shahbudin.com
Tersentaknya
rakyat dengan pendedahan itu bukan saja kerana kerajaan dipercayai
sudah mempunyai sekurang-kurangnya enam jet eksekutif untuk kegunaan
Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja tetapi juga kerana
isu jet yang melibatkan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, sudah
sering menjadi perbualan umum.
Kali
terakhir itu jet melibatkan Rosmah diperkatakan ialah bilamana jet
kerajaan ACJ319 didapati terus berada di beberapa bandar di Amerika
Syarikat sedangkan ketika itu Najib sudah kembali ke tanahair untuk
meninjau keadan banjir di Kelantan dan negeri-negeri lain. Najib yang
sedang bercuti dengan keluarganya di Hawaii terpaksa pulang ke Malaysia
dengan pesawat komersial hingga ke Hong Kong sebelum dijemput oleh jet
TUDM.
Sudah tentu ramai yang bertanya, apa perlunya ditambah sebuah lagi jet?
Lebih
mengejutkan juga ialah kerana pembelian jet itu dilakukan ketika rakyat
berhadapan dengan pelbagai isu yang mencengkam kehidupan mereka seperti
1MDB, kejatuhan ringgit, ekonomi yang suram, hutang negara menjangkau
RM740 bilion, beban sara hidup yang kian meningkat serta cukai GST yang
bakal dilaksanakan 1 April depan.
Dalam
keadaan negara bergelumang dengan banyak isu yang gagal diselesaikan
serta kedudukan ekonominya ditakrifkan tidak begitu baik, tentu saja
pembelian sebuah jet baru kerajaan mengundang rasa tidak puas hati serta
keresahan rakyat.
Memburukkan
lagi keadaan, Jabatan Perdana Menteri atau JPM juga agak lewat memberi
penjelasan mengenainya. Hanya pada lewat petang semalam barulah JPM
tampil dengan penjelasan bahawa pembelian jet ACJ320 itu ialah untuk
menggantikan Boeing Business Jet atau BBJ yang telah berusia 16 tahun.
Dimaklumkan
juga melalui penjelasan JPM itu bahawa perbincangan untuk menggantikan
BBJ telah dimulakan sejak dua tahun lepas memandangkan kos
penyelenggaraan yang semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko
keselamatan.
Walaupun
penjelasan JPM itu boleh diterima, khususnya atas faktor kos
penyelenggaraan dan risiko keselamatan, masa dan ketika pembelian jet
ini tetap dianggap tidak kena dan langsung tidak sesuai.
Ketika
rakyat resah melihat pendedahan demi pendedahan mengenai 1MDB dan
sedang bersiap-siap mencongak tambahan perbelanjaan berikutan
perlaksanaan cukai GST, tentu saja pendedahan mengenai pembelian jet
baru kerajaan dengan mudah mengundang kemarahan.
Ia
ibarat seorang suami yang tiba-tiba hendak menikah lagi sedangkan di
ketika yang sama isterinya sedang berada di hospital untuk melahirkan
anak.
Memang
menjadi hak dan dibenarkan oleh syarak untuk seseorang lelaki menambah
isterinya, tetapi menikah lagi ketika isteri sedia ada sedang berada di
hospital untul bersalin, adalah perbuatan purba yang tidak boleh
diterima oleh sesiapa jua pun.
Begitu
jugalah dengan pembelian jet ACJ320 ini, berdasarkan beban kos
penyelenggraan dan risiko keselamatan, membeli yang baru untuk
menggantikan yang lama memang boleh diterima, bahkan dianggap suatu
keperluan.
Cuma,
masa dan ketikanya saja tidak berapa kena. Kerajaan sepatutnya memilih
waktu yang sesuai untuk membeli dan menukar jet baru itu. Walaupun
perbincangan sudah dilakukan sejak dua tahun lepas, tiada masalah jika
pembelian itu ditanggungkan, sesuai dengan slogan kerajaan sendiri iaitu
"rakyat didahulukan".
Dalam
pada itu, selain kerajaan sudah mempunyai sekurang-kurangnya enam jet,
diketahui juga bahawa Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja tidaklah
sekerap Perdana Menteri mempunyai aturcara atau program di luar negara.
Pandangan
umum ialah, kemudahan jet kerajaan itu lebih banyak digunakan oleh
Perdana Menteri berbanding Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja.
Ditambah
sudah banyak kali isu jet ini menjadi perbualan ramai berikutan isteri
Perdana Menteri, Rosmah Mansor juga ke sana ke mari menggunakan
kemudahan tersebut, tanggapan umum juga ialah pembelian jet baru ACJ320
ini ada kaitan dengan kehendak Seri Perdana.
Inilah masalah Najib setiap kali isu jet ditimbulkan. (SH 17/03/2015)