Tubuh kerajaan pintu belakang pengkhianatan – Khalid
Komplot menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menggantikannya dengan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah disifatkan satu pengkhianatan terhadap rakyat.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, individu yang berkaitan dengan usaha itu disifatkannya sebagai tidak bermaruah dan beliau yakin usaha itu hanya akan menemui kegagalan.
“Sekiranya komplot ini benar ia adalah satu usaha untuk membentuk kerajaan mengikut pintu belakang dan ia sangat tidak bermaruah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Penguatkuasa ke-50 Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.
Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam sebelumnya mengulas pendedahan yang mendakwa Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Tun Hussein dan beberapa pemimpin HARAPAN termasuk seorang berprofile tinggi dari KEADILAN yang mahu memungkiri mandat rakyat.
Usaha itu didakwa termasuk menghalang Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menggantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu tambah Khalid, usaha itu juga hanya memperlihatkan ketidakyakinan Barisan Pembangkang diketuai Umno dan PAS bahawa mereka mampu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Kebimbangan itu ditambah teruk sekiranya HARAPAN terus memerintah sehingga tempoh
Sehubungan itu Khalid menggesa pembangkang agar menghormati mandat rakyat dan tidak meneruskan pengkhianatan itu dengan usaha menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang. – RF8 Media