UNDILAH PAKATAN RAKYAT




Siapa Yang Sebenarnya 'Terseksa' Muhyiddin?

SHAH ALAM 24 SEPT : Dakwaan timbalan perdana menteri bahawa rakyat Selangor terseksa di bawah pentadbiran tiga tahun Pakatan Rakyat di negeri ini disifatkan sebagai tindakan terdesak Umno Barisan Nasional.

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafie berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin kini semakin terpaksa melakukan perang saraf apabila mendapati rakyat Selangor sebenarnya sudah cukup selesa dengan pentadbiran PR yang lebih mengutamakan kebajikan rakyat.

"Rakyat Selangor hari ini bukan terseksa, yang terseksa sebenarnya adalah pimpinan-pimpinan kanan Umno dan Barisan Nasional kerana tidak dapat menipu duit rakyat untuk kepentingan mereka.

"Malah rakyat Selangor secara keseluruhan semakin selesa dan bukan terseksa," katanya pada satu majlis rumah terbuka DUN Sri Muda hari ini.

Tambah Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda, kisah dongeng betapa penting untuk Umno merampas kembali Selangor demi menyelamatkan rakyat di negeri ini tidak akan berjaya kerana warga Selangor sedia maklum apa yang mereka mahukan.

"Rakyat di Selangor hari ini cukup berterima kasih kepada kerajaan negeri dan juga di atas kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang sudah menjalankan terlalu banyak program-program yang memberikan manfaat terbaik kepada rakyat.

"Malah mereka cukup bersyukur apabila Umno BN kalah di negeri Selangor dan Insya-Allah sokongan yang kita terima semakin meningkat dari hari ke hari," tambahnya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata, dakwaan songsang Muhyiddin itu semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang disifatkan sebagai tindakan menggelabah beliau yang tidak sabar mahu merampas tampuk pemerintahan negara.

"Jadi kita lihat sejak akhir-akhir ini ada percanggahan pendapat di antara Muhyiddin Yassin dan Najib Razak dan ini menggambarkan wujud kecelaruan yang besar daripada segi agenda memajukan negara atau pun memastikan kemenangan Umno dan BN di seluruh negara," katanya.

Shuhaimi berkata malah beliau yakin pada pilihan raya umum ke 13, rakyat di negeri Selangor tidak akan berpaling tadah untuk mengundi BN sebaliknya lebih ramai yang akan menyatakan sokongan mereka kepada PR untuk menuju ke Putrajaya.

Dalam pada itu, dakwaan Muhyiddin turut dibidas oleh beberapa pimpinan lain PR yang turut sama menyifatkan beliau dan sekutunya semakin tertekan untuk merampas semula Selangor dengan menggunakan apa jua taktik.

Menurut ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, Najib sebagai perdana menteri sendiri pernah menyatakan tekad akan merampas Selangor dengan apa cara sekali pun.

Justeru ujarnya yang juga timbalan presiden PKR, perkembangan negara mutakhir ini yang menyaksikan warga asing diberikan status kewarganegaraan sebagai bukti , pemerintah sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

"Ini memang kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Najib yang beliau akan merampas Selangor dengan apa jua cara sekali pun dan ini menunjukkan Umno sanggup
menggunakan cara-cara yang kotor dan jijik serta tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat negeri Selangor dan langsung tidak mempunyai komitmen untuk menyuburkan demokrasi di dalam negara dan di negeri Selangor.

"Sebab itu Umno terpaksa menggunakan cara kotor termasuk memberikan kad pengenalan kepada warga asing semata-mata untuk menjamin kelangsungan politik mereka," katanya.

Dalam pada itu, ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, tindakan Umno-BN yang menggunakan bangunan-bangunan kerajaan seperti sekolah bagi tujuan berkempen hakikatnya tidak disenangi rakyat.

"Saya ingin tegaskan di sini, pada masa yang sama rakyat di negeri Selangor tidak sabar menantikan PRU 13 akan datang untuk tubuhkan kerajaan baru menuju ke Putrajaya," katanya.

"Orang Takut Hudud Macam Takut Hantu, Bila Tanya Apa Itu Hudud Tidak Tahu"- Nik Aziz

Yang ni Nik Aziz tuju pada pecacai pelaq Umno yang dok komen dalam blog aku..macam-macam letak nama dan macam2 diakomen.Bila pelaq yang sekoq ni baca..dia tak faham..dia kata tulisan dalam blog ni merapu.

Dari awai lagi aku dah pesan supaya jangan baca kalau tahap pendidikan tak sampai.Sebab dalam blog ini tulisan banyak bersifat ilmiah...Jadi yang dok bagi komen merapu dan pelaq-pelaq Umno..jangan dok baca lah...hangpa tak cerdik nak faham bahasa-bahasa ilmiah ni...Hangpa faham bahasa caci maki...So pelaq yang menakan diri dia penyokong Pas,ka tak bubuh nama ka...kluaqman,penganut pas ka...hangpa tok sah baca la blog ni...sila ke blog umno la..

KUALA LUMPUR 25 SEPT : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangannya bagaimana masyarakat dan pihak tertentu begitu tidak menyenangi hukum hudud walhal ia sebaik-baik perundangan yang digariskan Allah S.W.T.

Malahan katanya, undang-undang sedia ada yang digunakan di negara ini lebih zalim kerana memperuntukkan hukuman gantung sampai mati untuk kesalahan tertentu yang tidak terdapat dalam hukum hudud.

“Apa yang nak takut sangat (dengan hukum hudud)? Macam takut hantu... orang takut hudud macam takut hantu, tapi bila tanya apa itu hudud tidak tahu.

“Di Malaysia ada hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan jual dadah, merompak dan sebagainya tetapi orang tak kata apa pun... bagaimana dengan keluarga yang suaminya digantung sampai mati? Hudud tak mati, kenapa orang tak marah hukumam gantung sampai mati tapi marahkan saya pasal hudud?

“Hudud tak mati... hudud adalah undang-undang Allah, benda ini hanya sekadar nak masuk dalam senarai undang-undang Kelantan dan yang laksanakan bukan saya tapi hakim.

“Kalau dibandingkan dengan hukuman gantung yang lebih kejam daripada hudud, hudud tak mati, cuma kerat tangan itu pun perlu ikut syarat-syarat yang ditetapkan. Hukum hudud tak mati, malah mereka masih boleh bekerja macam orang biasa,” katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Aidilfitri Bersama Tuan Guru di dataran parkir Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam di sini malam tadi.

Mursyidul Am PAS itu sebelum ini tetap dengan pendiriannya akan menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinannya berusaha untuk melaksanakan undang-undang itu sejak awal 1990-an tetapi tersekat ekoran amaran kerajaan pusat yang disampaikan pada 1994.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Tambah Nik Aziz, hukuman hudud tidak semestinya dilaksanakan, namun mahu ia dimasukkan dalam undang-undang syariah Islam sedia ada.

“Dekat pilihan raya timbul balik, saya di Kelantan hanya nak masuk dalam undang-undang syariah Kelantan, lepas pada itu terserah kepada hakim (untuk laksanakan), bukan saya yang laksanakan.

“Bukan saya atau orang politik laksanakan, hakim yang tentukan,” kata beliau.

Dalam ceramah itu juga, Nik Aziz mengatakan ajaran Islam bukan diwujudkan oleh PAS tetapi Allah dan semua yang beragama Islam perlu mengikut perintah dan meninggalkan larangannya.

“Umno tolak Islam ambil kebangsaan, Islam bukan dari PAS... dari Allah, Islam adalah cara hidup dan semuanya perlu ikut cara Islam.

“Pangkah parti yang boleh selamatkan Islam, sekarang bukan Islam sahaja, demokrasi pun tak selamat... Islam datangnya dari Allah, bumi, langit dan kita, Allah yang punya,” katanya.

Pusat Perlu Luaskan Bidang Kuasa Kerajaan Negeri Gubal Undang-Undang Islam



SHAH ALAM 23 SEPTEMBER : Bidang kuasa kerajaan persekutuan dengan menghadkan hak kuasa kerajaan negeri bagi membentuk undang-undang berkaitan agama, jenayah dan sivil seperti pelaksanaan Undang-Undang Hudud harus dipertimbangkan semula bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa bagi penggubalannya, kata Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari.

"Parlimen telah melampaui kuasa dengan membuat undang-undang ke atas perkara yang sedia maklum diletakkan ke atas kerajaan negeri, jadi dengan adanya akta itu, bidang kuasa mahkamah syariah terbatas termasuk tidak mampu melaksanakan hudud," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas hasrat kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melaksanakan Hukum Hudud yang menjadi perjuangan PAS selama ini namun ia dibatasi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Hukum Hudud yang melibatkan perundangan agama, jenayah dan sivil menyebabkan ia tidak boleh digubal oleh negeri kerana kuasa mengubal undang-undang jenayah dan sivil hanya terletak ditangan Parlimen.

Kerajaan Negeri terbatas untuk laksanakan Hukum Hudud di bawah Akta Mahkamah Syariah 1965 sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988 memberi Mahkamah Syariah bidang kuasa berasingan daripada mahkamah sivil, menjadikan Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan mahkamah biasa dan dianggap setaraf.

Kuasa Mahkamah Syariah yang terletak di bawah enakman negeri.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata ia bagaimanapun mampu dilaksanakan sekiranya akta tersebut diisytiharkan sebagai tidak sah di mahkamah atau kerajaan pemerintah bertindak menghapuskan akta tersebut.

"Sekiranya ada komitmen dipihak kerajaan untuk bertindak memudahkan perkara itu saya fikir ianya tidak akan mendatangkan masalah.

"Undang-undang itu adalah satu yang anamoli, suatu yang saya fikir sebagai tidak betul dalam sistem kita dan Umno sepatutnya mengambil tindakan memansuhkan undang-undang itu atau mengubahsuainya, sekirannya itu tidak berlaku, Kelantan boleh ke mahkamah untuk berhujah bagi membatalkan perkara tersebut supaya Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan menerusi pentadbiran yang ada yang ditadbir oleh Mahkamah Syariah negeri Kelantan," katanya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan sebagai berkata bahawa Pas berhasrat menubuhkan negara Islam, termasuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun walaupun bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin menyatakan keadaan masih belum kondusif selain kuasa Kerajaan Negeri yang terhad.

Menurutnya, sejak penubuhannya, PAS tekad menegakkan syiar Islam, malah di Kelantan parti itu sentiasa berusaha menjadikan Islam sebagai asas kehidupan.

“Kalau tidak mahu buat negara Islam, kita buat bumi sendiri, jangan menumpang bumi Allah (SWT), buat udara sendiri jangan menumpang udara Allah, buat matahari sendiri jangan menumpang matahari Allah, selagi kita menumpang di bumi Allah, maka agama yang Allah rasmikan ialah Islam,” katanya kepada media selepas Himpunan Kursus Peserta Kenegaraan 2011 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan, semalam.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong perlaksanaan hudud seperti yang dihasratkan kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun, katanya Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dan ia adalah pandangan peribadi beliau.

“Secara dasar, saya percaya ini boleh dilaksanakan,” katanya.

Anwar berkata, rancangan Kelantan mahu memperkenalkan undang-undang hudud adalah spesifik dan ia meliputi dua aspek penting iaitu pentadbiran yang adil kepada undang-undang Islam dan memastikan hak bukan Islam dilindungi.

Walaubagaimanapun, DAP mempunyai pandangan yang berbeza apabila Pengerusinya, Karpal Singh mempersoal kewajaran Nik Aziz melaksanakan hukum hudud yang menurutnya berlawanan dengan perlembagaan persekutuan yang menyukarkan ia dilaksanakan di negara ini buat masa ini.

Melihat kepada senario ini, Dr Abdul Aziz yang dihubungi TvSelangor berpendapat pelaksanaan Hudud tidak mencacatkan sistem undang-undang negara kerana kerangka persekutuan yang bersifat fleksibel seperti sistem perbankan islam dan konvesional boleh berjalan serentak di negara ini.

"Bagi saya, kerangka persekutuan di Malaysia sebenarnya membenarkan dan itu lah sebenarnya keindahan dan kelebihan sistem persekutuan dimana kepelbagaian itu boleh ditangani dan dijalankan, ianya seperti perbankan islam dan perbankan konvesional, ianya berjalan serentak, supaya masyarakat boleh memilih mana satu yang sesuai dengan mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yakin bahawa pelaksanaan hudud mampu diterima setiap rakyat kerana ia membawa kebaikan dan menjamin kesejahteraan semua.


“Yang perlu takut adalah mereka yang bersalah, perompak dan pencuri yang merompak harta rakyat, dengan apa jua cara yang salah." katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur.