BERI IC KEPADA PENDATANG BAGAIMANA?

Pemimpin Islam persoal kesetiaan bukan Muslim, mahu hak dikaji semula...Bagaimana pemberian kad pengenalan untuk undi?Adakah ini tidak perlu disiasat dan dikaji??adoiii awat la mamat ni dok cakap merapu.....


KUALA LUMPUR, 22 Mei – Beberapa pemimpin Islam mempersoalkan kesetiaan bukan Islam di negara ini sambil menggesa hak komuniti itu perlu dinilai semula jika Malaysia benar-benar dianggap sebagai negara Islam.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Nakhaie Ahmad (gambar) berkata, layanan kepada bukan Muslim seharusnya berdasarkan pada kontrak sosial yang telah dipersetujui.

Malah kata beliau kerajaan nampak terlalu bermurah hati kepada kaum-kaum bukan Islam.

“Dalam usaha untuk mendapatkan undi dan sokongan bukan Muslim, kita begitu bermurah hati dalam memberikan hak-hak sivil.

“Hak-hak sivil yang diberikan termasuk hak untuk mengundi, penyertaan dalam politik, memegang jawatan, pembabitan dalam ketenteraan dan sebagainya, tetapi kita memberikan mereka segala-galanya,” kata beliau.

Oleh itu, kata beliau, tawaran hak kepada bukan Islam seharusnya berdasarkan amalan-amalan agama Islam.

Tanah runtuh: Kerajaan Pulau Pinang hulur bantuan

Ahli keluarga mangsa tanah runtuh berpeluk di sebuah masjid di Hulu Langat hari ini. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 22 Mei — Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menghulurkan bantuan RM25,000 kepada kesemua 25 mangsa dan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa yang ditimpa tragedi tanah runtuh semalam.

Seramai 16 kanak-kanak maut dalam tragedi itu dan sembilan selamat dengan kecederaan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, malapetaka itu amat menyayat hati dan telah menyentuh hati semua rakyat Malaysia tanpa kira kaum dan agama, yang penuh simpati dan sedih atas nasib malang dialami mangsa.

Katanya, sungguhpun wang tidak seberapa, ia adalah sokongan moral untuk memberi semangat kepada keluarga mangsa yang maut dan untuk mereka yang terselamat meneruskan kehidupan mereka dengan tabah.

Beliau yang juga setiausaha agung DAP berkata partinya juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam tragedi itu.

“DAP juga ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat dan pihak polis yang bertungkus-lumus menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa-mangsa dengan penuh dedikasi,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, DAP menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan tragedi semalam dapatlah dielakkan.

Mahfuz gesa Najib minta maaf label rakyat ‘ketagih subsidi’

Datuk Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR, 22 Mei — PAS mendakwa pentadbiran Najib mengalih beban akibat defisit fiskal ke atas bahu rakyat dengan memotong subsidi ke atas barang-barang keperluan asas.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Putrajaya tidak mampu mencari jalan untuk memotong perbelanjaannya tetapi rakyat pulai terpaksa “membayar subsidi kepada kerajaan untuk membayar hutangnya.”

“Ini sebuah kerajaan yang lemah, yang tidak boleh mengurangkan defisitnya tanpa membebankan rakyat,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan kini mengambil wang daripada saku rakyat untuk membayar defisitnya.

Meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memanggil pilihan raya tergempar tahun ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu meneruskan langkah pemotongan subsidi bagi mengurangkan beban subsidi yang dijangka mencecah RM21 bilion tahun ini.

Mahfuz juga mengkriitk Najib kerana menggambarkan subsidi sebagai “candu” ketika bercakap di depan khalayak luar negara.

“Beliau memberitahu komuniti antarabangsa bahawa rakyat Malaysia ketagih subsidi. Ini satu penghinaan dan beliau seharusnya menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf,” kata beliau.

Dalam satu kenyataan di London 16 Mei lalu, Najib berkata, subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi.

“Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” kata beliau.

Pada Mac lalu, Najib berkata, beliau berkomited untuk memotong subsidi jangka panjang dan penjimatan seharusnya disasarkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Pengurusan ekonomi yang baik dan makro membolehkan anda mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat.

“Maka, anda membolehkan faktor pasaran untuk memperuntukkan sumber-sumber dengan berkesan,” katanya lagi.

Dipetik laporan Reuters, Najib berkata, keperluan untuk menarik balik subsidi secara berperingkat-peringkat perlu diseimbangkan dengan keperluan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet.

Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengurangkan defisit sehingga 5.4 peratus tahun ini berbanding 5.6 peratus sebelum ini, kemudian sehingga 2.8 peratus menjelang 2015.

Minggu lalu, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat.

Harga RON97 telah mengalami kenaikan 20 sen seliter awal bulan lalu.

Harga gula pula naik 20 sen sekilogram berkuat kuasa dua minggu lalu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, subsidi kepada barang-barang keperluan asas seperti minyak dan gula tidak seharusnya dilihat sebagai herot-benyot kepada pasaran, sebaliknya ia “tanggungjawab kerajaan untuk mengurangkan beban orang ramai.”

“Ia satu mekanisme bagi pengagihan kekayaan. Kerajaan harus mengurangkan perbelanjaannya sendiri daripada menarik balik hak rakyat,” kata beliau lagi.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Donald Lim berkata kerajaan telah mengarahkan semua jabatan kerajaan agar memotong perbelanjaan ekoran peningkatan kos.

Tanah Runtuh : 500 Sertai Solat Jenazah


KUALA LUMPUR 22 MEI : Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, waris dan penduduk setempat hadir di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, pekan Batu 14, Hulu Langat bagi menunaikan solat jenazah untuk tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat.

Ketujuh-tujuh jenazah itu disembahyangkan selepas solat Zohor di masjid berkenaan.

Masjid berkenaan mulai dipenuhi jemaah sejak pukul 10 pagi tadi untuk menunaikan solat jenazah bagi mangsa-mangsa terbabit.

Tujuh jenazah itu ialah Dzahir Haziq M.Muin (18 tahun), Mohd Azret Azahari (lapan), Wan Ahmad Hasrim Hazim (11), Mohd Mustakim Mamat (12), Mohd Zaid Azahari (14), Mohd Imal Fahad (sembilan) dan Mohd Hazim Sapri (10).

Kesemua mereka akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14, Hulu Langat.

Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.30 petang semalam, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.

Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat.

Semua mayat mangsa yang terkorban di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kesemua jenazah selesai dituntut ahli keluarga dan waris pada kira-kira 12.05 tengah hari tadi.

Jenazah mangsa yang lain akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu tiga di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Dengkil (dua) dan masing-masing satu di Batu Caves, Perak, Pahang dan Kelantan.-BERNAMA

Tanah Runtuh : Ambil Musibah Sebagai Iktibar Untuk Perbaiki Masa Depan


KUALA LUMPUR 22 MEI : Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan jutaan takziah kepada keluarga, pewaris mangsa dan pihak rumah anak yatim yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini semalam.

Beliau turut menggesa kajian menyeluruh dilakukan ke atas bangunan dan kawasan sekitar insiden kerana bencana melibatkan kehilangan nyawa katanya tidak boleh diambil mudah.

Ia penting kata Azizah bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang telah kehilangan nyawa dan semualah yang telah ditimpa malapetaka ini tetapi kita mesti redha.

“(Namun) kita mesti cari penyelesaian kerana kalaulah tragedi ini berulang dan berlaku banyak kali, jadi kita mesti tengok puncanya. Apakah dengan pembangunan bangunan yang tanpa mengira persekitaran?,” katanya kepada TV Selangor selepas melawat mangsa yang terselamat di Hospital Ampang petang tadi.

Beliau turut diiringi isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut, Exco Selangor Rodziah Ismail dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Haniza Talha.

Dalam kejadian tanah runtuh semalam, 16 mangsa maut manakala sembilan lagi mengalami kecederaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil kini.

Azizah turut mengingatkan tentang amalan beringat yang bersifat sementara di kalangan masyarakat.

Katanya, semua pihak seharusnya melihat dan belajar terhadap apa yang berlaku serta menjadikanya panduan supaya boleh mengharungi masa depan dengan lebih baik.

Jelasnya, peristiwa malang yang berlaku ini amat menyedihkan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa yang besar serta di kalangan mereka yang masih anak-anak.

“Kadang kala kita nampak macam beringat sedikit bila lepas tragedi untuk seketika tetapi kejadian yang sama masih berulang.

“Nyawa (yang diambil seharusnya) menjadi pelajaran tetapi kita tak belajar dari pelajaran ini,” katanya.

Tarik Pelabur Asing : Najib Hidup Dalam "Khayalan" Kata Anwar




PETALING JAYA 22 MEI: Usaha Perdana Menteri Najib Razak mencanang Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan kepada masyarakat koperat di Amerika Syarikat baru-baru ini adalah berasaskan "khayalan" pemimpin itu semata-mata, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikat adalah Malaysia jauh ketinggalan berbanding jiran seperti Filipina, Indonesia dan Thailand dari segi menarik pelaburan asing langsung (FDI), akibat dasar-dasar Umno-BN mementingkan juak-juak tertentu, kata Anwar kepada TvSelangor.

"(Perbuatan Najib melobi di AS) seolah-olah hidup dalam khayalan. Dia terpenjara dengan kerana juak-juak memuji demi keuntungan mereka," jelas Ketua Pembangkang itu.

"Pelaburan asing kurang. Kalau dibandingkan dengan Filipina, Indonesia dan Thailand kita semakin teruk. Ini tidak dibahaskan," ujar Anwar.

Anwar berkata Najib tersasar merungkai sentimen pelabur, yang menurutnya, menilai kejayaan sesebuah negara berasaskan keprihatinan kerajaan dalam membela rakyatnya.

"Politik, pentadbiran (negara) akhirnya diukur dari keupayaan untuk meringankan beban rakyat. Atau dalam istilah lain kepedulian terhadap permasalahan rakyat. Apa yang berlaku sekarang...harga barang meningkat, subsidi diturunkan... itu mengelirukan kerana untuk kelompok kaya, subsidi diteruskan tapi untuk rakyat miskin dikurangkan," kata beliau.

Ekonomi Malaysia hanya berkembang sekitar 4.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding lebih 10 peratus tempoh sama tahun lalu.

Laporan terbaru Institut Pengurusan Pembangunan Antarabangsa (IMD) menunjukkan tahap saingan ekonomi Malaysia jatuh ke tangga 16 berbanding dengan 10 sebelum ini.

Pada masa sama harga barangan keperluan rakyat naik dengan kadar yang jauh lebih tinggi daripada paras kenaikan gaji, dan memburukan lagi tahap inflasi di negara ini.

Anwar sebelum ini memberi amaran harga barangan seperti gula dan petrol akan naik sehingga 30 peratus akhir tahun ini, berbanding kadar harga lima tahun lalu, jika Umno-BN terus memotong subsidi sebagai cara pantas mengekang defisit belanjawan.

Di sebalik keadaan suram ini di tanah air, Najib berlepas ke Washington awal minggu ini untuk menarik pelabur Amerika Syarikat dengan mencanang slogan 1Malaysia dan kepelbagaian kaum yang kononnya menjadikan Kuala Lumpur pilihan utama pelabur.

Anwar berkata cubaan Najib untuk memberi gambaran bahawa Malaysia bebas daripada pertikaian aspek agama dan perkauman tidak menggambarkan senario sebenar.

Dalam temuramah khas Tv Selangor bersama bekas Menteri Kewangan itu, beliau terus mempersoal kewibawaan kerajaan Umno-BN untuk menjawab persoalan rakyat berhubung saham ekuiti bumiputera yang lesap berjumlah RM52 bilion.

Katanya, akibat usaha memenuhi kehendak segelintir elit-elit Melayu, kaum Melayu amnya dipinggirkan dari aspek sosio ekonomi.

Oleh yang demikian, Anwar berpendapat pendedahan ini perlu diberi perhatian oleh setiap genap lapisan masyarakat kerana jelas kerajaan pimpinan Najib yang tidak berorientasikan rakyat.

Anwar : Banding Harga Minyak Dengan Negara Pengeluar




KOTA BELUD 22 MEI: Bekas Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat dan kerajaan membandingkan harga minyak dengan negara-negara pengeluar minyak dunia yang menurutnya jauh lebih rendah berbanding Malaysia.

Beliau yakin kadar ditetapkan oleh kerajaan tidak boleh dibandingkan dengan negara yang tidak mempunyai sumber minyak seperti Singapura.

Bercakap pada ceramah bersempena lawatan beliau ke negeri Sabah semalam, Anwar mengecam peranan kerajaan yang gagal memberi manfaat kepada negeri itu dan Malaysia secara keseluruhan untak menikmati keselesaan harga minyak rendah.

Ini katanya berikutan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak mempunyai kepentingan mengumpul dana kerajaan berbanding mengurangkan beban rakyat.

"Kita kena banding minyak dengan harga pengeluar minyak. Brunei, Arab Saudi, Qatar Venezuela dan Iran. Semuanya rendah bila dibandingkan," ujar beliau.

Di hadapan 500 penyokong yang hadir, beliau mengulas pengumuman kerajaan baru-baru ini menarik subsidi petrol diesel ke atas 9 jenis kenderaan komersial dengan alasan untuk mengurangkan defisit negara kepada 2.8 peratus menjelang 2015.

"Habis siapa yang dapat? Umno yang bawah-bawah ini menyibuk sahaja. Saya tidak musuh dengan Umno bawahan. Kalau boleh saya mahu terangkan kepada ahli Umno ini, kalau meraka terbuka sikit minda dia tidak akan terima. Kita menang 2008 banyak ahli Umno sokong kita," katanya lagi.

Anwar yang memegang jawatan Menteri Kewangan daripada tahun 1990 hingga 1998 berjaya meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus dalam lapan tahun berturut-turut.

Justeru beliau turut cemerlang dalam usaha menangani kemelesetan ekonomi serta mempertahankan kedudukan negara apabila matawang negara jatuh pada tahun 1997.

Anwar berkata matlamat kerajaan Pakatan Rakyat akan menumpukan sepenuhnya kepada usaha meringankan beban rakyat di samping tidak mengabaikan kepesatan pembanggunan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, rakyat di negeri Sabah dan Sarawak berhak menikmati hasil bumi (minyak) dengan harga yang rendah.

Menurutnya pendekatan ini berbeza dengan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) melalui Petronas mengaut keuntungan berjumlah RM90 bilion setahun namun dalam masa yang sama menaikkan harga minyak domestik.

"Sudah begitu banyak wang dapat tapi naikkan harga minyak. Ini tidak masuk akal. Kemudian mereka (kerajaan) kata sebab harga pasaran tinggi. Saya peduli apa harga pasaran.

"Ini harga orang Sabah dan minyak keluar daripada bumi ini, kenapa mahu bebankan rakyat bumi ini. Siapa punya tanah, siapa punya minyak? Bukan kamu punya. Bahagikan, mudahkan, ringankan beban rakyat, itu matlamat kita," kata Anwar disambut sorakan penyokong.

Anwar meluangkan masa dua hari melawat dan bertemu rakyat di sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan dalam siri jelajah memberi penerangan.

Turut hadir ke sesi ceramah termasuk kepimpinan tertinggi PKR negeri Sabah.

Dalam pada itu Anwar dalam ucapan sama bertegas untuk tidak mengangkat pemimpin Pakatan Rakyat yang sanggup meninggalkan parti demi kepentingan peribadi.

Katanya, mustahil bagi beliau sebagai Ketua Umum untuk merisikokan perjuangan tulen mengangkat martabat rakyat bersandarkan individu yang tidak berpendirian.

Lantaran itu beliau menyarankan ahli-ahli parti mengukuhkan semangat perjuangan menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Beliau mengulas tindakan A Gobalakrishnan melompat parti selepas didakwa menerima cek bernilai RM1.4 juta.

"Kemudian bila lompat cakap tiada keyakinan kepada Anwar Ibrahim dan tinggalkan beliau. (lihat) Orang yang macam mana ditinggalkan. Cek dan kontrak.

"Kalau tidak tinggalkan parti dan saya tahu dia berbuat begitu sedangkan saya di sini korban dengan tenaga dan kemudian mahu angkat orang begini untuk wakil kita. Bodoh saya (jika buat begitu) dan tidak layak saya memimpin kalau saya angkat orang begitu," jelas beliau lagi.

PRU Bukan Untuk Tumbang Pemimpin Tapi Untuk Ubah Sistem Rasuah, Kata Anwar





SHAH ALAM 22 MEI: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa akar umbi dan kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus menghayati dan mendokong perjuangan membela rakyat sebagai cara terbaik menangkis usaha-usaha licik pemeritnah untuk menindas pembangkang.

Gagasan itu tidak perlu gusar terhadap taktik-taktik kotor yang diguna oleh Umno-Barisan Nasional, termasuk dakwaan adanya gerakan "menjual" kewarganegaraan kepada rakyat Indonesia di Semenanjung untuk menambah undi pemerintah pada pilihanraya umum akan datang.

"Jadi saya minta rakan-rakan yang mengakui sebagai pejuang untuk membela nasib rakyat. Tidak ada laluan mudah kerana yang kita mahu ubah bukan seorang wakil rakyat tapi sistem yang telah merosak dan punahkan negeri yang mempunyai potensi begitu kaya," kata Anwar kepada TvSelangor.

"Nilai-nilai agama dan bangsa sudah dikorbankan kerana pemimpin-pemimpin memunggah kekayaan. Oleh kerana hendak mempertahankan kekayaan mereka, mereka sanggup rakus, fitnah dan ganas. Kalau rakyat kita terutama pendukung parti Keadilan dan Pakatan Rakyat insaf tentang perkara ini, maka mereka perlu bersedia melalui liku-liku untuk mencapai tujuan, Insyallah (kita akan berjaya)," kata Anwar." ujar beliau.

Anwar berkata beliau menyedari kebimbangan masyarakat dan kalangan penyokong PR terhadap dakwaan Projek IC sulit yang didakwa memberi kewarganegaraan kepada 600,000 penduduk asing di Sabah pada tahun 90an kini menular ke Semenanjung.

Di Hulu Selangor, Parti Keadilan Rakyat mendakwa 2,000 warga asing, khususnya rakyat Indonesia didokong oleh Umno bahagian itu untuk diberi kewarganegaraan oleh Kementerian Dalam Negeri. KDN dipimpin oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, iaitu Naib Presiden Umno.

Anwar berkata PR harus tabah menghadapi helah sebegitu dan meletakkan kepercayaan kepada kewarasan rakyat Indonesia yang berstatus warganegara Malaysia untuk menilai kepentingan mengangkat kerajaan adil.

"Kita jangan terlalu musykil kerana rakyat Indonesia yang sudah mendapat hak kewarganegaraan tidak semuanya diperalatkan. Indonesia itu mempunyai tradisi yang demokratik," kata Anwar.

"Mereka (Warga Indonesia di Malaysia) juga dapat menilai apa yang zalim dan adil. Jadi kita harus mendampingi mereka dan meminta untuk mengundi mengikut keyakinan dan pertimbangan akhlak untuk memilih cara yang adil yang dituntut oleh agama dan budaya kita," tambah beliau.

Anwar menegaskan sekiranya dakwaan bahawa kewarganegaraan Malaysia diberi kepada warga asing untuk Umno-BN mempolehi undi lebih besar pada PRU adalah sahih, maka Kementerian Dalam Negeri harus dilihat sebagai punca.

"Kita dedahkan penipuan ini. Mana ada negara, kita boleh curi sahkan kewarganeraan orang secara muslihat. Ini tidak mungkin berlaku tanpa arahan peringkat tertinggi iaitu Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri. Sepertimana yang penah berlaku tetapi dalam keadaan lebih terpilih di bawah pentadbiran yang lalu," kata Anwar.

Anwar menyifatkan pendedahan terperinci mengenai dasar-dasar Pakatan Rakyat semakin menerima sambutan rakyat sebagaimana yang ditonjolkan menerusi pilihanraya negeri Sarawak bulan lalu.

Menurutnya, peralihan lapan peratus undi popular di PRN itu kepada Pakatan Rakyat julung kalinya berlaku setelah mengambil kira cengkaman BN ke atas negeri itu.

Justeru katanya, dasar yang diketengahkan jentera PR berjaya merubah persepsi rakyat tentang keperluan untuk merombak sistem pentadbiran Umno-BN yang lapuk.

Anwar yakin apabila PRU tiba kelak, jentera PR akan bergerak secara lebih komprehensif dan menawan lebih banyak kubu-kubu kuat Umno-BN.

"Urusan Pilihan Raya Umum nanti di mana menteri-menteri pusat dan kerajaan persekutuan tidak dapat tumpu sepenuhkan di Sarawak, kita dapat menembusinya lagi,Insyaallah," kata beliau.


Selangor Bantu Mangsa Tanah Runtuh




SHAH ALAM 22 MEI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat.

Kerajaan Negeri telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor serta Yayasan Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini serta petugas-petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.

Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini.

Beliau turut mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.

Buat sementara waktu, Kerajaan Negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.

Khalid menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan redha dengan kejadian ini. Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.

100 Ribu Ahli PAS Turun Himpunan Bersih 2



SHAH ALAM 21 MEI : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) akan mengadakan himpunan bersih 2 pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS akan menggerakkan sekurang- kurangnya 10 ribu ahli untuk turut sama menyertai himpunan itu yang bertemakan 'Walk For Democracy'.

Beliau berkata, himpunan itu akan berlangsung secara aman dengan syarat tiada sebarang provokasi dari pihak tertentu terutamanya, anggota keselamatan sepeti polis.

"Tujuannya sama dengan tujuan himpunan Bersih 1 yang lalu iaitu menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Kami yang juga duduk dalam Bersih bersetuju dengan pihak Bersih tentang tarikh perhimpunan itu dan pihak kami akan mengerahkan ahli dan penyokong seramai mungkin untuk hadir dalam himpunan aman seperti amannya himpunan Bersih yang pertama dahulu kalau tidak ada gangguan dari pihak terterntu khasnya pihak polis dan himpunan akan berlaku dengan aman,” katanya.

Bagaimanapun, tempat, warna tema dan mekanisme himpunan itu akan diperincikan pihak BERSIH sendiri yang dipengerusikan

Datuk Ambiga Sreneevasan dalam masa terdekat.

Himpunan Bersih pertama telah diadakan pada 10 November 2007 lalu dengan kehadiran lebih 100,000 rakyat berarak menuju ke Istana Negara bagi mengiringi penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.

Ianya diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke- 12 yang berlangsung Mac tahun berikutnya.

Katanya, tujuan himpunan tersebut adalah kesinambungan empat tuntutan BERSIH dalam himpunan pertama mereka pada November 2007.

Menurutnya selain empat tuntutan mereka yang tidak dilayan oleh kerajaan dalam himpunan sebelum ini, BERSIH telah menambah lagi dua tuntutan.

Dua perkara itu adalah berhubung dakwaan penyalahgunaan institusi kerajaan dalam pilihan raya sehingga rakyat tidak dapat menilai antara parti politik dan kerajaan.

Satu lagi tuntutan adalah melanjutkan tempoh pilihan raya di peringkat kebangsaan dengan ‘tempoh yang lebih munasabah’ berbanding tempoh lapan hari yang dianggap sebagai terlalu singkat.

Iaitu hal penyalahgunaan harta kerajaan secara berleluasa kebelakangan itu teruama dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak sehingga kita dan rakyat tidak dapat menilai lagi yang mana satu parti politik bergerak yang mana satu kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata himpunan bersih 2 terpaksa diadakan ekoran tuntutan Himpunan Bersih pertama dahulu tidak mencapai matlamat.

“Jadi pada kami, pada bersih apa juga yang kami tuntut selama ini belum Berjaya belum dapat diterima maka Bersih versi 2 ni akan meneruskan kesimambungan untuk mengerakkan rakyat,” katanya.

Tambahnya, perhimpunan itu juga dijadikan gelanggang bagi membantah undang-undang yang dianggap zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi OSA.

Sengsara Hidup Sebagai Tiong Hua - Jui Meng


CHERAS 21 MEI : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Chua Jui Meng menganggap UMNO membuang prinsip rukun negara kerana menjaja isu perkauman dan menimbulkan kebencian dikalangan pelbagai bangsa.

Menurut Chua, Rukun Negara menganjurkan agar rakyat tanpa mengira kaum bersatu- padu dan bekerjasama demi kebaikan negara dan perkara yang dilakukan UMNO melalui badan bukan kerajaan (NGO) PERKASA serta akhbar Utusan Malaysia jelas bertentangan.

"UMNO sudah buang Rukun Negara ke dalam parit PERKASA.

"UMNO beritahu benci orang India....benci orang Cina, kerana orang Cina, orang Melayu miskin.

"Ingat tak, Tahun 1970 Tun Abdul Razak perkenalkan Rukun Negara. Sekarang anak Tun Razak musnahkannya," kata Chua dalam ceramah di Dewan Serbaguna Cheras Baru di sini semalam.

Chua menceritakan betapa sengsaranya beliau sebagai bangsa Tiong Hua yang miskin di negara ini pada waktu dahulu.

Walaupun beliau merupakan antara pelajar terbaik negeri Johor bagi peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1962, beliau gagal mendapat biasiswa bagi mengejar impiannya sebagai peguam di Universiti Malaya lantaran beliau bukan bumiputera.

"Tahun 1962, Saya baru habis tingkatan 6. Interview dengan Exco Johor. Saya beritahu keluarga saya miskin. Ayah saya lumpuh. Ibu saya tanggung empat orang anak. Minta tolong supaya saya boleh masuk UM. Tapi permohonan ditolak.

"Saya minta bantuan Kerajaan Pusat, tapi surat sampai kata 'minta maaf Chua Jui Meng," katanya.

Beliau kemudiannya bekerja dan berjimat untuk beberapa tahun sebelum ke London menggunakan wang simpanannya bagi melanjutkan pelajarannya.

"Di London saya kerja sebagai buruh. Buat Stesen Keretapi. Saya kerja 9 bulan dalam setahun untuk dapat duit belajar. Itulah kesengsaraan saya, orang Tiong Hua," kata beliau.

Beliau menyatakan kekaguman dengan prinsip keadilan keharmonian yang ditampilkan PKR menyebabkan beliau tertarik hati menyertai parti itu tahun lalu.

Malah mengenali Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau yakin dengan kepimpinan dan peribadi Anwar sebagai muslim yang baik dan dihormati di seluruh dunia.

"Al-Quran kata kita turun dari Adam dan Hawa. Apa yang diajar Islam tulen, Orang Islam, Kristian semua dari keturunan Adam dan Hawa. Maknanya, semua manusia di dunia ini tak kira Putih, Kuning, Hitam, kita semua adik beradik," kata beliau mendapat tepukan gemuruh hadirin.

"Sokonglah kita (Pakatan). Bukan sokong individu, bukan suruh sokong Anwar Ibrahim tapi sokong apa yang ada dalam sanubari dan jiwa Anwar. Orang Melayu, Cina, India, Dayak semua boleh naik dan musnahkan kemiskinan yang dicipta UMNO," tambahnya lagi.

Potongan Subsidi - Kerajaan tiada hak tegur rakyat, kata PKR








Kerajaan Umno-BN tidak harus mempersalahkan rakyat yang membantah pemotongan subsidi barangan keperluan kerana langkah itu amat membebankan mereka, kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Beliau berkata selagi kerajaan Umno-BN terus memberi subsidi kepada syarikat kroni dalam jumlah yang jauh mengatasi apa yang diperuntukan untuk rakyat, selagi itu rasa tidak puas hati awam akan berkekalan.

"Rakyat sudah lama menjadi mangsa kerajaan UMNO-BN ini. Subsidi gas yang pemerintah perkenalkan itu telah lama digunakan pakai iaitu sekitar tahun 96-97 tetapi kini dikurangkan. Rakyat terpaksa menanggung beban dan pada masa sama terpaksa melihat wang negara berpuluh billion tiap-tiap tahun masuk ke poket kroni," kata beliau kepada TvSelangor.

Kerajaan Umno-BN hanya memperuntukan subsidi untuk barangan keperluan rakyat sebanyak RM4 Billion manakala subsidi untuk pengeluar tenaga bebas (IPP) adalah RM19 Billion.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein semalam mengesa rakyat bersama kerajaan dalam usaha mengurangkan subsidi untuk mengimbangi defisit negara.

Seperti masa-masa lalu, beliau berjanji kerajaan akan mencari jalan supaya pemotongan subsidi "tidak membebankan rakyat".

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi amaran bahawa harga barangan keperluan akan melonjak naik 30 peratus akhir tahun ini berbanding lima tahun lalu, jika pemotongan subsidi terus berkekalan pada tahap sekarang.

Paras harga barangan keperluan sekarang adalah yang tertinggi sejak tahun 2008.

Harga tepung, gula dan minyak sudah pun mengalami kenaikan yang semakin menghimpit sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rafizi menjelaskan "nasihat-nasihat" UMNO-BN, mahukan rakyat mengamalkan cara hidup berhemah jelas menyerlahkan sifat hipokritnya.

"Kerajaan engesa rakyat mengubah cara hidup dengan hidup berjimat, kurangkan pengambilan gula dan minyak sedangkan kerajaan tidak laksanakan apa-apa langkah untuk mengurangkan perbelanjaan negara meskipun dalam soal membanteras rasuah."

Rafizi berkata kerajaan tidak seharusnya terus menerus menjadikan rakyat sebagai mangsa bahana dari kepincangan pemerintahan korup mereka.

"Pakatan Rakyat berpendirian bahawa kerajaan Malaysia mampu untuk menampung harga minyak tanpa menaikan harga minyak sekiranya kerajaan mengawal ketirisan dan amalan rasuah," kata beliau.

"Amalan rasuah ini yang jelas banyak telan wang rakyat, kalau rasuah ini dapat dibanteras, wang ini boleh digunakan untuk menampung dan mengekalkan harga minyak, malah pada paras yang lebih rendah." tambah beliau.