CHERAS 21 MEI : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Chua Jui Meng menganggap UMNO membuang prinsip rukun negara kerana menjaja isu perkauman dan menimbulkan kebencian dikalangan pelbagai bangsa.
Menurut Chua, Rukun Negara menganjurkan agar rakyat tanpa mengira kaum bersatu- padu dan bekerjasama demi kebaikan negara dan perkara yang dilakukan UMNO melalui badan bukan kerajaan (NGO) PERKASA serta akhbar Utusan Malaysia jelas bertentangan.
"UMNO sudah buang Rukun Negara ke dalam parit PERKASA.
"UMNO beritahu benci orang India....benci orang Cina, kerana orang Cina, orang Melayu miskin.
"Ingat tak, Tahun 1970 Tun Abdul Razak perkenalkan Rukun Negara. Sekarang anak Tun Razak musnahkannya," kata Chua dalam ceramah di Dewan Serbaguna Cheras Baru di sini semalam.
Chua menceritakan betapa sengsaranya beliau sebagai bangsa Tiong Hua yang miskin di negara ini pada waktu dahulu.
Walaupun beliau merupakan antara pelajar terbaik negeri Johor bagi peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1962, beliau gagal mendapat biasiswa bagi mengejar impiannya sebagai peguam di Universiti Malaya lantaran beliau bukan bumiputera.
"Tahun 1962, Saya baru habis tingkatan 6. Interview dengan Exco Johor. Saya beritahu keluarga saya miskin. Ayah saya lumpuh. Ibu saya tanggung empat orang anak. Minta tolong supaya saya boleh masuk UM. Tapi permohonan ditolak.
"Saya minta bantuan Kerajaan Pusat, tapi surat sampai kata 'minta maaf Chua Jui Meng," katanya.
Beliau kemudiannya bekerja dan berjimat untuk beberapa tahun sebelum ke London menggunakan wang simpanannya bagi melanjutkan pelajarannya.
"Di London saya kerja sebagai buruh. Buat Stesen Keretapi. Saya kerja 9 bulan dalam setahun untuk dapat duit belajar. Itulah kesengsaraan saya, orang Tiong Hua," kata beliau.
Beliau menyatakan kekaguman dengan prinsip keadilan keharmonian yang ditampilkan PKR menyebabkan beliau tertarik hati menyertai parti itu tahun lalu.
Malah mengenali Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau yakin dengan kepimpinan dan peribadi Anwar sebagai muslim yang baik dan dihormati di seluruh dunia.
"Al-Quran kata kita turun dari Adam dan Hawa. Apa yang diajar Islam tulen, Orang Islam, Kristian semua dari keturunan Adam dan Hawa. Maknanya, semua manusia di dunia ini tak kira Putih, Kuning, Hitam, kita semua adik beradik," kata beliau mendapat tepukan gemuruh hadirin.
"Sokonglah kita (Pakatan). Bukan sokong individu, bukan suruh sokong Anwar Ibrahim tapi sokong apa yang ada dalam sanubari dan jiwa Anwar. Orang Melayu, Cina, India, Dayak semua boleh naik dan musnahkan kemiskinan yang dicipta UMNO," tambahnya lagi.