Pembelian Jet Baru Tidak Kena Masa

shahbudin.com


Buat seketika, ramai yang terperanjat dengan pendedahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengenai pembelian jet baru kerajaan, Airbus Corporate Jetliner atau ACJ320 yang didakwa untuk kegunaan Perdana Menteri, Najib Razak.

Tersentaknya rakyat dengan pendedahan itu bukan saja kerana kerajaan dipercayai sudah mempunyai sekurang-kurangnya enam jet eksekutif untuk kegunaan Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja tetapi juga kerana isu jet yang melibatkan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, sudah sering menjadi perbualan umum.

Kali terakhir itu jet melibatkan Rosmah diperkatakan ialah bilamana jet kerajaan ACJ319 didapati terus berada di beberapa bandar di Amerika Syarikat sedangkan ketika itu Najib sudah kembali ke tanahair untuk meninjau keadan banjir di Kelantan dan negeri-negeri lain. Najib yang sedang bercuti dengan keluarganya di Hawaii terpaksa pulang ke Malaysia dengan pesawat komersial hingga ke Hong Kong sebelum dijemput oleh jet TUDM.

Sudah tentu ramai yang bertanya, apa perlunya ditambah sebuah lagi jet?

Lebih mengejutkan juga ialah kerana pembelian jet itu dilakukan ketika rakyat berhadapan dengan pelbagai isu yang mencengkam kehidupan mereka seperti 1MDB, kejatuhan ringgit, ekonomi yang suram, hutang negara menjangkau RM740 bilion, beban sara hidup yang kian meningkat serta cukai GST yang bakal dilaksanakan 1 April depan.

Dalam keadaan negara bergelumang dengan banyak isu yang gagal diselesaikan serta kedudukan ekonominya ditakrifkan tidak begitu baik, tentu saja pembelian sebuah jet baru kerajaan mengundang rasa tidak puas hati serta keresahan rakyat.

Memburukkan lagi keadaan, Jabatan Perdana Menteri atau JPM juga agak lewat memberi penjelasan mengenainya. Hanya pada lewat petang semalam barulah JPM tampil dengan penjelasan bahawa pembelian jet ACJ320 itu ialah untuk menggantikan Boeing Business Jet atau BBJ yang telah berusia 16 tahun.

Dimaklumkan juga  melalui penjelasan JPM itu bahawa perbincangan untuk menggantikan BBJ telah dimulakan sejak dua tahun lepas memandangkan kos penyelenggaraan yang semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan. 

Walaupun penjelasan JPM itu boleh diterima, khususnya atas faktor kos penyelenggaraan dan risiko keselamatan,  masa dan ketika pembelian  jet ini tetap dianggap tidak kena dan langsung tidak sesuai.

Ketika rakyat resah melihat pendedahan demi pendedahan mengenai 1MDB dan sedang bersiap-siap mencongak tambahan perbelanjaan berikutan perlaksanaan cukai GST, tentu saja pendedahan mengenai pembelian jet baru kerajaan dengan mudah mengundang kemarahan.

Ia ibarat seorang suami yang tiba-tiba hendak menikah lagi sedangkan di ketika yang sama isterinya sedang berada di hospital untuk melahirkan anak.

Memang menjadi hak dan dibenarkan oleh syarak untuk seseorang lelaki menambah isterinya, tetapi menikah lagi ketika isteri sedia ada sedang berada di hospital untul bersalin, adalah perbuatan purba yang tidak boleh diterima oleh sesiapa jua pun.

Begitu jugalah dengan pembelian jet ACJ320 ini, berdasarkan beban kos penyelenggraan dan risiko keselamatan,  membeli yang baru untuk menggantikan yang lama memang boleh diterima, bahkan dianggap suatu keperluan.

Cuma, masa dan ketikanya saja tidak berapa kena. Kerajaan sepatutnya memilih waktu yang sesuai untuk membeli dan menukar jet baru itu. Walaupun perbincangan sudah dilakukan sejak dua tahun lepas, tiada masalah jika pembelian itu ditanggungkan, sesuai dengan slogan kerajaan sendiri iaitu "rakyat didahulukan".

Dalam pada itu, selain kerajaan sudah mempunyai sekurang-kurangnya enam jet, diketahui juga bahawa Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja tidaklah sekerap Perdana Menteri mempunyai aturcara atau program di luar negara.

Pandangan umum ialah, kemudahan jet kerajaan itu lebih banyak digunakan oleh Perdana Menteri berbanding Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja.

Ditambah sudah banyak kali isu jet ini menjadi perbualan ramai berikutan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor juga ke sana ke mari menggunakan kemudahan tersebut, tanggapan umum juga ialah pembelian jet baru ACJ320 ini ada kaitan dengan kehendak Seri Perdana.

Inilah masalah Najib setiap kali isu jet ditimbulkan. (SH 17/03/2015)