PILIHAN RAYA NEGERI MELAKA APA HARAPAN ANAK MUDA?
“Tiga tumpuan yang seharusnya menjadi keutamaan pada ketika ini adalah untuk menangani kemiskinan, mewujudkan pelan jangka panjang yang komprehensif pasca COVID-19 serta tawaran untuk anak muda Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Malangnya, beliau melihat sejak kembalinya pentadbiran kerajaan gabungan parti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Negeri pada Mac 2020, kestabilan pemerintahan menjadi amat membimbangkan sehingga berpotensi menjejaskan pembuatan dasar dan polisi yang lebih mesra rakyat.
Guna Vellfire jimat RM3 sebulan, kata MOF
November 7, 2021
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, antara faktor pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) yang sebelum ini menggunakan Proton Perdana dan digantikan dengan Toyota Vellfire adalah kos sewaan bulanan Vellfire 2.5 lebih rendah dari kos sewaan bulanan Perdana 2.4 Premium.
Menurut laporan FMT, Keputusan kerajaan menggantikan kereta Proton Perdana dengan Toyota Vellfire dipertimbangkan semasa pentadbiran terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan tahun ini.
Kos sewaan sebulan bagi Proton Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Toyota Vellfire 2.5 pula RM4,851.61.
Dalam kenyataan itu turut menyebut bahawa kerajaan menggunakan Vellfire 2.5 sebagai KRJ menteri-menteri persekutuan bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium yang ditamatkan pengeluarannya pada 2014.
“Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia 6 tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap 4 tahun sekali,” katanya.
Sebelum ini seorang pemimpin PKR menyifatkan keputusan kerajaan menggantikan kereta sedan empat tempat duduk kepada MPV mewah tujuh tempat duduk membazirkan duit rakyat.
Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, P Prabakaran dalam satu kenyataan berkata, “Menteri Perikatan Nasional (Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz) bukan sahaja membazirkan duit rakyat melalui pembelian kereta mewah, tetapi mendedahkan hampir RM1 juta dibelanjakan untuk mengubah suai dan membeli perabot baharu pejabat Perdana Menteri.”
“Tambahan pula pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana bernilai RM30 juta juga membazir.”
UMNO/PAS/BERSATU GAGAL DIELAK BERLAGA, ISMAIL SABRI DIANCAM BAHAYA
Orang yang paling susah hati dan tertekan jiwa raganya bila berlaku pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka ini tidak lain tentunya ialah Ismail Sabri Yaakob.
Beliau kini bukan saja gagal dalam usahanya memastikan tiga parti utama dalam kerajaan Keluarga Malaysia – UMNO, Pas dan Bersatu – tidak berlaga sesama sendiri, bahkan barangkali menyedari suaranya sebagai Perdana Menteri langsung tidak laku di mata kepimpinan UMNO.
Walaupun Presiden UMNO, Ahmad Zahid berada di di Jerman untuk rawatan tulang belakang, ketegasan pendiriannya untuk BN bertanding solo dan tidak bekerjasama dengan sesiapa sebagaimana dilafazkan lama sebelum ini lagi nampaknya kekal sebagai ketetapan rasmi.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan selaku Pengarah PRN Melaka bagi BN juga ternampak benar-benar sehati sejiwa dengan Zahid Hamidi dalam mempertahankan pendirian tidak mahu bekerjasama, baik dengan Pas mahu pun Bersatu.
Kini, dengan pertandingan tiga penjuru yang berlaku itu, selain wajah kepimpinan Ismail Sabri akan terus dibayangi awan hitam kegagalan yang sekaligus menampakkan ketidakwibaannya sebagai Perdana Menteri, beliau juga tentu sedang pening kepala sama ada mahu turun sama berkempen ke Melaka atau sebaliknya.
Kalau beliau turun berkempen untuk membantu calon UMNO, tambahan lagi di kawasan di mana UMNO berlawan dengan Pas atau Bersatu, tindakannya itu boleh saja mengundang rasa kecil hati kedua-dua parti yang bertanding atas tiket PN itu.
Sementara Bersatu dan Pas menyokongnya sebagai Perdana Menteri di peringkat pusat, tentulah ternampak tidak kena jika beliau berkempen untuk UMNO bagi mengalahkan calon kedua-dua parti itu.
Jika Ismail Sabri memilih turun berkempen untuk membantu Bersatu dan Pas atas keinginannya menjaga hati Mahiaddin Md Yasin dan Hadi Awang yang sama-sama mendokongnya sebagai Perdana Menteri, sudah pasti UMNO pula akan berasa hati.
Akan ada suara-suara yang mengecamnya atas jawatannya sebagai Naib Presiden UMNO serta termenjadinya sebagai Perdana Menteri juga kerana adanya sokongan daripada UMNO.
Akhirnya, tentulah terlihat hodoh wajah seorang Perdana Menteri daripada UMNO, tetapi turun berkempen untuk parti lain yang sedang dibenci oleh UMNO sendiri.
Pilihan seterusnya ialah turun berkempen untuk UMNO dan turun juga membantu Pas dan Bersatu sebagai tindakan untuk menjaga hati semua.
Namun, pilihan ini akan mendedahkannya kepada bahan ketawa kerana tidak tidak masuk seorang Perdana Menteri membantu semua parti yang sedang bertembung sesama sendiri.
Mungkin dalam hal ini, jalan paling selamat bagi Ismail Sabri ialah beliau langsung tidak turun berkempen, baik untuk UMNO mahu pun untuk Pas dan juga Bersatu.
Dengan demikian, tiada sesiapa boleh berasa kecil hati terhadapnya.
Tetapi, jangan pula dilupa, atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri daripada UMNO, meskipun hanya berjawatan Naib Presiden, tidak turun berkempen dalam pilihanraya membantu parti sendiri boleh pula membuatkan akar umbi parti menjadi marah, kecil hati dan menganggapnya sebagai pemimpin yang tidak berguna.
Biasanya seseorang pemimpin itu, atas nama jawatan dan kedudukannya dalam kerajaanlah digunakan secara langsung dan tidak langsung untuk membantu parti menang dalam pilihanraya.
Apabila Ismail Sabri tidak datang membantu, kedudukannya sebagai Perdana Menteri selepas ini pastinya menjadi tidak dipedulikan lagi oleh UMNO.
UMNO lebih mungkin akan berkehendakan calon lain yang tidak ragu-ragu kepada parti sendiri sebagai Perdana Menteri.
Selepas itu, apabila keputusan PRN Melaka telah diketahui, sekali lagi ia juga memberi kesan kepada Ismail Sabri.
Jika UMNO dan BN menang, seterusnya berjaya membentuk kerajaan negeri dengan Ismail Sabri turut sama turun berkempen, hubungannya dengan Pas dan Bersatu tentu saja tidak lagi semesra dulu.
Silap-silap sebagaimana sebelum ini UMNO menjatuhkan Mahiaddin dengan gerakan diketuai Zahid Hamidi dan Najib Razak, kali ini Ismail Sabri pula yang bakal dijatuhkan oleh PN dengan Mahiaddin dan Hadi Awang pula berpakat bersama.
Walaupun ada yang berkata, perkara itu mustahil boleh berlaku, tetapi harus diingat, tiada benda yang mustahil dalam politik, lihat saja bagaimana UMNO dan Pas boleh berbaik semula setelah berpuluh tahun bergaduh sehingga mengenai akidah dan bagaimana Pas boleh bersama dengan Mahiaddin meskipun bekas Perdana Menteri itu pernah mengatakan Pas adalah parti ajaran sesat.
Kalau UMNO kalah dan gagal membentuk kerajaan negeri, Ismail Sabri tetap tidak terlepas daripada dihayun dan dipersalahkan oleh partinya sendiri.
Beliau akan ditohmah tidak cukup membantu atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri untuk memastikan kemenangan buat UMNO.
Lebih buruk lagi, jika kekalahan UMNO itu nanti disertai dengan tindakannya tidak datang membantu ketika kempen.
Begitu pun, jika BN menang di Melaka tanpa kelibat Ismail Sabri datang membantu kempen untuk UMNO, ini lagi bahaya buat masa depannya.
Bermakna, tanpa ada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri datang membantu pun, UMNO dan BN tetap boleh mencapai kemenangan.
Dengan sendirinya, beliau sudah tidak diperlukan lagi dalam UMNO dan pemimpin lain kemungkinan besar bakal ditonjolkan sebagai calon baru Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang.
Menang atau kalah buat UMNO di Melaka ini dan sama ada Ismail Sabri turun berkempen atau tidak, kesan bahayanya tetap ada kepada masa depannya. –
ShahbudinHusin 07/11/2021.
KAH..KAH...DIA PUNYA PERASAN- MANA KAJIAN HANG BUAT NI TAKI- BAB ARAK..BAB ADIB..BAB HUDUD..RUU 355...DAN BANYAK BAB LAGI SEMUANYA GAGAL...
Menteri Pas sekarang berjaya raih sokongan 80 peratus rakyat – Takiyuddin
Wakil rakyat PAS dalam kerajaan sekarang mendapat 80% sokongan rakyat, menurut tinjauan baru-baru ini.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata menteri dan timbalan menteri daripada PAS mendapat keyakinan rakyat kerana nilai agama mereka.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bila dan siapa yang menjalankan tinjauan itu.
“Wakil PAS dalam kerajaan, walaupun berlatar belakang agama, berkhidmat dengan kerajaan secara profesional,” katanya.
Takiyuddin berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan agung ke-67 parti itu yang berlangsung di Kuala Terengganu, yang berakhir hari ini.
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man adalah menteri alam sekitar dan air, naib presidennya senator Idris Ahmad adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Takiyuddin adalah menteri tenaga dan sumber asli.
Lima daripada wakil PAS memegang jawatan timbalan menteri termasuk Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat); Datuk Awang Hashim (Kementerian Sumber Manusia); Datuk Ahmad Amzad Hashim (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi); Nik Muhammad Zawawi Salleh (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan); dan Datuk Ahmad Marzuk Shaary [Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)].
Takiyuddin berkata wakil rakyat telah berkhidmat kepada rakyat dengan memuaskan dengan prinsip dan maruah, dan ini memberi keyakinan kepada rakyat.
Beliau juga berkata parti itu tidak lagi mengalami masalah kewangan kerana semua wakil rakyatnya perlu menyumbang dana kepada parti setiap bulan.
Beliau berkata menteri perlu mencarum RM8,000 sebulan dan timbalan menteri perlu membayar RM7,000 sebulan.
“Semasa Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, terdapat pemotongan gaji untuk menteri kabinet,” katanya.
PAS mempunyai 845,920 ahli aktif dan kira-kira 50,000 ahli tidak aktif dengan jumlah 7,618 cawangan dan operasi di 197 bahagian daripada 222 kawasan parlimen.
Sayap remajanya mempunyai 185 bahagian, manakala sayap wanita beroperasi dalam 182 bahagian.
Calon BN: Bimbang sabotaj dalaman, Zahid janji penyandang yang digugur jadi calon Parlimen
November 7, 2021
Penyandang kerusi DUN yang digugurkan atau tidak dicalonkan pada PRN Melaka 20 Nov ini, akan dipertimbang bagi kerusi Parlimen pada PRU akan datang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah yang diambil BN ketika ini adalah satu pendekatan baru dan berani, dalam memenuhi kriteria Wali (winnable, acceptable and likeable) yang diutarakan sebelum ini.
“Adun yang digugurkan sudah memberi khidmat cemerlang kepada parti selama dua dan tiga penggal atau lebih. Kepada mereka ini, parti mengucapkan ribuan terima kasih dan diharap membantu calon baru.
“Kepada mereka yang tidak dicalonkan, insya-Allah mereka akan dipertimbangkan pada masa depan atau bagi kerusi Parlimen pada PRU nanti. Apa yang lebih utama ialah memenangkan parti yang menaungi kita selama ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Bernama hari ini melaporkan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata BN mempertaruhkan 86 peratus calon muka baru, di samping mengekalkan empat penyandang untuk PRN Melaka.
Dia dipetik sebagai berkata empat penyandang berkenaan ialah Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Rahmad Mariman, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Muhammad Jailani Khamis serta Zaidi Attan.
Tarikh mengundi PRN Melaka ditetapkan pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai ketua menteri Melaka, ketika itu.
UMNO JATUH KERANA TIPU DAYA SENDIRI
1MDB mempunyai hutang terkumpul berjumlah RM32 bilion setakat akhir Jun 2021, demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan pada 29 Oktober 2021 yang lalu, lapor Bernama.
Dalam pada itu Goldman Sachs Group Inc (Goldman Sachs) mencapai persefahaman dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk membayar balik lebih AS$2 bilion (RM8.3 bilion).
18 TAHUN BOLEH JADI CALON TETAPI TAK BOLEH UNDI DI SARAWAK
18 tahun boleh jadi calon tetapi tak boleh undi di Sarawak
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dilaksanakan sebelum hujung tahun 2021 akan menjadi aneh apabila seseorang boleh menjadi calon pada umur 18 tetapi tidak layak mengundi.
Setiausaha Wanita KEADILAN Sarawak, Cherishe Ng berkata, PRN tersebut sengaja dilakukan secara terburu-buru bagi mengelakkan perintah Mahkamah Tinggi Kuching baru-baru ini yang mengarahkan kerajaan melaksanakan Undi 18 sebelum tahun akhir tahun.
“Beberapa Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah meminta pembangkang supaya tidak “mempolitikkan” isu Undi18, termasuk Menteri Undang-undang, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan alasan ia akan menyebabkan kekeliruan yang tidak perlu dan memberi maklumat salah kepada rakyat.
“Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan seorang peguam, Wan Junaidi tidak seharusnya memandang rendah kepintaran golongan belia pada masa kini dan terlepas pandang keabnormalan undang-undang Perlembagaan Sarawak dengan tidak melaksanakan Undi18.
“Mengadakan pilihan raya sebelum Undi18 dilaksanakan akan membolehkan mereka yang berumur 18 tahun bertanding sebagai calon menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri tetapi tidak dibenarkan mengundi untuk pilihan raya,” katanya sinis.
Menurut Cherishe, pindaan Perlembagaan Sarawak beberapa tahun lalu menyebabkan peraturan pilihan raya di negeri itu menjadi anomali yang membingungkan kerana membenarkan rakyat berumur 18 menjadi calon. Oleh itu, sewajarnya undang-undang diselaraskan, sekiranya boleh menjadi calon maka seseorang boleh mengundi untuk diri mereka sendiri.
“Ini berdasarkan pindaan Artikel 16 Perlembagaan Sarawak pada 2020 yang menurunkan umur kelayakan untuk (menjadi ahli) Dewan Undangan Negeri dan meluluskan rang undang-undang Undi 18 pada 2019.
“Ini bukan sahaja anomali undang-undang terbesar yang Menteri Undang-undang, Wan Junaidi mesti sedar, tetapi memalukan sistem perundangan kita.
“Menyeru pembangkang supaya tidak mempolitikkan pelaksanaan Undi18 bukan sahaja memandang rendah pengetahuan para belia tetapi membenarkan anomali undang-undang yang tidak masuk akal ini berlaku di Sarawak.
“Sebagai seorang belia, saya amat malu kerana kerajaan sedia ada membenarkan perkara ini berlaku kepada belia kita di Sarawak,” katanya lagi.
PRN Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembatalan darurat negeri itu pada awal November lalu.
Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya boleh menangguhkan PRN sehingga ke Januari 2022 bagi mengelakkan anomali undang-undang.
Namun itu akan memberikelebihan kepada 125,000 pengundi muda untuk membuang undi dan tidak memberi kelebihan kepada parti kerajaan sebelum ini mempertahankan kuasa.
TERNYATA BN, PN TAK SEHALUAN DALAM PRN MELAKA
Ternyata BN, PN tak sehaluan dalam PRN Melaka
Oleh: Redzuan RF8 Media
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menyaksikan pergolakan politik hebat dalam gabungan kerajaan memerintah yang mungkin akan mengurangkan keyakikan para pengundi untuk menyokong Perikatan Nasional mahu pun BN.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, pergolakan tersebut jelas satu faktor kekurangan yang nyata dalam blok kerajaan yang sebelum ini memimpin Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, dengan BN telah mengumumkan calon bertanding di 28 kerusi DUN dan PN juga berbuat demikian, pengundi boleh melihat parti-parti kerajaan tidak sehaluan dan akan sukar memerintah Kerajaan Negeri jika diberi mandat.
“Dengan pengumuman bahawa BN bertanding di semua 28 kerusi maka sah PN dan BN tidak sehaluan.
“PN dilaporkan akan mungkin menamakan calon yang ditolak oleh BN,” katanya kepada Suara Keadilan selepas KEADILAN dan Amanah mengumumkan calon mereka di Melaka, semalam.
Slogan ' Selamatkan Melaka'
(TULISAN TIDAK DI EDIT EJAAN )
BUKAN MASA UTK BERBALAH SESAMA KITA
Norman Radzuan
Utk PRN Melaka kita mesti ada slogan khas utk PRN ini. Bagi saya Data2 di setiap kawasan DUN itu penting utk gerak kerja parti di kwasan2 tersebut tapi yg lebih penting dari itu wujudkan slogan utk kenapa rakyat Melaka patut memilih PH dan kempen utk mengajak rakyat Melaka turun mengundi.
Byk info2 yg saya perolehi mengenai apa sebenar berlaku dan apa pengundi Melaka mahukan. Ada yg kita boleh bual di sini ada yg perlu dibualkan. Byk perkara ingin saya berikan teguran dari info2 tersebut tapi buat masa ini tak mahu menganggu fokus kita yg hanya ada 11 hari dari skg utk kempen.
Slogan 'Selamatkan Melaka' adalah intipati PRN ini utk PH mengajak rakyat keluar mengundi dan mengundi PH. Ia bukan hanya sekadar slogan tetapi sebagai satu peringatan kpd rakyat Melaka betapa perlunya perubahan ini.
Malah telah terbukti melalui pimpinan mantan KM, Adly... Melaka jauh lebih baik dari sebelum dan KM selepas itu. Cuma mood rakyat Melaka ketika ini... jgn terkejut jika sekitar 50%-60% saja akn keluar mengundi. Kita perlu org2 Melaka terutama generasi muda keluar mengundi.
Mengenai rasa tidak puas hati calon yg dipilih pimpinan tak mengapalah rasa kecewa sebentar tapi ia bukan masanya utk kita bualkan di medsos atau wall masing2. Kita fokus kpd lawan bukan berlawan sesama kita.
Lagi pun soal calon ini ia berlaku kpd semua parti. Bukan PKR atau Amanah sahaja rasa tidak puas hati ini. Bekerja keras dan sahabat2 yg tidak dpt hadir anda hanya perlu menulis sehari sekali di wall masing2 dgn fokus kpd lawan dan bukan menyindir calon2 kita. Lepas PRN nanti baru luahkan apa yg terpendam.
Tuan Ibrahim kecewa Umno tamak
November 7, 2021
PAS berasa sedikit kecewa apabila usaha merundingkan kerusi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka gagal sekali gus memaksa mereka bertembung dengan Umno di tujuh kerusi.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata usaha rundingan itu memang mengambil masa yang panjang dengan menunjukkan hasil positif pada peringkat awal.
Namun pada akhirnya kata Tuan Ibrahim BN kekal mahu bertanding di semua kerusi.
“Bagi kami rasa sedikit kecewa (kerana) usaha penyatuan itu gagal pada hujungnya, tetapi Melaka bukan medan kita,” katanya ketika ditemui media di Kuala Terengganu hari ini, menurut laporan Malaysiakini.
Menteri kabinet itu berkata demikian ketika ditanya berhubung pertembungan kerusi yang dijangka membabitkan calon PAS dan Umno di tujuh kerusi dalam PRN Melaka.
Andaian itu dibuat berdasarkan kepada senarai yang dikemukakan Umno-BN serta Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Terdahulu, PAS melalui PN diumumkan bertanding di lapan kerusi iaitu dewan undangan negeri (DUN) Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.
Kerana tidak didaftarkan
Sebagai rekod Umno merupakan penyandang di tujuh kerusi tersebut kecuali DUN Bukit Katil yang dimenangi Amanah dalam PRU ke-14 yang diadakan pada 2018.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim menyifatkan pertembungan dengan Umno – yang menjadi rakan PAS melalui Muafakat Nasional – sebagai situasi yang terpaksa dihadapi.
“Sebenarnya pada peringkat awal kita runding supaya kita mengelak (bertembung), kalau kita dapat kompromi kerusi. Tetapi oleh kerana Umno buat keputusan untuk bertanding semua menyebabkan kita tiada pilihan.
“Ya (terpaksa), sebab Umno akan tanding semua kerusi. Jadi pada masa itu tak ada kompromi untuk kita melihat mana-mana kerusi diagih (runding).
“Kalau sekiranya kita runding dan ada kerusi Umno tak bertanding mungkin tidak ada pertembungan,” jelasnya yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian.
Dalam perkembangan berkaitan Tuan Ibrahim berkata kerjasama Muafakat Nasional bersama Umno bukan sebagai parti politik kerana ia tidak didaftarkan berbanding PN.
“Kami dalam MN (adalah) medan besar untuk muafakat besar yang bukan sekadar (untuk) pilihan raya (tetapi) gagasan penyatuan ummah, sebab itu PAS bertanding di bawah PN kerana sudah berdaftar,” ujarnya.
IDRIS HARON, NOR AZMAN BUKANLAH ‘KATAK POLITIK’ SEPERTI HAMZAH ZAINUDDIN, AZMIN ATAU TOK PA
Ada beberapa pihak yang terkait dengan PH secara terbuka meluahkan rasa kurang senang atas tindakan gabungan itu memilih dua bekas Adun UMNO, Idris Haron dan Nor Azman Hassan sebagai calon dalam PRN Melaka.
Hujah mereka, tindakan PH itu tidak beretika kerana menerima “katak politik” ke dalam gabungan tersebut, sedangkan selama ini menolak perbuatan melompat parti.
Termasuk yang secara terbuka menunjukkan rasa senang itu ialah DAP, salah sebuah parti dalam PH sendiri.
Dilaporkan bahawa ketika pengumuman calon PRN Melaka semalam, pemimpin DAP telah tidak memunculkan diri sebagai tanda protes mereka kepada PH.
Isunya, adakah Idris dan Nor Azman merupakan “katak politik”?
Adakah mereka sama seperti Kumpulan Hamzah Zainuddin dan Mustapa Mohamad yang melompat daripada UMNO untuk menyertai Bersatu sebaik BN tewas dalam PRU14 lalu?
Atau, adakah juga tindakan kedua-dua Adun itu sama seperti Kumpulan Azmin Ali yang meninggalkan PKR dan mengkhianati PH semata-mata kerana mahu menyekat Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri?
Dalam hal, harus kita berlaku adil kepada Idris Haron serta Nor Azman dan melihat dalam skop yang lebih luas tentang jiwa besar PH menerima kedua-dua Adun itu sebagai calon PRN Melaka.
Realitinya, Idris dan Nor Azman menyertai PKR serta Amanah hanyalah setelah mereka dipecat oleh UMNO berikutan tindakan mereka bersama dua Adun lain menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka pimpinan Sulaiman Md Ali.
Mereka tidak melompat untuk menyertai PKR dan Amanah ketika masih berada dalam UMNO, sebaliknya memilih untuk bersama PH setelah tidak lagi menjadi ahli kepada mana-mana parti.
Tindakan mereka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri tidak lain ialah kerana tidak mahu melihat pelbagai kemungkaran, penyelewengan dan perkara tidak betul berlaku dalam kerajaan negeri ketika mereka memegang jawatan sebagai Exco dan juga wakil rakyat.
Lantaran itu, mereka bertindak menarik sokongan dengan tujuan agar kuasa kerajaan negeri dikembalikan kepada PH sebagaimana mandat diberikan pengundi pada PRU 2018 lalu.
Atas tindakan berani itu, mereka kemudiannya dipecat daripada UMNO.
Setelah dipecat dan kemudian PRN diadakan, hakikatnya tidak menjadi kesalahan untuk PH menerima dan mencalonkan mereka semula sebagai calon kerana mereka sudah tiada parti ketika itu.
PH pula akan dilihat sebagai parti yang tidak mengenang budi dan tidak tahu menghargai pengorbanan orang lain jika membiarkan saja Idris dan Nor Azman “mati karier politiknya” begitu saja.
Keadaan mereka adalah berbeza dengan dua lagi Adun, Nor Affendi Ahmad dan Norhizam Hassan Baktee yang sebelum ini berasal daripada Bersatu dan DAP, tetapi kemudian bertindak khianat untuk menjatuhkan kerajaan negeri PH yang diterajui Adly Zahari.
Mereka ini memang tidak boleh diberi muka lagi atau diterima sebagai calon oleh PH.
Dulu 2018 pun mereka bertanding atas nama PH menggunakan logo PKR, selepas itu menjatuhkan PH, maka tidak masuk akal sama sekali untuk menerima mereka lagi sebagai calon.
Untuk itu, keputusan PH menolak dan tidak mencalonkan mereka adalah tepat dan wajar.
Ini berbeza dengan Idris dan Nor Azman yang memang berasal daripada UMNO dan bertanding atas tiket BN pada PRU 2018 lalu, cuma hidayah Tuhan telah menyerkap ke dada mereka lalu bertindak menjatuhkan kerajaan pintu belakang BN di Melaka dengan satu tujuan – mengembalikan semula mandat rakyat kepada PH.
Selain mereka tidak boleh dikategorikan sebagai “katak politik” seperti Kumpulan Hamzah Zainuddin, Kumpulan Azmin Ali dan Mustapa Mohamad atau Tok Pa, meraikan kemasukan mereka ke dalam PH juga sebenarnya menepati agenda “Khemah Besar” yang diperjuangkan gabungan itu selama ini. –
ShahbudinHusin 07/11/2021.
Kem BN kecoh, 9 PDM BN di Bemban tutup
November 7, 2021
Sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban telah ditutup tidak sampai 24 jam selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN).
Penutupan itu sudah pasti menjejaskan persiapan BN untuk merampas kembali kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
PDM yang ditutup mulai Jumaat ialah Pondok Kempas, Kesang Tua, Seri Bemban, Tehel, Taman Maju, Air Panas, Air Kangkong, Air Barok dan Kesang Jaya.
Menerusi tinjauan media, kerja-kerja mengemas kerusi dan meja termasuk menurunkan semua bendera BN dilakukan oleh petugas Umno cawangan di situ.
Memetik Utusan Malaysia, difahamkan penutupan sembilan PDM berpunca daripada perasaan kecewa apabila kerusi itu ditandingi oleh MCA.
DUN Bemban bakal ditandingi Koh Chin Han yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada calon DAP, Wong Port Pin.
Pengumuman mengenai 28 calon BN telah dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya BN, Mohamad Hasan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pagi tadi.
TENTERA JIHAD PAS BERSEDIA BERTEMPUR DENGAN UMNO DAN MCA
PRN Melaka, parti Pas telah diberikan peruntukan 8 kerusi untuk bertanding mewakili Perikatan Nasional. Ini satu jumlah yang teramat besar buat Pas daripada jumlah 28 kerusi kesemuanya. Jelas, dengan 8 kerusi tersebut, Pas adalah dominan dalam Perikatan Nasional. Tahalluf Siyasi Pas amat bijak sekali sehinggakan Pas tidak perlu lagi bersusah payah mengeluarkan bendera bulan dari stor mereka. Guna bendera Perikatan Nasional yang telah 'di islamkan'.
Siapa musuh Pas di era tok guru Hadi Al Marangi? Siapa lagi jika bukan Dap. Pas keluar dari Pakatan Rakyat dahulu pun kerana Dap. Pas sanggup memanjat tebuk atap merampas mandat rakyat di Putrajaya bersama Umno dulu pun kerana ingin selamatkan negara ini dari kezaliman dan kekejaman kerajaan PH yang dikuasai oleh Dap. Mana boleh biarkan Dap zalim kurangkan cabutan judi dari 22 kali kepada 8 kali? Bukankah tidak adil kepada taukeh judi? Sebab itu, Pas memusuhi Dap.
Siang malam mulut pemimpin Pas berzikir "Dap". Tidak sah ceramah Pas kalau tidak hentam Dap. Tempat tiada Dap pun Pas akan tetap meratib Dap. Contohnya di Kelantan dan Terengganu. Masih kita ingat, lebai Pas berpeluk-pelukan dengan pemimpin Umno dalam Muafakat Nasional. Banjir dewan PWTC dengan air mata buaya kerana masing-masing telah insaf. Maklumlah, berpuluh tahun dikatakan kapir dan kini telah di"khatankan" semula dalam Muafakat Nasional. Masing-masing bertekad untuk berganding bahu berjihad melawan Dap.
Akhirnya, apa yang berlaku?
Di PRN Melaka, di 8 kerusi Dap bertanding, tiada seekor pun lebai yang ada telor berani masuk bertanding. Patutnya, di sinilah lebai wajib bertarung dan berjihad untuk mati syahid. Sembang kencang...
Siapa yang Pas lawan di Melaka?
Pas lawan Umno di 7 kerusi.
Pas lawan MCA di satu kerusi.
Ertinya, lebai ini tidak boleh dipercayai oleh sesiapa. Pas tikam umno dari belakang. Parti jenis main dua kolam ibarat binatang yang makan bangkai atau seperti ikan yang hidup di dalam air dan darat. Haram dimakan.
WFAUZDIN NS
ANTARA DUA DARJAT KERAJAAN TEBUK ATAP DAN RAKYAT
“Sekarang mereka seronok menikmati kemudahan ini tanpa perasaan segan silu. Segala bantahan dulu nampaknya telah dicurahkan ke laut selat Melaka,” ujarnya.
Menurut beliau Dato' Seri Najib Razak yang dahulu lantang membantah kerajaan PAKATAN HARAPAN, sekarang membisu seribu bahasa.
EDISI KHAS MINGGUAN 047 | PANAS!! PM-7 DAN PM-8 PENCETUS ‘BANTUAN KERETA...
MENARIK DALAM EDISI KHAS 047
1. PAS NEKAD BERSAMA BERSATU, TENDANG UMNO
2. ISU VELLFIRE: NAJIB TUDING JARI KEPADA ABAH KAU DAN TUN M
3. PAS MINTA KELANTAN JADI NEGERI CONTOH, DIKECAM HEBAT
PH TAWAR POLITIK STABIL, KEMAJUAN BERTERUSAN BUAT RAKYAT MELAKA
PH tawar politik stabil, kemajuan berterusan buat rakyat Melaka
Oleh: Redzuan RF8 Media
Pakatan Harapan (PH) turun ke gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menawarkan kestabilan politik dan kerajaan yang bersih.
Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat seharusnya memberi keyakinan kepada PH untuk diberi semula mandat sebagai Kerajaan Negeri pada hari pengundian 20 November ini bagi meneruskan pembangunan yang tergendala akibat pengkhianatan pada Mac 2020 lalu.
Katanya, PH muncul mampu memberikan kestabilan politik yang perlu untuk menjamin kemajuan ekonomi Melaka seterusnya.
“Kita syukur kerana kita bertanding dalam satu pasukan dan ini tidak berlaku dalam parti Kerajaan Persekutuan dan sekarang ini bekas kerajaan negeri.
“Ini kekuatan yang cukup munasabah untuk meyakinkan rakyat, kalau mahu politik yang stabil dia hanya boleh diberikan oleh PH.
“Politik yang stabil itu bukan untuk mengizinkan cara salah guna kuasa tetapi seperti dilakukan di bawah Adly (Zahari) selaku Ketua Menteri, prestasi itu dapat kita cerakin, senarai dan sebarkan kepada rakyat apa yang mampu dilakukan tertakluk kepada tatakelola kerajaan yang baik.
“Ini ikrar kita yang kita luahkan dan akan disampaikan dalam manifesto PH dalam masa yang singkat,” katanya dalam sidang media mengumumkan calon PRN Melaka bagi KEADILAN dan Amanah, sebentar tadi.
Menurut beliau kelebihan itu akan digunakan untuk mengempur lawan. Bagaimanapun PRN dalam keadaan SOP yang menyukarkan, menurut Anwar tidak sepatutnya melunturkan daya juang jentera PH untuk menyelamatkan Melaka daripada jatub ke tangan ahli politik korup.
“Kita dapat mengadakan majlis dalam keadaan terbatas. Namun dengan kekangan ini tidak melunturkan semangat kita untuk menyelamatkan negeri Melaka dari kerakusan kuasa dan mengembalikan mandat yang pernah diberikan kepada kita dengan satu prestasi yang membanggakan .
“Kita telah menyediakan jentera yang munasabah dari DAP, Amanah dan KEADILAN. Kita sepakat untuk melancarkan serangan dalam PRN kali ini sebagai satu pasukan yang mantap,” katanya.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar mengumumkan calon-calon KEADILAN sebagaimana dipersetujui oleh Majlis Presiden PH.
KEADILAN bertanding di 11 DUN
PH HARAP PENGUNDI UMNO, PAS BERI PELUANG KERAJAAN BERSIH RASUAH
PH harap pengundi Umno, Pas beri peluang kerajaan bersih rasuah
Oleh: Redzuan RF8 MediaFacebookWhatsApEmailPrintFriendly
Pakatan Harapan (PH) tidak mengambil pendekatan memusuhi ahli-ahli Pas dan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu hanya menolak para pemimpin Umno yang rakus kuasa dan rasuah. Sebaliknya ahli-ahli mereka boleh diberi pencerahan dan terbuka untuk mengundi sesiapa sahaja dalam PRN pada 20 November ini.
“Kita tidak mengambil sikap memeusuhi 3 juta ahli Umno dan sejuta lebih ahli Pas.
“Yang kita tentang pimpinan yang rakus. Ahli itu seperti biasa, yang kita kenali masih boleh didekati dan diberi pencerahan bahawa Malaysia harus dipimpin oleh pemimpin Melayu Islam berwibawa tetapi dalam masyarakat yang majmuk.
“Sebagaimana dalam tempoh Kesultanan Melayu Islam Melaka, dan mengambil kira kepelbagaian kaum serta agama sehingga menjadikan Melaka pusat kosmopolitan yang handal dan terkenal di dunia,” kata Anwar dalam majlis pengumuman calon KEADILAN dan Amanah di Melaka, petang ini.
Menurut Presiden KEADILAN itu, pendekatan sama juga digunakan oleh PH ke atas bekas 2 ADUN yang menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional Melaka pada awal Oktober lalu.
Katanya, keputusan untuk menerima 2 bekas ADUN Umno itu kerana secara realitinya DUN telah pun dibubarkan dan tidak timbul isu melompat parti. kedua-duanya perlukan mandat baharu setelah menganggotai parti baharu.
“Kedua, kita tegaskan ada kritikan yang dibuat oleh pemimpin politik (terhadap PH) walhal soal penyeberangan ini telah berlaku (lama) di Sabah dan 13 Ahli Parlimen Umno ke Bersatu.
“Kita (dalam hal ini) berbeza. Apa yang berlaku adalah inisiatif pimpinan PH Melaka untuk berunding dengan rakan-rakan yang merasa lemas dengan sistem dan pimpinan Umno yang bobrok, rasuah serta melakukan penyelewengan lalu menarik sokongan (daripada PN),” katanya.
Selain itu, kata Anwar, usaha juga dilakukan dalam PRN kali ini untuk menembusi ke kubu kebal Umno di kawasan lebih 70% Melayu. Usaha tersebut mungkin boleh dilaksanakan dengan mencalonkan bekas ADUN Unmo sebagai calon PH.
“Saya, Mat Sabu dan Guan Eng teliti seara mendalam tentang kesediaan kita menerima rakan kita, bukan memenuhi ajakan politik tetapi sebagai rakan yang sama-sama memenuhi cabaran ini, dan meletakkan asas pentadbiran yang kukuh di Melaka.
“Dengan harapan boleh menerobos kawasan tradisi Melayu yang tidak ditembusi selama ini,” katanya lagi.
Anwar dengan itu membacakan nama-nama calon Amanah bagi PRN Melaka
KALAU JUMPA PAKAT LUDAH BERAMAI RAMAI
Gempar! ‘Sharon Liew’ yang api-apikan perkauman di media sosial kantoi rupanya lelaki melayu
November 7, 2021
Seorang lelaki yang menulis catatan berbaur perkauman di sebalik nama samaran ‘Sharon Liew’ dipenjara selama tiga minggu pada Selasa (8 Jun).
Zainal Abidin Shaiful Bahari, 35 tahun, mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan perbuatan yang dia tahu boleh menggugat keharmonian antara kumpulan kaum berbeza. Dua lagi tuduhan serupa juga dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.
Para peguam Zainal mendakwa dia “bukan rasis” dan bahawa lelaki itu mengambil alih sebuah “akaun parodi” dan “melampaui batas” dalam “cuba menjadi kelakar”.
Hakim Daerah S Jennifer Marie berkata bahawa kaum dan agama adalah isu-isu sensitif dan orang yang mungkin melakukan kesalahan itu harus menyedari kenyataan yang dibuat secara cuai itu berpotensi mencetuskan gangguan sosial.
“Mentelah lagi, apabila kenyataan seumpama itu diterbitkan melalui wadah Internet, ia mempunyai jangkauan merata, justeru membesarkan lagi bahaya yang boleh berlaku dan tidak boleh ditarik balik ke atas kedamaian serta keharmonian kaum.”
Beliau menambah ketegangan kaum kian meningkat oleh pandemik yang berlarutan dan satu isyarat pencegahan yang kuat mesti dikeluarkan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Zainal adalah seorang pengarah kanan di sebuah syarikat perisian komputer. Seorang pengguna yang ternampak catatan Twitter oleh pengguna sharonliew86 yang mengutuk para pendatang asing India berkaitan dengan COVID-19, menghubungi polis pada April 2020.
Zainal dikenal pasti dan siasatan polis mendedahkan dia menubuhkan akaun Twitter itu pada Julai 2018 bersama dua lagi rakannya.
Ia bertujuan menjadi satu akaun parodi dan mempunyai lebih 5,000 pengikut tetapi catatan oleh kedua-dua rakan Zainal berhenti dimuatnaikkan sedari awal 2019.
Zainal kemudian mengambil alih akaun itu secara keseluruhannya. Pada April 2020, dia memuat naik catatan yang menyinggung perasaan termasuk penghinaan terhadap orang India. Pada Mac 2020, dia juga menulis bahawa wanita “Cina pintar” melakukan jarak sosial di dalam MRT dengan tidak mahu duduk di sebelah orang India.
Lelaki itu juga membuat catatan ofensif pada Oktober 2019 mengenai standard pendidikan kaum Melayu.
“Dia bukan seorang rasis, ternyata sekali,” kata Encik Sudheesan. Peguam itu dan rakan sekerjanya, Diana Ngiam, berkata Zainal mengahwini seorang wanita Cina dan mempunyai rakan-rakan dari pelbagai kaum.
Encik Sudheesan berkata semua orang yang mengikuti akaun tersebut tahu bahawa ia satu parodi dan keadaan boleh membangkitkan kemarahan apabila orang ramai tidak tahu niat di sebalik catatan Twitter tertentu yang dihantarkan kepada mereka.
Bagaimanapun, pendakwa menjawab bahawa Zainal telah melampaui batas.
Hakim memberitahu Zainal bahawa bahasa yang digunakan dalam catatan-catatan Twitter dia itu adalah kesat.
Bagi setiap tuduhan melakukan tindakan menggugat keharmonian kaum, Zainal boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Subscribe to:
Posts (Atom)