Oleh: Jebon
Wacana 'Harakah dalam bahaya, mendesak Mustafa Ali berundur' yang
dianjur oleh NGO Seniman Paksi Rakyat dan PAS Kawasan Batu di Madrasah
Tarbiyah Kampung Banda Dalam , Gombak, 28 Januari lalu agak menarik dan
mengupas secara lebih mendalam perancangan kumpulan Unity Government
(UG) menjelang Muktamar pemilihan PAS, Jun depan.
Forum
tersebut dihadiri oleh beberapa panel yang mengetahui selok-belok
Harakah dan perancangan puak UG untuk menguasai lidah rasmi PAS itu bagi
melancarklan agenda mereka menguasai pimpinan bawahan.
Kehadiran
bekas Editor Berita Harakah, Datuk Tarmizi Mohd Jam menguatkan hujah
tentang wujudnya perancangan puak UG menguasai akhbar parti. Puak UG
sebelum ini didakwa menamatkan kontrak Tarmizi, Editor Rencana Roslan
Hamid dan sedang berusaha untuk menamatkan jawatan Ketua Pengarang Ahmad
Lutfi Othman.
Forum itu diberitahu, perancangan puak UG untuk
menguasai Harakah, sama ada dilakukan secara bersama Setiausaha Agung
PAS Mustafa Ali atau pun dengan pengetahuan beliau. Oleh itu, ahli panel
menuntut agar Mustafa Ali agar berundur dari kerusi Lembaga Pengarah
Harakah secepat mungkin.
Mustafa - Umno
Mustafa
merupakan satu-satunya ahli politik yang mempunyai sejarah panjang
bersama lidah rasmi PAS itu. Beliau didakwa memonopoli Harakah sebagai
lembaga pengarah selama 27 tahun. Ketika ini, beliau didakwa pula
menggunakan medium tersebut untuk untuk merealisasikan hasrat puak UG
menguasai PAS secara keseluruhan.
Mustafa menekan Lufti agar
bersara awal, konon kerana kemerosotan jualan. Namun jumlah sebenar
jualan Harakah tidak pernah didedahkan. Harakah juga tidak pernah
diaudit oleh audit bebas yang berautoriti agar perjalanan kewangannya
tidak disalah gunakan. Hari ini, perjalanan kewangan Harakah,
dilaporkan, amat meragukan.
Forum juga diberitahu mengenai
kecuriaan sebahagian pemimpin PAS akan agenda sebenar Mustafa bersama
Umno. Hal ini kerana, hanya Mustafa pemimpin yang masih tinggal dalam
ranking kepimpinan PAS yang pernah duduk dalam Kerajaan Perpaduan
PAS-Umno pada tahun 1971-1978. Beliau pernah menjawat jawatan Setia
Usaha Parlimen dan Timbalan Menteri ketika kerajaan perpaduan itu
berlangsung. Tak hairanlah sekali lagi Mustafa akan memainkan peranan
sebagai "broker" UG bersama Umno.
Menurut sumber PAS, sebelum
ini, tumpuan terarah kepada Majlis Syura Ulama yang dilihat cuba
menerapkan agenda Umno ke dalam PAS, tetapi maklumat terbaharu yang
diterima mendakwa Setiausaha Agung PAS juga terlibat.
Mustafa
didakwa melakukan serangan ke atas DAP untuk menghidupkan isu Islam –
Melayu dalam kalangan ulama PAS. Sidang media Mustafa mendapat tempat
dalam berita TV3 dan juga muka depan Sinar Harian - akhbar yang
pemiliknya adalah totok Umno.
Pilih kasih
Polemik
pilihan raya PBT yang ditimbulkan antaranya oleh Mustafa memburukkan
lagi imej PAS apabila isu rusuhan kaum 13 Mei dimainkan tidak kena pada
tempatnya. Hujah Mustafa juga menyebabkan Naib Presiden PAS yang
selalunya menyokong Hadi, mengeluarkan kenyataan menjengkelkan. Tuan
Ibrahim Tuan Man menyeru agar Pakatan Rakyat bersatu membela rakyat yang
semakin ditindas BN dan bukannya bersengketa sesama sendiri.
Selain
itu, ahli panel juga menyelar sikap Mustafa sebagai setiausaha agung
yang tidak mewakili semua ahli dan pemimpin PAS dalam membincangkan
masalah peringkat bawahan. Hanya masalah-masalah yang difikirkan sesuai
dengan agenda tertentu sahaja diperbincangkan manakala isu-isu lain
diketepikan begitu sahaja.
Di akhir forum, pengerusi mengumumkan
jumlah pendengar yang mengikuti sesi "Harakah dalam bahaya" yang
disiarkan oleh Radioa PedasFM adalah seramai 755,000 orang.
Oleh: Jebon
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran kepada
para pemimpin Pakatan Rakyat (PR), rakyat Malaysia sudah muak dengan
pertembungan dan saling menyerang antara satu sama lain sebagaimana
berlaku sekarang.
Ingatan
ini diberikan beliau ketika PAS dan DAP terlibat dalam serang menyerang
yang teruk termasuk presiden parti Islam itu sendiri yang menempelak
DAP dalam isu kerajaan tempatan.
Tuan Ibrahim mengajak semua pihak mengenepikan perbezaan dan memberikan fokus kepada persamaan antara mereka.
"Bukankah PR pernah bersetuju yang persamaan antara tiga parti ini jauh melebihi perbezaan antara mereka?
"Mengapa
harus terus bertelingkah atas perkara yang berbeza tapi mengetepikan
perkara yang membawa kita bersama?" katanya yang jelas tidak senang
dengan pertelingkahan verbal antara parti dalam PR yang berlaku
sekarang.
Baru-baru ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerang
DAP dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan, ekoran perdebatan terbuka
di media antara Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha
Organisasi DAP Anthony Loke mengenai isu hudud.
Hadi mendakwa
jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan, ia boleh membawa kepada
tercetusnya semula peristiwa 13 Mei, menyebabkan pelbagai pihak
menyerang beliau.
Bagi Tuan Ibrahim, setiap parti mempunyai dasar dan agenda masing-masing.
Prinsip perjuangan polisi dan dasar itulah yang menjadi nadi untuk setiap parti terus berjalan dan terus maju.
"Apabila
wujudnya gabungan politik antara parti, maka harus wujudlah pula sikap
tolak ansur dan hormat-menghormati antara setiap parti," katanya.
Bagi
beliau, apabila jurang perbezaan yang diperbesarkan, maka ruang
persamaan akan mengecil. Jika ini berterusan, muafakat itu akan pasti
hancur.
"Sebaliknya, apabila kita membesarkan ruang persamaan,
maka akan kecillah jurang perbezaan. Dengan itu, muafakat itu akan kekal
dan subur.
"Sikap inilah yang sepatutnya dikekalkan seandainya PR ingin terus kekal," katanya.
Sekiranya
ketiga-tiga parti berasa jurang perbezaan terlalu besar dan tidak
mungkin lagi adanya muafakat serta sikap saling menghormati, barangkali
sudah sampai masanya memikirkan semula segalanya kerana setiap parti
sedar tiada parti yang boleh berjaya jika ia bersendirian, katanya.
Namun
hakikatnya, kata Tuan Ibrahim,m semua pihak sayangkan gabungan PR, dan
rakyat pernah menaruh harapan besar terhadap gabungan politik ini.
Oleh
itu, katanya PR perlu memandang ke hadapan dan melihat musibah besar
yang sedang melanda negara dan keperluan rakyat ini memerlukan perubahan
besar kepimpinan politik negara.
Isu rasuah, hutang negara dan
bebanan ekonomi rakyat, isu keselamatan negara dan penyalahgunaan kuasa
kepimpinan BN, semuanya memerlukan tindakan dan perhatian segera dan
khusus, katanya.
"Semua ini medan yang baik bagi membina
persamaan antara parti komponen PR dan juga mengembalikan keyakinan
rakyat terhadap PR," tegasnya
Oleh: Jebon
Pemimpin PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail membidas kenyataan
Datuk Mustafa Ali hari ini yang mengatakan hubungan dalam Pakatan Rakyat
(PR) kukuh sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Bekas
setiausaha agung PKR itu mengingatkan PAS tidak harus berada dalam
sindrom penafian kerana enggan mengakui peranan ketua umum PKR itu.
"Isu
Anwar bebas atau tidak tetap akan beri impak kepada Pakatan dan rakyat
keseluruhannya, impak itu tetap relevan," kata bekas ahli Parlimen
Machang itu kepada The Malaysian Insider.
"Pada 2004, kita sudah
lihat bagaimana hubungan antara parti dengan parti tidak memadai dan
buktinya Barisan Alternatif (BA) tidak mampu diselamatkan dan isu negara
Islam akhirnya menyebabkan perpecahan," kata Saifuddin yang juga
pengarah pilihan raya PKR.
Saifuddin juga membangkitkan prestasi
parti pembangkang ketika itu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN)
berjaya menang besar di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Saifuddin
berkata, PAS tidak harus menafikan perkara tersebut dan membuat
perbandingan dengan keputusan diperoleh PR pada 2008 dan 2013 selepas
Anwar dibebaskan.
"Kita tidak perlu dalam sindrom penafian, kita harus jujur.
"Semasa
pilihan raya 2008 dan 2013, pilihan raya ketika itu berlangsung ketika
Anwar yang bebas dan hasilnya Pakatan berjaya menafikan majoriti dua
pertiga BN. Malah menang undi popular.”
Saifuddin berkata,
keputusan mahkamah pada Februari depan penting kepada masa depan PR dan
juga harapan rakyat yang mahu melihat sistem 2 parti berjaya.
"Anwar
adalah simbol perjuangan reformasi dan harapan untuk alternatif rakyat,
maka keputusan mahkamah nanti tetap sangat penting.
"Anwar adalah seorang personaliti yang kuat, beliau (Mustafa) tidak boleh keluarkan kenyataan simplistik sedemikian," katanya.
Selaku pemimpin kanan, Saifuddin juga membidas Mustafa yang dilihat mengeluarkan kenyataan yang tidak bijaksana.
"Sebagai pemimpin senior, beliau (Mustafa) perlu keluar kenyataan yang lebih bijaksana," katanya.
Jika
PAS enggan mengiktiraf peranan ketua umum PKR itu, Saifuddin berkata,
biarlah rakyat sendiri yang menilai dan mengiktiraf signifikan Anwar
dalam arena politik negara.
"Kalau benar PAS tidak iktiraf atau
mengakui signifikan Anwar dalam politik dan negara, biarlah rakyat
terbanyak dan pendokong reformasi di Malaysia terus berdoa demi
pembebasan Anwar.”
Mustafa hari ini pada satu sidang media
berkata hubungan PR akan tetap menjadi lebih kukuh walaupun tanpa Anwar
jika dihukum penjara.
10 Februari depan ialah keputusan rayuan
terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas
tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan
pada 2008.
Oleh: Jebon
Dua ucapan berbeza dalam minggu yang sama dikeluarkan oleh pemimpin
PAS memungkin satu penyelesaian baharu akan tercapai dalam parti itu.
Pertama,
ucapan Presiden Hadi Awang yang semakin keras dan memandang seolah-olah
tiada keperluan untuk terus bersama Pakatan Rakyat. Hadi ‘menghalau’
sesiapa sahaja dalam PAS yang tidak sealiran dengan puaknya agar menjadi
ahli parti lain.
“Inilah bahtera PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat
bukanlah dalam bahtera yang sama. PKR bahtera lain, DAP bahtera lain,
kena faham. Jika ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, ada
kekurangan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini. PasMa ibarat mereka
yang menebuk kapal.
“Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera
lain yang kamu suka yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi.
Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR, kalau nak cepat lagi ke Putrajaya
pergilah ke bahtera Umno,” kata Hadi.
Manakala satu lagi
kenyataan dikeluarkan oleh Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang
menyeru agar parti itu mengecilkan perbezaan pendapat dengan PR.
“PR
perlu memandang ke hadapan dan melihat musibah besar yang sedang
melanda negara dan keperluan rakyat ini memerlukan perubahan besar
kepimpinan politik negara.
“Isu rasuah, hutang negara dan bebanan
ekonomi rakyat, isu keselamatan negara dan penyalahgunaan kuasa
kepimpinan BN, semuanya memerlukan tindakan dan perhatian segera.
"Semua
ini medan yang baik bagi membina persamaan antara parti komponen PR dan
juga mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PR," tegas Tuan Ibrahim.
Sebelum
ini, PAS terikat kepada aliran keras yang menyokong Hadi dan kepimpinan
ulama Unity Government (UG). Kini beberapa pemimpin PAS dari kalangan
ulama dilihat mula mempunyai pemikiran berbeza dan tidak menyetujui cara
Hadi ‘menjauhkan diri’ dari PR.
Tuan Ibrahim berwibawa
Kenyataan
Tuan Ibrahim lebih waras berbanding Hadi yang sebelum ini mengaitkan
pilihan raya PBT dengan isu perkauman dan kemungkinan tercetusnya
rusuhan 13 Mei sekiranya pilihan raya itu diwujudkan semula.
Presiden
PAS hilang kredibiliti dan diragui tahap pemikirannya apabila
menjungkir balik dasar parti itu lewat kontroversi hubungan kaum
berkenaan. Hadi berkata, pilihan raya PBT akan menguntungkan Cina dan
bandar-bandar besar akan ditadbir Cina sekiranya kehendak DAP itu
direalisasikan.
Namun beliau terlupa sejak PRU 2008, PAS
meletakkan seorang calon Melayu Dr Mariah Mahmud di parlimen Kota Raja,
Selangor. Parlimen itu adalah kubu kuat MIC. PAS membuat kejutan meletak
calon Melayu di kawasan majoriti India dan kemudian berbangga kerana
pengundi India mengundi Melayu Islam.
Sejak 2008, Kota Raja
dijaja oleh PAS sebagai pengakhiran politik perkauman tajaan Umno BN.
Etnik India digambarkan tidak memilih bangsa mereka sendiri sebagai
wakil kerana lebih yakin kepada politik Islam, kemampuan pemimpin Islam
melakukan kerja sebagai ahli parlimen dan sebagainya.
Hadi u turn
Tiba-tiba
pada 2015, Hadi melakukan u-turn. Penyokong PAS dari kalangan India dan
Cina terpinga-pinga. Bagi mereka tiada masalah untuk PAS bertanding
kerusi Datuk Bandar dan meletakkan calon Melayu kerana politik baru
sejak 2008 adalah politik nilai dan bukannya berasaskan kaum.
Lagi
pun mengikut data rasmi bancian 2010, populasi Melayu di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur adalah 45.9% melebihi populasi Cina 43.2%.
Daripada
3 dewan bandaraya, 9 majlis perbandaran dan 37 majlis daerah di
Malaysia, hanya 6 yang mempunyai populasi Cina melebihi Melayu – Ipoh,
Kuching Selatan, Johor Baru Tengah, Pulau Pinang, Sibu dan Subang Jaya.
Bermakna
88% daripada kawasan bandar mempunyai penduduk Melayu yang ramai, malah
di kawasan bandar seperti Petaling Jaya, populasi Melayu adalah 46.2%
dan melebihi kaum Cina 39.6%.
Malah di kawasan majoriti Cina pun,
Cina dan India penyokong PR tidak punya masalah untuk melantik ketua
pentadbir Melayu sekiranya terbukti lebih cekap menjalankan tugas
berbanding calon daripada kaum mereka.
Bukankah sejak sekian
lama pemimpin spiritual Nik Aziz mengajarkan Islam mementingkan kualiti
dan bukan kuantiti? Islam pernah menaikkan bangsa Arab pada permulaan
sejarah, namun apabila Arab lemah dan lalai maka bangsa Turki menguasai
melalui tamadun Usmaniyah.
Dalam seminggu, Hadi hilang sokongan
dalam kalangan pengundi Cina dan India. Dalam minggu yang sama juga ahli
PAS melihat kemunculan bintang baharu dalam parti itu yang boleh
digilap, iaitu Tuan Ibrahim yang lebih jujur dan waras pandangan
politiknya.
Jangan pertahan jawatan
Secara
jujur, ahli PAS mengharapkan Tuan Guru Hadi tidak lagi mempertahankan
jawatan dalam Muktamar pemilihan Jun depan. Bukan sahaja kerana faktor
kesihatan yang memerlukan beliau banyak berehat tetapi juga
oportunis-oportunis politik yang bergayut dan mempergunakan beliau tidak
disukai oleh ahli PAS yang berakal waras.
Menurut sumber
dalaman, Hadi sebenarnya berfikir untuk bersara. Namun puak UG dalam PAS
mahukan beliau terus memegang kuasa agar agenda mereka menjarakkan PAS
dari PR berjaya. Tidak mustahil kenyataan pilihan raya PBT bukan
dikarang sendiri oleh Hadi tetapi melalui campur tangan pegawai-pegawai
beliau yang pro UG.
Rakan-rakan lama Hadi juga terkejut apabila
Hadi mengeluarkan kenyataan menghalau ahli PAS yang tidak sebulu dengan
pendirian UG agar menyertai DAP, PKR dan Umno. Bagi mereka Hadi bukankah
Hadi yang mereka kenal sejak lama dahulu. Hadi yang mereka kenal tidak
pernah menyebut mengenai Umno atau menghalau rakan-rakan seperjuangan
keluar parti.
Maka bagi mengelakkan kerosakan yang lebih parah,
wajar pemimpin generasi baru PAS membentuk deligasi memujuk Hadi agar
tidak lagi mempertahankan jawatan beliau. Hadi tidak boleh jadi kuda
tunggangan puak UG. Dengan bersaranya Hadi maka oportunis Mustafa Ali
juga boleh disingkir dari tampuk kuasa PAS.
Mustafa bukan sahaja
gagal menjadi pendamai dalam PAS tetapi politik oportunis beliau
menyebabkan PAS berpecah lebih teruk daripada sewajarnya.
Meremajakan parti
Sekiranya
PAS melantik presiden baru maka parti itu akan dilihat mempunyai
harapan baru. Sokongan akan diremajakan semula. Pasma akan kembali
menjadi penyokong kuat presiden dan saf kepimpinan ulama.
Jika
Umno yang hampir masuk kubur di bawah Mahathir boleh menang besar PRU
2004 sebaik sahaja cucu ulama Pulau Pinang, Pak Lah mengambil alih
kepimpinan, apatah lagi PAS yang sedang meningkat naik namanya dalam
kalangan generasi muda yang mengutamakan politik nilai.
Tuan
Ibrahim adalah calon paling layak menggantikan Hadi. Dinamisme Tuan
Ibrahim yang tidak anti PR pasti akan menjadikan PAS lebih berwibawa di
mata masyarakat berbilang kaum.
PAS kini ditertawakan oleh
Melayu Umno kerana akhirnya mengikut rentak perjuangan Umno mengutamakan
raja, Ketuanan Melayu dan Islam sempit.
Penyokong atas pagar
semakin keliru kerana PAS kembali ke zaman Asri Muda yang tidak toleran
kepada modenisasi dan kelihatan menerima idea-idea perkauman Umno.
Hanya
perubahan kepimpinan sahaja yang mampu menyelamatkan parti itu daripada
kalah dalam PRU 14. PAS pernah menjadi parti kedai kopi dan sekolah
pondok bertahun-tahun lamanya. Kemunculan politik baru bersama Anwar
Ibrahim meletakkan parti itu memerintah di banyak kawasan dan dipercayai
oleh bukan Islam.
PAS tidak boleh ego dan meletakkan kepentingan
yang salah untuk kembali menjadi parti kedai kopi. Parti perlu ke
hadapan. Sekiranya Hadi, Tantawi, Mustafa Ali, Nik Abduh, Zuhdi dan
lain-lain mahu ke belakang maka mereka mesti ditinggalkan dan tidak
boleh dijadikan beban.