Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, antara faktor pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) yang sebelum ini menggunakan Proton Perdana dan digantikan dengan Toyota Vellfire adalah kos sewaan bulanan Vellfire 2.5 lebih rendah dari kos sewaan bulanan Perdana 2.4 Premium.
Menurut laporan FMT, Keputusan kerajaan menggantikan kereta Proton Perdana dengan Toyota Vellfire dipertimbangkan semasa pentadbiran terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan tahun ini.
Kos sewaan sebulan bagi Proton Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Toyota Vellfire 2.5 pula RM4,851.61.
Dalam kenyataan itu turut menyebut bahawa kerajaan menggunakan Vellfire 2.5 sebagai KRJ menteri-menteri persekutuan bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium yang ditamatkan pengeluarannya pada 2014.
“Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia 6 tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap 4 tahun sekali,” katanya.
Sebelum ini seorang pemimpin PKR menyifatkan keputusan kerajaan menggantikan kereta sedan empat tempat duduk kepada MPV mewah tujuh tempat duduk membazirkan duit rakyat.
Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, P Prabakaran dalam satu kenyataan berkata, “Menteri Perikatan Nasional (Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz) bukan sahaja membazirkan duit rakyat melalui pembelian kereta mewah, tetapi mendedahkan hampir RM1 juta dibelanjakan untuk mengubah suai dan membeli perabot baharu pejabat Perdana Menteri.”
“Tambahan pula pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana bernilai RM30 juta juga membazir.”