Gerakan Hishammuddin cetus saingan sengit dalam Umno BN?
Desakan beberapa pimpinan Umno agar melantik bekas naib presiden Hishammuddin Hussein sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dijangka mendorong kepada persaingan sengit dalaman Umno.
Hal ini, selepas Hishammuddin didakwa cuba mengusahakan pembentukan kerajaan campuran tanpa DAP dan Amanah.
Pemerhati politik mendakwa usaha meletakkan Hishammuddin di kedudukan tinggai dalam BN adalah untuk memudahkan pemimpin itu mendapat posisi utama sama ada dalam kerajaan baharu mahu pun selepas pilihan raya umum ke 15 sekiranya Umno – Pas menang.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun berkata keadaan itu sebaliknya akan mewujudkan spekulasi Umno terbahagi kepada dua kumpulan dominan.
“Di pihak Hishammudin dan Umno Johor mereka mahu bangkit dan bersatu dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN). Mereka nak merampas semula tapuk pemerintahan, itu rasional Umno Johor.
“Kedua, di pihak Najib dan Zahid, mereka melihat Hishammudin agak berbelah bahagi dengan parti Umno sendiri, kerana Hishammudin dilihat mahukan pendekatan mesra dengan Mahathir.
“Lantikan Hishammuddin juga mendapat sokongan kuat dari Mohammad Hasan dan ahli parlimen Umno yang lain kerana beliau dilihat berpotensi untuk memajukan Umno walaupun tidak menjawat sebarang jawatan buat masa sekarang,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Jelas Dr Awang, persaingan di antara dua pihak itu mungkin menyebabkan Zahid dan Najib yang menghadapi pendakwaan mahkamah tersingkir namun akan mencetuskan ketidaktentuan kerana mereka memiliki penyokong yang ramai.
“Jika Hishammuddin berjaya menjawat jawatan dan menyingkirkan Najib dan Zahid, satu gabungan bersama Umno Johor dan Tokmat akan membentuk gerakan baru dalam Umno, tapi ia tak semudah seperti yang disangka kerana ketua bahagian dalaman Umno banyak berpihak pada Najib dan Zahid,” ujarnya lagi.
Terdahulu, sumber mendakwa tiga pemimpin BN, Ahmad Zahid, Presiden MIC, S. Vigneswaran, dan Presiden MCA, Wee Ka Siong telah mengadakan perjumpaan pada 27 Ogos lalu membincangkan perubahan jawatan dalam parti. Namun sehingga hari ini tiada sebarang keputusan dibuat.