KUALA LUMPUR, 26 Jun: Tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan penganjur Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) mengkhianati perjuangan rakyat adalah tuduhan yang tidak tepat. “Persoalannya siapakah pengkhianat sebenar?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar). Beliau juga mempersoalkan kenapa Bersih 2.0 yang didukung oleh NGO dan parti-parti politik bertegas juga hendak berhimpun secara aman pada 9 Julai ini. Tambahnya, Timbalan Presiden Umno itu perlu ingat yang menganggotai penganjur Bersih 2.0 bukan mereka yang bodoh dan boleh dicucuk hidung oleh mana-mana pihak. Katanya, jika mereka mahu mencari jalan selamat dan selesa lebih baik mereka menyertai Perkasa dan Pemuda Umno yang sentiasa mendapat perlindungan dan kekebalan daripada pihak pemerintah. “Apakah salah sebagai rakyat yang hendak menuntut pilihan raya yang adil seperti penggunaan dakwat, menghapuskan undi pos?” “Kenapa kerajaan berdolak dalih? Susah sangatkah hendak laksanakan,” tanya beliau. Beliau berkata, jika kerajaan tidak bersedia untuk menerima tuntutan rakyat, maka sahlah kerajaan BN yang mengkhianati kepada rakyat. Tambahnya, oleh kerana rakyat sayangkan negara daripada mala petaka buruk kerana pencabulan demokrasi, maka mereka sanggup turun ke perhimpunan aman Bersih. Sepatutnya, kata beliau Muhyiddintidak boleh menuduh perserta himpunan Bersih khianat kepada keamanan negara. “Sepatutnya kerajaan sudah matang untuk mempertingkatkan ketelusan perjalanan pilihan raya dan usaha penambah baikan perjalanan pilihan raya , apabila pihak kerajaan melihat amarah rakyat ketika Bersih 10 November 2007 yang dihadiri lebih 100 ribu orang,” katanya. Sebaliknya, kata beliau lagi walaupun berlaku beberapa pertemuan yang dibuat oleh parti-parti politik dengan SPR, segala pandangan yang diberi seperti mencurah air di dalam daun keladi. “Kesemua ini terjadi kerana SPR, masih tidak bebas dan berada di bawah dagu pemimpin BN,” ujarnya. |
KUALA LUMPUR, 26 Jun — Polis menahan lapan lelaki di Taman Kosas, Ampang di sini kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis “Bersih 2.0” dalam tulisan jawi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kesemua mereka ditahan atas kesalahan memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan 9 Julai ini.
“Mereka juga didapati mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit dan ekoran itu kita menahan mereka untuk langkah pencegahan awal,” katanya dipetik Bernama Online.
Amiruddin berkata kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan polis akan membebaskan mereka selepas keterangan diambil daripada mereka.
Kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan di hadapan Majid Taman Kosas kira-kira 11 pagi.