Selamat Hari Malaysia: Al Fatihah Al-Marhum Rosli Dhoby

Selamat Hari Malaysia: Al Fatihah Al-Marhum Rosli Dhoby


Al-Marhum Rosli Dhoby difitnah Inggeris sebagai penderhaka, penjenayah, penjahat dan menemui ajalnya ditali gantung penjajah. Jenazahnya juga dihina inggeris, makam tanpa nesan, dikuburkan di dalam penjara Kuching, Sarawak.

Warkah terakhir Al-Marhum:

Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.

1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.

2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita – Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.

4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.

(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud.

Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)

6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.

7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.

8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.

Salam sembah dari anakanda.

Rosli Dhoby

1 Mac, 1950.

Lee Ban Chen: Kenyataan Mat Sabu sesuatu yang pernah disetujui kerajaan

Serangan kerajaan terhadap "komunis" baru-baru ini, semata-mata untuk menyanggah kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, semakin dipertikai. Pengamat politik, Lee Ban Chen berkata kerajaan pada hakikatnya telah mempunyai pendirian, bahawa sumbangan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan "tidak dipertikai dan tidak dinafikan", ketika menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada tahun 1989.

Beliau memetik dari buku Setiausaha Agung PKM, "Chin Peng: My Side of history", bahawa kerajaan melalui wakil polis, Rahim Noor pada ketika itu telah menyatakan pendirian tersebut. "Kalau kerajaan Malaysia sudah membuat perjanjian dengan CPM (PKM), dan mengaku mereka sudah ada sumbangan untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan negara kita... Jika itulah pendirian kerajaan, bermakna apa yang dikatakan Mat Sabu itu memang sesuatu yang tepat, dan sesuatu yang telah disetujui oleh kerajaan Malaysia. Jika itulah halnya, maka sekarang mengapa buat heboh?"

Malah, Lee Ban Chen (gambar kanan) mengambil contoh karikutur yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 13 September 2011, mempertikaikan kerajaan bahawa mengapa tuduhan yang "sukar dibuktikan" ini dibenarkan selepas lebih 20 tahun perjanjian damai ditandatangani?

Maka soalan seterusnya adalah, "Adakah perjanjian Haadyai itu, kerajaan masih mengakui? Adakah kerajaan masih mematuhi apa yang telah ditandatangani? Kerana selama 20 tahun ini, pihak komunis tak ada buat apa-apa. Mereka cari makan, mereka buat kerja mereka, mereka pun jarang mengambil bahagian dalam arena politik."

Lee Ban Chen berasa hairan, "mengapa keadaan boleh menjadi begini?" Disebabkan komentar daripada Mat Sabu, komunis Malaya "yang tidak berbuat apa-apa (untuk 20 tahun ini)", diserang sebegitu, sehingga mencungkil luka bekas tentara dan bekas polis, seolah-olah ada serangan diadakan dari pihak komunis.

Beliau seterusnya mempersoalkan logik Perdana Menteri Najib Razak, bahawa Malaysia kini bekerjasama dengan Komunis China, kononnya "Komunis China sekarang komunis yang baik". "Saya tak tahulah, kerajaan kita nak berbaik dengan komunis China, tapi nak serang ideologi komunis, tak tahu itu logik apa? Kalau you kata komunis itu memang kejam, komunis China kejamlah! Tapi you tak kata begini..."

Lee Ban Chen berkata sedemikian dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Turut hadir sebagai panelis adalah Sasterawan Negara A.Samad Said, dan Penasihat Tamil Foudation dan Pengerusi SUARAM, Arumugam. John Brian, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Dayak dan blogger Dayak baru yang dibariskan sebagai panelis sebelum ini, gagal menghadirkan diri kerana masalah tertentu. Forum yang dihadiri kira-kira 50 orang ini dipengerusikan oleh Adam Adli Bin Abd Halim, iaitu Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif UPSI.

"Perlembagaan Rakyat pada masa itu adalah Buku Jingga sekarang!"

Selain itu, Lee Ban Chen (gambar bawah) turut mengisahkan sejarah bagaimana golongan agamawan, nasionalis dan sayap kiri boleh mencapai muafakat untuk merangka Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947, dan bersetuju dalam 10 perkara, termasuk "Raja-raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar, bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat".

"Ini sesuatu yang cukup istimewa pada masa itu. Sesuatu yang mendapat kerjasama semua bangsa dan berlatarbelakangkan ideologi yang berlainan. Ini suatu contoh bagaimana kita hendak merangka satu politik atau perlembagaan yang menyeluruh, kita harus berkompromi antara kaum... Dan mencapai sesuatu yang dapat diterima semua pihak. Ini sesuatu kejayaan yang besar gerakan rakyat masa itu. Tapi malangnya kerajaan British tidak terima..."

Malah Lee Ban Chen menganggap "Perlembagaan Rakyat" oleh AMCJA-Putera pada ketika itu, boleh diibaratkan bagai "Buku Jingga" oleh Pakatan Rakyat sekarang, memperlihatkan kematangan parti politik untuk bersepakat dengan kerangka tertentu pada peringkat itu untuk menentang penjajahan, katanya.

Ketika mengulas "Perlembagaan Rakyat" pada tahun 1947, Arumugam (gambar kanan) berkata wujudnya dua golongan gandingan politik ketika itu, iaitu golongan progresif dari bawah, yang menjaga "kepentingan rakyat"; sementera satu lagi kombinasi politik dari atas, yang berasaskan perkauman, misalnya UMNO, MCA dan MIC. British memilih untuk berunding dengan golongan UMNO, MCA dan MIC, untuk mengetepikan golongan progresif yang menjaga kepentingan rakyat.

Baca: A.Samad: Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

**Forum "Milik siapakah kemerdekaan ini?" ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Free Public Forum, Solidarity Mahasiswa Malaysia, Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL& Selangor dan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI).

Hanya Kerajaan Berjiwa Rakyat Akan Dipilih Rakyat



GEORGETOWN 15 SEPT : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan tempoh enam bulan dari sekarang adalah penentuan samada eksperimen politik dan hasil kejayaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 12 sebelum ini dapat melahirkan kerajaan berjiwa rakyat di negeri itu atau tidak.

Dalam kenyataan media sempena Hari Malaysia, Guan Eng berkata, usaha Pakatan dalam menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau dan selamat sepanjang tiga tahun setengah mentadbir negeri itu seharusnya sudah menampakkan perubahan dari segi pemikiran dan keyakinan rakyat.

"Warga Pulau Pinang semakin yakin dan optimis terhadap masa depan kerana mereka boleh bergantung kepada kerajaan berjiwa rakyat yang mendengar kata rakyat, melakukan kerja untuk rakyat dan memberi harapan untuk masa depan yang lebih cerah," katanya.

"Sesungguhnya tiada pengganti bagi prestasi, produktiviti dan kecekapan," kata beliau kenyataan tersebut.

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang diketuai Guan Eng telah menjadi mangsa serangan bertali arus UMNO di media serta jalanan.

UMNO sebelum ini mendakwa Guan Eng sebagai anti Melayu, anti Islam serta bersubahat dalam perjudian dan menyatakan kerajaan Pakatan sebagai korup sebaliknya tidak satu pun tuduhan tersebut terbukti benar.

Guan Eng yang memperjuangkan dasar ketelusan selari dengan 'buku jingga' Pakatan Rakyat telah berjaya merubah dasar korupsi UMNO BN sebelum ini.

"Perubahan yang paling besar dalam pemikiran telah berlaku ekoran daripada dasar kerajaan berjiwa rakyat Pakatan Rakyat yang menegakkan kedaulatan undang-undang. Di Pulau Pinang, dasar ketelusan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bermakna bahawa sebarang urus niaga tidak lagi memerlukan orang dalam atau orang tengah. Yang diperlukan hanya peraturan dan undang-undang," kata beliau.

Tambahnya, cita-cita Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia adalah untuk membanteras rasuah serta ketidakadilan dalam segenap lapisan masyarakat.

Beliau mahu semua bersepakat dalam semangat setiakawan untuk mencapai aspirasi bersama untuk keadilan, kebenaran, kebebasan, demokrasi dan kebajikan sosial demi masa depan Malaysia yang lebih cerah.

"Hanya dengan ekonomi yang bebas daripada rasuah boleh kita memastikan bahawa rakyat akan makmur dan menerima manfaat. Marilah kita mengazamkan masa depan yang bebas daripada ketakutan dan kronisme. Marilah kita mencita-citakan masa depan di mana semua lapisan masyarakat dan kaum, sama ada Melayu, India, Cina, Kadazan atau Iban, akan dianggap sebagai saudara senegara tanpa sebarang diskriminasi." tambahnya.

Loji Penapisan Minyak Esso Terbakar

PORT DICKSON 15 SEPT : Sebahagian daripada loji penapis minyak milik Esso musnah dalam satu kebakaran di Port Dickson awal pagi tadi melibatkan sebuah pam saluran penghantar minyak dari loji ke kapal.

Kira-kira 100 orang pekerja berada di loji berkenaan semasa kebakaran yang bermula pada lewat tengah malam dan sempat menyelematkan diri sementara api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira empat jam kemudian.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Saadon Mokhtar memberitahu Bernama pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.06 pagi dan mengejarkan enam jentera bomba termasuk unit Hazamat (bahan merbahaya) bersama 32 anggota ke tempat kejadian.

Katanya, tiada laporan kemalangan atau kecederaan diterima dan kerja memadamkan kebakaran turut dibantu oleh dua jentera bersama-sama 24 anggota pasukan bomba Esso dan Shell.

Tambahnya lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

Sementara itu, menurut seorang pekerja di loji berkenaan Kassim Bee Mohamad Kassim, 49, berkata pada awalnya beliau terdengar bunyi mesin yang kuat dan letupan kemudiannya melihat api marak dengan tiba-tiba.

T Mallika, 54, seorang pekerja berkata semasa kejadian, mereka sedang bekerja dan ketakutan serta terus lari keluar menyelamatkan diri apabila melihat api menjulang naik.

Mantan Polis Syak "Rakan" Mat Sabu Cuba Sebar Fahaman Komunis

KUALA LUMPUR 15 SEPT: Bekas pengarah cawangan khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkefli Abdul Rahman mengesyaki golongan yang mendampingi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu cuba menerapkan semula fahaman komunis di negara ini.

"Mat Sabu bukan komunis. Saya tidak percaya dia komunis. Tetapi adakah dia akan memperkenalkan siapa orang disekeliling dia. (Orang) yang menyampaikan idea untuk membangkitkan Mat Indera," ujar beliau.

Beliau berkata pendekatan terkini Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipercayai masih bergiat aktif di Selatan Thailand menggunakan ahli-ahlinya yang terpelajar untuk menerapkan ideologi parti itu dalam masyarakat.

"Pergerakan komunis tidak akan mati walaupun kita sudah menandatangani perjanjian tidak bererti ia sudah habis. Walaupun pergerakan komunis sudah habis tapi pemahaman masih ada," katanya ketika berucap di dewan Kelab Sultan Sulaiman malam tadi.

Zulkefli bersama tiga panel lain dijemput khas oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam sebuah forum bertajuk'Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan' di mana presidennya Datuk Ibrahim Ali bertindak sebagai moderator.

Inisiatif forum itu dianjurkan bagi menjawab spekulasi yang dicetuskan oleh Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam ucapannya di Tasik Gelugor 21 Ogos lalu menyentuh perjuangan Mat Indera yang dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Dalam ucapannya Zulkefli menyifatkan ideologi komunis mengatasi agama.

Menurut beliau, mana-mana individu yang telah menawarkan diri untuk menjadi pengikut komunis maka 'segala yang diperjuangkan demi kepentingan manusia'.

"Komunis tidak akan meninggalkan objektif dan matlamat untuk menkomuniskan (masyarakat). Masa tidak menjadi sebarang masalah," katanya lagi.

Tambahnya lagi komunis hanya menunggu masa untuk mengambil kesempatan atas masalah yang melanda negara termasuk sosial, budaya dan perkauman.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Damai dengan negara Thailand dan PKM di Haadyai pada 2 Disember 1989.

Persetujuan yang dimeterai ketiga-tiga pihak itu menyebut agar PKM menghentikan perjuangan bersenjata selain perlu berikrar taat setia kepada Yang diPertuan Agong Malaysia.

Turut dinyatakan kerajaan Malaysia sedia membantu mana-mana ahli PKM yang telah meletakkan senjata untuk menetap di negara Malaysia untuk memulakan hidup baru.

Namun permohonan Setiausaha Agung PKM, Chin Peng untuk kembali ke tanah air pada tahun 2009 ditolak kerajaan Malaysia kerana beliau masih memegang jawatan setiausaha agung parti itu.

Beliau yang telah hidup dalam buangan selama 22 tahun pernah memohon untuk kembali ke tempat kelahirannya di Setiawan, Perak.

PR Saran Najib Lepaskan Portfolio Kementerian Kewangan

PETALING JAYA 15 SEPT : Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan beliau kepada orang lain kerana kegagalan rancangan transformasi ekonominya sejak 3 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat menyatakan sejak Najib memberi tekanan kepada Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 17 September 2008 untuk menyerahkan Kementerian Kewangan kepadanya, Kementerian itu tidak berjaya untuk melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi Negara dari perangkap negara berpendapatan pertengahan menerusi Model Ekonomi Baru yang dicanang-canangkannya.

"Pakatan Rakyat juga turut sedia maklum bahawa Datuk Seri Najib ketika ini sedang bergelut keseorangan mempertahan kedudukannya di dalam kabinet dan juga Umno.

"Sekiranya kita menggunakan analogi korporat, tidak akan berlaku seseorang Ketua Pegawai Eksekutif tersebut menjadi Ketua Pegawai Kewangannya juga. Oleh yang demikian, untuk seseorang PM turut juga menjadi Menteri Kewangan adalah sesuatu yang amat janggal di mana-mana negara pun di dunia dan menyimpang jauh dari prinsip tadbir urus yang baik,"tulis kenyataan media itu.

Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat diketuai oleh ahli parlimen Kuala Selangor dari PAS Dr Dzulkefly Ahmad dan beberapa lagi ahli parlimen seperti ahli parlimen Bukit Bendera dari DAP Liew Chin Tong, ahli parlimen Subang dari PKR R. Sivarasa dan ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Najib telah mengemukakan beberapa gagasan besar sepanjang tiga tahun ini untuk meningkatkan pengaruh dan sokongan beliau sebagai Perdana Menteri.

Ini termasuklah konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Ekonomi Kerajaan (PTE), RMK-10 dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Walaubagaimanapun, MBE dan konsep 1 Malaysia dilihat seolah disabotaj sendiri oleh parti beliau iaitu Umno dengan kenyataan berani pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mempertikaikan program tersebut terutamanya kumpulan Pendesak Melayu, Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali dan secara majoriti dianggotai pimpinan akar umbi Umno sendiri.

Menurut kenyataan tersebut lagi, Najib sebagai Menteri Kewangan, turut mengakibatkan negara kerugian berpuluh juta ringgit kerana kesilapan yang sepatutnya tidak dilakukan beliau.

"Menteri Kewangan juga kerapkali berdolak-dalik di dalam membuat keputusannya yang mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit seperti kegagalan polisi penggunaan teknologi nano untuk melabel minyak. Yang terakhir sekali, cukai 6% untuk telefon prabayar.

"Ketidakseimbangan ekonomi juga semakin meruncing disebabkan tahap gaji pekerja yang tidak meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi," dakwa Pakatan Rakyat.

Justeru, Pakatan Rakyat mahu Najib secara sukarela 'bersara' dari Kementerian itu sebelum keadaan ekonomi Malaysia meruncing.

"Oleh yang demikian, di dalam semangat menghormati Hari Malaysia ini, Pakatan Rakyat dengan ini menyarankan agar Datuk Seri Najib mengambil sendiri nasihat yang diberikannya kepada Tun Abdullah Badawi dahulu dan melantik seorang penyokong yang masih dipercayainya untuk mengambil-alih jawatan Menteri Kewangan tersebut sebelum keadaan ekonomi kita merudum lebih jauh,"katanya lagi.