Penganalisis : Najib Kecundang Jika Terus Tekan Rakyat




SHAH ALAM 15 OGOS : Meskipun populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan beliau berjaya meraih perhatian rakyat berdasarkan kajian Merdeka Centre, ia bagaimanapun bukanlah jaminan pergerakan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.

Hal ini kerana menurut pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, kegagalan Najib mengurus tadbir negara dengan cekap, sudah lama diperhatikan oleh rakyat yang pada bila-bila masa sahaja boleh mengambil keputusan meranapkan impian Najib untuk terus berkuasa.

"Rakyat inginkan suatu petunjuk yang nyata ke mana sebenarnya arah negara ini yang ingin dibawa (oleh Najib) kerana rakyat sudah dalam keadaan tertekan, dalam situasi ekonomi yang semakin dahsyat dan ancamannya kepada masyarakat dengan harga barang yang berlambung-lambung, dengan harga rumah yang sudah tidak terkawal, dengan pengangkutan awam yang sangat-sangat tidak cekap dan tidak membantu.. dan ini memberi kegusaran kepada masyarakat.

"Maka semuanya ini memberi impak dan kita harus ingat kesan langsung ini kepada masyarakat," kata Abu ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

Merdeka Centre dalam kajiannya merumuskan, tidak banyak perubahan yang dibawakan oleh Najib sejak mentadbir negara pada April 2009.

Walaupun mengakui kejayaan media arus perdana mempopularkan pemimpin itu, ia bukanlah jaminan sokongan itu akan diterjemahkan melalui undi.

Penganalisis-penganalisis pula mendakwa Najib sudah mula tidak begitu tegas dalam melaksanakan dasar-dasar sehingga menggambarkan beliau berperwatakan seperti penyandang jawatan itu sebelum ini.

Kelewatan dalam pembaharuan ekonomi, kurang penekanan ke atas Model Baru Ekonomi (MBE) selain ketidakcekapan Najib mengendalikan perkara-perkara yang mendesak seperti Himpunan Bersih 2.0, dilihat antara faktor penyumbang kepada kebimbangan rakyat.

Selain Najib, rakyat juga kata Abu merasakan barisan menteri Kabinet gagal berfungsi dengan sebaiknya dalam menguruskan pentadbiran negara.

"Kesan langsung daripada masalah-masalah yang dikaitkan dengan beliau dan orang-orang di sekeliling beliau (antara faktornya). Yang keduanya ialah kita dapati kemungkinan barisan kepimpinannya yang terdiri daripada menteri-menteri kabinet yang sepatutnya menguruskan negara ini, mungkin dilihat tidak cekap sehingga tidak dapat merealisasikan semua slogan dan kempen serta semua projek yang dinyatakan.

"Jadi gambaran itu memperlihatkan gambaran kelemahan pentadbiran sekarang, jadi sudah pasti ia menyatakan kelemahan keseluruhannya,"jelasnya lagi.

Malah menurut Abu yang juga penganalisis politik dan pengasas Zentrum Future Studies, keseriusan bayangan politik Najib yang akan kecundang itu dibayangkan melalui dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan tidak memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

Lantaran itu, kata beliau, rakyat sudah tidak peduli agenda politik mana-mana parti sebaliknya hanya akan membuat keputusan dengan melihat parti mana yang dapat memenuhi keperluan mereka dan bukannya menindas rakyat dari segenap aspek.

"Kita harus ingat seandainya semua projek berlangsung itu tidak berjaya dilaksanakan sepenuhnya hingga ke akhir tahun ini, barangkali rakyat akan menilai prestasi tersebut dan barangkali rakyat mungkin juga akan menilai (dengan) reaksi seperti marah atau memberikan reaksi dalam PRU akan datang, jadi itu yang kita lihat.

"(Oleh itu) kita menyakini jika transformasi ini tidak dibuat, tidak dijayakan dan jika parti pembangkang pandai memperjelaskan kegagalan ini, pastinya rakyat akan faham.. sebab rakyat mana yang mahu hidup dalam keadaan tertekan dan derita? Sebab kita mahu hidup dalam keadaan berkebajikan dan sejahtera.

"Kita inginkan pendidikan percuma, kesihatan percuma, kita ingin rumah yang murah dan jadi sudah pasti akhirnya rakyat membandingkan dengan negara-negara yang sangat sempurna seperti Switzerland, Finland, kenapa hidup mereka mudah dan selesa, jadi rakyat akan berfikir tentang ini,"katanya lagi.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat berulang kali mengingatkan ekonomi negara di bawah pentadbiran Najib Razak semakin nazak dan mencemaskan banyak termasuk pelabur
dalam dan luar negara.

Baru-baru ini Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat turut menegur cara urus tadbir kerajaan Najib Razak.

Beliau berkata pentadbiran negara di bawah Najib Razak bukan sahaja memperlihatkan banyak kepincangan malah kesan langsung ekonomi negara juga turut menjadi kayu pengukur kepada rakyat dalam menentukan nasib mereka sendiri pada pilihan raya umum akan datang.

Selain iu, katanya angka-angka ekonomi terkini yang baru diumumkan membayangkan ekonomi negara akan terus malap selain dari kerugian ratusan bilion ringgit yang dialami pelabur di Bursa Kuala Lumpur sejak minggu lalu.

Rafizi turut menyentuh Keputusan agensi pelaburan dan penganalisa pasaran memotong unjuran pertumbuhan ekonomi negara di bawah paras 5% bagi tahun 2011
menjadi tanda-tanda bahawa dasar dan inisiatif ekonomi yang menjadi tonggak pentadbiran Najib Razak seperti (Program Transformasi Ekonomi , Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Ekonomi Baru) telah gagal sejak dari awal-awal lagi.

Rafizi berkata, jika prestasi ekonomi terus malap seperti yang diunjurkan, Program Transformasi Ekonomi akan gagal sebelum memasuki tahun kedua kerana ia mensasarkan pertumbuhan ekonomi 6% setahun untuk mencapai sasaran Pendapatan Kasar Kebangsaan (GNI) per kapita sebanyak RM48,000 menjelang 2020 yang diuar-uarkan.

Pertumbuhan ekonomi tahunan di bawah angka 5% setahun bermakna Program Transformasi Ekonomi telah gagal menarik minat pelabur walhal kerajaan menumpukan sepenuh tenaga, fokus dan jentera kerajaan untuk mempromosikannya.

Jika ia gagal menarik perhatian dalam tahun pertama dan di kemuncak promosinya, keadaannya mungkin lebih parah pada 2-3 tahun akan datang.

Malah tambah Rafizi lagi, prestasi tiga penanda aras ekonomi yang paling utama (iaitu kekalutan di Bursa Kuala Lumpur, unjuran pertumbuhan yang semakin rendah saban hari dan kegagalan menarik pembiayaan swasta bagi projek-projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi) sudah cukup untuk membayangkan kegagalan dasar dan inisiatif ekonomi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Akhirnya SPR Akui Sistem Pilihan Raya Malaysia Kotor



KUALA LUMPUR 15 OGOS : Kerajaan pemerintahan didesak melakukan rombakan keanggotaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah Pengerusi SPR, mengeluarkan kenyataan kononnya tiada satu pun negara didunia ini yang mempunyai sistem pilihan raya yang bersih.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof itu secara tidak langsung membuktikan sistem pilihan raya di negara ini sememangnya kotor dan tidak telus sebagaimana yang didakwa Pakatan Rakyat sebelum ini.

Mahfuz menambah Aziz sebagai pegawai tertinggi SPR tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu yang hanya mendedahkan kepincangan dalam SPR itu sendiri.
“Saya cukup kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR yang mengatakan tidak ada daftar pemilih didunia ini, yang bersih. Jadi bagi saya ini satu kenyataan yang sangat memalukan,” katanya.

Mahfuz menegaskan, rombakan keanggotaan SPR itu harus dilakukan sebelum pilihan raya umum ke- 13 akan datang, dengan pelantikan dilakukan oleh Jawatankuasa Khas di bawah Parlimen.
“Oleh kerana sifat dan nilai patriotik itu sudah tidak ada pada SPR maka satu proses rombakan terhadap SPR perlu dilakukan segera supaya dilantik di kalangan mereka betul- betul bebas dan semua SPR yang ada ini perlu diberhentikan, ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

"Badan yang akan melantik anggota baru itu perlu bebas dan diselia oleh Parlimen. Badan tersebut bukannya terdiri daripada penjawat kerajaan atau pihak esekutif kabinet Najib,” kata Mahfuz.

SPR sebelum ini bersungguh- sungguh menepis dakwaan yang mengatakan sistem pilihan raya dinegara ini dicemari dengan elemen penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pakatan Rakyat telah berkali- kali berjaya membuktikan wujud pelbagai kepincangan dalam sistem pilihan raya antaranya senarai daftar pemilih yang meragukan, pengundi hantu, pengundi klon dan sebagainya.

Pelbagai laporan polis telah dibuat, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
“Isu di Malaysia sekarang ini ialah isu kerana ada pihak yang cuba mengkotorkan system pilihan raya dan jjuga daftar pemilih tu sendiri. 1049 Jadi bukan itu tak ada di dunia ni pemilihan yang bersih. Itu sautu persoalan yang lain,” katanya.
Sikap dolak dalih SPR dan kerajaan pemerintah memaksa rakyat turun beramai- ramai ke jalanan bagi mendesak agar diadakan penambahbaikan dalam pilihan raya negara ini.
“Tapi di Malaysia sekarang sudah banyak dipertikaikan tetapi sebelum ini semuanya dinafikan oleh SPR, tiba-tiba apabila dibuktikan oleh semua pihak, Bersih membuktikan, parti-parti politik membuktikan, akhirnya dia mengaku tak semua daftar pemilih di dunia ni bersih. Jadi baru dia mengakui bahawa daftar pemilih di negara ini tidak bersih. Sistem perjalanan pilihan raya itu tidak bersih,” katanya lagi.
Mahfuz juga membangkitkan kebimbangan banyak pihak bersabit isu pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing yang sekaligus mendapat hak untuk menjadi pengundi.


Kes Fitnah Liwat II : Anwar Beri Keterangan 22 Ogos Depan




KUALA LUMPUR 15 OGOS : Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan 22 Ogos depan untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan dalam kes fitnah liwat II ke atas dirinya.

Kegagalan pihak pendakwaan menyediakan enam lagi saksi berpotensi yang disenaraikan menyebabkan perbicaraan itu yang ditangguhkan pada hari ini, terpaksa ditunda ke minggu hadapan.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selain mengarahkan pendakwaraya menyediakan baki enam saksi yang masih belum ditemubual peguambela Anwar sebelum mahkamah bersambung pada Isnin.
“Apa-apa sahaja hasil (daripada temubual) itu, Isnin awak (peguam bela) perlu mula,” kata Zabidin di kamar Mahkamah Jalan Duta pagi tadi.

Perbicaraan ini yang memasuki peringkat pembelaan sepatutnya sudah bermula 8 Ogos lalu namun ia ditangguhkan atas permintaan pendakwaraya yang gagal menyediakan 25 saksi yang ditawarkan kepada peguam bela.

Kegagalan menyediakan saksi itu menyebabkan peguam Anwar terpaksa memohon perintah mahkamah untuk memanggil saksi-saksi berkenaan.

Peguam Anwar, Ram Karpal Singh menegaskan pendakwaraya bertanggungjawab menyediakan semua saksi yang diminta sebelum perbicaraan bersambung Isnin depan.

"Menjadi tanggungjaawab dan tugas pendakwaraya sediakan saksi untuk ditemubual kami. Bukan perkara yang rumit. Mahkamah sudah beri arahan sebelum ini," kata beliau kepada media di lobi Mahkamah.

Peguam pembelaan yang diketuai oleh Karpal Singh telah menemubual 19 saksi berpotensi yang mungkin diminta tampil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Mereka yang dipanggil itu termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang hadir pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun kedua-dua Najib dan Rosmah enggan ditemubual dan berkata mereka tidak mahu menjadi saksi pembela kepada Anwar.

Hari ini, pihak pembelaan akan menemubual ibu kepada bekas tunang pengadu kes ini - Mohd Saiful Bukhari Azlan - iaitu Sharehah Md Salim.

Sementara Musa kini berada di luar negara dan dijangka akan kembali minggu depan.

Enam yang masih belum ditemubual termasuk Musa, dua bekas pembantu rumah Indonesia,Suliati dan Faria Dipan-yang sebelum ini bertugas dengan pemilik kondominium Hasanuddin Abdul Hamid dan jururawat Hospital Pusrawi, Yazihan Jusoh, serta pengawal peribadi Anwar, Mohd Rasid Mohd Rosdi.

Difahamkan pembantu rumah berkenaan telah pulang ke Indonesia dan polis dijangka memaklumkan perkembangan mereka mengesan kedua-dua wanita itu.

Pada 16 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah seorang saksi berwibawa.

Manakala pada 8 Ogos lalu, beliau membenarkan pihak pembelaan menemubual saksi-saksi yang disenaraikan oleh pihak pendakwaan termasuk Najib dan Rosmah.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Isu Pembesar Suara : Ia Bukan Arahan, Tapi Pemberitahuan, Kata Malik




SHAH ALAM 15 OGOS : Pekeliling yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bersabit hukum membaca Al- Quran sebelum waktu Subuh menggunakan pembesar suara adalah salah disisi syarak', adalah pemberitahuan bukannya arahan mutlak, menurut Exco Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim.
Justeru beliau berkata, terpulang kepada kebijaksanaan pengurusan masjid dan surau seluruh negeri itu, sama ada mahu menerima pemberitahuan tersebut ataupun tidak.
"Ini bukan surat arahan tetapi surat surat pemberitahuan untuk masyarakat setempat mengamalkannya, di dalam kehidupan bermasyarakat.
"Terpulanglah kepada masjid- masjid dan surau untuk melihat keputusan ini dan menerima keputusan jawatankuasa fatwa tersebut," tegasnya.
Malik menjelaskan hukum tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri sejak April lalu dan hanya disahkan pada bulan Jun 2011.
Tambahnya lagi, mesyuarat jawatankuasa itu dipengerusikan mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad dan disertai ulama, professional agama serta wakil daripada istana.
Keputusan itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang untuk dihebahkan kepada setiap masjid dan surau dinegeri ini.
"Keputusan itu kemudiannya disampaikan kepada Jabatan Agama Islam untuk dipanjangkan sebagai maklumat kepada masjid- masjid," katanya.
Keputusan tersebut dicapai setelah mendapati bacaan ayat suci Al- Quran sebelum waktu Subuh menggunakan pembesar suara mengganggu masyarakat setempat dan menerbitkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat berbilang bangsa.
Mengulas tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan kerajaan negeri dengan keputusan tersebut, Malik menegaskan kerajaan negeri tidak pernah campur tangan dalam isu tersebut berikutan ia adalah dibawah bidang kuasa majlis fatwa.
"Perkara ini langsung tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri dan tidak pernah dibincangkan pada mana- mana peringkat," jelasnya.
Malik kemudiannya membacakan kepada Tv Selangor, surat pekeliling yang ditandatangani Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang bertarikh 3 Ogos 2011.
Pekeliling itu menyebut, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, bilangan 2/2011 yang diadakan pada 7 April 2011 memutuskan bahawa bacaan Al- Quran dengan pembesar suara daripada masjid dan surau adalah dilarang menurut hukum syarak'.
Turut disertakan catitan minit mesyuarat Jawatankuasa Fatwa perkara 6.2 untuk perhatian dan tindakan susulan Jabatan Agama Negeri.
"Sehubungan dengan itu dipohon kerjasama tuan- tuan supaya menampal surat pekeliling berserta cabutan minit supaya umat Islam setempat memahami hukum tersebut sekaligus mengamalkan didalam kehidupan bermasyarakat," ujar Malik ketika membaca surat pekeliling tersebut.
Keputusan jawatankuasa fatwa itu disokong Mufti Perlis Dr. Juanda Jaya dengan berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.
Turut menyokong tindakan itu adalah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas mufti Perlis Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.