MT Umno: Apandi sekejap terima, sekejap tolak
Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang hari ini diumumkan menjadi anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno menarik diri dan menolak pelantikan itu.
Jelas Mohamed Apandi, keputusan itu diambil selepas beliau memikirkan dengan mendalam dan semasak-masaknya.
“Setelah berfikir semasak-masaknya, dan dengan mendalam, saya berasa adalah tidak wajar untuk menerima pelantikan sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno,” katanya melalui kenyataan media malam ini.
Awal hari ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Mohamed Apandi dan 10 yang lain sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno.
Kesemua 11 mereka menyertai 25 anggota MT yang sebelum ini menang melalui undian dalam pemilihan parti itu 30 Jun lalu.
Pelantikan bekas peguam negara itu bagaimanapun tidak dipersetujui beberapa pihak termasuk pemuda Umno Kedah yang menyifatkan ia sebagai “kesilapan politik”.
Susulan itu, laporan NST memetik Mohamed Apandi yang menegaskan dia mempunyai hak untuk terlibat dalam politik memandangkan dia bukan lagi peguam negara.
Mohamed Apandi juga dilapor menyifatkan kepulangannya kepada Umno adalah ibarat ikan pulang ke lubuk kerana pernah menyertai parti itu sebelum ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Apandi berkata, penolakan pelantikan itu adalah kerana risau ia akan menimbulkan persepsi negatif yang akan dikaitkan dengan keputusannya semasa menjadi peguam negara.
“Apa yang bermain difikiran saya adalah pelantikan tersebut akan diselubungi dengan pelbagai persepsi negatif yang mungkin dikaitkan dengan apa jua tindakan dan keputusan saya semasa menjalankan tugas sebagai seorang hakim dan peguam negara,” katanya.
Ketika menjadi peguam negara, Mohamed Apandi telah membersihkan nama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB dan SRC International.
Najib yang juga merupakan bekas presiden Umno kini berdepan dakwaan kes SRC International yang masih dalam siasatan