Pendatang haram diberi IC, 300,000 rakyat tempatan ‘merempat’
(Oleh Arif Juhani)
PUTARAJAYA 18 Jan: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran mengutuk keras
Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi kerakyatan kepada warga asing,
tetapi menindas ratusan ribu rakyat mendapatkan kad pengenalan (IC).
Katanya, mantan Perdana Menteri itu boleh dianggap penderhaka ekoran membenarkan pendatang asing menjadi warganegara.
“Mahathir
dan pemimpin Umno yang terbabit dalam pemberian IC kepada orang asing
adalah penderhaka kerana mengizinkan perkara ini berlaku,” katanya
kepada pemberita selepas bertemu pegawai Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN), di sini bagi mendapat respon berhubung masalah 300,000 masyarakat
India tidak memiliki kad pengenalan.
Surendran mendesak PDRM segera menyiasat Mahathir ekoran skandal
pemberian beratus ribu status kerakyatan kepada warga asing di Sabah dan
memberi keadilan kepada rakyat yang menjadi mangsa kezaliman Umno BN.
“Situasi ini serius, anak yang lahir di Malaysia sukar mendapat kad
pengenalan atas alasan tidak munasabah, sebaliknya warga asing dapat
kerakyatan.
“Dalam hal ini, Mahathir adalah penderhaka negara kerana membebankan
rakyat yang tidak mendapat IC sekaligus menafikan hak keistimewaan yang
sepatutnya diterima seperti faedah pendidikan, kesihatan dan pekerjaan,”
kata Surendran.
Sementara itu, Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya membidas
alasan tidak munasabah JPN berkenaan status permohonan masyarakat India,
seperti pemohon tidak fasih berbahasa Melayu.
“KEADILAN masih menunggu syarat khusus dari JPN, kononnya tidak
dipenuhi pemohon sedangkan 99 peratus pemohon yang dibawa (ke JPN) lahir
di Malaysia,” katanya.
“JPN wajar bertolak ansur dan praktikal kerana terdapat masalah pembuktian dokumen ibu bapa dari pemohon.
“Ini masalah yang diwarisi, mustahil mereka dapat menyerahkan dokumen
ibu bapa sedangkan ada pemohon di kalangan warga emas,” jelasnya.
Turut
hadir, Senator S Ramakrishnan; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr
Dzulkifli Ahmad; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud; Ahli
Parlimen Teluk Intan, M Manogaran dan aktivis Pakatan Rakyat.
Ikut serta, dua pemohon remaja, Hari, 14, dan Haran, 12, dari Rumah Kebajikan Agathis, Petaling Jaya.
KEADILAN sebelum ini mengadakan himpunan aman “Duduk Bantah” 12
Disember lalu sebagai desakan agar masalah rakyat Malaysia yang dinafi
mendapatkan kad pengenalan diselesaikan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43463