PENDURJANA SEBENAR IALAH MEREKA YANG MAHUKAN MAHATHIR MENJADI PM HINGGA HABIS PENGGAL



Sebagaimana semua orang faham, termasuk malaikat di langit, kedudukan Anwar Ibrahim sebagai pengganti kepada Tun Mahathir Mohamad, telah pun disepakati dalam ikrar janji sebelum PRU14 lagi.
Untuk itu, Tun Mahathir dipersetujui sebagai Perdana Menteri sehingga Anwar dibebaskan daripada penjara dan sehingga mendapat pengampunan penuh daripada Yang Dipertuan Agong bagi membolehkan peralihan kuasa, sebagaimana yang djanji, dapat dilaksanakan.
Atas dasar itulah Tun Mahathir berkali-kali mengatakan beliau hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja untuk melaksanakan tugas memperbaiki kerosakan dalam negara dan memulihkan ekonomi.
Tempoh dua tahun itu adalah bersandarkan keyakinan bahawa proses memohon pembebasan dan pengampunan untuk Anwar sekurang-kurangnya perlu mengambil jangka masa tersebut.
Itulah sebabnya perjanjian peralihan kuasa tidak meletakkan tarikh yang khusus kerana tiada siapa dapat menjangka bila proses itu, khususnya pengampunan daripada Yang Dipertuan Agong, akan diperolehi.
Namun demikian, tanpa disangka-sangka, hanya dalam tempoh tiga bulan saja selepas kemenangan PH dalam PRU14, Anwar telah pun dibebaskan dan mendapat pengampunan penuh daripada Yang Dipertuan Agong, seterusnya beliau memenangi kerusi Parlimen Port Dickson pada PRK 13 Oktober 2018.
Meski pembebasan dan pengampunan diperolehi lebih awal serta Anwar telah menjadi Ahli Parlimen Port Dickson sejak Oktober 2018 lagi dan ini bermakna Anwar sudah layak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, tetapi tidak pernah pula ada desakan untuk dipercepatkan peralihan kuasa tersebut.
Tempoh yang dituntut tetap dua tahun iaitu berdasarkan janji Tun Mahathir sendiri.
Sekarang, malah beberapa ketika sebelum ini pun, sementara semua orang diperingatkan agar berpegang kepada janji asal peralihan kuasa dalam tempoh dua tahun itu, tak semena-mena timbul pula desakan agar Tun Mahathir dipanjangkan lagi khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal atau hingga ke tahun 2023.
Gila ke apa ni?
Sudahlah janji dua tahun cuba dimungkiri dengan pelbagai alasan lain seperti tugas Tun Mahathir kononnya belum selesai, ekonomi belum pulih sepenuhnya dan terbaru sehingga selesai Sidang APEC di Kuala Lumpur pada November 2020, kini ia mahu dikhianati lagi sehingga ke tahun 2023.
Manusia apa, bangsa apa dan agama yang membenarkan janji dipermain-mainkan sehingga ke tahap ini?
Kenapa susah sangat untuk berpegang kepada janji asal dua tahun sepertimana yang kerap disebut oleh Tun Mahathir sendiri?
Bukankah dengan memenuhi janji tersebut dan tidak menghasut Tun Mahathir untuk kekal sehingga sehingga habis penggal, bermakna kita sedang menyelamatkan Perdana Menteri daripada kemunafikan?
Lebih daripada itu, tidakkah kita sedar juga bahawa mengingkari janji peralihan kuasa tersebut dan membuat desakan agar Tun Mahathir kekal sehingga habis penggal hanya akan memungkinkan PH terjerumus kepada perpecahan?
Itukah yang kita inginkan atau kita mahu PH ini menjadi kerajaan hanya selama sepenggal saja?
Apakah kita suka Tun Mahathir yang sudah berusia 94 tahun dan mungkin bila-bila masa dipanggil mengadap Tuhan, tetapi akhirnya meninggal dunia dalam kebencian ramai kerana mungkir janji, terkepung dengan kemunafikan dan dalam keadaan PH berpecah kerananya?
Dalam hal ini, sementara mereka yang menuntut janji peralihan kuasa kepada Anwar dipenuhi dalam tempoh dua tahun adalah berjiwa mulia, bukan saja kepada PH, tetapi juga terhadap Tun Mahathir, sebaliknya yang terus dan tidak henti-henti mendesak agar Perdana Menteri dikekal sehingga habis penggal, mereka inilah golongan pendurjana yang sebenarnya.
Lebih buruk, golongan ini bukan saja durjana kepada PH, tetapi turut durjana kepada Tun Mahathir yang kononnya mereka sayangi. (ShahbudinHusin 18/01/2020)


TOL TOL TOL..LAMA LAMA JADI TOLOL....



Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di beberapa lebuhraya bermula 1 Februari 2020.
Lebuhraya yang terlibat ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).
Keputusan ini adalah susulan mesyuarat kabinet Rabu lalu membatalkan hasrat mahu menjual PLUS kepada syarikat swasta yang telah mengemukakan tawaran masing-masing.
Dengan keputusan itu, bermakna PLUS terus kekal menjadi milik kerajaan dengan Khazanah memiliki 51 peratus sahamnya dan KWSP memegang 49 peratus selebihnya.
Serentak dengan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus itu, diumumkan tempoh konsesi untuk semua Lebuhraya PLUS dilanjutkan lagi selama 20 tahun iaitu sehingga tahun 2058.
Sepanjang tempoh sehingga tahun 2058 itu, Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan tiada lagi kenaikan kadar tol akan berlaku.
Juga disebut, tidak ada sebarang pampasan perlu dibayar oleh kerajaan kepada PLUS berikutan tiada kenaikan kadar tol itu.
Tetapi, bukankah janji PH dalam manifesto PRU14 ialah mahu menghapuskan tol secara berperingkat-peringkat?
Janji itu diikrarkan akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun PH menjadi kerajaan.
Sekarang, apa yang berlaku ialah hanya kadar tol dikurangkan sebanyak 18 peratus dan tiada pampasan perlu dibayar oleh kerajaan, namun tempoh konsesi dilanjutkan selama 20 tahun lagi sehingga 2038.
Dalam hal ini, tidakkah lanjutan tempoh 20 tahun itu lebih merupakan laba berganda kepada PLUS berbanding penurunan sebanyak 18 peratus, tiada kenaikan sehingga 2058 dan tiada pampasan?
Persoalan penting juga di sini ialah bilakah janji menghapuskan tol mahu ditunaikan oleh PH?
Yang pasti, sehingga tahun 2058 iaitu 38 tahun daripada sekarang, tol tidak sesekali akan dimansuhkan.
Apakah ini bermakna tol hanya akan dimansuhkan selepas tahun 2058?
Siapa di antara kita yang hidup lagi pada waktu itu?
Masih ingatkan PH akan janji mereka mahu menghapuskan tol yang didendangkan ketika kempen PRU14 lalu?
Atau dengan pengumuman Pejabat Perdana Menteri ini, dengan sendirinya bererti janji menghapuskan tol sudah pun dimungkiri seawal 20 bulan PH menjadi kerajaan? (ShahbudinHusin 17/01/2020)