Rosmah singgah di Indianapolis untuk tinjau pesawat baru?
(Oleh: Azuan Ab Rahman)KUALA LUMPUR 18 MAC- Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli mempersoalkan apakah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di Indianapolis, Amerika Syarikat bagi meninjau sendiri kerja menaik taraf pesawat baharu ACJ920 yang dibeli kerajaan.
Rafizi berkata, spekulasi itu tersebar susulan laporan mengatakan pesawat peribadi milik negara ACJ319 9M-NAA berada di lokasi berkenaan selama 6 hari pada 26 Disember, 2014, iaitu beberapa hari selepas pesawat ACJ320 9H-AWK dibeli oleh Putrajaya.
Rafizi sebelum ini mendedahkan satu pembelian pesawat peribadi terbaru bagi kegunaan pemimpin negara secara sewa beli.
Pesawat tersebut yang dakwanya bernilai hampir RM500 juta dibeli melalui perjanjian yang ditandatangani pada 1 Disember lalu.
Tambah Rafizi , siasatan mendapati jet peribadi ACJ320 tersebut sebelum ini dimiliki Comlux Aviation Group yang berpangkalan di Indianapolis.
Adakah Rosmah ke Indianapolis tinjau jet baharu, soal PKR
“Perjanjian sewa beli jet peribadi baharu ACJRE0 9H-AWK ditandatangani pada 1 Disember, 2014 dan pada Oktober 2013, Comlux mengumumkan ia selesai menaik taraf jet peribadi kegunaan ketua negara Malaysia setelah kerja naik taraf bermula Jun 2013.“Perjanjian pembelian jet ACJ320 9H-AWK menunjukkan ia melibatkan kerja naik taraf kabin, berdasarkan maklumat ini adalah tidak munasabah jet peribadi sedia ada, ACJ319 9M-NAA singgah di Comlux, Indianapolis untuk kerja naik taraf kabin kerana pesawat itu baru saja dinaik taraf setahun sebelum itu,” katanya, pada sidang media di parlimen hari ini.
Tegasnya lagi, timbul persoalan apakah penumpang yang menaiki pesawat ACJ19 9M-NAA telah singgah di Indianapolis untuk meninjau sendiri kerja naik taraf jet peribadi baharu yang dibeli kerajaan itu.
“Najib sudah pulang ke Malaysia pada ketika itu, soalan seterusnya siapakah sebenarnya VVIP yang singgah di pangkalan Comlux di mana kerja menaik taraf jet peribadi baharu yang dibeli kerajaan sedang dijalankan.
“Spekulasi yang berlegar kemungkinan besar isteri perdana menteri adalah VVIP yang menggunakan ACJ319 9M-NAA untuk singgah di Indianapolis dan meninjau sendiri kerja menaik taraf jet peribadi baharu itu,” katanya kepada pemberita.