Pemotongan Subsidi : KJ Tak Perlu Bersandiwara, Kata Saifuddin




PETALING JAYA 23 MEI : Muslihat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang ingin meraih populariti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 dengan menggesa kerajaan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, gagal meraih perhatian umum, sebaliknya hanya menjatuhkan kredibiliti beliau.

Apatah lagi hujah ahli parlimen Rembau itu pantas dibidas oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang membawa kembali ingatan Khairy pada skrip yang pernah dilaungkan beliau pada sidang parlimen 2008 ketika bapa mentuanya, Abdullah Badawi masih menjawat jawatan Perdana Menteri.

Katanya, adalah mustahil sekiranya pendirian Khairy berubah hanya dalam tempoh tiga tahun

"Dalam ucapan tersebut, Khairy direkod hansard sebagai berkata, "walaupun pahit dan mengundang pelbagai reaksi negatif rakyat jelata, (namun) keputusan kerajaan menstrukturkan (menarik balik) subsidi merupakan satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan".

"Beliau juga berkata dengan menaikkan harga minyak dan harga barangan keperluan, kerajaan membuat keputusan yang bertanggungjawab, beramanah dan jauh memandang ke hadapan,"kata Saifuddin.

"Beliau menambah, walaupun rakyat terpaksa memikul beban hari ini, penstrukturan semula subsidi ini membawa sistem yang lebih adil dengan subsidi yang progresif,"tambahnya lagi dalam satu kenyataan media.

Ucapan Khairy itu pada 23 Jun 2008 ketika membahaskan usul kenaikan harga petrol dan barangan yang dikemukakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Lantaran itu, Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang mempersoalkan tindakan Khairy selaku pemimpin utama parti Umno yang tidak berpegang kepada prinsip asal beliau.

"Kenapa ketika bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri, Khairy menyokong penarikan subsidi dan kenaikan harga barang, sedangkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, Khairy terpaksa meminjam hujah Pakatan Rakyat yang konsisten menentang kenaikan harga barang dan penarikan subsidi kepada rakyat?,"soal Saifuddin.

Justeru itu beliau menyeru Khairy agar tidak memperbodoh-bodohkan rakyat dengan hujah dangkalnya hanya untuk meraih populariti menjelang pilihan raya umum.

Khairy pada 16 Mei lalu melahirkan kegusarannya dan menggesa kerajaan tidak menaikkan harga minyak RON95 dan menyeru agar tindakan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat semua.

Kontrak TNB-IPP Memaksa Harga Elektrik Naik





PETALING JAYA 23 MEI : Kontrak yang dipaksakan ke atas Tenaga Nasional demi memberi keuntungan lumayan kepada syarikat penjana bebas (IPP) menyebabkan rakyat menanggung kadar elektrik yang tinggi berbanding negara jiran, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengulas ura-ura bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional akan menaikan kadar elektrik bulan depan selepas dinaikan pada Mac 2009.

Anwar mendedahkan rakyat Malaysia sekarang terpaksa membayar kadar elektrik yang jauh lebih mahal berbanding negara jiran seperti Thailand sungguhpun bahan api seperti gas asli di negara ini menikmati kemudahan subsidi.

Beliau berkata TNB mengalami pendarahan kewangan kerana terpaksa membayar harga yang amat tinggi untuk membeli elektrik daripada IPP.

Selain mengaut keuntungan berlipat ganda dari TNB, syarikat IPP juga menikmati subsidi gas berjumlah RM22 bilion ringgit.

“Jika dibandingkan dengan negara jiran, umpamanya, Thailand, tarif elektrik Malaysia ternyata masih tinggi, sungguhpun negara jiran itu membeli gas asli pada kadar harga semasa,” kata Anwar.

“Pada masa ini harga semasa (yang dibayar Thailand) adalah tiga kali lebih tinggi dari harga gas asli yang disubsidikan di Malaysia,” tambah beliau yang juga bekas Menteri Kewangan.

Anwar berkata seorang pemilik rumah di Thailand hanya membayar 18 sen per kWh untuk 150 kWh yang pertama, manakala pengguna di Malaysia terpaksa membayar 22 sen atau 22 peratus lebih untuk kadar yang sama.

Tarif untuk pengguna runcit di bawah kategori “tarif komersial untuk penggunaan voltan rendah” di Malaysia pula adalah 37 sen per kWh atau 48peratus lebih tinggi dari kadar di Thailand iaitu 25 sen per kWh.

Anwar berkata usaha segera harus dilakukan untuk merunding semula kontrak IPP bagi memastikan tarif elektrik tidak membebankan pengguna negara ini.

" Mantan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope telah menyatakan kepada umum bahawa beliau tidak bersetuju dengan harga yang terlalu mahal yang dikenakan oleh Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta ke atas TNB.

"Harga yang dicatatkan iaitu 13.7 sen sehingga 15.5 sen per kWh (kilowatt hour). Harga elektrik yang dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah lebih mahal dari harga tenaga yang dihasilkan oleh TNB sendiri,"katanya.

"Ini bermakna TNB dipaksa membeli elektrik pada harga yang tak sepatutnya. Malahan harga tersebut ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian, sepanjang membekalkan tenaga tersebut, harga yang dikenakan ke atas TNB berubah menuruti kadar terdahulu sekaligus membolehkan Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta (IPP) mengaut keuntungan yang besarlebih awal,"tambah Anwar lagi.

Menurut Anwar, perjanjian yang diikat dengan IPP hanyalah untuk melindungi syarikat IPP daripada sebarang risiko kenaikan harga bahan api namun meletakkan beban ke atas TNB dan rakyat sekiranya harga bahan bakar itu melonjak tinggi.

" Akibat dari perjanjian ini, Petronas terpaksa mengeluarkan dan membeli gas asli pada harga yang lebih mahal dan kemudiannya menjualnya pula pada kadar harga subsidi yang tetap. Hakikatnya kos subsidi gas ini telah melonjak kepada RM 22billion setahun,” kata Anwar.

" Justeru akibat perjanjian yang rumit dan berat sebelah ini, rakyat Malaysia terpaksa membayar tarif elektrik yang tinggi,’ tambah Anwar.

Ini berlaku apabila TNB terpaksa membayar kos yang tinggi kepada IPP dan tindakan syarikat swasta itu menuntut keuntungan pada kadar masa yang cepat sehingga membebankan rakyat, tambah Anwar.

Justeru mantan Menteri Kewangan itu menggesa Putrajaya menyemak semula harga yang dikenakan IPP ke atas TNB, termasuk menggugurkan elemen yang menjamin keuntungan lumayan untuk syarikat berkenaan dalam setiap keadaan.

Bawa Usul Demonstrasi Dalam Stadium, KDN Terus Halang Kebangkitan Rakyat





SHAH ALAM 23 MEI : Usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membawa usul demonstrasi tanpa permit di stadium ke Kabinet bagi mengelakkan penganjurannya oleh pihak-pihak tertentu mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam disifatkan sebagai taktik kotor kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) untuk menggagalkan tujuan sebenar setiap demonstrasi tersebut khususnya yang melibatkan parti pembangkang.

Malah menurut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Kerajaan Persekutuan juga secara jelas khuatir setiap demonstrasi yang diadakan itu akan menggugat mereka sekali gus tidak membenarkan demonstrasi diadakan di jalanan.

"Bagi kita, kita yang mahu melakukan demonstrasi. Jika demonstrasi itu diadakan di dalam stadium sahaja ia jelas sangat jauh dan terpisah daripada orang awam maka setiap demonstrasi yang akan diadakan tidak akan tercapai matlamatnya." katanya.

Khalid Samad berkata demikian ketika di hubungi Tv Selangor bagi mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien bahawa pihaknya akan membawa usul demonstrasi tanpa permit di stadium ke Kabinet bagi mengelakkan penganjurannya oleh pihak-pihak tertentu mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Simpang Pulai, Johor Bahru, semalam.

Hishammuddin berkata, menerusi kaedah itu soal keselamatan sepanjang demonstrasi yang berlangsung di stadium terbabit akan dipantau sepenuhnya oleh polis.

"Untuk tujuan itu (demonstrasi di stadium) kita akan pinda akta tertentu dan bawa ke Kabinet melalui Peguam Negara untuk kelulusan," katanya.

Hishammuddin berkata demikian sebagai respon kepada tindakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu yang merancang untuk mengadakan demonstrasi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 9 Julai depan.

Parti Pas merupakan antara penganjur Bersih selain PKR, DAP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, yang pernah mengadakan demonstrasi di tempat-tempat awam dan jalanan sebelum ini.

Ujar Khalid Samad yang juga AJK PAS Pusat, tujuan utama sesebuah demonstrasi itu dianjurkan adalah untuk menarik perhatian masyarakat umum akan setiap perkara yang diutarakan, dan jika ia dibuat di dalam stadium maka suasana demonstrasi akan menjadi hambar yakni seperti menonton permainan bola sepak yang hanya boleh bersorak ketika pemain menjaringkan gol ke gawang pihak lawan.

Tegas Khalid lagi, setiap demonstrasi yang diadakan oleh rakyat semata-mata untuk menyuarakan rasa hati serta bantahan mengenai sesuatu perkara yang tidak mendapat persetujuan mereka dan bukan untuk membuat kecoh atau menimbulkan huru-hara seperti yang diputar-belitkan sesetengah media.

"Seharusnya kerajaan pusat tidak menolak hak rakyat untuk berkumpul dan mengadakan demonstrasi secara aman bagi menzahirkan bantahan mereka terhadap sesuatu tindakan pihak kerajaan di jalanraya."ujarnya.

Bagaimanapun Khalid Samad berakata, beliau menyambut baik usul tersebut dan berharap kerajaan benar-benar akan menggunapakai amalan sistem demokrasi mengikut aturan parlimen dan bukannya menyekat hak dan kebebasan rakyat di Malaysia.

"Walaupun ini merupakan satu peningkatan dari segi amalan demokrasi di Malaysia, namun kerajaan perlu pastikan ia benar-benar dilaksanakan dan bukannya hangat-hangat 'tahi ayam' kerana sebelum ini di stadium juga tidak dibenarkan.Bagaimanapun tunjuk perasaan ini mesti dibenarkan di tempat awam juga."katanya.

Undi PR Untuk Iklim Perniagaan Yang Adil, Kata Anwar





SANDAKAN 23 MEI: Pakatan Rakyat menjanjikan iklim perniagaan sihat yang bebas daripada syarikat kroni yang merampas tender dan kontrak lumayan daripada syarikat-syarikat yang jauh lebih berkeupayaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar berkata masa sudah tiba untuk memastikan negara tidak lagi dibelenggui dengan rasuah yang semakin memberi tekanan kepada sumber kewangan negara.

Beliau berkata amalan syarikat kroni Umno-BN masuk tender untuk projek awam, sekali gus menafikan peluang syarikat-syarikat lain harus ditamatkan.

"Apa persamaan mereka semua? Mereka tidak bersaing mendapatkan kontrak dengan syarikat lain. Ini pemimpin (BN) yang ada kepentingan dalam syarikat bertanding dengan syarikat swasta. Tentunya dia menang (dapat kontrak)," kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu.

Berucap dalam majlis makan malam bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sandakan semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang menjanjikan kepimpinan yang lebih amanah jika Pakatan Rakyat menerajui negara.

Beliau turut memberi amaran akan menggugurkan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat yang merelakan rasuah dan penyelewengan berlaku terutama di Selangor, Penang, Kedah dan Kelantan.

"Kalau ada Ketua Menteri atau Menteri Besar Pakatan Rakyat curi, serta merta akan gugurkan.

Bercakap di hadapan tiga ribu hadirin pada majlis itu, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor turut menghuraikan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang memberi banyak manfaat kepada penduduk negeri berkenaan.

Anwar berkata perkara tersebut turut akan berlaku di negeri Sabah sekiranya rakyat memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau berkata MES berpaksi kepada mengembalikan hasil negeri kepada rakyat menerusi pemberian air percuma, pinjaman perniagaan tanpa faedah, tuisen percuma, biasiswa dan simpanan untuk anak negeri itu serta lain-lain program.

"Baru-baru in kita umum bahawa di semua bangunan rumah pangsa dan murah akan dicat semula serta dibaiki tingkap dan lif. Kita juga tambah tempat permainan untuk keluarga, parkir lebih banyak dan kita buat kesemuanya di Selangor. Ini semua kita guna a guna dana negeri sebab kita pentingkan rakyat," jelas beliau lagi.

Anwar kemudian menyeru masyarakat Sandakan yang ramainya terdiri daripada kaum Cina supaya menggunakan kebijaksanaan seraya memberi sokogan kepada parti itu memulihkan sistem pentadbiran negara yang diwarnai dengan rasuah dan pemborosan

"Jadi saya merayu kepada saudara di Sandakan ini bagi sokongan (kepada PR) sebab kita tidak ada pilihan. Negara ini mengalami penurunan, politik dan ekonomi. Jadi mari selesaikan perkara ini. Guna kebijaksanaan dan perkuatkan Pakatan Rakyat,” kata Anwar.

Siapa Bertanggungjawab Terhadap Lynas-JAS, LPTA'




GEORGETOWN 23 MEI : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan seluruh proses kajian semula terhadap loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan seluruh proses kajian semula terhadap loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.

"Terdapat dua proses kelulusan yang berasingan iaitu Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (MNRE) dan Penilaian Kesan Radiologi (RIA) di bawah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Presiden CAP, SM Mohamed Idris mendakwa, di luar pengetahuan orang ramai, Penilaian Kesan Alam Sekitar Awal (PEIA) untuk Lynas tidak meliputi faktor radiasi dan kesihatan.

"Pada hakikatnya, PEIA tidak menjelaskan pengecualian aspek radiasi daripada skop EIA dalam pengenalannya. Sebaliknya, pengecualian itu hanya dinyatakan secara khusus dalam bab kemudian, contohnya Bab 8 'Ringkasan dan Rumusan' (muka 8-13)," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sebagai tambahan, PEIA ada menyebut tentang Penilaian Kesan Radiologi (RIA) tetapi dalam keadaan yang tidak jelas. Contohnya, dalam Bab 2 PEIA, ia menyatakan 'Agensi Nuklear Malaysia (MNA), perunding radiologi yang dilantik oleh Lynas pada ketika ini sedang berusaha mengenalpasti dalam isu-isu keselamatan radiasi berhubung penyimpanan, pengendalian dan pengangkutan lanthamide'.

"Pada akhir Bab 3, PEIA menyebut buat pertama kali bahawa sisa yang dihasilkan dalam operasi loji adalah berradioaktif dan penyimpanannya akan dilakukan menurut saranan berdasarkan kepada 'Penilaian Kesan Radiologi' MNA yang dijalankan untuk projek itu (muka 3-7)," tambahnya.

Kelulusan JAS Pahang

Idris mendakwa projek Lynas mendapat kelulusan JAS Pahang cuma dalam tempoh dua atau tiga minggu selepas penyerahan cadangannya.

"JAS menerima PEIA pada 21 Januari 2008 dan diluluskan pada awal Februari. Bagi projek sebegitu komplek yang melibatkan bahaya radiasi dengan cadangan pengurusan, penyimpanan, dan pelupusan sisa yang kabur, kelulusan segera tersebut menimbulkan persoalan yang serius.

"Ini terutamanya apabila PEIA diserahkan dan diluluskan, RIA mengenai isu keselamatan radiasi masih dalam proses sedang ditulis oleh MNA untuk diserahkan kepada AELB," katanya.

Sehubungan itu, katanya, CAP berasa bimbang:

Pertama, bagaimana PEIA boleh menyarankan Pilihan Binaan (muka 3-8) apabila isu keselamatan radiasi masih belum dipertimbangkan? Bagaimana JAS negeri meluluskan PEIA dengan keadaan tergesa-gesa?

Perlu diingat, katanya, bahawa dalam PEIA, cadangan pengurusan sisa adalah kabur dan tidak mencukupi. Ia termasuklah perkara berikut:

1. Ruang untuk sel simpanan sisa bawah tanah amat terhad memandangkan air bawah tanah amat dekat dengan permukaan;

2. Kawasan itu juga mudah terjejas kepada mendapan kerana ia adalah bekas kawasan tanah paya;

3. Pelepasan sisa berbahaya ke dalam Sungai Balok dan seterusnya ke laut;

4. Sisa radioaktif beracun dan berbahaya yang sepatutnya disimpan dengan teliti dalam kolam khas dan sel simpanan di tapaknya tetapi dicadangkan untuk digunakan semula sebagai baja, konkrit, papan plaster, untuk jalan dan sebagainya (muka 5-58, 59)."

Wujud dua penilaian kesan

Kedua, terdapat RIA yang bebas daripada PEIA bermakna kini wujud dua penilaian kesan yang selari dan bebas.

"Ini berbahaya kepada seluruh proses kajian semula. Di bawah undang-undang alam sekitar Malaysia, JAS adalah pihak berkuasa penyelaras utama terhadap isu berkaitan alam sekitar dan kesannya ke atas kesejahteraan rakyat negara ini.

"MNA dan AELB adalah penggalak teknologi nuklear dan ini mungkin menimbulkan konflik kepentingan memandangkan MNA adalah perunding yang menulis RIA untuk Lynas. Oleh itu, sejauhmana berkesannya JAS dalam mencapai mandatnya untuk melindungi alam sekitar dan kesejahteraan rakyat negara ini?" soalnya.

Idris juga bertanya sejauhmana bebas dan autonominya JAS daripada MNA dan AELB dan adakah dasar dan keputusan JAS akan menjadi kurang penting berbanding kepentingan AELB?

"Adakah JAS terpaksa menyerahkan peranannya kepada AELB dalam perkara yang berkaitan dengan nuklear dan isu yang berkaitan dengan radiasi dan kesannya?

"Persoalan ini amat penting terhadap kredibiliti proses kajian semula Lynas," katanya.

Prosedur kelulusan

Ketiga, kata Idris, apakah penilaian RIA dan prosedur kelulusan di bawah AELB?

"Sementara proses EIA umum di bawah JAS diterbitkan secara meluas dan mudah diperolehi (contohnya dalam laman sesawang JAS), secara perbandingannya, proses RIA terus tidak diketahui.

'Agensi kerajaan manakah yang berada di dalam panel kelulusan RIA? Apakah kriteria untuk penilaian RIA? Kenapakah RIA dan kandungannya tidak dapat diperolehi untuk pemeriksaan pakar bebas?".

Keempat, katanya, Lynas dikehendaki memohon kepada AELB lesen yang berasingan untuk menduduki, pembinaan, pengimportan bahan radioaktif, penimbunan sisa radioaktif di tapak, operasi sementara dan operasi kekal.

"Adalah tidak jelas jika Lynas mempunyai semua lesen untuk beroperasi. AELB berkata hanya lesen menduduki dan pembinaan yang diluluskan."

Kelima, tambah Idris, PEIA yang dilakukan dengan tergesa-gesa itu juga kekurangan penilaian sosio-ekonomi yang sempurna.

Penilaian manfaat kos

"Tiada Penilaian Manfaat Kos (CBA) dilakukan. Alasan utama yang diberikan dalam PEIA untuk saranan Pilihan Binaan untuk projek Lynas ialah pulangan ekonomi dan kewangan yang besar.

"Kekurangan analisis sosio-ekonomi yang sempurna dan CBA membuktikan cadangan Pilihan Binaan adalah tidak betul.

"Contohnya, apakah nilai untuk kesihatan awam, pelancongan, perikanan dan industri lain di kawasan itu dan apakah yang akan berlaku apabila ia terjejas oleh projek Lynas?

"Mereka juga perlu mempertimbangkan contoh kesan kesihatan jangka panjang dalam kes Asian Rare Earth di Perak, dan industri nadir bumi di China," kata Idris sambil menambah bahawa terdapat isu-isu penting yang perlu ditangani berhubung projek Lynas.

Katanya, berdasarkan kepada perkara yang disebutkan di atas, CAP dan SAM menyarankan bahawa:

1. Projek Lynas dihentikan dalam usaha untuk menangani isu, termasuk Pelan Pengurusan Sisa (WMP) yang menurut pakar perlombongan Australia dilaporkan sebagai berkata, 'masih belum didedahkan oleh Lynas)'

2. Penilaian bersepadu dan telus perlu dilakukan untuk projek yang memerlukan EIA dan RIA. Ini boleh mencegah PEIA atau DEIA (EIA lengkap) diluluskan tanpa mengetahui sepenuhnya kesan keselamatan radiologi dalam RIA;

3. DEIA diperlukan mengikut undang-undang bagi sebarang projek yang memerlukan RIA, dengan itu memastikan proses kajian semula yang lebih teliti. Ini wajar, memandangkan aktiviti kurang berbahaya memerlukan penilaian kesan alam sekitar yang lengkap. Seterusnya tidak seperti PEIA, DEIA memastikan penyertaan awam satu mandatori;

4. Analisis sosio-ekonomi yang sempurna diperlukan bagi semua EIA, sama ada peringkat awal atau terperinci;

5. Ahli politik negeri dan persekutuan seharusnya tidak membuat dakwaan bahawa projek kontroversi itu adalah selamat memandangkan pengesahan politik yang tidak bertauliah itu menjadikan kelulusan projek itu bersifat politik, amat berat sebelah dan berbahaya.- Malaysiakini

Rais : RTM Bukan Untuk Pembangkang




KUALA LUMPUR 23 MEI : Kerajaan Umno-Barisan Nasional hari ini membayangkan ia tidak akan mencontohi Singapura dalam memberi ruang televisyen untuk membolehkan pembangkang mengemukakan pendirian bersabit isu-isu nasional menjelang pilihanraya umum akan datang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata RTM adalah “stesen penyiar rasmi kerajaan” dan hanya berita-berita yang disifatkan boleh membantu ke arah “pembangunan masyarakat” akan diberikan liputan.

Rais ditanya sama ada kerajaan akan mengikut jejak pemerintah Singapura yang mencatat sejarah apabila membenarkan pembangkang mengemukakan pelan tindakan mereka bagi rakyat negara itu semasa pilihanraya umum awal bulan ini.

Langkah itu membantu rakyat Singapura membuat pertimbangan yang lebih seimbang mengenai manifesto kerajaan pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pembangkang.

Walaupun PAP mengekalkan kuasa, pembangkang yang diterajui oleh Parti Pekerja menang enam kerusi dan meraih 40 peratus daripada dua juta undi - pencapaian terbaik bagi pembangkang dalam sejarah republik itu.

Rais berkata beliau tidak akan terpengaruh dengan gesaan pihak tertentu mahukan pembangkang diberi ruang telivisyen bagi membolehkan rakyat membuat pilihan secara bijak semasa pilihanraya umum.

" Barang siapa pun boleh beri pandangan tetapi jangan lupa bahawa RTM adalah stesen kerajaan dan bina negara tetap menjadi penghulunya,” kata Rais.

" Jadi sekarang ini bahagian berita dan hal ehwal semasa (RTM) perlu melihat secara objektif tetapi tidak lari daripada RTM sebagai penyiar rasmi kerajaan,” tambah beliau.

Setakat ini rakyat Malaysia hanya sekali berpeluang menonton perbahasan antara kerajaan dan parti pembangkang yang disiarkan secara langsung TV9, Astro dan Bernama TV.

Debat itu menyaksikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berbahas dengan Menteri Penerangan ketika itu Shabery Chik mengenai isu-isu ekonomi dan pengurusan kewangan negara.

Perbahasan itu direstui oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Badawi dan dilihat sebagai permulaan siri forum untuk mematangkan demokrasi di negara ini.

Namun pengganti Abdullah, Najib dilihat menutup ruang itu apabila menggantikan Abdullah kira-kira setahun selepas perbahasan itu.

Najib juga enggan menyahut cabaran Anwar untuk berbahas mengenai Buku Jingga iaitu Pelan Tindakan Pakatan Rakyat sekiranya ia diberi mandat untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Di Malaysia, media arus perdana termasuk RTM, TV3 dan Utusan Malaysia adalah milik penuh atau pun di kawal oleh kerajaan Umno-BN.

Perlantikan-perlantikan kanan seperti Ketua Pengarang Utusan dan Tv3 adalah tertakluk kepada persetujuan pejabat Perdana Menteri.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hatta Wahari berkata kerajaan harus mempunyai kematangan untuk melonggarkan kawalannya ke atas media negara ini.

" Di Singapura kita lihat media yang dikawal kerajaan mula memberikan ruang kepada kerajaan dan kita lihat ini sesuatu yang positif,” kata Hatta.

“Malangnya di Malaysia media masih dikawal oleh kerajaan. Mereka tidak mengikut trend dunia yang menyaksikan semakin banyak kerajaan-kerajaan bebas memberikan ruang kepada semua pihak,” tambah beliau.

Hatta yang dipecat oleh Utusan kerana dilihat sebagai lantang memperjuangkan kebebasan media, menegaskan keengganan kerajaan mengubah dasar-dasar medianya adalah “janggal dan ketinggalan zaman”.

“Rakyat sudah lama bosan dengan sikap “double standard” kerajaan dan menyimpan rasa tidak puas hati termasuk golongan wartawan sendiri. Kerajaan BN enggan mendengar luahan rakyat dan jika sikap ini diteruskan maka akan mengundang reaksi negatif terhadap kerajaan,” kata beliau.

Video Seks : Proses Pendedahan Mahkamah Buktikan BN Terlibat




SHAH ALAM 23 MEI: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Surendren percaya dan yakin bahawa kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berhubung mahkamah akan mendedahkan kebenaran sekali gus menjawab semua persoalan mengenai isu video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah merupakan satu lagi bentuk konspirasi Umno-Barisan Nasional(BN).

Surendren berkata, ia merupakan contoh jelas bagaimana kerajaan telah menyalahgunakan kuasa untuk menindas pembangkang sehingga sanggup menggunakan institusi bebas seperti polis.

“Sekarang ini sudah jelas, dari apa yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri bahawa secara keseluruhan isu video seks ini memang wujud konspirasi yang melibatkan pihak kerajaan dan polis untuk menghancurkan karier politik ketua pembangkang.

"Malah, saya tidak faham mengapa MDN perlu masuk campur dan membuat kenyataan yang bukan-bukan mengenai kes ini. Kita juga perlu ingat bahawa mereka yang menjaja video seks itu termasuk Bekas Ketua Menteri Melaka itu yang mempunyai pertalian kuat dengan Umno dan Barisan nasional,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Portal berita BERNAMA semalam memetik kenyataan Hishamuddin bahawa mahkamah akan mendedahkan kebenaran dan menjawab semua persoalan rakyat berhubung isu yang menyelubungi video seks membabitkan seorang lelaki mirip pemimpin pembangkang.

Beliau berkata, ramai ingin mengetahui perkara sebenar mengenai video itu dan ada yang mempertikaikan kredibiliti pihak yang melakukan siasatan, namun pendedahan mengenainya tidak boleh dilakukan.

Surendren yang juga pengamal undang-undang menjelaskan, Barisan Nasional merupakan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini memandangkan tiada sebarang tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Datuk T selaku individu yang berperanan penting dalam menyiarkan klip video terbabit kepada umum.

“Dengan pastinya Umno-Barisan Nasional terlibat kerana kita lihat smapai hari ini tiada tindakan yang diambil ke atas Datuk T dan mereka seolah-olah dilindungi oleh sistem perundangan dan pihak polis serta kerajaan,” katanya.

Anwar dalam laporan polisnya pada 22 Mac lalu menafikan lelaki dalam video seks yang tersebar itu adalah beliau.

Selain itu Anwar juga mahukan undang-undang Qazaf digunakan untuk menyiasat kes fitnah yang dibuat oleh Datuk T iaitu Ahli Majlis TerTinggi Umno Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas bendahari Perkasa Shuib Lazim dan ahli perniagaan Sharzryl Eskay.

Gulingkan Lintah Darat, Baru Nasib Pekerja Terbela, Kata Nizar




SHAH ALAM 23 MEI : Suara golongan pekerja tidak akan didengari dengan hanya merayu perubahan sebaliknya memerlukan langkah yang lebih proaktif untuk menggulingkan pemerintahan lintah darat yang hanya tahu memeras wang rakyat demi memenuhkan kantung peribadi.

Justeru mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menggesa rakyat untuk bangkit menuntut hak masing-masing yang tidak pernah tertunai di bawah pemerintahan Umno-BN.

"Apa yang perlu kita laksanakan hari ini ialah berubah dan buat undang-undang baru, kita perlu tinggalkan undang-undang kejam, zalim yang jelas menindas hak pekerja dan kaedahnya mudah, kita mesti menuju ke Putrajaya, tidak ada cara lain.

"Jadi tidak dapat tidak, kita semua kena berjalan menuju ke Putrajaya dan nyahkan Umno-BN dari bumi ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Buruh Berlandaskan Buku Jingga yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam semalam.

Tambahnya lagi, kombinasi antara golongan buruh dengan sebuah kerajaan adalah formula utama dalam memacu perkembangan negara.

Mengulas lanjut kepentingan ini, Nizar menggesa semua buruh memainkan peranan penting dalam mengekang amalan korup yang selama ini membelenggu negara.

"Buruh boleh menyelamatkan kewangan, dan bila kerajaan itu kaya setelah berjaya menambahkan hasil maka sudah tentu boleh dikembalikan kepada rakyat yang purata besarnya adalah golongan buruh,"jelas Nizar.

Objektif program yang menggabungkan kerajaan Pakatan Rakyat dan kumpulan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ini antara lain membicarakan isu gaji minima yang gagal dilaksanakan di negara ini sehingga mengheret buruh untuk terus menjadi mangsa dalam senario ekonomi tidak menentu dan kenaikan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Pengarah Kongres Buruh Berlandaskan Buku Jingga, Abdullah Sani Abdul Hamid turut menggesa rakyat bangkit menyuarakan hak mereka kerana kerajaan Najib Razak hanya akan takut melakukan kezaliman dengan melihat kebangkitan rakyat.

"Penekanan dan serangan-serangan rakyat terhadap Umno-BN, kerajaan pada hari ini menunda hasrat mereka menaikan harga minyak RON 95, tetapi percayalah dengan kongres ini, kita mampu bendung kezaliman dan penindasan terhadap seluruh kaum buruh yang ada di negara ini,"katanya.

"Hari ini tuntutan kaum buruh akan dilaksanakan yang mana telah pun diwartakan dalam Buku Jingga yang akan menobatkan pekerja kelas satu di negara ini,"tambah beliau lagi.

Melihat kepada kesungguhan dan kekuatan agenda Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga, bekas presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud berkata pihaknya dan kesatuan pekerja di Malaysia akan turut serta dalam perjuangan Pakatan Rakyat bagi mengambil alih Putrajaya sekaligus merealiasikan impian para buruh yang sekian lama tertindas dibawah pemerintahan Umno-BN.

"Kita akan bagi sokongan penuh kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, kita sudah tidak boleh amalkan konsep tampal sulam, semuanya harus dirombak,undang-undang yang menekan harus dimansuhkan dan wujudkan undang-undang baru sesuai dengan golongan pekerja di Malaysia ini,"katanya.

Forum ‘Buruh Mengikut Pandangan Buku Jingga’ ini, antara lain dibarisi panelis Ahli Jawatankusa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Dr.Abu Hassan Hasbullah.

Sekurang-kurangnya 2,000 peserta hadir dengan baju serba jingga memenuhi ruang dewan.