MOHD AZIZI ABD AZIZ
Kenyataan Rafizi mengapa beliau mengundur diri sementara dari
politik ketika itu yang patut rakyat tahu hal sebenar. Bukan dari fitnah yang
dicuba disebarkan pihak lawan.
Sejak 2019, saya telah menyuarakan pandangan yang tidak
bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan (dengan sesiapa sahaja tanpa
mengira sentimen rakyat) demi untuk mendapat kuasa. Suara saya menjadi suara
minoriti di kalangan pimpinan PKR, apatah lagi di kalangan PH.
Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada di
dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju.
Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika
saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian dari pimpinan.
Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawaban (“accountability”).
Sebab itu, saya sangat gembira untuk kembali ke kehidupan
sebagai rakyat biasa dan memberi ruang sepenuhnya kepada pimpinan PKR dan PH
memikat kembali hati rakyat untuk memegang tampuk pentadbiran negara.
Jika mereka yakin taktik membawa mana-mana Ahli Parlimen yang
sanggup menukar kesetiaan (demi mencukupkan angka sokongan) boleh mengembalikan
pentadbiran PH dan seterusnya meningkatkan peluang memenangi PRU ke-15, saya
tumpang gembira (walaupun saya tidak mahu terlibat).
Malangnya, dari satu khemah ke khemah lain, ketaksuban kepada
strategi gabungan politik ini makin menjauhkan PKR dan PH dari rakyat.
Apabila hari ini kita mengkritik dan kemudian esoknya kita
berpacaran dengan orang yang kita kritik, lama-lama rakyat merasakan ini semua
hanyalah drama Keluarga 69.
Lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak tumpuan diberikan kepada
membentuk gabungan, usaha mengangkat derita rakyat dan menawarkan penyelesaian
menjadi semakin sepi.
Saya terus mendapat desakan dari pendukung PKR dan PH dari
kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik. Saya mengambil masa
yang panjang kerana saya tidak yakin saya boleh membantu keadaan dalam keadaan
pandangan saya adalah pandangan minoriti di kalangan pimpinan PKR dan PH.
Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas
sehingga PKR dan PH nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum
oleh rakyat. Jika PKR dan PH ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah
berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan harian rakyat.
Bukan sahaja menuding jari, bawalah penyelesaian-penyelesaian
yang masuk akal untuk meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi
lebih baik jika mereka memilih PKR dan PH.
Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan
berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai
gabungan politik. Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan
bergabung politik dari menambat hati rakyat.
Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa PKR dan PH
telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas Umno/Barisan
Nasional dan Perikatan Nasional.
Saya menganggotai PKR sejak 1999 kerana saya yakin masa depan
Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra
idea yang pelbagai.
Sumbangan saya dalam menubuhkan PH dalam tahun 2015 bukanlah
semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya. Saya bertekad memastikan
politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu.
Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru,
politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika PKR dan PH
terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.
Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali
menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan
Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang.
RAFIZI RAMLI merupakan bekas ahli parlimen Pandan.