POSTED BY AMIR WRLR
Majlis Gerakan Negara atau Mageran bukanlah sesuatu yang boleh
diwujudkan di luar kerangka darurat.
Hal itu tidak sebagaimana dipropagandakan oleh paksi yang
menyokong pendekatan penubuhan Mageran yang membayangkan badan tersebut boleh
dibentuk selepas darurat ditarik balik bagi menggantikan pentadbiran Perikatan
Nasional.
Menurut pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, Mageran
mustahil dibentuk dalam suasana bukan darurat dan ianya mesti diusulkan oleh
kerajaan semasa.
"Ada melihat darurat telah gagal dan bagi menyelesaikan
masalah maka buat Mageran. Tidak. Mageran itu adalah darurat dalam bentuk yang
lain," katanya dalam sesi siaran Facebook, malam tadi.
Bagi Dr Aziz, Mageran secara praktikalnya akan menyebabkan Perdana
Menteri sedia ada kekurangan kuasa dan Pengerusi Mageran akan mengambilalih
fungsi menggerakkan urustabir negara.
"Sebelum kenyataan rasmi Pakatan Harapan (PH) yang menolak
isu Mageran, Tun Mahathir diberitakan menawarkan diri ketika mengadap Agong,
untuk menjadi pengarah kepada Mageran.
"Jadi Mageran adalah satu mekanisme di bawah darurat 1969.
Waktu itu Tun Razak yang memegang jawatan Pengarah Mageran seolah-olah menjadi
pemerintah. Walaupun ada kerajaan, ada kabinet, tetapi Timbalan Perdana Menteri
yang menjadi Pengarah Mageran.
"Jadi isu pada saya ada beberapa isu penting, apakah Mageran,
bagaimana wujudnya dan apakah implikasi kepada sistem itu sendiri?
"Mageran bukan satu formula ajaib biar pun ada kalangan ahli
ekonomi pernah mencadangkan satu mekanisme seumpama ini. Beliau melihat dari
segi ekonomi, sedangkan Mageran suatu perkara yang secara umumnya tidak selaras
dengan demokrasi dan Perlembagaan. Cuma dibenarkan oleh Perlembagaan dalam
suasana ekstrem sahaja," katanya.
Dr Aziz juga mengkritik pendirian Tun Mahathir dalam isu darurat,
yang pada awalnya menyokong Jawatankuasa Tamatkan Darurat dikepalai Ahli Parlimen
Shah Alam, Khalid Samad, kepada menyokong darurat dengan menawarkan diri
sebagai Pengerusi Mageran.
"Dari segi politik bila Mahathir bercakap soal Mageran dan
tawar diri sebagai pengarah, beliau telah menjauhkan diri dari PH.
"Mageran yang dibentuk di bawah kuasa darutat mempunyai kuasa
mutlak. Boleh buat undang-undang tanpa ke Parlimen. Contohnya, kalau Tun
Mahathir dilantik sebagai Pengarah Mageran maka dia secara tidak langsung akan
menyingkirkan PM yang ada," katanya.
Oleh itu, kata Dr Aziz, kerajaan perlu meminda atau mereformasikan
Perlembagaan Persekutuan, khususnya mengenai peruntukan darurat yang kabur dan
boleh dimanipulasikan oleh golongan 'mabuk kuasa'.
"Kita mahu mempastikan darurat dapat direformasikan.
"Ini satu perkara yang perlu dibuat melalui pindaan
Perlembagaan dan sudah tentu memerlukan suara majoriti. Maknanya 2/3 tidak
mudah untuk didapati sekarang.
"Jadi (jika pindaan mahu dilakukan) pihak kerajaan dan
pembangkang harus duduk sama dan sama-sama seperti kita meminda peruntukan
berhubung Undi 18 hari itu, supaya kita dapat membersihkan Perlembagaan kita
(daripada unsur manipulasi)," katanya lagi.