untuk meningkatkan kualiti guru Inggeris tempatan dan bukannya melabur pada negara India dan memberikan pekerjaan pada warga asing tatkala rakyat disuruh berjimat dengan pengurangan subsidi.

Katanya, jika tidak benar guru India akan diimport masuk, kementerian harus mengemukakan satu pelan untuk mengatasi kekurangan guru Bahasa Inggeris berkualiti yang dihadapi kini. - 13 September, 2013.