Bersih 2.0: Siapa pengkhianat


KUALA LUMPUR, 26 Jun: Tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan penganjur Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) mengkhianati perjuangan rakyat adalah tuduhan yang tidak tepat.

“Persoalannya siapakah pengkhianat sebenar?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Beliau juga mempersoalkan kenapa Bersih 2.0 yang didukung oleh NGO dan parti-parti politik bertegas juga hendak berhimpun secara aman pada 9 Julai ini.

Tambahnya, Timbalan Presiden Umno itu perlu ingat yang menganggotai penganjur Bersih 2.0 bukan mereka yang bodoh dan boleh dicucuk hidung oleh mana-mana pihak.

Katanya, jika mereka mahu mencari jalan selamat dan selesa lebih baik mereka menyertai Perkasa dan Pemuda Umno yang sentiasa mendapat perlindungan dan kekebalan daripada pihak pemerintah.

“Apakah salah sebagai rakyat yang hendak menuntut pilihan raya yang adil seperti penggunaan dakwat, menghapuskan undi pos?”

“Kenapa kerajaan berdolak dalih? Susah sangatkah hendak laksanakan,” tanya beliau.

Beliau berkata, jika kerajaan tidak bersedia untuk menerima tuntutan rakyat, maka sahlah kerajaan BN yang mengkhianati kepada rakyat.

Tambahnya, oleh kerana rakyat sayangkan negara daripada mala petaka buruk kerana pencabulan demokrasi, maka mereka sanggup turun ke perhimpunan aman Bersih.

Sepatutnya, kata beliau Muhyiddintidak boleh menuduh perserta himpunan Bersih khianat kepada keamanan negara.

“Sepatutnya kerajaan sudah matang untuk mempertingkatkan ketelusan perjalanan pilihan raya dan usaha penambah baikan perjalanan pilihan raya , apabila pihak kerajaan melihat amarah rakyat ketika Bersih 10 November 2007 yang dihadiri lebih 100 ribu orang,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau lagi walaupun berlaku beberapa pertemuan yang dibuat oleh parti-parti politik dengan SPR, segala pandangan yang diberi seperti mencurah air di dalam daun keladi.

“Kesemua ini terjadi kerana SPR, masih tidak bebas dan berada di bawah dagu pemimpin BN,” ujarnya.

PR Mahu Ambil Alih Teraju Negara, Bersihkan 'Kekotoran' Sedia Ada





LENGGONG 25 JUN : Pakatan Rakyat (PR) perlu terus bergerak dengan yakin demi meraih sokongan rakyat dan seterusnya menyingkirkan Umno-Barisan Nasional (BN) dengan mengambilalih teraju kepimpinan negara.

Tindakan sebegitu perlu dilakukan demi memperbetulkan segala kepincangan yang dilakukan selama ini oleh Umno-BN yang telah berkuasa lebih 53 tahun lamanya.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PR perlu memantapkan strategi di samping mendengar suara rakyat yang dahagakan perubahan.

“Saya menaruh harapan yang cukup besar.. jangan kita anggap susah. Selain Cina dan India, orang Melayu ada cabarannya. Kita kena buat kerja sikit bawa perubahan untuk kebaikan kita. Kena buat... jangan kita pertahankan yang ada (Umno-BN) dan kalau Allah tak
dirkan berlaku (menang PRU)…Insya-Allah,”kata Anwar ketika berucap dalam Ceramah Pakatan Rakyat di hadapan kira-kira 4,000 hadirin di sini malam tadi.

Menurut beliau, PR semakin hampir dengan sasaran yang ditetapkan bagi menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional dan sekiranya sokongan rakyat terus kepada
gagasan itu, tidak mustahil kerajaan pemerintah akan tumbang pada pilihan raya umum akan datang.

Keyakinan itu sebelum ini disuarakan Anwar pada Konvensyen Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa PR hanya memerlukan lima peratus sahaja lagi sokongan rakyat untuk menakluk Putrajaya.

Namun katanya, beliau juga yakin, Umno-BN akan menggunakan seluruh kekuatan dan cara untuk memberi gambaran yang buruk terhadap Pakatan Rakyat.

Jabatan kerajaan yang berada di bawah kawalannya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan digunakan sebaiknya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada
parti pemerintah.

“Tok Guru Nik Aziz misalnya sudah 20 tahun Menteri Besar, tanah dia tak ambil, balak tak ambil, kontrak tak ambil. Itu pun mereka (Umno) kata dia rasuah.

“Yang makan (rasuah) banyak-banyak ni… lepas semua. Yang komisyen kapal selam RM500 juta tak nampak,” katanya.

Menurut Anwar, PR sudah menunjukkan perubahan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dengan memberikan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat.

Nasib dan ekonomi rakyat kian terbela dengan adanya inisiatif-inisiatif seperti dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Gusar dengan perubahan dan perkembangan ekonomi negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, Umno-BN katanya terus menyerang dari pelbagai sudut termasuk mengaitkan keperibadian beliau dengan perbuatan tidak bermoral.

“Sebut pasal ambil tanah orang… tidak, ambil saham bumiputera…tidak, ambil balak…tidak.. maka dia selak kain. Ini politik selak kain kerana mereka tidak ada cara lain,” katanya.

Oleh yang demikian kata Anwar, rakyat perlu memberikan sokongan kepada PR bagi mengambilalih pentadbiran negara daripada Umno-BN kerana apa yang berlaku ketika ini ialah yang kaya terus kaya apabila kerajaan mengambil sikap mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni mereka sahaja.

Ekoran daripada itu katanya, masalah rasuah semakin berleluasa dan perkara itu perlu ditangani supaya tidak menjadi semakin parah.

PAKAI BAJU KENA TAHAN.BAIK JANGAN PAKAI BAJU

Lapan lelaki pakai kemeja-T kuning Bersih 2.0 ditahan

June 26, 2011

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Polis menahan lapan lelaki di Taman Kosas, Ampang di sini kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis “Bersih 2.0” dalam tulisan jawi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kesemua mereka ditahan atas kesalahan memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan 9 Julai ini.

“Mereka juga didapati mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit dan ekoran itu kita menahan mereka untuk langkah pencegahan awal,” katanya dipetik Bernama Online.

Amiruddin berkata kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan polis akan membebaskan mereka selepas keterangan diambil daripada mereka.

Kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan di hadapan Majid Taman Kosas kira-kira 11 pagi.

Siapa Perlu Tonjolkan Diri Sebagai Anak Jantan?

KOMENTAR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat kenyataan mengelirukan apabila mencabar Pakatan Rakyat supaya berdepan dengan Barisan Nasional (BN) sebagai "anak jantan" dan bukan mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Najib mendakwa matlamat utama Himpunan Bersih 2.0 adalah mahu menimbulkan huru-hara dalam negara.

"Pada pembangkang (Pakatan Rakyat) bila mereka melihat kita terus bergerak ditambah pula kemenangan pada pilihan raya kecil yang lalu dan pilihan raya negeri Sarawak, jadi bagaimana mereka mahu merampas momentum ini sebab momentum ini ada pada kita.

“Mereka buat kesimpulan untuk mendapatkan kuasa dengan mengadakan Himpunan Bersih 2.0, bukan untuk serahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong atau mahu sistem pilihan raya yang adil tapi nak buat huru-hara.

“Waktu pilihan raya, kalau anak jantan yang sebenar bila pilihan raya, bertandinglah . . . kalau berani, kalau bukan anak jantan buatlah di jalanan dan berdepan dengan undang-undang,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk di sini.

Kenyataan Perdana Menteri itu tersasar kerana Pakatan Rakyat sememangnya akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13, malah itulah nadi utama segala aktiviti parti politik.

Namun pada masa sama, Pakatan, sebagai sebuah gagasan “anak jantan”, mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil, justeru, ia memberi sokongan bulat kepada Perhimpunan Bersih 2.0.

Bersih 2.0 adalah anjuran pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk gabungan pelajar Islam dan Abim.

Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan beberapa kali mengundang parti komponen BN untuk bersama-sama dalam gerakan bagi memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun ia mendapat sambutan dingin.

Oleh kerana itu, amat mudah untuk pemimpin seperti Najib menyerang Bersih sebagai kononnya alat pembangkang untuk mencetuskan huru hara.

Dalam ucapannya hari ini, Najib juga merujuk kepada kemenangan BN di Sarawak sebagai bukti “momentum” atau rentak memenangi pilihanraya ada ditangan BN.

Sebenarnya Pakatan Rakyat melipatgandakan kemenangannya dari tujuh kerusi kepada 15 kerusi pada PRN Sarawak April lalu.

Pilihan raya itu juga memaksa Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud untuk mengumumkan tempoh persaraan beliau selepas pemerintahan 30 tahun yang dibelit dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa.

Jangan lupa kemenangan Pakatan itu diraih walaupun Barisan Nasional menguasai segala jentera kerajaan, media arus perdana dan menabur wang yang dikatakan berjumlah kira-kira RM500 juta ringgit untuk mengekalkan majoriti dua pertiganya.

Walaupun menang, jumlah undi untuk BN di Sarawak merosot kepada 54.5 peratus berbanding 62.9 peratus pada pilihan raya negeri sebelumnya.

Justeru, janganlah dibanggakan sangat kemenangan BN di Sarawak.

Najib juga mendakwa BN tidak pernah memanipulasi pilihan raya seperti mana yang didakwa Pakatan Rakyat.

“Kalau kata pilihan raya ini tidak adil kenapa kita nak serah Selangor, kenapa nak serah Pulau Pinang, kenapa PAS boleh perintah 20 tahun di Kelantan.

“Kalau kata kita manipulasi pilihan raya sudah tentu semua negeri akan jadi milik BN, kita tidak manipulasi pilihan raya tapi kita didokong rakyat,” kata Najib.

Alasan lapuk yang diguna pakai sejak zaman Tun Dr Mahathir ini mudah dijawab.

Tsunami politik yang melanda Malaysia tahun 2008 menyebabkan segala undi pos, pengundi hantu dan amalan-amalan lain tidak cukup untuk menongkah arus sokongan luar biasa rakyat terhadap PR.

Kotak-kotak undi pos dan pengundi hantu hanya memadai untuk mengurangkan jurang sokongan yang diperolehi oleh calon-calon PR di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan namun tidak cukup untuk menafikan mereka kemenangan.

Namun begitu, di Perak, majoriti tipis Pakatan Rakyat membolehkan Umno cepat-cepat merampas semula negeri itu kerana tiga wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat dan DAP sanggup lompat keluar diselubungi dakwaan mereka menerima ganjaran lumayan.

Oleh itu penguasaan PR di beberapa negeri tidak harus dijadikan contoh untuk menghalalkan SPR sebagai sebuah badan yang bersih dan berkecuali atau pun BN tidak memanipulasi proses pilihanraya.

Hakikat ialah pilihanraya di negara ini sentiasa dibayangi oleh masalah ketelusan undi pos dan pengundi hantu.

Pada zaman Mahathir, fenomena itu diburukkan lagi dengan pemberian kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi BN di Sabah.

Kini projek IC Sabah dikatakan menular di Semenanjung selain masalah pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Berlatarbelakangkan semua ini, tidak harus timbul keraguan dalam tekad pembangkang mahukan sebuah SPR yang berwibawa.

Pada masa sama “kejantanan” Pakatan untuk menghadapi Umno-BN pada PRU akan datang tidak juga perlu diragukan.

Persoalannya adakah Najib dan Umno anak jantan yang sanggup bertanding secara adil, tanpa menguasai media arus perdana, dan tanpa menggunakan kemudahan awam serta dana rakyat untuk menyogok pengundi.

Jika jawapan adalah YA, saya yakin penganjur Bersih tidak akan keberatan untuk membatal gerakan mereka.

Najib Lemah, Peluang Sasar 11 Negeri PRU-13 Cerah-Kit Siang





KUALA LUMPUR 26 JUN : Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk menguasai 11 negeri pada pilihan raya umum ke-13, iaitu tambahan enam lagi daripada yang dimenangi gagasan itu pada PRU-12 yang lalu.

Menurut penasihat DAP, Lim Kit Siang, selain mempertahankan negeri-negeri yang berjaya diperintah seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, parti itu juga berhasrat untuk menawan kembali Perak Darul Ridzuan.

Manakala lima yang lain ialah Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Terengganu dan Perlis daripada tangan Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Rakyat ada tiga sasaran di peringkat negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

“Pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pertempuran abad ini memandangkan sasarannya bukan sahaja 11 negeri di Semenanjung, tetapi juga kuasa persekutuan di Putrajaya,” kata Kit Siang pada satu majlis di Teluk Intan, Perak malam tadi.

Teks ucapannya diedarkan kepada media pagi ini.

Semalam Najib ketika merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Selayang mengingatkan ahlinya bahawa dalam sesebuah pilihan raya tiada istilah naib johan atau tempat kedua.

"Dalam pertandingan biasa, naib johan masih ada hadiah, tetapi dalam politik, kita akan terima padah. Kita sudah tahu nasib menjadi parti yang kalah, bagaimana pahitnya bila kalah. Maruah, imej semua terjejas dan kita perlu sentiasa muhasabah diri.

"Kita perlu sedar, sejarah silam kegemilangan parti bukan jaminan untuk kekalkan kekuasaan. Semuanya berlaku kerana perubahan landskap politik serta pemikiran masyarakat yang sudah berubah, berbanding sebelumnya," kata Najib.

Malah terdahulu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Najib menggesa seluruh kepimpinannya untuk menjadikan pilihan raya negeri Sarawak sebagai panduan dan iktibar menjelang pilihan raya umum berdasarkan post mortem yang dibuat.

Mengulas hal itu, Kit Siang yang dihubungi Tv Selangor berkata, barisan kepimpinan Najib nampaknya semakin lemah dan tidak progresif dalam mengatur strategi menghadapi pilihan raya umum kerana lambat bertindak.

" Pilihan raya negeri Sarawak diadakan pada 16 April, ianya sudah berlalu lebih dari dua bulan.Nampaknya kalau Najib kata itu benar (baru habis post mortem), pergerakan mereka sangat perlahan. Mereka sudah hilang dinamik dan nampaknya tidak siap sedia untuk mengatasi masalah-masalah yang boleh dilihat dalam pilihan raya Sarawak,"katanya.

Malah katanya, ingatan keras Najib yang merujuk kepada pilihan raya negeri Sarawak adalah ekoran kegagalan jentera Umno-Barisan Nasional yang turut dilambak
dengan masalah dalaman untuk memberi kemenangan besar kepada parti itu.

" Kalau di Sarawak kita lihat bagaimana kempen raksaksa yang dijalankan oleh BN di mana RM1.2 bilion digunakan untuk projek-projek Sarawak dan diumumkan ketika kempen berlangsung ditambah pula dengan perbelanjaan RM500 juta ringgit untuk kempen itu, namun ia tidak cukup berkesan.

" Walaupun BN berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga tetapi trend ini tidak begitu positif kepada BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13, ada kemungkinan Pakatan Rakyat boleh menang lebih kerusi,"kata Kit Siang lagi.

Untuk rekod, pada pilihan raya negeri Sarawak, Pakatan menang di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekaligus mengukuhkan kedudukannya di Bumi Kenyalang itu.

Umno Terdesak Guna Nama Agong Cuba Hentikan Bersih





SHAH ALAM 26 JUN : Pihak berkuasa akan menggunakan apa sahaja ruang dan segala bentuk undang-undang untuk menyekat perhimpunan aman Bersih 2.0 termasuk menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim, senario seperti itu memang berlaku di Malaysia apabila suara rakyat mengatasi suara kerajaan,

Beliau yang juga Adun Kota Damasara berkata, penahanan 30 anggota parti itu yang disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong, jelas membuktikan usaha terdesak pemerintah untuk menghalang rakyat menyuarakan hak mereka.

" Dalam hal ini senang sahaja. Kalau kerajaan beri arahan, kita tidak ikut, dan Agong restu ikut Perlembagaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau apa sahaja. Jadi mereka boleh katakan begitu. Semua undang-undang, kalau anda pertikai, mereka boleh kata anda melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong,"katanya.

Portal The Malaysian Insider melaporkan, 30 aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jayakumar Devaraj dihadapkan ke mahkamah petang ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana dikatakan melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Kesemuanya aktivis PSM ini ditahan semalam di plaza Tol Sungai Dua ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis berkaitan Bersih 2.0 di Pulau Pinang.

Selain itu beberapa anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan PAS juga turut ditahan kerana memakai pakaian berwarna kuning di beberapa tempat seperti Kapar dan Ampang

Roadshow Bersih 2.0 di Uptown Shah Alam turut dikepung polis dan Timbalan sayap pemuda parti itu ditahan ketika sedang minum di sebuah restoran manakala satu lagi roadshow di Assam Jawa, Kuala Selangor turut diganggu Polis.

Menurut Dr Nasir, beliau menjangkakan keadaan akan menjadi lebih tegang dan tidak mustahil provokasi polis akan menjadi lebih keras demi menakutkan rakyat dari menyertai himpunan aman ini.

Walau bagaimanapun katanya kepada Tv Selangor, apa jua cara yang digunakan kerajaan, ia tidak akan mampu menghalang kuasa dan kehendak rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.

" Memang cukup terdesak mereka ini. Tak makan akal. Tapi ini yang mereka lakukan sekarang ini.

" Kita jangkakan akan ada perkara yang lebih teruk akan berlaku tetapi rakyat mereka tidak dapat lawan,"katanya.

Pakai T-Shirt Bersih Tulis Jawi, Pemuda PAS Ditahan Polis

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Ampang, Fadzlul Rahimi bersama empat anggotanya ditangkap polis di Masjid Taman Kosas kira-kira 11 pagi tadi, kerana memakai t-shirt Bersih 2.0 dalam tulisan jawi.

Bercakap kepada KeadilanDaily, ahli Unit Amal PAS Ampang, Israq Ismail berkata, tangkapan dibuat ketika Fadzlul bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz sedang mengadakan program sempena Konvoi Belia DUN Lembah Jaya.

“Turut ditahan ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Ampang, Shahril Suhaimi, Setiausaha Pemuda PAS Ampang, Engku Faizan Engku Husin dan dua Unit amal iaitu Satullah Azam dan Adha Yusof.

“Mereka kini berada di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang. Alasan tangkapan ialah kelima-limanya berpakaian kuning dan tertera perkataan Bersih dalam tulisan Jawi,” katanya.

Tangkapan itu menggambarkan ketakutan Umno Barisan Nasional (BN) terhadap Gelombang Kuning melalui Himpunan Bersih 2.0, dengan memperalatkan polis. Sebelum ini, Beberapa pemimpin dan ahli Angkatan Muda KEADILAN (AMK) turut ditahan atas alasan sama.-Keadilan Daily

Bersih 2.0 : Polis Siasat MP Sg Siput, 29 Lain Mahu Perangi Agong

GEORGE TOWN 26 JUN: Seramai 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jayakumar Devaraj akan dihadapkan di mahkamah sekitar 3 petang ini untuk perintah tahanan reman.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong, kata polis.

Semalam, polis menahan 31 orang termasuk wakil rakyat itu, kesemuanya aktivis PSM di plaza Tol Sungai Dua.

Menurut laporan media semalam, kesemua mereka menaiki sebuah bas persiaran sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah untuk menghadiri majlis di Pulau Pinang yang berkaitan dengan Himpunan Bersih 2.0, yang dijadualkan akan diadakan 9 Julai.

Mereka terdiri daripada 14 wanita dan 17 lelaki dan ditahan di ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara untuk dirakam percakapan.

Bagaimanapun seorang yang ditahan telah dibebaskan kerana bawah umur.

Pada sidang media di sini hari ini, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar yang dipetik saluran Astro Awani berkata, perintah tahanan reman dipohon bagi siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan.

“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122,” kata beliau.

Seksyen yang sama pernah digunakan dalam kes rampasan senjata oleh kumpulan pelampau Al-Maunah.

Polis mendapati perhimpunan yang dirancang itu juga cuba membawa semula fahaman komunis kerana pihaknya menemui bahan berkaitan dengan pertubuhan yang telah diharamkan itu.

Ketika ditahan semalam, polis turut merampas beberapa sepanduk, risalah dan kemeja-T yang didakwa menghasut.

Penganjur Bersih 2.0 sejak kelmarin mengadakan program jelajah di beberapa bandar utama di seluruh negara.