Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sidang editorial dan rakan media sekalian.
Bersama-sama ini disertakan kenyataan rasmi saya untuk sebaran media.
Terima kasih.
--------------------------------------------------------
UCAPAN PERBAHASAN ENAKMEN JENAYAH SYARIAH 2015 DI SIDANG DUN KELANTAN
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ (5:50)
5:50
Apakah hukum Jahiliah yang menjadi pilihan mereka, dan hukum siapakah
yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang benar-benar
yakin?
Mengikut skrin sidang DUN saya dijadual
berucap petang semalam, tetapi dalam perjalanan sidang ditangguhkan
awal. Namun begitu saya ucap terima kasih atas kesempatan berucapa pagi
ini.
Dalam Persidangan DUN pada Oktober 2013,
saya telah bangkitkan pentingnya langkahan diambil untuk mempastikan
Enakmen Jenayah Syariah II melihat sinar pelaksanaan dan tidak hanya
menjadi momokan menjelang pilihanraya.
Sidang
kali ini, kita akan meluluskan sekali lagi penjelmaan semula Enakmen
yang telah diluluskan pada tarikh bersejarah 1993, dengan beberapa
pindaan, kerana sebab-sebab teknikal yang tertentu.
Enakmen 2015 disekalikan dengan beberapa pindaan dari Enakmen asal 1993.
Pindaan untuk penambahbaikan ini sekali gus membuktikan dari segi pengkanunan, ia terbuka bagi pembaikan dari masa ke semasa.
Dari
segi kedaulatan dan hakimiyyah Allah mengenai hukum bagi kesalahan
kesalahan yang telah ditentukan, tidak ragu lagi semua orang beriman
wajib menjunjung dan berhukum dengannya.
Bagi
setiap Muslim yang benar-benar ingin mengikuti tuntutan agama Islam,
mereka mempunyai hak untuk dihukum dan berhukum mengikut hukum agama
mereka.
Pada hemat saya,ia selari dengan amalan
demokrasi negara kita dan demokratik dari segi kebebasan beragama yang
dijamin oleh Perlembagaan.
Tuan Speaker,
Berdasarkan
kenyataan-kenyataan akhbar pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri dalam isu
ini, harapan untuk melihat fasa pelaksanaan Enakmen ini sudah semakin
hampir;
PERTAMA:
Jawatankuasa
Teknikal Bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat telah
ditubuhkan. Saya difahamkan, pada 15 Disember 2014 Majlis Mesyuarat
Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang dipengerusikan
sendiri oleh YAB Perdana Menteri, telah bersetuju untuk meminda akta 355
menjadikan hukuman rotan dinaikkan ke 100 rotan, ini adalah selaras
dengan keputusan Mesyuarat Jawatkan Kuasa Teknikal Undang-Undang Syarak
dan Sivil Persekutuan yang telah diadakan pada 2 hingga 4 November 2014
dalam mesyuarat sama menteri diputuskan untuk membawa pindaan akta 355
di Parlimen.
KEDUA:
Kerajaan Negeri yakin ia akan mula dilaksanakan pada tahun 2015 ini
Persiapan untuk pelaksanaan termasuk senarai hakim telah pun disiapkan
Bahagian Empat Enakmen ini memperuntukkan penubuhan Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas.
Saya
yakin Kerajaan Negeri telah pun mendapatkan waran perjawatan dari JPA,
waran dari Perbendaharaan dan budget perjawatan bagi kesemua Hakim-Hakim
yang akan dilantik dan semua jawatan pegawai pelaksana yang lain di
semua peringkat.
Saya juga yakin bahawa Kerajaan Negeri telah pun mempersiapkan semua Enakmen sokongan seperti Enakmen Acara Jenayah Syariah dll.
Begitu juga kaedah-kaedah. Misalnya bagi jadual II, III dan IV berkait diyah, saya yakin kaedah-kaedahnya telah pun disiapkan.
Hukuman-hukuman
telah dinyatakan. Dari segi kaedah, misalnya bagi yang telah diputuskan
membayar diyah tetapi akhirnya tidak membayar diyah berkenaan, adakah
hartanya boleh disitakan?
Ianya saya yakin, telah pun disiapkan sepenuhnya.
Tuan Speaker,
Bagi
majoriti rakyat Kelantan yang telah mengundi parti pemerintah hari ini,
mereka tidak lagi mahu melihat larian setempat dalam pelaksanaan
Enakmen ini.
Kerajaan Negeri telah, melalui kenyataan akhbar,
memberikan sedikit gambaran laluan politik, perundangan dan proses lain
menuju pelaksanaan Enakmen ini.
Ada masanya, proses ke hadapan
selepas Enakmen ini diluluskan disebut melalui Bill Persendirian Ahli
Parlimen untuk meminda Perkara 76 (A1).
Pada ketika yang lain, langkah seterusnya dikatakan untuk membawa pindaan Akta Jenayah Syariah 355 di Parlimen sama ada melalui;
satu,
Menteri akan mencadangkan pindaan Akta Jenayah Syariah 355 dengan
menaikkan hukuman rotan mengikut hukum syara’ kepada seratus rotan bagi
membolehkan sekurang-kurangnya empat kesalahan syariah di bawah Enakmen
ini dilaksanakan.
Ia membuka jalan sebagai permulaan.
Ia
menepati kaedah fiqah, apa yang mampu dilaksanakan, dilaksanakan dan
yang lain belum boleh dilaksanakan, di kemudiankan tanpa meninggalkan
kesemuanya atas alasan menunggu dilaksanakan kesemua sekali sekali gus.
Dua,:
wakil Kerajaan Negeri yang menjadi Ahli Dewan Rakyat membawa Bil
Persendirian mencadangkan pindaan Akta 355 dengan tujuan yang sama
seperti di atas, tetapi bukan dibawa oleh Menteri.
Tuan Speaker,
Saya
difahamkan, tujuan asal Jawatankuasa Teknikal Bersama ditubuhkan ialah
untuk antara lain memutuskan samada laluan 76 (A1) atau Akta 355 lebih
sesuai untuk dilalui.
Saya difahamkan Menteri
berkenaan memberi faham kepada wakil Kerajaan Negeri bahawa Kerajaan
Pusat lebih bersetuju dengan laluan pindaan Akta 355 dengan menaikkan
hukuman rotan kepada seratus rotan.
Pindaan itu akan dibawa oleh Menteri.
Jika
ia dibawa oleh Menteri, tentulah dengan kuasa whip yang ada, semua Ahli
Parlimen dari parti Kerajaan baik MCA, MIC, Gerakan dan wakil dari
Sabah dan Sarawak wajib menyokong dan ini memudahkan kelulusan walaupun
pindaan seperti itu hanya memerlukan simple majority.
Ia
juga tidak menakutkan sesetengah pihak di luar dari batasan sepatutnya
kerana empat kesalahan yang akan terlibat adalah lebih berbentuk
kesalahan syariah seratus peratus dan tidak melibatkan kuasa-kuasa dan
kesalahan di bawah Kanun Kesalahan Jenayah atau Penal Code, kecuali
kesalahan liwat.
Begitu juga dengan bentuk hukuman iaitu rotan
yang telah pun ada dalam sistem perundangan Malaysia kecuali
bilangannya sahaja yang ditambah.
Kebelakangan
ini, saya mendengar, Kerajaan Pusat hanya bersetuju meningkatkan
bilangan rotan hanya menjadi 39 rotan, menjadikan kesemua empat
kesalahan yang dijanjikan boleh dilaksanakan menerusi Enakmen ini tetap
tidak dapat dilaksanakan.
Kedua, saya
difahamkan Menteri mencadangkan Ahli Parlimen PAS dan bukannya Menteri
membawakan usul pindaan Akta 355 denagn alasan-alasan tertentu yang
tidak berbangkit pada permulaan Jawatankuasa Teknikal Bersama hendak
ditubuhkan dahulu.
Jika ini berlaku, apa jaminan ia akan mendapat sokongan Ahli Parlimen BN?
Ia
juga menambahkan perlunya pelbagai pihak memberikan sokongan terhadap
usul itu nanti bagi mempastikan kejayaannya dan bukan hanya satu
percubaan yang sia-sia.
Di sinilah letaknya keperluan berbahasa dengan elok dan bijaksana dengan semua pihak.
Jika
cubaan berasaskan Bil Persendirian untuk meminda Akta 355 akan gagal,
apa tah lagi pindaan Perkara 76 (A) yang memerlukan majoriti dua
pertiga?
Tuan Speaker,
Aspek kedudukan nas syarak yang wajib diimani oleh semua orang Islam sudah tentu tidak boleh dipertikaikan lagi.
Kerana
itulah Parti Islam ditubuhkan dan kita semua mendokongnya. Kerana
itulah Enakmen 1993 terlahir sejak sesetengah ADUN pada hari ini belum
lagi menjadi ADUN atau terlibat dengan kerajaan.
Kita
berterima kasih kepada al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa
menjadi menteri besar telah menorakai usaha ini sehingga diwujudkan
enakmen yang dibentang pindaan hari ini.
Aspek
pengkanunan pula, ia terbuka untuk perbincangan, penelitian dan
penambahbaikan dari semasa ke semasa, seperti yang berlaku kepada
Enakmen ini sendiri.
Aspek laluan menuju
pelaksanaan adalah aspek ketiga yang terpaksa diambil kira dengan penuh
teliti. Sudah tentu pertimbangan politik juga wujud dalam aspek ini.
Saya
yakin majoriti rakyat Kelantan yang telah mengundi PAS berkali-kali,
ingin melihat pelaksanaan Enakmen ini diangkat penuh bijaksana, cermat
dan berjaya. Bukan semata-mata kehebohan-kehebohan dan cabar mencabar
melebihi keperluan sebenar tetapi akhirnya terbantut.
Semangat permuafakatan lebih memudahkan laluan berbanding dilihat menonjolkan keangkuhan dan kesombongan.
Saya
juga yakin bahawa kita semua mengangkat agenda ini untuk mendapat
keredhaan Allah dan bukannya dijadikan satu bola politik semata-mata
dalam apa jua cara dan bentuk.
Saya yakin,
rakyat Malaysia, jika berbahasa dengan bahasa yang lunak dan tidak
sengaja bertujuan menakut-nakutkan, akan mengizinkan ummat Islam
khususnya rakyat Kelantan di mana majoriti mereka beragama Islam dan
telah melalui proses demokrasi yang diamalkan oleh negara kita, mendapat
hak demokratik beramal dengan Islam anutan mereka sepenuhnya.
Apa
lagi, bagi empat kesalahan jenayah syariah permulaan seperti telah saya
sebutkan, bentuk hukumannya telah sedia ada dalam sistem perundangan
negara kita.
وَهُوَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَهُ الْحَمْدُ فِي الْأُولَى وَالْآخِرَةِ وَلَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (28:70)
28:70
Dan Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,
bagi-Nyalah segala puji di dunia dan di akhirat, dan bagi-Nyalah segala
penentuan dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.
Saya berdoa, usaha kita diberkati.
Husam Musa
ADUN Salor
19 Mac 2015
Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan.