Oleh: Jebon
PAS ganti Umno adalah cogan kata yang paling banyak dijadikan banner menjelang pilihan raya umum 2013. Cogan kata itu berasal selepas kemenangan besar PAS pada pilihan raya 2008.
Banyak veteran PAS tidak bersetuju dengan maksud mendalam cogan kata itu. Mereka berkata ia seperti doa. Apa sahaja yang buruk dilakukan Umno akan diikuti PAS sebagai ‘penggantinya’.
Namun ulama PAS tidak menerima teguran itu dan ‘doa’ PAS ganti Umno terus berkumandang selama lima tahun. Pada 2014, doa itu mula dimakbulkan. PAS sedikit demi sedikit mengambil perangai buruk Umno.
Pada era Reformasi 1998, PAS sering memperkatakan mengenai kediktatoran Mahathir dalam Umno. Mahathir mahu berkuasa sehingga mati. Jawatan Presiden Umno tidak boleh diganti walau betapa lemahnya kepimpinan presiden atau betapa tidak terurusnya parti.
Ganti presiden
PAS membandingkan situasi tersebut dengan kepimpinan ulama yang boleh mengganti presiden sekiranya perwakilan tidak bersetuju dengan arah tuju presiden. Terdapat penulis-penulis yang membangkitkan sejarah penggantian Asri Muda sebagai yang Dipertua Agung PAS.
Pemuda PAS menentang Asri dan Asri meletak jawatan pada 1982. Begitu juga dengan penolakan sebahagian ucapan dasar presiden pada Muktamar 1986 sehingga menyebabkan Yusuf Rawa meletak jawatan tetapi menarik balik kemudian.
PAS dipakejkan dengan demokrasi Islam. Dikatakan parti yang teruji dengan debat dalaman tidak mungkin bertindak secara unilateral di dalam pemerintahan. Betapa terpujinya imej PAS ketika itu.
Namun pada 2015, semua itu diputar balik ke belakang. PAS mencontohi Umno tidak mahu jawatan presiden dipertandingkan. Ulama-ulama di belakang Hadi Awang bersungguh-sungguh mempertahankan beliau agar tidak dicabar. Malah Musrsyidul Am yang baharu Haron Din memihak kepada Hadi. Mempertahankan presiden itu daripada disentuh oleh puak pro Pakatan Rakyat dalam PAS.
Lebih teruk dari umno
PAS berubah 360 darjah daripada parti mengamalkan demokrasi Islam kepada parti autokratik yang lebih teruk daripada Umno. Umno masih mempunyai cara untuk mendapatkan semula sokongan rakyat apabila diktator paling dibenci Dr Mahathir sukarela meletak jawatan pada 2003. Pak Lah naik dan ramai rakyat terpedaya dengan Islam Hadhari yang dibawanya.
PAS sebaliknya meletakkan Hadi sebagai satu-satunya pemimpin sepanjang hayat, tidak boleh dicabar dan tidak akan meletak jawatan.
Suatu ketika dahulu perlantikan dalaman Umno dijadikan bahan ceramah oleh PAS. Wujud pergeseran dan berpuak-puak. Perlantikan menteri yang hanya disetujui Mahathir dan ditentang oleh pemimpin Umno yang lain.
Kini, perlantikan Mursyidul Am PAS pula dipertikaikan. Menurut sumber 16 ahli Majlis Syura Ulama yang berhak melantik mursyidul am pada mesyuarat 8 Mac. Namun tidak diketahui berapa ramai anggota majlis syura yang hadir untuk melantik Haron. Ada yang mendakwa korum 8 anggota minimum tidak dipenuhi kerana terdapat anggota yang berada di luar negeri, kematian bapa, berada dalam penamaan calon di DUN Chempaka dan lain-lain.
Pengumuman mursyidul am yang baharu dibuat pada 12 Mac dan lewat empat hari juga menimbulkan persoalan. Adakah perlantikan Haron semata-mata strategi untuk mengelakkan ahli PAS mendesak Hadi mengambil jawatan tersebut dan mengosongkan kerusi presiden? Memandangkan Haron tidak mempunyai kebijaksanaan politik sebagaimana Nik Aziz yang melayakkannya ke jawatan tersebut.
Haron kurang wibawa
Haron yang satu ketika dahulu pernah menjadi Naib Presiden PAS ketika kerajaan perpaduan dengan BN 1972 – 1978 ‘meningalkan’ PAS buat sementara waktu ketika parti itu lemah. Beliau kemudian timbul semula di sisi Anwar Ibrahim dan dikenali sebagai kawan baik Pak Sheikh ketika itu. Beliau bersekongkol dengan puak Umno pada 1980an hingga 1998. Adakah seorang yang pernah ‘menyeberang’ seperti itu layak menjadi ketua tertinggi PAS?
Jika strategi menghalang Hadi ke jawatan mursyidul adalah alasannya, maka PAS bukan lagi parti demokrasi tetapi telah berubah arah kepada corak autokratik. Semua jawatan ditentukan melalui muslihat dalaman dan tidak ada peluang untuk seseorang menunjukkan bakat kepimpinan.
Suatu ketika dahulu PAS sering memperlekeh Umno kerana Mahathir tidak mampu berdebat dengan Anwar maka TPM itu disingkir dengan tuduhan jijik. Kini, PAS juga hampir berperangai sedemikian.
Sangat mengarut apabila ditubuhkan satu jawatankuasa yang menyiasat tuduhan Timbalan Presiden Muhammad Sabu dan AJK PAS pusat Dr Hatta Ramli mahu menjatuhkan presiden pada pemilihan Jun 2015.
Jawatankuasa bunuh demokrasi
Penubuhan jawatankuasa itu membawa PAS ke era politik zaman gelap khalifah Umayyah. Ketika itu atas nama agama musuh politik dijemput khalifah ke istana untuk jamuan makan dan selepas jamuan mereka dibunuh.
Pemberontakan rakyat yang tidak tahan dengan kezaliman atas nama Islam itu meruntuhkan khalifah Umayyah berpusat di Damsyik dan menubuhkan khalifah Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.
Demokrasi tidak pernah menyebut usaha menjatuhkan presiden parti dan berkempen untuk mendapatkan sokongan bertanding jawatan presiden suatu kesalahan. Hanya Umno yang menganggap salah menjatuhkan presiden sekiranya majlis tertinggi tidak bersetuju. Sebab itu jawatan presiden tidak dipertandingkan.
Presiden Tunku Abdul Rahman dijatuhkan oleh golongan muda ‘Young Turk’ dan Dr Mahathir. Tun Razak meninggal dunia. Tun Hussein dipaksa meletak jawatan oleh Dr Mahathir. Pak Lah dijatuhkan Mahathir dari luar Umno. Dan Najib dalam proses untuk ditumbangkan oleh Mahathir.
Adakah PAS akan melakukan proses tersebut dalam menentukan jawatan presiden? Mengambil hak perwakilan untuk diberi kepada seseorang individu atau sekumpulan pemikir seperti Majlis Syura Ulama?
Samseng menular?
Suatu ketika dahulu, PAS sering menjenakakan amalan politik dalaman Umno yang berebut untuk bertanding menjelang pemilihan. Puak yang tidak berpuas hati akan mengupah samseng memukul lawan.
Kini, perangai itu didakwa telah menulari PAS. Samseng didakwa membakar kereta Dr Hatta kerana cuba menjatuhkan presiden dan menumbuk muka Dr Dzulkefly kerana mengkritik ulama.
Apa nak jadi dengan PAS? Umno telah berkuasa lebih 55 tahun. Wajarlah parti itu jadi ‘nyanyuk dan gila’ kerana berada di usia tua. Mereka telah puas menjarah kekayaan negara dan tidak mengapa jika mereka berlawan sesama sendiri. Lebih daripada itu Umno adalah parti sekular yang tidak mementingkan agama dan tidak mendapat petunjuk Allah.
Namun kini rakyat mentertawakan PAS kerana parti itu belum pun berjaya memerintah negara tetapi telah berebut dan bertumbuk sesama sendiri. Lebih tenat parti itu dianggotai oleh pak lebai, guru agama dan ulama.
Kalau kelompok ini pun jauh dari petunjuk maka di manakah rakyat mahu mendapatkan kedamaian jiwa. Islam tidak buruk tetapi yang memperjuangkannya mempunyai akhlak buruk. Akhirnya PAS benar-benar menggantikan Umno. Bukan dari sudut politik kerana Umno tetap hebat memerintah, tetapi mengambil perangai buruk Umno dan hilang kepercayaan rakyat.