Yang di-Pertuan
Agong Al-Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini (14 Jun
2022) dilaporkan bertitah bahawa agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk
dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh
menghancurkan sebuah tamadun. (sila rujuk Malaysiakini edisi Bahasa Melayu 14
Jun 2022 jam 5.27 petang).
Titah diraja yang
penting ini diucapkan di tempat yang penting juga iaitu di Majlis Istiadat
Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UITM) ke-93 di Shah Alam pada hari
Selasa 14 Jun 2022.
Baginda kemudian memetik catatan
Sejarah Melayu ‘Sulalatus Al-Salatin’ yang diriwayatkan oleh Tun Sri Lanang
tentang bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka akibat perbuatan rasuah Bendahara
Maharaja.
Sebagai seorang ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKRM)
SPRM yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, saya berpendapat apa yang
dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong tersebut adalah benar.
Malaysia bernasib baik kerana ada Ketua Negara yang lantang
bersuara menentang musuh utama negara, iaitu korupsi atau rasuah.
Bagi saya, korupsi musuh negara nombor satu dan inflasi musuh negara
nombor dua. Jika kedua-duanya, korupsi dan inflasi bergabung serentak seperti
sekarang ini di Malaysia, maka 33 juta rakyat di negara ini boleh “mati “
dibuatnya. Jadi dalam aspek ini, Titah Yang di-Pertuan Agong di UITM pada hari
ini sangat relevan dan penting.
Pada hemat Penulis, Yang
di-Pertuan Agong telah dibekalkan oleh Kerajaan dan Negara dengan pelbagai
penasihat dan pembantu istana. Pegawai-pegawai istana tersebut yang membawa
gelaran hebat-hebat seperti Datuk Bijaya Diraja, Datuk Bentara Diraja dan
lain-lain.
Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai akses kepada Peguam Negara
yang bertindak sebagai peguam kepada Kerajaan.Tidak ada sesiapa kah yang berani
tampil ke depan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya jangan menjemput
bekas Perdana Menteri Najib Razak (seorang pesalah rasuah) ke Istana negara?
Penulis menghormati hak peribadi seseorang termasuk Yang
di-Pertuan Agong untuk menjemput sesiapa juga sebagai tetamu datang ke rumah,
lebih-lebih lagi di bulan Puasa dan di hariraya. Tetapi jawatan Yang di-Pertuan
Agong adalah payung negara. Ia satu tugas besar negara yang lebih besar dari
urusan peribadi.
Tugas Yang di-Pertuan Agong bersifat rasmi sepanjang masa kerana
Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Kepada badan Eksekutif (Kerajaan), Ketua
Kepada badan Perundangan (Parlimen) dan ketua kepada badan Kehakiman.
Tidak seperti Perdana Menteri atau Speaker Parlimen ataupun
Ketua Hakim Negara, jawatan Yang di-Pertuan Agong memikul tiga tugas sekaligus
oleh seorang diri. Tidak ada prinsip pemisahan kuasa bagi jawatan yang
di-Pertuan Agong. Begitulah besar, mulia dan rasminya peranan raja atau sultan
yang bergelar Yang di-Pertuan Agong.
Jadi Penulis menganggap satu kesilapan telah berlaku di pihak
Istana Negara apabila Najib Razak diundang ke Istana Negara untuk santapan
diraja bersama Yang di-Pertuan Agong dan peristiwa itu kemudian ditular di
media sosial dan dikongsi kepada khalayak ramai, tentu sekali termasuk
pelajar-pelajar universiti.
Dan tentu sahaja ada anak-anak
mahasiswa yang pada hari ini yang menjadi graduan di Istiadat Konvokesyen di
UITM Shah Alam di kala mereka mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai
bahaya rasuah akan teringat peristiwa Najib Razak diundang ke Istana Negara
untuk bersantap bersama baginda.
Semua orang tahu betapa rapatnya hubungan Najib Razak dengan
Yang di-Pertuan Agong sekarang. Mereka sama-sama dari Pahang. Tetapi itu soal
hubungan peribadi.Tidak boleh dicampur-aduk dengan urusan rasmi negara.
Dato’ Seri Najib Razak bekas seorang Perdana Menteri dan ahli
politik yang senior sepatutnya sedar dan mengambil inisiatif menasihati Yang
di-Pertuan Agong supaya tidak menjemput beliau ke Istana Negara bersandarkan
latarbelakang bahawa beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah.
Najib mempunyai tanggungjawab moral untuk mengingatkan Yang
di-Pertuan Agong bahawa dirinya selaku bekas Perdana Menteri telah disabitkan
bersalah dalam kes rasuah RM42 juta SRC International Sdn.Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara selama
12 tahun dan denda RM210 juta. Fakta sebenarnya jumlah hukuman penjara ke atas
Najib bagi kesemua pertuduhan yang disabitkan kesalahan ialah selama 72 tahun
jika dijalankan secara berasingan (consecutive). Tetapi ia menjadi hanya 12
tahun apabila hukuman penjara itu dijalankan secara serentak (concurrent).
Sabitan bersalah dan hukuman ke atas Najib Razak itu telah
disahkan oleh tiga (3) orang Hakim Mahkamah Rayuan berikutnya, apabila Mahkamah
Rayuan mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menolak rayuan Najib
Razak.
Najib Razak sepatutnya menjadi
seorang negarawan dengan berani menyatakan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa
prinsip undang-undang yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah
selagi tidak dibuktikan di mahkamah adalah tidak terpakai kepada dirinya.
Ini adalah kerana Najib telah dibuktikan bersalah di dua buah
mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan Malaysia.
Walaupun Najib Razak telah membuat rayuan lanjut ke Mahkamah
Persekutuan tetapi rayuan tidak bermakna sabitan kesahan dan hukuman
dilupuskan. Sabitan kesalahan rasuah dan hukuman penjara masih kekal pada Najib
Razak hingga sekarang ini.
Sayang sekali titah Yang di-Pertuan Agong yang membawa tema
penting anti-rasuah dalam ucapan baginda di UITM Shah Alam pada hari ini telah
dianggap sebagai “titah kosong” kerana lain yang dicakap, lain pula yang
dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, sungguhpun baginda masih dikasihi dan
dihormati rakyat.
Penulis ingin merekodkan di sini bahawa apa yang ditulis di sini
bukannya fitnah atau hasutan. Tetapi ia adalah suatu pernyataan benar yang
berasaskan fakta.
Tidak ada niat jahat apabila Penulis menyatakan ini semua. Sebab
Penulis boleh mengambil sikap berdiam diri seperti “tikus jatuh ke beras”.
Tetapi itu tentunya bukan hasrat yang di-Pertuan Agong apabila melantik Penulis
sebagai seorang ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM.
Penulis mengambil pendirian berani berkata benar walaupun di
hadapan raja demi kepentingan awam. Tulisan ini merupakan satu komen yang
berpatutan untuk dijadikan renungan supaya institusi Raja Berperlembagaan dapat
terus kekal bergandingan dengan demokrasi berparlimen di Malaysia.
Peristiwa raja-raja dan sultan Melayu di Sumatera contohnya
Kesultanan Langkat, Kesultanan Siak dan lain-lain hilang satu demi satu dalam
revolusi sosial di Indonesia ketika rakyat negara itu berjuang menuntut
kemerdekaan dari penjajah Belanda patut menjadi contoh tauladan kepada
istana-istana raja dan sultan di Malaysia, khususnya institusi Yang di-Pertuan
Agong.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM
14 Jun 2022 (Selasa)