Fitnah 2 : Prosedur Belum Selesai, Anwar Tidur Lokap Semalaman





10/03/2011


KUALA LUMPUR 10 MAC: Penahanan semalaman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lokap D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008 seperti yang diberitahu oleh DSP Jude Blacious Periera, tidak disokong dengan alasan yang konkrit.

Jude memberitahu mahkamah hari ini, Anwar ditahan sepanjang malam bagi membolehkan pihak polis menyelesaikan sesi merekodkan keterangannya keesokan harinya.

Walhal tidak menjadi satu kekangan sekiranya Anwar dibenarkan pulang dan datang semula keesokan hari untuk menyambung keterangan.

Mahkamah sebelum ini didedahkan, sampel DNA Anwar telah diambil secara tidak sah dari lokap tempat beliau ditahan.

Peguam Kanan Anwar, Karpal Singh berhujah, tiga bahan bukti yang dikemukan iaitu ubat gigi, berus gigi, tuala Good Morning dan sebotol air mineral yang diambil dari lokap Anwar menggunakan cara yang tidak betul dan tidak adil atau melalui tipu muslihat.

Malah katanya, penangkapan Anwar juga menyalahi undang-undang.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan Anwar untuk menggugurkan tiga barang yang diambil dari sel beliau ditahan.

Hari ini saksi terkahir pendakwaan, Jude memberitahu mahkamah, prosedur rakaman lisan oleh polis hanya boleh dirakamkan sebelum jam 6 petang, seraya menyebabkan Anwar ditahan semalaman di lokap D9 IPK Kuala Lumpur.

Jude berkata, penahanan itu bagi membolehkan beliau menyambung sesi keterangan Anwar pada keesokan harinya.

"Saya tahan kerana siasatan saya masih belum selesai. Ada beberapa soalan saya perlu tanya. Kami ada arahan tidak boleh rekod pada waktu malam," jelas beliau seolah-olah tidak jujur dengan penjelasannya.

Katanya, sesi pada keesokan harinya diteruskan berkaitan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

DPP Datuk Yusof Zainal Abiden kemudian mengarahkan Jude merujuk kepingan gambar untuk mengecam individu-individu yang hadir ke kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 termasuk Anwar dan pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah pada sebelah pagi menyaksikan Jude untuk pertama kalinya masuk ke kandang saksi.

Beliau yang bersama-sama pengadu Saiful Bukhari Azlan sejak awal memberi keterangan tentang perkara selepas kejadian.

Timbalan Pendakwaraya (DPP), Datuk Yusof Zainal Abiden menyoal balas berhubung pemeriksaan perubatan oleh tiga orang doktor di HKL pada 28 Jun 2008.

Jude berkata beliau bertindak sebagai pemerhati ketika pemeriksaan dilakukan terhadap Saiful dan kemudian mengambil kesemua 12 spesimen daripada doktor untuk disimpan di pejabatnya.

Kemudian Jude memberitahu telah merampas pakaian Saiful termasuk seluar dalam di rumahnya yang terletak di Bandar Utama.

Pada hari yang sama Jude turut merampas sebotol gel jenama Johnson & Johnson daripada Saiful.

Pada 30 Jun, beliau bersama pasukan forensik PDRM yang diketuai Superintenden Amidon ke kondominium Desa Damansara dan merampas beberapa barang termasuk sehelai rambut, karpet dan selimut di unit 1-5-1 dan 1-5-2 kondo yang sama.

Pada hari yang sama, Jude menyerahkan 12 spesimen yang diambil dari HKL pada 28 Jun kepada Dr Siew Sheue Feng.

"Saya buka penutup sebab saya mahu memeriksa samada penutup masih lekat dan mahu tandakan setiap barang," jelas Jude.

Mahkamah bersambung 9 pagi esok.

RM2.14 Juta Diperuntuk Hantar Pelajar Pulang Ke Mesir-Hassan Ali




SHAH ALAM 9 MAC: Kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor memperuntukkan RM2.14 juta untuk menghantar pulang pelajar Selangor melanjutkan pengajian mereka kembali di Mesir pada 14 Mac ini.

Jumlah tersebut meliputi 556 pelajar tajaan negeri dan 440 orang lagi adalah di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Exco Hal Ehawal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali berkata, usaha dilakukan kerajaan negeri dan LZS itu adalah sebagai tanda sokongan kepada semua pelajar di negeri ini yang menuntut di Mesir untuk meneruskan pengajian mereka.

“Pelajar-pelajar Selangor ya seramai 440 orang yang telah ditaja Lembaga Zakat Negeri Selangor yang akan dibayar wang kepulangaan mereka ke Mesir dan
sebahagianya iaitu l556 orang akan dibayar oleh kerajaan negeri jadi jumlahnya sebanyak sembilan ratus sembilan puluh enam,” katanya.

Dr Hassan berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Tambahnya, kos penghantaran pulang seorang pelajar dianggarkan RM2,150 setiap seorang.

“Kita mengharapkan dengan sokongan daripada Lembaga Zakat Selangor dan sokongan daripada kerajaan negeri untuk membawa pulang pelajar-pelajar ini daripada Malaysia ke Mesir, dengan cara itu mereka akan dapat meneruskan pengajian dengan baik,” katanya.

Penghantaran semua pelajar Selangor ke Mesir melibatkan lima penerbangan bermula 14 hingga 18 Mac ini melalui penerbangan KLIA ke Kaherah, Mesir.