Antara perkara yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan PAU2021 petang semalam ialah 70 peratus calon PRU15 adalah muka baru yang berusia bawah 50 tahun.
Beliau berkata, usaha itu untuk menarik lebih sokongan rakyat seperti yang dilakukan dalam PRN Melaka dan Johor sebelum ini yang terbukti telah membawa kemenangan besar BN.
“Jangan risau Ketua UMNO Bahagian yang berusia bawah 50 tahun termasuk dalam konsep ‘wali’- boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), calon boleh menang, Insya-Allah boleh (bertanding PRU15).
“Pemuda, Wanita dan Puteri saya akan pastikan ketiga-tiga sayap ini akan dapat tempat,” ujar beliau lagi.
Apakah mesej di sebalik ucapan Zahid Hamidi itu?
Munasabahkah angka 70 peratus itu?
Pelbagai pihak dalam UMNO yang ditanya respon mereka mengenainya berkata, bukan perkara mudah untuk menukar calon-calon pilihan raya sehingga ke tahap 70 peratus.
Ini kerana kata mereka, wakil-wakil rakyat sedia ada adalah terdiri daripada Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian Naib Ketua Bahagian yang merupakan warlord utama sudah pun menguasai UMNO sejak sekian lama.
Meskipun majoriti mereka berusia lebih 50 tahun dan sudah beberapa penggal memegang jawatan wakil rakyat, menukar mereka tidak semudah menyebutnya dalam ucapan berikutan pengaruh dan kuasa wang yang mereka dimiliki.
Sebab itu, dalam mana-mana era kepimpinan UMNO sebelum ini, usaha meletakkan muka baru pada setiap kali pilihan raya adalah masalah utama dan hanya berjaya dilakukan dalam lingkungan sekitar 30 peratus hingga 40 peratus saja.
Malah, itu pun sudah dikira peratusan yang tinggi.
Jadi, adakah Zahid Hamidi hanya bercakap kosong dan membuai hati perwakilan UMNO saja, khususnya generasi muda apabila menyebut angka 70 peratus itu?
Tidak, sebenarnya ia adalah mesej Zahid Hamidi untuk pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO yang kebetulan sudah berusia dan lama menjadi wakil rakyat serta sering bertelagah dan mengecamnya secara terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara mereka ialah Annuar Musa, Shahidan Kassim, Tajuddin Abdul Rahman, Nazri Aziz dan beberapa yang lain lagi.
Kecuali Nazri yang sudah mengumumkan tidak mahu bertanding lagi, yang lain-lain itu tidak pernah lagi membuat pengumuman terbuka mengenainya.
Bermakna, mereka itu belum mahu bersara dan ingin terus bertanding lagi dalam PRU15 akan datang ini.
Begitu pun, berdasarkan ucapan Zahid Hamidi mengenai angka 70 peratus muka baru itu, ia seperti menampakkan harapan tipis untuk Annuar, Shahidan dan Tajuddin terus dipilih bertanding lagi.
Tambahan lagi, Zahid Hamidi juga turut menyindir Shahidan dan Annuar dalam ucapan penutupnya semalam.
Dan inilah antara sebab mengapa Zahid Hamidi berkeras mahu PRU15 diadakan lebih dulu sebelum pemilihan UMNO supaya dengan jawatan Presiden UMNO yang masih dipegangnya, musuh-musuh politknya dapat diketepikan terlebih dahulu.
Berjayakah beliau melakukannya nanti? – ShahbudinHusin 20/03/2022.