PH harap pengundi Umno, Pas beri peluang kerajaan bersih rasuah
Pakatan Harapan (PH) tidak mengambil pendekatan memusuhi ahli-ahli Pas dan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu hanya menolak para pemimpin Umno yang rakus kuasa dan rasuah. Sebaliknya ahli-ahli mereka boleh diberi pencerahan dan terbuka untuk mengundi sesiapa sahaja dalam PRN pada 20 November ini.
“Kita tidak mengambil sikap memeusuhi 3 juta ahli Umno dan sejuta lebih ahli Pas.
“Yang kita tentang pimpinan yang rakus. Ahli itu seperti biasa, yang kita kenali masih boleh didekati dan diberi pencerahan bahawa Malaysia harus dipimpin oleh pemimpin Melayu Islam berwibawa tetapi dalam masyarakat yang majmuk.
“Sebagaimana dalam tempoh Kesultanan Melayu Islam Melaka, dan mengambil kira kepelbagaian kaum serta agama sehingga menjadikan Melaka pusat kosmopolitan yang handal dan terkenal di dunia,” kata Anwar dalam majlis pengumuman calon KEADILAN dan Amanah di Melaka, petang ini.
Menurut Presiden KEADILAN itu, pendekatan sama juga digunakan oleh PH ke atas bekas 2 ADUN yang menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional Melaka pada awal Oktober lalu.
Katanya, keputusan untuk menerima 2 bekas ADUN Umno itu kerana secara realitinya DUN telah pun dibubarkan dan tidak timbul isu melompat parti. kedua-duanya perlukan mandat baharu setelah menganggotai parti baharu.
“Kedua, kita tegaskan ada kritikan yang dibuat oleh pemimpin politik (terhadap PH) walhal soal penyeberangan ini telah berlaku (lama) di Sabah dan 13 Ahli Parlimen Umno ke Bersatu.
“Kita (dalam hal ini) berbeza. Apa yang berlaku adalah inisiatif pimpinan PH Melaka untuk berunding dengan rakan-rakan yang merasa lemas dengan sistem dan pimpinan Umno yang bobrok, rasuah serta melakukan penyelewengan lalu menarik sokongan (daripada PN),” katanya.
Selain itu, kata Anwar, usaha juga dilakukan dalam PRN kali ini untuk menembusi ke kubu kebal Umno di kawasan lebih 70% Melayu. Usaha tersebut mungkin boleh dilaksanakan dengan mencalonkan bekas ADUN Unmo sebagai calon PH.
“Saya, Mat Sabu dan Guan Eng teliti seara mendalam tentang kesediaan kita menerima rakan kita, bukan memenuhi ajakan politik tetapi sebagai rakan yang sama-sama memenuhi cabaran ini, dan meletakkan asas pentadbiran yang kukuh di Melaka.
“Dengan harapan boleh menerobos kawasan tradisi Melayu yang tidak ditembusi selama ini,” katanya lagi.
Anwar dengan itu membacakan nama-nama calon Amanah bagi PRN Melaka