SHAH ALAM 23 MEI : Suara golongan pekerja tidak akan didengari dengan hanya merayu perubahan sebaliknya memerlukan langkah yang lebih proaktif untuk menggulingkan pemerintahan lintah darat yang hanya tahu memeras wang rakyat demi memenuhkan kantung peribadi.
Justeru mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menggesa rakyat untuk bangkit menuntut hak masing-masing yang tidak pernah tertunai di bawah pemerintahan Umno-BN.
"Apa yang perlu kita laksanakan hari ini ialah berubah dan buat undang-undang baru, kita perlu tinggalkan undang-undang kejam, zalim yang jelas menindas hak pekerja dan kaedahnya mudah, kita mesti menuju ke Putrajaya, tidak ada cara lain.
"Jadi tidak dapat tidak, kita semua kena berjalan menuju ke Putrajaya dan nyahkan Umno-BN dari bumi ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Buruh Berlandaskan Buku Jingga yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam semalam.
Tambahnya lagi, kombinasi antara golongan buruh dengan sebuah kerajaan adalah formula utama dalam memacu perkembangan negara.
Mengulas lanjut kepentingan ini, Nizar menggesa semua buruh memainkan peranan penting dalam mengekang amalan korup yang selama ini membelenggu negara.
"Buruh boleh menyelamatkan kewangan, dan bila kerajaan itu kaya setelah berjaya menambahkan hasil maka sudah tentu boleh dikembalikan kepada rakyat yang purata besarnya adalah golongan buruh,"jelas Nizar.
Objektif program yang menggabungkan kerajaan Pakatan Rakyat dan kumpulan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ini antara lain membicarakan isu gaji minima yang gagal dilaksanakan di negara ini sehingga mengheret buruh untuk terus menjadi mangsa dalam senario ekonomi tidak menentu dan kenaikan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Pengarah Kongres Buruh Berlandaskan Buku Jingga, Abdullah Sani Abdul Hamid turut menggesa rakyat bangkit menyuarakan hak mereka kerana kerajaan Najib Razak hanya akan takut melakukan kezaliman dengan melihat kebangkitan rakyat.
"Penekanan dan serangan-serangan rakyat terhadap Umno-BN, kerajaan pada hari ini menunda hasrat mereka menaikan harga minyak RON 95, tetapi percayalah dengan kongres ini, kita mampu bendung kezaliman dan penindasan terhadap seluruh kaum buruh yang ada di negara ini,"katanya.
"Hari ini tuntutan kaum buruh akan dilaksanakan yang mana telah pun diwartakan dalam Buku Jingga yang akan menobatkan pekerja kelas satu di negara ini,"tambah beliau lagi.
Melihat kepada kesungguhan dan kekuatan agenda Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga, bekas presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud berkata pihaknya dan kesatuan pekerja di Malaysia akan turut serta dalam perjuangan Pakatan Rakyat bagi mengambil alih Putrajaya sekaligus merealiasikan impian para buruh yang sekian lama tertindas dibawah pemerintahan Umno-BN.
"Kita akan bagi sokongan penuh kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, kita sudah tidak boleh amalkan konsep tampal sulam, semuanya harus dirombak,undang-undang yang menekan harus dimansuhkan dan wujudkan undang-undang baru sesuai dengan golongan pekerja di Malaysia ini,"katanya.
Forum ‘Buruh Mengikut Pandangan Buku Jingga’ ini, antara lain dibarisi panelis Ahli Jawatankusa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Dr.Abu Hassan Hasbullah.
Sekurang-kurangnya 2,000 peserta hadir dengan baju serba jingga memenuhi ruang dewan.