KEHANCURAN YANG BERBALOI
18 Mei 2015
CG BARD
Bila
berada dalam keadaan tertekan, siapa pun boleh jadi bertindak di luar
batasan, sifir perkiraan menjadi songsang, kesabaran hilang punca,
kewarasan menjadi tipis, kemarahan tidak mampu ditampung, tindakan liar
tak mampu dibendung.
Itulah yang berlaku di
stadium Terengganu malam semalam. Perlawanan di antara pasukan
Terengganu menerima kunjungan singa muda dari Singapura untuk timbal
semula separuh akhir Piala FA. Perlawanan berkesudahan dengan singa muda
layak ke perlawanan akhir Piala FA bertemu Kelantan, dengan pengadilan
yang disaksikan berat sebelah.
Bukan sekadar
menang-kalah bolasepak, bukan tidak biasa pengadil berlaku tidak adil,
ia kerap sahaja berlaku memandangkan FAM itu sendiri tiada kualiti sejak
turun temurun maka mutu pengadilan juga agak 'low class'. Bukan sekali
keputusan upset luar biasa menjadi ratapan penyokong bolasepak, ia
berlaku di mana-mana. Lagi pun ranking bola sepak negara meng'gua' di
tangga 167 dunia, dari 199 tangga, apa nak gaduh?
Soalnya
mengapa rusuhan itu berlaku? Apakah yang mempengaruhi penyokong
sehingga sanggup membakar stadium sultan terengganu? Mereka bukan di
bawah pengaruh alkohol, apakah punca mereka begitu berani demi bolasepak
tangga 167 dunia?
Dari pengamatan halus saya
dan secara logiknya, apabila saluran usus kosong, salur nafas pun sempit
dengan tusukan injap jantung yang tidak menentu lantas memacu deras
adrenalin negetif. Maka situasi ini menyebabkan kecelaruan dalam
pemikiran berpunca dari 'pressure' tinggi pada salur sel-sel otak yang
berhubung. Waktu ini jangan kata stadium, malah istana pun boleh
terbakar.
Jangan dipandang sebelah mata
peristiwa bakar stadium ini, jangan hanya kira dari sudut bolasepak
semata, ia masih bukan soal menang-kalah suatu pasukan. Ia soal
tindakkan menembusi batas norma.
Hujung tahun
2013, saya pernah menjangkakan bahawa rusuhan besar bakal berlaku pada
tahun 2017, iaitu setahun sebelum mandat penggal ke 13 tamat. Punca
asalnya ialah penafian demokrasi apabila rakyat tidak diberi pilihan
untuk ubah pentadbiran negara. Kesengsaraan ekonomi pula menjadi
pencetusnya.
Saya kira, rakyat terbanyak
berdepan dengan pelbagai kecurangan ekonomi yang menyebabkan kehilangan
kualiti hidup dalam skala yang besar. Duit tak cukup hingga hujung bulan
ketika hutang sudah capai 'exceed'. Suami isteri kerja pun masih tak
cukup, malah dengan tambahan kerja sebelah malam juga masih tidak cukup
makan. Maka tahun 2017 adalah 'klimex'nya.
Namun
dari suasana sosio ekonomi rakyat hari ini yang sangat terkesan dengan
kezaliman dan penindasan regim pentadbiran negara, ketika rakyat terus
dimangsakan di atas kebodohan dan kerakusan pemerintah yang hidup mewah
kaya raya, rusuhan besar yang saya katakan berlaku tahun 2017 itu
meleset, kerana ia akan berlaku lebih awal dari jangkaan.
Rakyat
semakin tertekan, ia boleh dilihat di mana-mana, di jalanraya, di
rumah, di pejabat, di pusat sukan, di rumah mertua. Untuk menghilangkan
rasa tertekan, hiburan menjadi rebutan. Lihatlah sekeliling, bukankah
negara ini rakyatnya semakin tergilakan pelbagai jenis hiburan?
Satu
cara yang betul untuk melepaskan tekanan ialah mencari sasaran sebenar,
dan protes lah. Jika perlawanan bolasepak tidak adil, sasarannya ialah
badan FAM. Jika kek ekonomi negara dibahagi dengan cara tidak adil, maka
protes lah pemerintah.
Bagi kes di Malaysia,
biasanya jalanraya menjadi lokasi pilihan untuk protes. Tidak seperti
kebanyakkan negara luar yang memilih bangunan kerajaan termasuklah
parlimen sebagai pilihan protes, dan ia ambil masa berminggu.
Ada
yang menyindir kononnya rakyat tidak lagi peduli dengan perlawanan di
jalanraya. Ternyata telahan mereka tersasar bila himpunan 1 Mei
baru-baru ini mendapat sambutan dan bantahan GST menjadi antara faktor
utama.
Harus diingat, selama ini himpunan besar
seperti BERSIH dan Blackout 505 adalah berkisar bantahan terhadap
demokrasi yang disailang oleh regim demi terus berkuasa. Kesannya hanya
kemarahan sementara dan kehidupan harus diteruskan. Tetapi bilamana wang
poket bocor siang dan malam kena sailang dek regim, saya percaya
kesannya terus ke jantung kehidupan seharian ke sebulanan.
Tidak
perlu saya cerita pasal kesan GST atau perihal 1MDB yang menyaksikan
duit simpanan pergi haji pun dirompak. Bila tiba masanya, tidak perlu
jemput rakyat turun ke jalanraya, meraka yang bocor poketnya ini akan
turun protes di jalanraya secara automatik, mungkin lebih dari itu. Di
sini bermulanya detik revolusi.
Bibit-bibit
revolusi bercambah dari hari ke hari. Revolusi kecintaan terhadap
tanahair, revolusi kasih sayang di antara kita marhein.
Apakah
revolusi itu membentuk kehancuran? Tidak, revolusi itu adalah
pembangunan. Padahal negara ini sememangnya sudah hancur dengan hutang
hampir mencecah trilion. Hanya tinggal fizikalnya sahaja, isi dan
organnya sudah hancur tunggu masa berderai.
Bukan
saya minta negara ini hancur, tetapi sudah saya katakan tadi, negara
sudah pun hancur. Hanya belum dapat dilihat dengan mata yang nyata.
Hanya revolusi mampu menyelamatkan negara.
Kehancuran
tidak mampu dielakkan, kita akan bina semula negara ini dengan sistem
dan polisi yang baru, ya semestinya polisi sebuah negara rakyat dalam
erti kata sebenar. Revolusi itu adalah kelahiran semula.
Ia mungkin satu proses yang panjang. Namun percayalah, ianya berbaloi demi masa depan anak-anak kita.
Percayalah
juga, melepasi revolusi penuh kecintaan kepada tanahair ini akan
menyaksikan rakyatnya tidak lagi tergamak buang sampah merata-rata,
apatah lagi membuang anak merata-rata.
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)